Friday, October 19, 2007

Catatan Aidifitri 07 (3)

Pusara Nurin Yang Sepi dan Bunga-bungaan Kelayuan

MSO

LEWAT senja semalam sementara menunggu beberapa orang kawan datang untuk minum di restoran mamak di Taman Ibu Kota, Setapak saya mengambil peluang untuk menjenguk pusara Nurin Jazlin Jazimin yang terletak kira-kira setengah kilometer dari restoran berkenaan.

Semasa hari pengembumian jenazahnya 21 September lalu saya tidak berkesempatan untuk hadir dan merakam gambar sebagai kenangan. Jumaat hari jasad Nurin masuk ke perut bumi saya sedikit keletihan dan kebetulan pula kawan yang diminta jemput lambat tiba. Jadi saya terlepas peluang memberi penghormatan terakhir kepada anak suci itu dan menghantar pemergian Nurin ke Syurga itu dengan iringan doa saja.















Senja semalam persekitaran kubur Taman Ibu Kota itu lapang dan tenang. Pemandangan sebegitu biasa di sesebuah perkuburan. Suasananya harmoni dan sejuk, seolah semua roh-roh milik jasad bersemadi di situ berada dalam keadaan tenang dan aman sedang bertasbeh untuk kesejahteraan dunia dan untuk kita yang masih hidup bersama ribuan malaikat!

Nun.. jauh di sudut berdekatan sebuah wakaf, di sebalik rumpunan pohon pisang di situlah terletaknya pusara kecil di mana di dalamnya tersemadi jasad Nurin Jazlin. Pusara itu masih baru dan tanahnya masih merah, namun sudah ada belindang yang menyerukupi pusara berkenaan. Belindang kayu berkualiti itu seakan memeluk sayang Nurin yang 'trauma' dengan apa yang berlaku ke atasnya dan mengawasi agar tidak ada syaitan mengangguinya lagi.

Di atas pusara itu terpacak sebatang kayu tertempel kertas yang tertulis perkataan "Tempat Persemadian Adik Nurin Jazlin" bertulisan dengan dakwat merah dan secebis kertas usang. Sebaik kaki menjejak di situ saya jadi terkaku seketika kemudian membaca al-Fatihah dan beberapa kerat ayat-ayat Quran beberapa kali.

Kembang riang

Hati terus jadi tersayap melihat persekitaran kubur Nurin. Bunga-bunga yang dipacak di atas pusara itu yang dibawa oleh mereka yang menyayangi dan simpati kepadanya masih ada yang kembang riang seolah-olah memberitahu Nurin aman dan damai saja. Namun sudah ada juga kuntum yang mula kuncup dan keguguran satu persatu mencium dada pusaranya.

Sebiji bekas air yang terletak di tepi nisan sebelah kiri yang dalam keadaan terbalik seolah memberi gambaran objek itu juga turut berdukacita atas apa yang berlaku. Tumpahan air dalam bekasan itu memberi tanda betapa objek tidak bernyawa itu turut bersimpati kepada Nurin dan lebih berhati perut daripada bajingan yang membunuh dan memperkosa Nurin.

Selepas menghabiskan masa kira-kira 15 mjnit saya beredar dari situ. Berat kaki untuk meninggalkan pusara kecil itu. Sambil berjalan saya terus memaling ke arahnya dan terasa berat sekali untuk melangkah meninggalkan Nurin bersendirian! Tiba-tiba air mata luruh setitik demi setitik tatkala semacam mendengar rengitan Nurin yang memohon agar bajingan yang bertanggungjawab ke atasnya dihukum secepat mungkin.

Iya, hari ini sudah hampir sebulan jasad Nurin yang kaku ditemui di dalam sebuah beg pakaian itu dan disemadikan, namun orang bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu masih belum berjaya diberkas. Walaupun sudah ada beberapa tangkapan dibuat sebelum ini, namun ia gagal untuk memberkas siapakah pelaku sebenarnya.

Sebelum keluar dan menutup pintu kecil perkuburan itu, tidak semena-mena perasaan marah kepada polis menyelinap ke dalam diri apabila mengenangkan mereka lambat atau pun gagal mengesan segera pembunuh murid Sekolah Kebangsaan Desa Setapak itu.

Sepanjang pulang saya bertanya sendiri kenapa polis menjadi begitu bijak menyelesaikan sesuatu kes pembunuhan dan kenapa pula kadang-kadang sukar untuk mengusaikan sesuatu pembunuhan kejam seperti mana berlaku ke atas Nurin Jazlin! [wm.kl 12:55 19/10/17]

No comments: