Friday, June 22, 2007

Kabare Keadilan

Anwar Perlu Bertindak Sebelum Keadilan Parah

MSO

TERUK benarkah masalah yang membelenggu di dalam parti Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dewasa ini? Selepas terlepas untuk mengikuti kongres tahunannya di Seremban akhir Mei lalu saya tidak banyak menghandiri masjlis atau aktiviti parti berkenaan kerana masa tidak begitu mengizinkan.

Perkembangan parti itu diikuti menerusi internet dan di coffee house saja. Di coffee house bicara mengenai Keadilan atau Anwar Ibrahim tidak serancak dulu. Semacam ada pengenduran pemerhatian umum kepada tokoh reformasi itu. Entah kenapa harapan umum kepada Anwar untuk menerajui negara ini juga jadi agak menipis tidak setabal sewaktu beliau berada di Sungai Buloh.

Ketika Anwar masih ditahan harapan orang ramai kepada beliau tinggi menggunung. Seolah-olah beliau akan keluar dan terus ke Putrajaya membetulkan kecacatan dan kesumbangan dilakukan Mahathir Mohamad kira-kira 22 tahun lalu. Ada juga bayangan akan berlaku persalinan antara beliau dengan Abdullah Ahmad Badawi.

Bunga seri pagi

Tanggapan itu rupanya meleset. Harapan umum kepada Anwar kini sudah mengucup bagaikan bunga ‘seri pagi’ apabila menjelang hari senja. Pembebasan Anwar bukan menggebukan harapan umum, malah menimbulkan perbalahan dan krisis keyakinan sesama sendiri didalam parti itu sehingga ia boleh melemah dan meletakkan Keadilan sebagai parti kelas tiga.

Jika dipadankan dengan cerita-cerita di coffee house dan laporan di dalam internet, memberi gambaran bahawa iklim Keadilan tidak begitu ‘sumringah’. Semacam ada sesuatu yang tersekang dileher Keadilan menjadikan ianya terkial-kial untuk melepas atau menelannya. Apakah Keadilan kini dalam proses pembersihan dan penapisan untuk melahirkan ahli dan pendokong yang berkualiti?

Jika diperhatikan masalah ataupun suasana ‘samrawik’ di dalam Keadilan ini bermula dengan tindakan bekas Ketua Angkatan Mudanya, Ezam Mohamad Noor yang melepaskan semua jawatannya yang dipegang dalam Keadilan Bahagian Shah Alam dan Perhubungan Keadilan Selangor.

Alasan Ezam berbuat begitu ialah kerana ingin menumpukan kepada Gerak sebuah badan NGO yang memperjuangkan demokrasi tulen dan pembenterasan gejala rasuah.

Bermula dari sinilah selepas satu, satu insiden yang memberi gambaran buruk kepada Keadilan berlaku. Terbaru ialah dilaporkan bekas Bendahari Agungnya, Abdul Rahman Othman pula bertindak meninggalkan parti berkenaan. Beberap minggu sebelum ini kalut mengenai beberapa Keadilan di Kedah dikatakan akan dibubarkan.

Selepas selesai kongres parti itu dikejutkan oleh tindakan Nallakarupan yang tiba-tiba mengambil keputusan meninggalkan Keadilan. Belum kering air liur Nallakarupan yang berjanji untuk memperjuangkan nasib orang India menerusi Keadilan, tiba-tiba beliau sudah mogok dan memburukkan kononnya Keadilan tidak memberi tempat kepada orang India.

Jahil politik

Beberapa bulan sebelum kongres di Seremban, Keadilan Kelantan juga kecoh apabila beberapa bahagian dan ahli perhubungannya tidak bersetuju dengan Pengerusi Perhubungannya, Nik Mahmood Nik Hassan yang dikatakan jahil dalam politik. Sebuah bahagian hampir-hampir dibubarkan gara-gara isu Nik Mahmood. Kesan daripada itu ketua Keadilan Tumpat, Saufi Daud bertindak keluar parti.

Sebenarnya masalah dalaman sesebuah parti politik biasa saja. Ia merupakan asam garam dalam perjuangan. Gimik itulah menjadikan sesebuah parti itu hidup dan orang akan memberi fokus kepadanya. Tetapi dalam hal Keadilan ini ia agak aneh sedikit dan tidak sepatutnya kekeochan seumpama itu berlaku kerana ia parti baru.

Keadilan masih belum ada tenaga dan juga ilmu untuk bergaduh dan berpolemik. Keadilan juga tidak layak untuk berpecah kerana ia memerlukan kepada usaha dan tenaga untuk mengampuhkan parti itu sesuai dengan kehadiran Anwar. Kehadiran Anwar juga dilihat pada mulanya akan merapatkan hubungan antara ahlinya dan menyelesaikan beberapa masalah tetek bengik yang bersifat personal itu, tetapi nampaknya Anwar sendiri gagal atau tidak serius menanganinya.

Sebelum ini ahli meletakkan kepercayaan dan harapan besar kepada penasihatnya itu. Mereka melihat kemunculan Anwar di arena siasah akan menambah semangat dan nilai Keadilan. Suara Anwar akan menjadi suara penyatu dan perdamaian antara individu-individu yang berselisihan sesama sendiri.

Kelemahan yang ditanggung Keadilan selama ini kerana ia berpresidenkan seorang wanita akan berakhir apabila ianya diambil alih sang suami wanita itu. Itulah alasannya. Namun semuanya kelihatan seperti tidak benar, bahkan keaktifan suami wanita itu menimbulkan masalah lain pula.

Merendahkan darjat parti

Kepulangan dan pembebasan Anwar makin menjadikan parti itu kelam kabut dan juga merendahkan darjat parti itu. Apa yang berlaku kini ia tidak sepadan sebagai sebuah parti yang dinasihati oleh bekas Timbalan Perdana Menteri ataupun oleh tokoh yang telah berjuang berdekad dalam parti dan gerakan Islam.

Apa yang berlaku dalam Keadilan kini tentulah ia mempunyai masalah tersendiri. Dan masalah ini tentulah pula bukan senang untuk diatasi dan bukan bermakna ia tidak boleh diberesi. Kalau diibarat kepada penyakit, Keadilan kini menghidap sejenis penyakit antara 123 penyakit yang aneh dan belum menemui penawar di dunia ini.

Daripada cakap-cakap di luar semua semacam sepakat menghukum apa yang berlaku di dalam Keadilan kini ialah kerana sikap Anwar sendiri yang dikatakan terlalu mendengar cakap bekas Setiausaha Sulitnya, Azmin Mohd Ali. Anwar dikatakan begitu sebuku dengan Azmin sehingga menimbulkan kecemburuan rakan lain.

Bagi golongan ini Azmin sudah menjadi libiliti kepada Keadilan dan Anwar sendiri.

Apakah Anwar sedar atau tidak tentang hakikat ini? Sukar untuk diselongkari apakah sebab kalau Anwar jadi begitu terpalut dengan Azmin. Kalau mereka ada rahsia besar (chemistry) sehingga Anwar sukar untuk mengenepikan Azmin, apakah rahsia itu?

Daripada cakap-cakap di luar ada menyebut, kandatipun apa yang berlaku Anwar tidak akan melepaskan Azmin begitu sahaja sebab Azmin menjaga kepentingan Anwar. Antara kepentingan itu ialah harta dan juga buku simpanan Anwar Ibrahim.

Tuduhan ini sukar untuk dipercayai, tetapi ia bukan sesuatu yang ganjil dan tuduhan persis itulah yang lebih logik dan mudah untuk disebarluaskan kepada setersu. Pun jika diperhatikan kepada perangai Anwar tuduhan itu tidak mudah untuk dipercayai sekira ianya tidak dibuktikan secara nyata.

Cari dana parti

Apakah Anwar seorang yang gila kekayaan? Kalau diukur kepada kerjanya selama ini di luar negeri, sanggup menjadi pensyarah jemputan di beberapa buah universiti dan memberi ucapan di seminar antarabangsa dengan kadar upah yang tinggi, adalah semata-mata untuk mencari dana untuk parti semua tuduhan itu tertolak sama sekali.

Kesimpulannya sekiranya dalam hepotesis umum menerima keakraban Anwar dengan Azmin itu menjadi masalah kepada kawan-kawanya dan Keadilan, elok kalau Anwar membuat semakan dan penilaian semula. Anwar perlu ingat didalam perjuangan, kemenangan itu bukan saja bergantung kerpada seorang sahabat baik, tetapi ia bergantung kepada sokongan rakyat bawahan.

Sejarah dan nostalgia masa lampau (jika ada) mungkin tidak wajar diberikan keutamaan selepas Timbaan Perdana Menteri menghadapi musibah besar kira-kira 10 tahun lalu. Anwar kena lupa diary lama dan perlu membuka buku cacatan harian baru.

Sesungguhnya masalah yang menimpa satu demi satu di dalam Keadilan kini hanya dapat dituntaskan oleh Anwar bin Ibrahim saja; sebab beliaulah yang mengetahui apakah puncanya dan sebab musababnya!

No comments: