Thursday, July 5, 2007

Sayang Kelantanku...

Jihad Ternak jadi Jahat Benak.

Siri 2

Bagaimana Jihad Ternak Bermula?

IDEA untuk mewujudkan Jihad Ternak sebagai pusat ternakan, pembiakan dan akhirnya diimpikan menjadi satu pusat penyelidikan kambing yang akan meletakkan Kelantan sebagai ‘Negeri Kambing’ bermula daripada satu percakapan mengenai kambing oleh Husam Musa. Husam berbicara mengenai potensi dan pelbagai 'keafdalan' binatang ternakan Rasulullah s.a.w. itu kepada saya.

Husam memang seorang yang menggemari binatang, menyintai alam sekitar, mengasihi tumbuh-tumbuhan, merindui bunga-bungaan dan membaca. Husam adalah ulat buku. Sepanjang saya mengenal dan berkawan dengannya, itulah dua hobby yang sangat disukainya dan tidak dapat dipisahkan dari jiwanya.

Pergilah ke mana, mata dan hatinya tidak akan terlepas dari melihat dan memerhati unsur-unsur alam itu. Beliau begitu sensitif sekali kepada ciptaan semulajadi Allah s.w.t. Walaupun dalam perjalanan beliau akan berhenti untuk melihat sesuatu yang menarik perhatiannya. Jiwa dan dhamirnya begitu seni sekali.

Dalam kaca mata saya Husam juga seorang yang romantika!

Baca wirid

Ke mana saja dalam perjalanan beliau tidak habisi masa dengan tidur sebaliknya membaca buku. Perkara paling diawaliyatkan ialah membaca Quran dan membaca wirid. Husam adalah seorang pengamal tariqat!

Beliau sangat prihatin dan taksub kepada dua perkara ini. Kerana taksubnya menyebabkan beliau terlupa kepada hobby lain yang menjadi kegemaran kebanyakan ahli politik, seperti golf, hiburan ataupun membina rumah indah dan besar ataupun menambahkan orang rumah!

Meskipun sudah berkali kawan-kawan lain dan juga kawan Husam menanyai dan mencungkil saya mengenai hal itu saya menafikannya, kerana sebenarnya saya tidak tahu sama sekali. Itu adalah urusan peribadi beliau terserah sama ada ingin mengongsi memikul masalah itu ataupun tidak. Husam tidak pernah terlepas mulut memberitahu saya akan hal satu ini.

Dunia luar daripada dua bidang tadi dari kehidupannya tidak ada. Selebihnya beliau menumpukan masa kerjanya untuk memikirkan bagaimana manambah kantong kewangan negeri, membantu Nik Abdul Aziz Nik Mat menguruskan Kelantan. Dengan kedudukannya sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Husam bertanggungjawab dan mampu memikul amanah ini dengan baik dan sempurna.

Beliau juga seorang gila bekerja dan suka mencari idea-idea baru. Saya menyifatkan Husam sebagai seorang yang 'eksperimental'. Beliau tidak peduli kepada dunia sekitar yang cuba mengagal atau dengki dengannya. Baginya nawaitunya jelas berkerja siang malam, berfikir sepanjang masa hanya untuk mempertahankan Kerajaan Kelantan.

Exco kondem

Hakikat ini disedari ramai. Walaupun Kerajaan Kelantan mempuyai sembilan Exco, namun sebahagian saja yang berfungsi dengan baik, yang lain bolehlah disifatkan sebagai sudah kondem. Yang kondem itulah perlu dipenuhi dan dibantui oleh Husam dan ini menjadikan beliau lelah dan ketiadaan masa, sehingga tidak sempat untuk menemui tetamunya.

Saking kuatnya beliau bekerja menyebabkan masa untuk rumah tangganya agak terabai.

Adakalanya beliau berada di pejabatnya hingga larut malam, membaca fail meneliti beberapa kesilapan teknikal yang dilakukan oleh Exco terdahulu. Beliau juga rajin berfikir bagaimana menghadapi masalah. Umno pula semakin agresif membuat serangan terbuka dan juga secara sulit.

Kembali kepada cerita kambing ini ianya timbul selepas beliau mengunjungi Pemeran dan Ekspo Pertanian (Maha) 2006 yang berlangsung di Universiti Pertanian Malaysia. Beliau tertarik dengan kambing jenis Jamnapari yang dipamerkan di ekspo berkenaan.

Dalam satu perjalanan ke Teknologi Park, beliau menceritakan mengenai kehebatan kambing berkenaan kepada saya. Menurutnya kambing itu kepunyaan penternak di Negeri Sembilan. Sebelum beliau menjelaskan lanjut saya terus menyampuk mengatakan saya tahu di mana kandang berkenaan dan ini menyebabkan beliau semakin excited untuk melihatnya.

Saya telah mengunjungi kambing berkenaan bersama Ibrahim Ali sekembali dari berkempen pilihan raya di Benting Maro, Sarawak. Entah macam mana Ibrahim yang tidak pernah dikenali sebagai seorang yang minat kepada bidang pertanian tiba-tiba 'membuang tebiat' teringin untuk pelihara kambing.

Beriya benar Ibrahim hari itu. Pada kunjungan itulah saya mengenali Mohd Amin Pipet@Abdul Rahman tuan punya ladang berkenaan bersama rakan kongsinya Mohamad Fauzi Daud. Bagaimana pun kunjungan dan niat Ibrahim itu tidak membuahkan hasil, sehingga kini sebiji tahi kambing pun Ibrahim tidak bawa ke Pasir Mas.

Semasa membuat lawatan ke kandang itu Husam begitu tertarik dengan kandang dan juga kaedah ternakan kambing yang dibuat. Kebersihan kambing menjadi satu perkara yang menyebabkan beliau seronok dan tertarik dengan sistem yang diperkenalkan oleh ladang berkenaan.

Sebenarnya ketika ini tidak terfikir lagi untuk mewujudkan Jihad Ternak. Kunjungan itu atas sifat personal dan beliau berhajat untuk membeli untuk pelihara saja sebagai koleksi. Di rumahnya sudah pun terdapat beberapa jenis kambing termasuk yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya.

Daripada itu terbetiklah idea untuk menjadikan ternakan kambing sebagai satu bidang komersial di Kelantan. Satu sistem atau modul perlu direka bagaimana ianya boleh berjalan dengan baik, memberi keuntungan membaiki taraf kehidupan rakyat miskin dan dalam masa sama ia dapat dijadikan modal politik.

Lantas berlakulah percakapan lebih lanjut dengan beliau menayai di mana kawasan yang boleh dijadikan pusat berkenaan. Saya teringat kepada tanah Jabatan Haiwan di Pasir Mas yang sudah hampir setengah abad terbiar. Kebetulan juga beberapa bulan sebelum itu saya telah mengunjungi ke kawasan berkenaan bersama Muhammad Yaman – bekas pemimpin Umno Pasir Mas, yang meminta saya membuat artikel atau mencari jalan bagaimana tanah itu dimajukan.

Saya menceritakan tanah itu sesuai untuk dijadikan pusat berkenaan. Satu lawatan ke kawasan itu diadakan dimana ianya disertai oleh Zulkefli Yaacob, bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan dan calon Pas yang kalah di Guchil pada pilihan raya 2004 lalu bersama Hashim Omar, bekas wakil rakyat Pas tahun 1974 bagi kawasan Bandar Pasir Mas. Mereka adalah sebagai wakil kepada Husam.

Secara usahasama

Perbincangan menajdi serius. Saya selaku kawannya (Husam) kalau pun tidak dianggap sahabat telah menemui Amin serta meminta Amin merangka kertas kerja (proposal) untuk projek itu yang akan dijalankan secara usahasama antara Amin dan pihak Kerajaan Negeri.

Setelah Amin menyiapkan kertas kerja (proposal), perbicangan lanjut diadakan di rumah Amin di Putrajaya, bersama Husam yang turut dihadiri sama Ir. Fauzi Abdullah (Fauzi Air Kelantan), isteri dan seorang rakannya Mohd Bukhari. Mohd Bukhari ialah rakan baik Husam yang juga seorang penerbit buku-buku agama Islam di Bangi. (Bukhari ini adalah pemiutang saya di mana buku yang diambil tidak dibayar).

Turut sama hadir malam itu ialah Mohd Radzi Mustafa, seorang peguam, rakan saya yang juga rakan lama Husam semasa di Universiti Malaya.

Masih saya ingat makanan yang dihidangkan Amin malam itu ialah beriani dan roti nan dan ayam masak massala dan kari kambing muda.

Masing-masing berselera malam itu sampai Husam makan tiga keping roti nan bersama tiga ketul kambing dan seketul ayam, dua gelas fresh orange dan satu gelas susu kambing. Fauzi pula makan tiga keping roti nan bersama dua keping kambing dan dua ketul ayam, segelas fresh orange, secawan kopi dan setengah gelas susu kambing.

Bukhari pula makan lima keping roti nan bersama tujuh keping kambing dan dua ketul ayam, tiga gelas fresh orange dan dua cawan kopi. (penang 9: 25 am).

No comments: