Tuesday, October 9, 2007

Rencana Khas

SPR Perlu Kenal Pasti:
Kenapa 4 Juta Tidak Daftar Sebagai Pengundi

MSO

JUMLAH 4 juta warga negara ini kebanyakan Melayu berasal dari bandar yang layak mendaftar sebagai pemilih tetapi tidak berbuat demikian adalah satu angka yang besar dan ia suatu kerugian kepada bangsa Melayu.

Kalau berdasarkan jumlah pengundi pada tahun 2004, terdapat beberapa buah negeri yang jumlah pengundinya kurang sejuta. Misalnya jumlah pengundi Kelantan, 662,722, Terengganu, 455,924, Pahang 570,126, Perlis 122,482 dan Kedah 821,901.

Kesemua pengundi di empat negeri berkenaan belum melebihi 4 juta, ia baru berjumlah 2,623,155. Ini bermakna sekiranya 4 juta yang tidak daftar itu semuanya berdaftar di negeri-negeri berkenaan, dan kebetulan pula mereka menolak BN, bermakna negeri-negeri itu akan terlepas kepada pembangkang dengan mudah.

Hakikat jumlah itu bukan kecil, ia menyumbangkan kira-kira lebih 39.22% daripada kesemua jumlah pengundi yang layak mengundi pada masa ini iaitu kira-kira sebanyak 10.2 juta.

Daftar diri

Megapa berlaku demikian? Apakah sudah wujud ketidakpercayaan di kalangan generasi muda (rakyat negara ini) terhadap pilihan raya di negara ini? Atau mereka tidak mendapat maklumat dan pengetahuan betapa pentingnya mereka mendaftarkan diri untuk menjadi pemilih dalam sebuah negara demokrasi?

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (foto) tidak memberi jawaban kepada permasalahan itu ketika mengumumkan angka berkenaan, sebaliknya menjelaskan kebanyakan mereka yang tinggal di bandar dan terdiri daripada kalangan Melayu. Beliau juga menyebut tidak ada langkah untuk mewajibkan mereka yang cukup umur untuk mendaftar sebagai pengundi kerana ia mungkin akan membawa kepada impak mewajibkan pengundian pula.

Apabila bilangan mereka kebanyakannya di bandar ini bermakna mereka itu berpelajaran dan mustahil tidak tahu akan kepentingan dan hak-hak mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Dan amatlah mustahil kalau mereka tidak pernah tahu bahawa sistem pemerintah negara ini dibentuk secara demorkasi berparlimen di mana wakilnya dipilih oleh rakyat dan mereka dialu-alukan agar mengambil bahagian.

Dan tidak mungkin mereka tidak tahu peranan dan fungsi sebagai pemilihan serta kewajiban mereka sebagai warganegara dalam menentukan masa depan negaranya sendiri.

Kalau hal-hal demikian berlaku kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman di Kuala Betis, Gua Musang ataupun di Ulu Tembeling, Pahang yang miskin maklumat ia ada munasabahnya. Ironisnya Orang Asli hari ini semuanya sudah didaftar dan tahu menggunakan hak mereka dalam pilihan raya.

Disebabkan angka itu besar dan merugikan kuasa penentu Melayu amatlah wajar kalau SPR dan parti-parti politik membuat kajian mengenal pasti untuk mengatasi fenomena yang ganjil dan anih itu. Tidak seharusnya mereka dibiarkan begitu saja tanpa memberi penerangan dan kempen kepada mereka.

Sebab dan faktornya perlu dicari kenapa mereka liat untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih dan seolah merasakan pilihan raya tidak penting dalam hidup mereka. Yang pastinya ada sebab dan hambatan mengapa mereka bersikap demikian. Tidak mungkin mereka saja-saja melupai kewajiban yang dimaktubkan dalam perlembagaan itu.

Generasi muda

Di sini jika di telitikan secara umum kepada perkembangan dan suasana demokrasi di negara ini mungkin ia menjadi penyebabkan kepada sikap 4 juta warganegara yang berhak menjadi pemilih yang kebanyakannya generasi muda yang lahir selepas 15 atau 20 tahun merdeka. Antara faktornya yang memungkinkan ialah;

1. Merasakan mereka tidak penting dalam proses pemilihan pemimpin dan pembentukan Kerajaan hari dan menganggap proses itu adalah urusan orang dewasa.

Mungkin golongan ini merasakan mereka tidak penting dan urusan mentadbir negara adalah kerja orang dewasa. Sikap ini timbul kerana mereka kurang faham dengan tata cara sesebuah negara demorkasi dan proses pemilihan pemimpin.

Mereka mungkin beranggapan mereka tidak berhak kerana tidak menyertai parti politik. Ramai anak muda hari ini tidak berminat atau mengambil hirau kepada politik. Realiti kehidupan liberal dan mereka lebih kepada hiburan serta tidak mahu terikat dengan hala tujuan sesebuah parti politik atau pertubuhan menyebabkan mereka tidak minat untuk berpersatuan ataupun bersiasah yang natijahnya menyebabkan mereka buta mengenai politik dan kepentingannya kepada bangsa dan negara.

Apabila mereka tidak menyertai mana-mana pertubuhan atau organisasi politik yang bakal memandukan kehidupan mereka menyebabkan mereka jadi tawar hati atau kurang minat kepada politik di mana kesannya menyebabkan mereka tidak mahu mendaftarkan diri untuk menjadi pemilih.

2. Berfikiran tanpa mereka pilihan raya tetap berjalan dengan baik dan negara masih selamat.

Kerana kurang tanggungjawab dan memahami kepentingan demokrasi menyebabkan mereka merasakan tanpa mereka pilihan raya mampu berjalan lancar dan tidak pincang kerana mereka.
Satu kesalahan

Mereka juga merasa tidak terbeban ataupun bimbang kalau tidak mengundi kerana ia tidak menjadi satu kesalahan sehinggakan dihukum.

Kenapa timbul fikiran demikian kerana mereka tidak tahu betapa pentingnya kuasa undi yang ada kepada mereka. Dengan satu undi mereka akan menentukan ke arah mana negara hendak dibawa dan siapa bakal memimpin mereka.

Golong yang berfikiran seperti ini, bersikap individualistik mereka tidak kisah ke mana negara mereka hendak dibawa dan golongan atau parti mana yang mentadbir negara.

3. Berpendapat kalau mereka menyertai pilihan raya ia tidak akan memberi apa-apa kesan dan berlaku apa-apa perubahan.

Mereka berfikiran begini kerana menyedari bahawa demokrasi di negara ini tidak adil, penuh penipuan dan tidak telus. Betapa kalau mereka bersungguh disebabkan parti pemerintah mempunyai peluang dan ruang untuk memanipulasikan pilihan raya, menyebabkan pembangkang tidak akan ke mana. Bagi mereka menyertai pilihan raya yang sebegini merugikan masa sahaja.

Itulah antara tiga faktor dirasakan kenapa golongan muda tidak mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Seperti mana dijelaskan tadi, mereka tidak boleh dibiarkan begitu saja. Mesti ada usaha untuk membawa mereka ke pusat-pusat pengundian. Hak dan kewajiban yang ada kepada mereka cukup penting dan perlu dihormati dan dimanfaatkan.

Seperti mana saran SPR agar parti-parti politik hendaklah berganding bahu memberi penerangan dan mengajak mereka agar mendaftarkan diri sebagai pemilih, tidak boleh dipandang enteng.

Selain daripada itu, dan ini penting, SPR hendaklah menyakinkan kepada mereka bahawa proses pilihan raya dan demokrasi negara ini cukup penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan sistem pemerintah negara ini.

Merugikan masa

SPR kena yakinkan proses itu berjalan dengan telus dan adil sehinggakan tanggapan kononnya menyertai pilihan raya sebagai formaliti sahaja merugikan masa tidak wujud dalam minda mereka. Dan sekiranya ada cacat cela dalam proses pilihan raya itu jelas, SPR hendaklah berusaha mengatasinya sehinggakan ia menyakinkan orang ramai bahawa SPR bertindak adil dan saksama sejajar dengan peranan dan tangungjawabnya selaku sebuah suruhanjaya bebas.

Sekiranya langkah dan pendekatan itu diambil, sudah pasti ia akan memberi kesedaran kepada generasi muda untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih. Mereka akan merasa bahawa undi yang ada kepada mereka penting bagi menentu dan mencorakkan masa depan mereka sendiri.

Lebih pentingnya mereka akan tidak merasakan penyertaan mereka dalam pilihan raya sebagai sia-sia dan membuang masa saja disebabkan kewujudan kepincangan di dalam institusi itu selama ini yang sedikit sebanyak mungkin menjadi penyebab kenapa mereka enggan menyertai pilihan raya. [wm.kl 11:30 08/10/07]

No comments: