Thursday, November 29, 2007

Ulasan Berita

Persetankan dakwaan orang
Tidak Perlu Gentar Kalau Kita Benar!

MSO

KALAU kita memahami dan menerima apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan Kelantan sebelum ini, bahawa mereka telus dan tidak pernah takut kepada siasatan BPR kerana percaya mereka jujur, tidak menyeleweng wang rakyat dan kerajaan, Pas dan sesiapa juga di Kelantan tidak perlu menggeletar atau berpeluh dingin dengan apa yang dilakukan oleh dua Adun BN semalam.

Laporan mengenai berlaku penyelewengan dan rasuah dalam sembilan isu seperti mana didakwa Adun Bukit Bunga, Adhan Kechik dan Adun Paloh, Nazula Mat Diah tidak perlu dijadikan tulang yang tersangkut di anak lidah oleh kita semua.

Membuat laporan kepada BPR adalah tugas dan tanggungjawab mereka. Laporan itu juga sebahagian dari tektik dan strategi BN dalam rangka merampas Kelantan. Kerja itu lumrah dalam kancah siasah. Bagi BN mereka mengira kalau BPR membuat siasatan ke atas wakil rakyat Pas, ia memberi keuntungan kepada mereka.

Apa yang orang Umno hendak tenguk dan ingin sampaikan kepada rakyat bahawa wakil rakyat Pas juga kena siasat kepada BPR bukan saja di belah mereka. Dalam konteks di Kelantan itu apa yang dapat disuluh anak Musa Umno itu mahu melihat bahawa anak Musa Pas juga turut disiasat BPR dan bukan saja dia.

Orang Pas dan pemimpinnya kena memahami tektik dan strategi ini. Perkara yang perlu diketahui juga ialah bukan bermakna laporan itu menunjukkan seseorang itu ada kes dengan permasalahan yang dilaporkan itu. Samada ada kes atau tidak ialah mahkamah menentukannya.

BPR sendiri tidak dapat menentukan salah atau tidak, benar atau beluk, badan itu sekadar menjalankan siasatan itu pun terbatas kepada peruntukan undang-undang yang ada kepadanya.

Ada kalanya pada pandangan umum seseorang itu benar-benar telah melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, namun kerana bukti tidak dapat ditunjukkan oleh BPR kepada mahkamah, maka orang itu lepas dan dibebaskan. Setiap apa yang dilepaskan oleh mahkamah ia hendaklah diterima sebagai orang yang disyaki itu bersih.

Penyalahgunaan kuasa

Seperti mana dakwaan dua Adun Umno itu penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa telah berlaku dalam sembilan kes atau isu. Kesemuanya nampak terarah kepada Exco Kanan Kerajaan Kelantan bernama Husam Musa.

Dalam sembilan isu itu ada empat isu atau perkara yang hangat dan dibangkitkan sejak kebelakangan ini di Kelantan. Ia sudah pun dijaja ke merata tempat oleh mereka yang tidak mahu melihat Pas terus menguasai Kelantan. Isu itu ialah mengenai Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd, isu ternakan kambing Jamnapari, isu pemberian balak dan isu tanah.

Meneliti dan memahami maksud laporan BN itu ia semacam mahu menyerang Exco berkenaan tanpa mengusik lain-lain Exco. Ini juga tidak sukar untuk difahami kerana orang paling kuat bekerja untuk menjamin Kelantan menang ialah Exco berkenaan sehingga ada setengah kerja-kerja dilakukan tidak masuk akal.

Saya percaya dalam hal ini Exco berkenaan tidak mengelabah dan dapat berkerja dengan baik. Beliau terkenal sebagai seorang yang amanah, tepat pada janji dan bertanggungjawab kepada kerja dan tugasnya, tidak mungkin melakukan itu semua. Quran dan tasbeh senantiasa berada digenggaman.

Beliau juga seorang yang mempertahankan hak dan harta rakyat. Belum ada rekod yang beliau membaham atau mengodam harta rakyat. Bahkan kalau ada sesiapa yang berniat hendak makan harta rakyat dihadapinya dengan penuh kejantanan tidak kira siapa. Beliau juga tidak pernah membantu rakyatnya secara menyalahgunakan kuasa! Tidak pernah membantu adik beradiknya mendapat kawasan balak atau secomping tanah.

Berdasarkan latar hidup beliau itu tuduhan dakwaan seperti mana dua Adun BN lalukan itu tidak tersaul dek akal sama sekali dan ia berbau fitnah.

Bagaimanapun di sini saya tidak mahu mengulas satu persatu mengenai tuduhan seperti dilaporkan itu bimbang menganggu siasatan. Cuma apa yang hendak ditegaskan, BPR adalah badan bebas dan bukan menjalankan kerja menurut telunjuk orang tertentu.

Walaupun MB Kelantan senantisa membuka pintu kerajaannya kepada BPR dan Exco Kelantan mengatakan mereka tidak gentar dengan siasatan, namun itu bukan kesudahannya. BPR tidak akan menyiasat selagi tidak ada bukti-bukti jelas. BPR tidak akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan laporan kering melainkan ada orang tampil memberi maklumat dan bukti tambahan dari masa ke semasa.

Mengenai laporan BN kononnya Exco Kanan itu terlibat dengan penyelewengan kita jangan mudah panik dan mudah pula menolaknya sebagai satu gertakan semata-mata, sebaliknya sama-sama kita tunggu kesudahaanya. Setiap yang bermula itu akan ada kesudahan! Hujan pasti 'serek' (berhenti). Tetapi sebagai seorang mukmin kita dituntut berdoa dan memohon kepada Allah.

Tidak ada manusia yang boleh membantu dan dijadikan pergantungan hidup oleh manusia lain, melainkan ia bergantung kepada Allah semata-mata. Begitu juga manusia tidak boleh menganggap dia sudah besar dan berkuasa dengan kuasa yang dipinjamkan sekejap oleh Ilahi. Maka berdoalah kita sekarang...[wm.kl 9:30 am 29/11/07]

No comments: