Saturday, August 11, 2007

Isu Semasa

Kenapa Tidak Gimik Bergabung Dengan Umno?

MSO

"Bukankah keunggulan seseorang pemimpin itu apabila ia dapat menerapkan akal fikirnya dan pemikirannya itu pula diterima pakai oleh orang ramai!"
SASARAN (bagi saya cuma gimik) yang dilontarkan oleh seorang pemimpin tertinggi Pas untuk menawan sekurang-kurang 40 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang tampaknya termakan oleh Umno. Beberapa pemimpin Umno responsif kepada gimik berkenaan sambil memperkecilkan impian Pas.

Gimik itu juga memberi ruang dan dijadikan senjata oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk membalun Pas. BN barang kali berterima kasih kepada pemimpin Pas yang membuat gimik itu kerana memberi idea percuma kepada mereka untuk mengisi kolom-kolom kosong di ‘koran’ penjilat buntut Umno.

Ada yang mengatakan ianya angan-angan kosong dan angan-angan Mat Jenin yang tidak masuk akal. Tidak mengapa, biarlah pemimpin Umno bermadah gurindam begitu. Semoga ianya tidak akan melemahkan Pas. Lagipun kemenangan bagi Pas (perjuangan Islam) bukan mendapat kerusi, tetapi kematian – syahid!

Kenyataan pemimpin Umno itu selain untuk menyembunyikan kebimbangan, ia bertujuan untuk melemahkan semangat juang orang Pas. Anggaplah kenyataan itu sebagai suatu perang saraf. Orang Pas patut menyambutnya sebagai satu cabaran yang berkobar-kobar di dada.

Berangan

Apabila pemimpin Pas membuat gimik itu, orang Pas yang fanatik dan ekstrim pasti akan gembira. Ia memberi harapan dan jadikan gula-gula untuk berangan! Angka itu meloncat jauh (99.97%) berbanding dengan jumlah kerusi yang mereka ada hari ini, iaitu enam kerusi sahaja. Tetapi hakikat yang kena terima, sasaran itu masih kecil untuk Pas memerintah sendiri negara ini.

Sasaran itu meletakkan hanya 18.26% sahaja berbanding dengan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen 219 termasuk di Sabah dan Sarawak. Manakala berbanding dengan kerusi milik Umno gimik itu hanya 36.36% daripada 110 kerusi Parlimen yang dimiliki parti Melayu moden itu buat masa kini.

Walhal di dalam usaha untuk menumbangkan Kerajaan BN hari ini Pas perlu memecahkan kubu yang dibina oleh Umno. Kalau hanya itu (36.36%) yang Pas rasakan mampu (walaupun gimik), nampak dhaif sangatlah pemikiran orang yang membuat gimik itu. Kerana alang-alang bergimik biarlah meletakkan Pas kepada satu angan-angan mampu memerintah kerana ia tidak memerlukan apa-apa bayaran?

Gimik itu tidak ubahlah seperti budak kecil yang diberikan sayap di mana mereka hanya mahukan memetik buah kelapa saja sedangkan dengan sayap itu ia boleh melakukan perkara lebih besar daripada memetik buah kelapa umpamanya pergi ke bulan atau bintang.

Jelas dengan gimik kerusi sebanyak itu Pas masih jauh untuk membentuk kerajaan sendiri atau pun tidak confident mereka mampu untuk memerintah dan seterus melaksanakan hukum Islam di negara ini.

Kenapa Pas mensasarkan 40 kerusi sahaja yang bunyinya macam 40 penyamun dengan Ali Baba?

Peluang

Fikiran pemimpin Pas itu benar – realistik, tetapi ada usur penakut dan lemah diri di situ. Bahawa Pas meletakkan sasaran politiknya di negeri tertentu sahaja dan bukan untuk seluruh Malaysia. Sasaran demikian secara tidak langsung memberi peluang kepada musuh Pas untuk menempelak bahawa Pas pengecut.

Ia juga kontras dengan laungan Pas yang mahu menonjolkan diri sebagai parti sejagat dan bersifat dakwah di Malaysia. Apakah muslihat politik Pas dengan meletakkan sasaran itu bahawa Pas hanya akan kekal sebagai parti serpihan Melayu dan jauh daripada mendokong konsep sebenar Islam yang sejagat?

Atau apakah Pas mengakui kegagalan untuk mempengaruhi dan mengajak orang-orang Islam bukan dari kalangan Melayu berjuang bersama mereka bagi menegakkan hukum Allah? Atau pun Pas menerusi pemimpin berkenaan menyedari bahawa orang Islam bukan Melayu memahami dengan pendekatan yang diambilnya, merasakan Pas kini lebih kurang sama dengan Umno dan hanya dibezakan oleh istilah berbau Arab sahaja?

Sebenarnya pemikiran secara simplistik dan kerdil begitu digeserkan segera dari kepala orang Pas. Pemimpin yang membuat sasaran itu juga harus berfikir melampaui minda tokoh-tokoh Pas sebelum ini seperti mana didakwa pernah disunggutnya sebagai sempit dan tidak terbuka!

Pas harus yakin mereka mampu untuk menjadi kerajaan dan memimpin siasah negara ini. Bahkan Pas kena berfikir dan mencari jalan ke arah itu dengan sungguh-sungguh. Pas harus pragmatik di dalam soal ini dan anjal dalam strategi bagi meletakkan parti itu sebagai sebuah wadah bertanggungjawab kepada negara dan bangsa.

Meruntun

Tidak dinafikan Pas sudah lama berfikir dan meruntun parti-parti pembangkang bergabung bersama mereka untuk menentang BN. Itu semua ialah dalam proses untuk menukar kerajaan. Pas pernah bergabung dengan DAP dan bekas parti nasionalis Melayu (Semangat 46) dan juga mewujudkan jaringan dengan orang-orang bukan Islam khas masyarakat China.

Usaha itu dilihat sebagai dinamik dan pratikal sesuai dengan perjuangan Pas. Namun usaha itu masih belum mendapat rahmat bahkan di celah-celah usaha itu Pas persis dipermainkan, mengalami kerugian.

Majlis Perundingan China (CCC), misalnya yang pernah diwujudkan tidak membawa apa-apa bekas kepada Pas. Kini Pas mewujudkan pula kelab penyokong Pas di kalangan bukan Melayu dengan belanja ribuan ringgit dan pemberian imbuhan tanah kepada pengasasnya!

Usaha itu murni dalam niat Pas untuk mencapai sasaran menjadi kerajaan. Tetapi Pas harus juga berwaspada jangan terlalu mudah menerima apa saja proposal untuk membantu Pas sedangkan ianya ada udang di sebalik batu dengan proposal itu. Apa lagi setengah proposal yang baik ditinggal begitu saja di tengah jalan dan tanpa bertangungjawab ke atasnya oleh pemimpin yang bersikap kucing menimbus tahi!

Persoalan yang timbul sekarang, kalau sungguh Pas ingin menjadi kerajaan dengan mencari jalan penggabungan dengan mana-mana fraksi disebabkan partinya tidak akan berjaya mencapai kemenangan sendiri, kenapa Pas tidak membuka pintu hatinya untuk bergabung dengan Umno?

Rasanya jalan untuk bergabung dengan Umno lebih gampang dan munasabah bagi Pas daripada ianya semata-mata mencari jalan untuk bergabung dengan DAP dan badan-badan bukan Islam lain.

Umno dan Pas mempunyai banyak persamaan. Mereka adalah dari akar tunjang yang sama. Paling penting mereka didokong oleh bangsa yang menganut aqidah yang serupa. Bahkan Pas itu sendiri adalah serpihan daripada Umno. Apakah perbezaan pemikiran Pas dahulu yang meletakkan Pas dengan Umno seperti minyak dengan api perlu dikekalkan?

Pucuk pimpinan

Saya timbulkan ini kerana, Pas dengan Umno hari ini tidak banyak bezanya. Tanpa disedari sudah berlaku proses equalize Pas dengan Umno waktu ini.

Kalau diperhatikan kepada pendekatan, fikrah dan political game sesetengah pemimpin Pas yang digambarkan akan mengambil alih pucuk pimpinan sedikit masa lagi, hampir sama dengan Umno?

Bermula daripada bentuk pemikiran, costume, percakapan, gaya hidup dan muslihat didalam memenangi pilihan raya, mereka sama dengan Umno. Barangkali melampau kalau diperincikan tiap seorang daripada mereka.

Jadi kalau mereka sudah mempunyai persamaan, kenapa tidak ditarik tirai untuk membuka jambatan untuk 'menggabungkan' sahaja Pas dengan Umno?

Barangkali masih ada segelintir ahli Pas yang merasakan jijik untuk bergabung dengan Umno. Masih ada yang berfikiran Umno itu sebagai najis. Tetapi apa bezanya pula dengan DAP, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Apakah di dalam parti berkenana tidak ada najis 'mughallazah' dan 'mukhafafah' seperti mana yang ditafsirkan kamus politik Pas?

Sudah sampai masanya Pas perlu mengubah corak dan uslub politik yang realistik dan mengambil tanggungjawab bersama. Sekiranya Pas bergabung dengan Umno, setidak-tidaknya Pas dapat mempergunakan tenaga dan fikiran pemimpinnya untuk membangun agama, tanahair dan bangsa menerusi kabinet!

Banyak orang-orang berfikiran geliga, berpandangan jauh dan mempunyai keimanan dan semangat kenegeraan yang tebal didalam Pas. Kepakaran dan aset yang mereka miliki ini akan habis begitu sahaja kalau tidak dibandung dan dicarikan jalan bagaimana untuk mempergunakannya.

Justeru bagi saya, dengan meletakkan hasrat dan mencari jalan ke arah itu rasanya lebih baik daripada melantunkan gimik untuk menawan 40 kerusi Parlimen itu.

Dipulau

Saya juga yakin ramai di kalagan Pas bersetuju dengan pandangan ini cuma mereka segan dan takut untuk meluahkannya kerana bimbang akan dipulau. Kenapa kita harus takut dan malu untuk bercakap yang benar, kalau ianya menatijahkan perkara baik tidak ada dosanya.

Bukankah keunggulan seseorang pemimpin itu apabila ia dapat menerapkan akal fikirnya dan pemikirannya itu pula diterima pakai oleh orang ramai!

Dalam melaksanakan agenda ini baik Pas atau Umno keduanya harus berfikir untuk kepentingan bersama dan bukan kepentingan peribadi. Mereka bukan saja perlu takut kepada era globalisasi, tetapi harus takut juga ancaman kepada kuasa politik Melayu.

Sudah pasti jika berlaku penggabungan seperti itu menyebabkan kuasa politik (kuota) menjadi kecil. Dalam hal ini paling baik, Umno dan Pas jangan fikir soal pengaruh parti yang mengecil bila berlaku penggabungan itu, tetapi mereka harus memikirkan betapa perlunya pengaruh politik Melayu yang kuat untuk masa akan datang.

Hendaknya biarlah sasaran 40 kerusi ala-ala 40 penyamun yang dibuat oleh pemimpin tertinggi Pas itu hanya diterima pakai dalam beberapa kawasan Pas sahaja khasnya di sekitar pinggir Lautan China Selatan! [11/08/07 wmkl]

No comments: