Monday, November 19, 2007

Di Perjalanan

Tok Guruku Nik Aziz Dari Kaca Mata Siva Subramaniam

MSO

DARI jauh saya sudah nampak dia berjalan ke arah saya. Dia tersenyum. Dalam hati terfikir, mesti dia kenal aku? Mati-mati saya ingat dia tokoh DAP. P Patto atau V David? Itulah dua nama yang terlintas dalam fikiran. Wajahnya familiar sekali selalu muncul di skrin tv. Siapa?

"Apa khabar Datuk?" tembak saya. "Nak balik Penang ke?" acah memancing nak tahu ke mana dan siapa dia sebenarnya.

Dia terus duduk dekat dengan saya kemudian ketika di atas ekspres ERL dudu berhadapan pula. Semacam juga dia mengenali saya. "Ya..." dia jawab. Jawaban yang saya tidak pasti ke mana dan siapa dia sebenarnya. Dalam kepala terus mencari dan menanyai diri sendiri. Ah.. alangkah bodohnya aku, orang sehebat itu tidak dikenali.

Fikiran memang gelap. Agenda di Kota Bharu menenggelamkan akal fikir. Sebenarnya petang semalam (18 November) saya tergesa-gesa pulang ke Kota Bharu kerana sesuatu urusan yang perlu disegerakan!

"Macam mana Penang?" saya terus memancing untuk mengenalinya. "Saya ingat Penang akan dapat kali ini?" (Dapat ke DAP).

Menjadi keliru

Dia menggeleng kepala dan tersenyum sinis. Tidak segera menjawab. Saya menjadi keliru dan kesal sendiri, pancingan saya meleset. Siapa dia ini? V David atau P Patto. P Patto sudah meninggal. Jadi ini V David? Tetapi apakah V David bertanding di Penang. Mungkin? Saya bermonolog sendiri.

"Saya rasa kali ini Penang jatuh kepada DAP?" acah saya lebih berterus terang.

"Susah juga. Selalu macam itu, tetapi bila dekat dan saat-saat akhir, BN juga menang. Orang Cina susah nak teka politiknya. Mereka pandai!" katanya sependapat dan sama dengan analisa saya mengenai politik kaum Cina. Kata-kata itu menguatkan saya bahawa dia orang DAP. Namun siapa?

"Nak ke mana?" giliran dia pula menanyai saya.
"Kelantan..." balas saya.
"Selalu ke balik Kelantan?" tanyanya lagi, semacam sudah mengenali saya orang Kelantan.
"Selalu juga, mak ada sana. Sekali sebulan mesti kena balik, tengok mak?"

Saya terus tertanya sendiri. Mahu mengenali siapa dia ini. Dia pula cukup mesra menjadikan saya resah dan serba salah sendiri. Di baju t-shirtnya saya nampak ada sisa kuah kari, mungkin dia baru lepas makan. Sementara di tangkai begnya pula tertambat kain perca warna kuning sebagai penanda, macam orang kampung nak ke Makkah. Gambaran itu menunjukkan dia seorang yang low profail dan humble.

"Kelantan di mana?" tanya dia lagi.

"Rantau Panjang, dekat Golok!" balas saya.

"Saya fikir Kelantan masih lagi Tok Gurulah, susah Umno nak ambil?" tiba-tiba terlucut kata-kata itu daripada mulutnya sebagai melanjutkan persoalan saya mengenai Penang tadi. Dia sudah faham apa yang saya maksudkan tadi.

"Saya fikir kalau lagi Tok Guru ada susah orang Umno nak ambil Kelantan. Tok Guru cukup baik, akhlaknya cukup tinggi. Saya sungguh tertarik kepadanya," sambungnya lagi.

Meremang bulu roma saya bila dia sebut perkataan akhlak dan nama Tok Guruku serta memberi pandangannya Kelantan akan dapat dirangkul oleh Pas lagi. Kata-kata itu menjadi saya makin ingin mengenalinya.

"Saya ada pergi ke Kelantan baru-baru ini, saya tidak sangka Tok Guru mari jumpa saya. Dia sangat humble..." katanya lagi. Kali ini kata-kata itu mengurangkan persoalan saya mengenai dirinya. Tentu dia bukan orang DAP... kerana kalau dia orang DAP masakan dia pergi ke Kelantan untuk jumpa Tok Guruku. Namun siapa gerangannya?

"Memang Tok Guru ada pengaruh peribadi, tetapi .... sayang tidak ramai orang macam dia di Kelantan. Tidak jadi macam dia...," saya menambah sambil menduga akal politiknya.

Tidak tinggal agama

"Iya.... tetapi Tok Guru cukup baik, saya cukup senang dengannya. Dia berfikiran liberal, tidak fantik dan modern. Tetapi dia benar-benar berpegang kepada agamanya. Dia berpolitik tetapi tidak tinggal agama. Saya sangat suka caranya," ulasnya serius.

Bulu roma saya terus meremang mendengar itu. Dia memuji Menteri Besar Kelantan itu seperti penyokong fanatik Pas dari Kuala Krai atau Jeli.

"Kita tidak boleh main politik ikut sentimen. Kita kena terima realiti. Sebab itu saya selalu ingatkan orang agar kita kena terima realiti," dia mengalih kepada topik dan mendedahkan pemikiran politiknya.

"Itu hari himpunan rakyat saya rasa tidak bagus, tidak elok....orang jadi takut dan lihat negara kita sebagai ganas," katanya. Teka teki saya mulai hampir terjawab dan sekaligus terasa 'ugah' dengan kata-kata itu. Kalau dia orang DAP atau parti pembangkang dia tidak akan berkata begitu. Teringat saya semasa penyerahan memorandum kepada wakil Yang di-Pertuan Agong saya ternampak sama muka Lim Kit Siang. Bermakna himpunan itu disokong oleh DAP. Jadi masakan si tokoh ini orang DAP?

"Masa himpunan hari itu saya ada di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Depan mata saya sendiri, ada yang jerit marahkan polis, itu tidak boleh...," katanya. "Polis cukup timbang rasa hari itu," sambungnya menjadikan saya semakin yakin yang dia bukan orang parti.

"Tapi Pak Lah patut beri permit!" kata saya mahu memancingnya lagi.
Dia terdiam dan sedikit tergaman sekejap, terasa semacam kurang enak dengan kata-kata saya itu. "Apa Pak Lah perlu takut," kata saya.

Um....um... dia hanya mengangguk tidak mahu menjawab atau mengomen kata-kata saya itu.
"Tetapi saya ingat pilihan raya akan cepat diadakan, Pak Lah tidak berani tunggu lama-lama kerana boleh membahayakan kepada dia," setelah berberapa detik jadi diam, dia menyuarakan ramalan itu.

"Ini kes klik video Linggam sungguh menekan Pak Lah. Jadi dia kena cepatkan sikit. Lagipun kalau tunggu lama-lama Anwar akan bebas (boleh bertanding) lagi teruk Pak Lah," sambungnya lagi. Kata-kata ini menyebabkan saya keliru dengan tokoh ini. Tetapi yang sudah jelas dia bukan orang DAP.

Ketika ekspress ERL hampir sampai ke stesen saya tidak dapat mengagak siapa dia, cuma merasakan dia bukan orang tokoh parti politik. Setelah ekspres yang membawa kami benar-benar hendak berhenti di KLIA, barulah teka teki siapa dia terjawab apabila dia menghulurkan kad namanya kepada saya. Segera itu juga wajah dan nama yang pernah saya tulis dan kenal itu bangun dalam diri saya dan saya begitu terkilan kerana sepanjang bercakap dengannya selama hampir 30 minit saya tidak kenalnya secara pasti. Ah tololnya aku.

Pun saya merasa bangga ketika berjabat tangan denganya; pertama, kerana dia melayani dan mengenali saya serta membaca buku tulisan saya. Kedua kerana dia memahami dan memuji cara Tok Guru Nik Aziz berpolitik. Tokoh atau dia yang ku temui itu ialah Datuk Siva Subramanian a/l Nagaratnam, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) (foto atas). [wm.kl. 11"45 pm 19/11/07]

No comments: