Tuesday, October 2, 2007

Ulasan Berita

Tak Payahlah Bawa Tok Guru ke Padang Bola

BETAPA Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat masih diperlukan lagi untuk menjamin kerajaan Pas Kelantan teguh dan kekal selepas pilhan raya umum akan datang. Semua orang dan pihak nampaknya bergantung kepada Nik Aziz. Seolah-olah kuasa dan pamor Pas terletak ditangan Nik Aziz seorang. Hilang Nik Aziz maka akan hilanglah Pas!

Fenomena yang pernah menimpa Datuk Mohd Asri Muda dulu nampaknya kembali menimpa Nik Aziz. Orang Pas Kelatan memiliki cermin sama untuk melihat masa depan mereka walaupun tahun sudah banyak berganjak. Di zaman kegemilangan dan keagungan Asri dulu orang beranggapan Asri itu Pas dan Pas itu Asri.

Sehinggakan ada orang menjangka Pas Kelantan akan berkubur apabila Asri tidak ada kelak. Banyak yang bimbang keadaan itu. Begitulah hebat dan agungnya Asri sehingga orang meletakkan dirinya sinonimas dengan Pas.

Mudah mati

Tetapi ternyata selepas ketiadaan Asri, Pas masih juga terus kekal bahkan berjaya lebih daripada apa yang dicapainya. Percayalah Pas tidak akan mati dan mudah ‘mati’ seperti mana pneyokongnya. Sudah berapa ratus pemimpin Pas telah meninggalkan parti itu namun Pas tetap subur. Perjuangan bertunjangkan akidah tidak akan mati!

Begitulah juga yang berlaku hari ini. Seolah Pas Kelantan itu Nik Aziz dan Nik Aziz itu Pas.
Walhal Nik Aziz sendiri pernah berpesan bahawa Pas itu lebih besar daripada pengaruh peribadi seseorang. Pas adalah sebuah perjuangan yang perlu teruskan sebab ia adalah tuntutan perjuangan - jihad. Kekuatan Pas bukan terletak kepda Nik Aziz, tetapi kepada kekuatan iman dan semangat juang ahlinya.

Pas Kelantan seharusnya membebaskan diri daripada paradigma ini. Mereka jangan sesekali berfikir Pas akan mati atau lemah tanpa Nik Aziz. Sebaliknya orang Pas kena pasakkan di jiwa dan di kepala mereka Pas akan menjadi semakin kuat walaupun Ton Guru tidak ada lagi. Pengaruh, kekuatan dan semangat serta roh Pas harus ada pada setiap orang yang menyintai Pas sebagai wadah Islam.

Saya iseng mengungkitkan ini kerana membaca laporan Bernama Kerajaan Kelantan menawarkan Nik Aziz untuk jadi Presiden Bola Sepak Kelantan (Kafa). Alasan tawaran itu ialah MB itu akan dapat memulihkan persatuan boleh sepak itu yang keadaan nazak ketika ini.

Tidak jadi masalah kalau Nik Aziz jadi Presiden bola sepak. MB lain juga ada yang jadi presiden bola sepak. Tetapi harus ingat karektor dan ilmu beliau tidak sesuai untuk dijadikan ketua kepada sebuah persatuan sukan. Seolah-olah orang yang mencadangkan atau membuat tawaran itu tidak faham kedudukan dan martabat Tok Guru itu.

Memanglah Tok Guru tidak mengharamkan bola sepak. Dan Tok Guru ini kalau suruh jadi apapun, dia akan sanggup. Itulah Tok Guru baik dan mulianya. Tenguk dulu masa sibuk nak gunakan aura Mawi bagi menguatkan Pas Kelantan, beliau terima dengan senang hati walaupun di hujungnya kehadiran Mawi itu memberi impak negatif kepada Pas Kelantan sendiri.

Kena turun

Pada hemat saya cara nak serahkan jawatan Presiden Kafa itu sebagai hendak menyusahkan Tok Guru sahaja, bukan ianya satu penghormatan. Sudah tentu kalau sudah jadi Presiden kelak sesekali kena turun ke stadium ataupun menghadiri mesyuarat FAM, ataupun akan ditawar untuk ke Bacelona, Milan, Brazil dan sebagainya.

Orang yang membuat cadangan itu, (Takiyuddin Hassan) perlulah waras dan melihat suasananya. Kalaupun tidak ada wang, janganlah cuba menyusahkan Tok Guru untuk turun ke stadium menendang bola atau berdoa untuk kemenangan skuad Kelantan. Rasanya tidak mahu lagi melihat poster Tok Guru yang dalam berbagai versi yang memenuhi Kota Bharu kini ditambah pula dengan Tok Guru sedang berdoa di stadium untuk kemenangan pasukan Kelantan.

Masih banyak lagi cara untuk bantu tabung Kafa Kelantan. Misalnya minta derma macam Pas minta derma untuk tabung pilihan raya! Paling afdal ialah mencari seorang yang berkemampuan untuk mendapatkan kewangan kepada Kafa.

Dalam hal ini saya nampak ada seorang manusia yang cukup geliga otaknya yang dapat mencari wang untuk membantu Kafa. Dia sangat sesuai untuk jadi Presiden Kafa berbanding dengan Tok Guru. Bahkan saya rasa kalau diadakan pemilihan antara orang ini dengan Tok Guru pun, dia akan menang dan akan dipilih berdasarkan track rekodnya.

Orang yang saya maksudkan ialah si baju merah petak-petak. Tawar saja jawatan itu kepadanya. Dia sudah pun menunjukkan kemampuan dalam berbagai bidang khasnya ekonomi di Kelantan. Dia cukup pintar dalam hal kewangan ini, lagi pun dia begitu berminat untuk memegang apa juga jawatan dan suka membawa pembaharuan di Kelantan.

Cukup besar

Lagi pun orang baju merah petak-petak itu memegang potfolio yang mewah dan boleh dijanakan untuk menjadi duit. Selain itu beliau juga menjadi ahli jawatankuasa Perhutanan dan Tanah Negeri Kelantan di mana kuasa yang ada ini cukup besar yang boleh dieksploitasikan untuk menjana kewangan seberapa banyak yang dimahui!

Dengan kedudukan itu tahulah si baju merah petak-petak bagaimana hendak mendapatkan wang bagi ditabungkan ke dalam akaun Kafa. Kejayaan sebelum ini memperkenal berbagai program kebajikan dan program komersial Kelantan membuktikan kemampuan dan kepintarannya dalam soal kewangan.

Serahkan atau tawarkan saja jawatan itu kepadanya.

Saya cukup yakin kalau Takiyuddin membuka mulut atau datang berjumpa dengannya dia akan terima. Lagipun mereka adalah seperti adik beradik. Si baju merah petak-petak pernah menjadi ketua Takiyuddin semasa dalam Dewan Pemuda Pas dulu.

Inilah juga masanya untuk mereka bedua duduk bersama semula setelah kini agak renggang kerana masing-masing cemburu hati. Kalau ini jadi kenyataan, orang baju merah petak-petak jadi Presiden sudah tentu bila ada perlawanan bola, Takyiuddin akan dapat duduk dekat sepanjang masa dengannya dan bolehlah menyambung semula persahabatan yang hampir putus itu.

Bagi hamba yang fakir lagi hina ini, kalau ini menjadi kenyataan ia akan membawa untung berlapis. Pasukan bolah sepak Kelantan akan kuat, persahabatan mereka berdua pun akan kembali padu semula. Kekuatan dan jalinan kedua mereka sedikit sebanyak akan menjadi pemangkin kepada kemenangan Pas dalam pilihan raya akan datang. [kb.6:45 02/10/07]

No comments: