Wednesday, December 31, 2008

Suara Pagi

Pewaris Perlu Bersopan Santun

KENYATAAN Timbalan Pengerusi Majlis Permaufakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun kononnya Pas bersikap pilih kasih kerana tidak mempedulikan usaha mereka untuk mengenengahkan masalah penduduk Melayu dan Islam, Masjid Tanah Melaka yang dicemari babi kurang tepat dan mengelirukan. Semacam kenyataan itu mahu memburukkan Pas saja. (Sila rujuk akhbar kroni hari ini ms 15).

Rahimuddin kesal kerana Pas boleh menyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan tidak menyokong usaha mereka untuk membela nasib penduduk Melayu dan Islam di Melaka. Anggapan itu rasanya terlalu emosi dan tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat 'akulah hero'.

Tanggapan ini timbul apabila para petugas Pas menghalang kehadiran rombongan Pewaris ke majlis Malam Himpunan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anajuran Gerakan Memansuhkan ISA (GMI) di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi malam kelmarin untuk menyerahkan memorandum. Majlis itu dihadiri sama Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Jika diperhatikan senario yang berlaku Pewaris tidak boleh salahkan Pas. Cara Pewaris hendak menyerahkan memorandum bantahan itu tidak kena pada tempatnya. Pewaris bukan sepatutnya menyerahkan memorandum itu di tempat itu sebaiknya patut datang ke pejabat agung Pas di Jalan Raja Laut di mana di situlah tempat rasmi pemimpin tertinggi Pas berada. Ia harus dilakukan secara profesional.

Kedatangan Pewaris ke majlis itu seakan menganggu majlis berkenaan dan wajar kalau Unit Amal Pas menghalang mereka. Peristiwa sebelum ini mungkin menjadi pengajaran. Sekurang-kurang telah dua kali berlaku keadaan tidak menyenangkan sebelum ini yang melibatkan Pewaris.

Pewaris adalah golongan yang mahukan ISA dikekalkan manakala majlis itu dianjurkan oleh GMI yang menentang ISA. Jadi sangatlah tidak elok kalau Pewaris memasuki majlis berkenaan. Apa yang dilakukan Pewaris itu boleh dianggap menceroboh. Cara Pewaris itu seakan samseng dan tidak menggambarkan golongan Pewaris yang sepatutnya mewarisi sifat-sifat mulia, berhemah dan sopan santun cara orang Melayu. Ataupun apakah atau sifat apakah yang Pewaris mewarisi sebenarnya?

Saya yakin kalau Pewaris bersifat keMelayuan masuk bersalam, duduk bersopan santun, berbicara mengaturkan ayat, Pas atau sesiapa saja bersedia berkerjasama dengan Pewaris bukan saja setakat menerima memorandum. Misalnya apa kata kalau Pewaris melancarkan gerakan mengadakan demostrasi untuk menyatakan simpati kepada rakyat Palestin yang dibunuh Israel sehari dua ini dan mengundang sama Pas dan NGO lain, tentu mereka akan berduyun-duyun bersama Perwaris. Rasanya bukan saja setakat berdemonstrasi kalau diajak ke Gaza pun mereka ikut.

Makanya Perwaris harus melihat ke dalam dirinya, renung apakah perbuatan mereka itu tepat dan betul beradat atau biadap dan jangan ikut emosi. Apa lagi kalau dengan memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam Melaka itu Perwaris ada niat lain lagi-lagilah tidak patut.

Kalau Pewaris ikhlas nak bela nasib orang Melayu Islam Melaka itu, rasanya lebih mudah kalau Pewaris berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam dan menyampaikan memorandum itu atau minta calon Timbalan Presiden Umno itu menyelesaikan masalah babi yang makin bermaharajalela di negeri Hang Tuah itu!

Ali Rustam tentunya lebih berkuasa dan berpengaruh untuk mengatasinya berbanding dengan mana-mana pihak termasuk menteri di Kuala Lumpur. [wm.kl. 9:00 am 31/12/08]

Sebelum Tidur

Reaksi Kisah Talib Che Din
Kerajaan Perak Belum Bertindak?

POSTING mengenai nasib malang yang dihadapi oleh warga emas Talib Che Din bersama seorang anak dan seorang cucu baru-baru mendapat komentar dan pandangan dari berbagai pihak. Ada yang simpati dan ada yang menganggap kesengsaraan begitu tidak perlu didedahkan. Ada yang berpendapat sengsara sebenarnya subjektif, di mana ada orang yang sengaja mahu hidup susah seperti mana nasib Talib yang digambarkan itu.

Tidak terkecuali ada komentar dari dari Pulau Pangkor yang mempertikaikan apa yang dilaporkan itu. Menurutnya maklumat yang dipaparkan itu tidak betul atau kurang tepat?

Misalnya kampung Talib itu bukan Sungai Kecil tetapi Sungai Besar. Begitu juga sudah acap kali berbagai pihak datang membantu Talib termasuk Wakil Rakyat dan Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) namun beliau sendiri tidak mahu berubah.

Dalam banyak-banyak tulisan balas (penjelasan) itu ialah datang daripada pihak orang Adun Pangkor, Dr Zambry Abdul Kadir yang disebutkan nama dalam posting itu.

Ceritanya seperti mana yang saya lepaskan dalam komentar di bawa posting itu, Zambry telah pun membantu Talib beberapa kali termasuk menghantarkan anaknya yang cacat ke sekolah. Malangnya Talib dan anaknya seakan tidak menghargai pertolongan itu.

Saya akui saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik gambaran yang saya lihat itu. Saya hanya dua hari di Pangkor dan disuakan dengan nasib insan seperti itu. Ianya sungguh menyentuh hati pabila melihat keadaan rumahnya yang seperti reban ayam dan menunggu masa saja untuk roboh. Dijelaskan di sini tujuan saya paparkan itu ialah agar Talib bersama anak dan cucunya itu dibantu. Ya... kalau batuan sudah diberikan, syukurlah!

Memang ada didunia ini manusia yang tidak tahu berterima kasih atas apa yang diberikan kepadanya. Bantuan tdiak diterima seadanya atau dalam erti kata lain tidak bersyukur. Ada juga yang menyalahgunakan bantuan yang dihulurkan. Namun itu bukan alasan untuk kita tidak terus mengajarnya supaya menerima dan bersyukur dengan bantuan atau nikmat Allah.

Saya rasa pendedahan apa yang saya lihat itu adil dan saksama. Tidak ada niat untuk memburuk ataupun memberi gambaran Zambry Kadir tidak membantu rakyatnya. Terima kasih kepada orang-orang Zambry dan sesiapa saja yang membantu Talib di Pulau Pangkor itu. Juga terima kasih kepada mereka yang memberi maklumat tambahan mengenai kehidupan dan balada keluarga malang itu.

Cuma kalau Zambry atau sesiapa sudah membantunya, maka kali ini adalah kerajaan baru Perak pula perlu mengambil giliran untuk berbuat demikian. Bukan saja membatu Talib, tetapi membantu rakyat Perak yang malang seperti Talib itu. Apa yang diharapkan slogan kerajaan Pakatan Rakyat, kerajaan berkebajikan benar-benar terlaksana dan dipraktiskan. Kita bimbang kalau tidak terlaksana nanti kerajaan Perak dianggap hanya pandai bersiul dan berkokok saja.

Sehingga kini sejak kisah Talib didedahkan saya belum menerima apa-apa reaksi daripada kerajaan Perak ataupun agennya di Pulau Pangkor!

Terlanjur kerana saya sudah menguar-uarkan mengenai Jeti Awam yang menjadi projek Gajah Putih di Pangkor saya pohon maklumat dari sesiapa saja yang mengetahui ksiah sebenar kenapa jeti itu tidak digunakan walaupun sudah dua tahun ianya siap dibina. Elok sebelum saya melaporkan 'langsung' di sini kalau ada maklumat tambahan mengenainya bolehlah dikongsi bersama. [wm.kl 1: 15 am 31/12/08]

Tuesday, December 30, 2008

Senang Hati

Calon Pas Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu Sudah Ditentukan

MAKLUMAT terbaru mengenai siapa calon Pas untuk pilihan raya kecil P 36, Kuala Terengganu pada 17 Januari depan sudah pun ada. Abdul Hadi Awang sudah pun mendapat ilham untuk memberi peluang kepada tokoh berkenaan memikul tanggungjawab besar parti Islam itu.

"Sudah, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah pun ada nama itu. Kini ia tidak perlu dihebohkan lagi," begitulah sebut sumber berkenaan dari Kuala Terengganu kepada saya selepas Asar tadi. Bagaimana pun sumber itu menjelaskan atas ikrar dan amanah beliau tidak mahu menyebutnya, cuma menegaskan berkali-kali masalah calon Pas tidak menjadi isu lagi kerana ia sudah ada!

Ditanya apakah calon itu termasuk tiga nama yang disebut-sebut sebelum ini sumber itu tidak menyebut dengan jelas sebaliknya berkata calon yang diturunkan Pas pasti tidak akan mengecewakan sesiapa. "Semua pihak akan berpuas hati dengan calon pilihan Tuan Guru Abdul Hadi dan kita yakin calon itu akan membawa kemenangan, insyaAllah!" katanya.

Dengan perkembangan ini sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi esok, 1 Januari 2009. Mudahan calon yang diturunkan Pas dapat membawa kemenangan dan seterusnya sinar baru kepada Pakatan Rakyat. (Catatan: Atas amanah dan ikrar saya juga tidak boleh menyebut nama calon berkenaan walaupun nama yang dirahsiakan itu sudah ke pengetahuan saya!). [wm.kl 8:20 pm 30/12/08]

Monday, December 29, 2008

Selingan Rasa

Satu Muharram di Wadi Hussein, Janda Baik

ENTAH kenapa kamar hati saya tidak pernah terselak untuk menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah yang dianjurkan kerajaan. Bukan saja kini tetapi sejak lama dulu, sejak mula-mula bertapak di Kuala Lumpur. Tidak diketahui kenapa. Bukan bermakna saya tidak menghormati dan mengalu-alukan kedatangan tahun baru Hijri, tetapi tidak terbuka pintu hati untuk hadir pesta sambutan yang disediakan kerajaan.

Untuk hadir dalam majlis dengar ucapan dan menyaksikan anugerah kepada orang-orang tertentu yang dibobatkan sebagai tokoh Maal Hijri bukan kerja saya rasanya. Apa lagi pemilihan tokoh Hijrah yang menerima sedikit wang itu kadang kala kurang tepat baik dari segi jumlahnya atau pun pemilihan mereka untuk menanggung anugerah itu.

Masih ada orang lain yang wajar dipertimbangkan untuk menerima hadiah berkenaan sebagai mengenang jasa dan pengorban mereka dalam dakwah Islamiyah di negara ini tetapi terbiar begitu saja atas sebab-sebab yang mudah untuk difahami. Misalnya kerana pendakwa atau tokoh itu mengkritik kerajaan maka ia dinafikan untuk menerima penghormatan itu.

Hendaknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi akan memperbetulkan keadaan ini supaya natijah dan maksud anugerah itu sampai ke matlamatnya.

Jadi hari ini (1 Muharram) pagi-pagi lagi saya anak beranak ke Janda Baik, ke rumah sahabat dan teman penulis Pak Habib (Syed Hussein Alattas).

Sejak tiga minggu lalu lagi beliau sudah memberi ingatan (jemputan) kepada saya agar hadir ke rumahnya. "Ada sikit majlis Ustaz, makan-makan bersama anak-anak yatim sempena awal Muharam." begitulah jemputnya sambil menambah "jangan lupa bawa keluarga sekali sudah lama kita tidak bersama keluarga untuk mandi manda dan makan-makan.."

Itulah Syed Hussein bagi saya dia sangat menghormati kawan dan sahabatnya. Orang yang memberi semangat dan dorongan setiap kali saya menerbitkan buku politik sejak 25 tahun lalu. Orang yang suka memberi tetapi tidak tahu untuk menerima pemberian orang.

Tidak terbalas bagi saya atas kebaikan ini. Dan saya mersakan jemputan itu terlalu istimewa dan menyebabkan saya tidak akan dapat menolaknya. Hanya dengan memenuhi jemputan sebegitu sajalah untuk saya membalas budi baiknya. Dan jemputan-jemputannya jarang sekali ditolak melainkan kerana musaqah besar.

Menjadi amalan Pak Habib mengadakan kenduri tidak kira masa. Memberi makan anak-anak yatim dan membantu sesiapa saja yang diperlukan. Sepuloh tahun lalu negara dikejutkan dengan berita bagaimana beliau telah memelihara dan menjaga 10 orang isteri Abu Talib bersama puluhan anak-anaknya. Abu Talib dipenjara setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Johor kerana mengamalkan amalan kahwin Mutaah.

Dan rumahnya di Wadi Hussein Janda Baik didatangi oleh sesiapa sahaja. Secara tidak langsung juga ruang yang mempunyai halaman luas itu dan masih kekal dengan alam semula jadi yang menakjubkan, sungai yang mengalir di birai rumahnya, kepelbagaian flora dan fauna yang ditanam dan mengelilingi rumahnya menjadikan tempat itu sesuai untuk berihat hujung minggu.
Kemudahan prasarana yang ada, menyebabkan berbagai persatuan, pertubuhan berhimpun di situ mengadakan perhimpunan mereka, telah dan juga perbincangan dan sebagainya.

Sebuah surau yang dibina khas berbentuk unik juga dapat dimanfaatkan untuk mereka yang ingin menjalani kegiatan kerohanian. Jika kebetulan di surau itu juga dapat sama berhadrah, berzikir dan berzanji.

Gabungan Penulis Nasional, (Gapena) juga pernah menggunakan Wadi Hussein sebagai tempat berkhemah membincangkan masalah bahasa, budaya dan sastera. Kesimpulannya pada saya Wadi Hussein bukan saja wadi untuk Pak Habib mencari ketenangan tetapi wadi untuk sesiapa sahaja. Pak Habib menyedikan kemudahan itu untuk penghuni dunia!

Pagi tadi kira-kira 60 anak-anak yatim dari rumah kebajikan berdekatan diraikan oleh Pak Habib dan keluarga. Mereka bukan saja diberikan makan tetapi disiapkan permainan yang lengkap dengan berbagai hadiah. Paling merujakan saya bila setiap kali melihat majlis di Wana Hussein ini isterinya, Ummi dan semua anak-anak Pak Habib memberi kerjasama dan melibatkan diri sepenuhnya. Keadaan mencerminkan Pak Habib mempunyai keluarga besar yang hubungan kekeluargaanya sungguh erat.

Khabarnya kawasan atau rumah beliau itu akan dijadikan Universiti of live. Ianya sedang dalam proses. Sama-sama kita tunggu bagaimanakah bentuk universiti berkenaan yang kini masih terpeta dalam minda Pak Habib. [wm.kl 4:00 pm 29/12/08]

Sebuka Mata

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430

HARI ini kita sudah melangkah masuk ke tahun baru Hijrah 1430. Ini bermakna sudah 1,430 tahu peristiwa penhijrahan Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah berlaku. Apakah kita semua sudah dapat menyelami dan menghayati tujuan, erti dan filsafah di sebalik penghijrahan itu?

Apakah kita sudah padankan perpindahan Rasulullah itu dengan kehidupan kita hari ini?

Kalau perpindahan Rasulullah itu untuk melayari sebuah perjuangan yang dituntutan Allah ke atasnya, nah kita juga seharusnya berbuat demikian. Penghijrahan itu ialah satu islah dalam kehidupan, bermulanya sebuah perjuangan baru yang dilahirkan untuk menentang perjuangan lama yang kufur dan mungkar.

Kalau wadah yang kita depani selama ini kabur dan tidak dapat menjamin kehidupan yang baik dan sempurna seperti mana dituntut oleh Yang Maha Besar kita wajib meninggalkannya. Berada dalam kekaburan yang jelas adalah satu dosa dan kezaliman kepada diri sendiri.

Rasulullah begitu menyayangi Makkah, di situlah tempat tumpah darahnya dan berkumpulnya keluraga baginda. Di bumi Makkah juga baginda berjumpa dengan Jibrail yang membawa wahyu pertama. Malahan semuanya permulaan kehidupan baginda berlaku di Makkah.

Namun apabila bumi Makkah, masyarakatnya tidak bersedia menerima perubahan, beriman kepada Allah maka Rasulullah berhijrah mencari tapak baru. Membina kekuatan iman, kekuatan fizikal di tempat lain dan kembali semula ke Makkah setelah semua prasarananya mencukupi.

Jika Rasulullah boleh meninggalkan Makkah demi menjamin kehidupan yang sebenar kenapa tidak dengan kita untuk meninggalkan wadah perjuangan yang kita diami yang diwarisi dari datuk nenek selama ini yang makin hari makin kabur tujuan dan maksudnya untuk mencapai perubahan baru yang haq! Kalau Rasulullah mementang perjuangan suku kaumnya yang berlandaskan assobiyah kenapa tidak dengan kita?

Mudah-mudahan kepada mereka yang masih terus berada dalam gua kegelapan keluarlah dari gau berkenaan dan lihat sinar di luar. Begitu juga mereka yang masih sesat dalam diri dengan fahaman kebendaan cepatlah minggat dan hiruplah udara baru melalui kehidupan yang hakiki.

Kepada mereka yang masih meronta-ronta untuk terus berada dalam kekaburan itu dia adalah sezalim-zalim manusia ke atas dirinya sendiri.

Selamat tahun baru Hijrah teristimewa kepada penjenguk blog Merah Tinta. Salam - MSO. [wm.kl 7:45 am 29/12/08]

Sunday, December 28, 2008

Suara Ahad

Hudud bukan isu sesuai diperkatakan oleh Anwar

SEORANG pemimpin MIC yang kalah dalam pilihan raya umum lalu di satu kawasan Parlimen di negeri Perak telah meminta Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya mengenai hudud. Mungkin dalam kepala pemimpin itu Anwar orang paling layak untuk bercakap bagi menghentikan isu hudud yang berlaku antara DAP dan Pas yang telah dimanipulasikan Umno dan media kroninya.

Saya tidak faham dan mungkin ramai orang tidak mengerti kenapa pemimpin parti India itu meminta Anwar membuat pendirian? Mungkin dia tidak faham bahasa Melayu. Kalau pemimpin ini membaca akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia atau Berita Harian dia sudah dapat membuat kesimpulan sendiri mengenai isu hudud.

Sejak isu itu meletus di Kota Bharu minggu lepas, bermacam-macam orang bercakap mengenai hudud. Mereka yang tidak arif mengenai Islam dan tidak mengamalkan syariah Islam yang mudah dan ringkas pun turut bercakap mengenai hudud. Semuanya mencuri peluang untuk mempopularkan diri dan menunjukkan pakar dan alim tentang hudud.

Baik pemimpin Pas, Umno semuanya bercakap, tidak kurang juga golongan akademik yang menjadi penyambung mulut parti pembangkang dan kerajan semuanya bercakap dan mengulas mengenai hukum hudud. Apakah pemimpin India itu naif sangat kefahamannya?

Kerana itu saya fikir pemimpin India yang kalah dan tergilakan talak itu cuba memerangkap Anwar dalam isu hudud ini. Kalau itu tujuannya beliau silap. Anwar bukan semudah itu untuk menuruti rentak dan paluan gendang kebudak-budakan pemimpin berkenaan. Saya sangat bersetuju kalau Anwar tidak memberi reaksi kepada isu hudud.

Kata pemimpin India itu Anwar perlu menjelaskan kerana masyarakat bukan Islam dalam parti PKR tidak memahaminya. Sebenarnya di sini yang tidak faham bukan masyarakat India dalam PKR tetapi pemimpin India itu sendiri. Saya yakin masyarakat India dalam PKR sudah faham mengenai hukum hudud sebab itu tidak ada siapa pun dari kalangan mereka meminta dan mendesak Anwar menjelaskannya.

Sebenarnya isu seperti hudud yang dipolitikkan itu bukan perkara penting untuk disentuh Anwar. Anwar ada agenda dan tugas lebih besar dari berkecamuk dalam polimek pician seperti hudud itu. Tugas Anwar merubah negara bukannya memikirkan soal titik bengkit yang timbul mengikut musim.

Perlantikannya sebagai Pengerusi PKR Sabah dan Sarawak adalah cabaran buatnya. Tugas itu penting kerana apa-apa perubahan dan kejayaan di Sabah dan Sawarak bakal merubah landskap politik Malaysia. Jadi eloklah kalau Anwar memberi tumpuan sepenuhnya kepada kedua negeri berkenaan.

Sambutan dan pentunjuk-pentunjuk baru yang berlaku dikedua negeri itu memberi harapan dan sinar baru ia akan dapat menyambungkan projek 16 September yang terbangkalai itu. Projek itu yang sudah dimulakan di mana tapaknya sudah dipiling kena diteruskan juga walau dalam keadaan apa sekalipun.

Yang jelasnya rakyat sudah merasakan tidak selamat dengan kediaman (kerajaan) yang ada hari ini yang keadaanya sama dengan rumah-rumah mewah di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang. Hakisan yang berlaku dari bawah berupa rasuah, penyelewengan salah gunakan kuasa dan sebagainya ibarat hakisan tanah di bawah kediaman di Bukit Antarabangsa itu. Ia menanti masa saja untuk merudum.

Kepada pemimpin parti India berkenaan kalau beliau mahu tahu kesimpulan mengenai hudud sila baca akhbar-akhabr berkenaan yang disebutkan. Buat kesimpulan sendiri. Masakan setelah lebih 25 tahun jadi menteri masih belum memahami bahasa Melayu dan gelagat politik Malaysia.

Saya percaya akhabr Tamil yang menjadi kegemarannya tidak berjaya menghuraikan persoalan hudud dengan tepatnya. Mungkin masalah istilah atau frasa-frasa digunakan dalam kanun itu tidak begitu difahaminya.Ataupun kalau terdesak sangat nak tahu mengenai hudud bukalah gelanggang dan jemput ahli panel terdiri daripada Pas dan lain-lain parti untuk menjelaskannya.

Maka disini adalah elok kalau Anwar jangan melayan pemimpin berkenaan. Biarkanlah isu hudud itu berkecamuk antara Pas dengan DAP dan Umno. PKR jangan masuk campur dan tumpukan kepada isu-isu yang lebih besar dan lebih penting. Selain menumpukan Sarawak dan Sabah, misalnya bagaimana PKR memastikan kerusi Kuala Terengganu akan jatuh kepada Pas dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Kejayaan Kuala Terengganu memberi erti dan makna besar kepada Pakatan Rakyat. Apa lagi kalau kejayaan itu nanti kerana komitmen dan saham PKR yang besar. Anwar awal-awal lagi menyatakan PKR akan membantu Pas memenangi kerusi berkenaan ini merupakan satu pentada baik dan menggambarkan semangat politik yang ada kepada Anwar.

Apa yang dilahirkan itu mennjukkan ketulusan dan standard politik yang ada kepadanya. Beliau sedikitpun tidak mengungkitkan apa yang Pas Terengganu lakukan kepadanya samasa pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu. Hendaknya apabila Pas selesai megumumkan calonnya nanti, Anwar dan anak buahnya akan berarak ke Kuala Terengganu.

Bagi Pas Terengganu mereka harus melupakan dan membuang rasa tidak senang hati terhadap Anwar sebelum ini. Seperti mana yang saya catatkan sebelum ini pilihan raya kecil Kuala Terengganu hendaklah dijadikan titik mula baru untuk Pakatan Rakyat, khasnya antara Pas dengan PKR dalam mengetatkan semula ikatan dan perkuatkan semangat untuk menghadapi pilihan raya ke-13. Sesungguhnya Pas tidak ada pilihan lain yang disukai rakyat melainkan terus bersama Pakatan Rakyat.

Projek terbangklai 16 September hendaklah diteruskan sebelum ianya terpaksa diserahkan kepada “Khazanah Nasional” untuk diurustadbirkan. Pas boleh memastikan bagi mengelakkan ini daripada berlaku. Saya yakin gema untuk menjatuhkan kerajaan BN akan kuat kembali apabila Kuala Terengganu dapat ditawan secara bersama oleh Pakatan Rakyat. [wm.kl. 11:145 am 28/12/08]

Celoteh Murai 22

Saleintia Macam Katak Dengan Hujan

SI Saleintia juga turut sama mahu mengulas isu hukum hudud yang bergema dan bergermercingan kini. Dia ini akan mengulas apa saja isu asalkan ulasan itu menampakkan dia condong kepada parti lamanya. Bau tahi dalam habibat lamanya masih menggamit deria bauhnya. Hatta isu yang tidak diarifi pun turut sama disentuhnya. Al maklumlah dia ni bisa dan bijaksana jenisnya!

Dalam Parlimen baru-baru ini semasa pembentangan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beliau ada mencadangkan supaya mereka yang hendak dilantik menjadi suruhanjaya itu bersumpah mubahalah. Dengan cara itu ia boleh membendung masalah ketidaktelusan dan bagi menjamin penjawatnya jujur dan iklas dan tidak berani melakukan dosa menerusi perlantikan itu.


Ternyata penggunaan istilah dan saranan beliau tidak tersasar dari maksud muhabalah sebenarnya. Kalau tidak silap dua orang Mufti menengurnya, Mufti Selangor dan Mufti Perak supaya berhati-hati merujukkan mubahalah. Itulah kalau kita jahil tukil mengenai sesuatu jangan cuba kita pandai dan bersikap profesional nanti jadi bak Arnab nak berlumba dengan kura-kura.

Dalam isu hudud kata si Saleintia, Pas dengan DAP macam tikus dengan kucing. Beliau memngumpamakan Pas tikus DAP kucing. Katanya bila kucing mengiaw saja tikus pun lari.

Aii... bijak membuat perumpamaan ke atas orang lain? Katanya lagi Pas tidak konsisten, tidak tegas dan tidak istiqamah serta lemah. (Tahukah makna istiqamah tu?) Pandai dan bijak si Saleintia ini kalau bak mengatakan orang lain. Kalau bukan kerana si tikus Saleintia pasti tidak akan berada dalam Parlimen. Tidak percaya kita tunggulah pilihan raya ke-13 nanti. Kita tenguk sejauh mana pula lompatan dan jangkauan serta sambaran lidah Saleintia mengenai nasibnya.

Sepatutnya sebelum melempar tuduhan dan nak ulas tahi orang lain, Saleintia kena ulas tahi sendiri dulu. Saleintia kena berak kemudian ambil ranting kayu kain dan selidiki apa yang ada dalam berak Salentia itu. Tengok apakah ianya berulat ataupun ada 'bia' - sejnis ulat merah yang bertindak memakan sisa-sia terbuang dalam perut itu. Tengok juga apakah dalam tahi itu ada benda-benda lain lagi. Dan kaji kenapa tahi Saleintia lebih busuk daripada tahi haiwan lain? Selalunya tahi busuk kerana memakan makanan yang tidak halal! Cuba cuit sikit dan letakkan dekat hidung.

Sebelum nak komen orang, Salentia juga kena renung ke dalam diri sendiri. Kencing dalam tempurung bulu kemudian tengok wajah dan peribadi sendiri. Apakah kita seorang yang konsisten, berprinsip dan bermaruah? Tidak payahlah Murai ulas dan hurai sejauh mana konsisten, berprinsip dan baiknya si Saleinta ni sebab semua orang dah kena. Tidak payah sebut nama bau kentutnya pun orang dah tahu.

Cuma di sini Murai nak kata, kalau Salentia kata Pas macam tikus, DAP macam kucing... Saleintia pula seperti apa? Pada Murai Saleintia samalah seperi katak dengan hujah. Bila hujan turut katak pun gembira; boleh berenang , bersanggama dan membiakkan anak-anak. Hujan umpama rezeki bagi si katak. Begitulah bagi Saleintia bila ada kuasa, menang pilihan raya atas tikit dan lambang orang lain ia merupakan rezeki tidak terhingga. Jangan peduli budi dan bakti orang yang penting kita dapat manfaat darinya. Siasah Saleintia mana ada maruah!

Dengan kemenangan itu bolehlah dijaja ke hulu ke hilir kepada mana-mana parti politik berdajat pemembli besi busuk. Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Apa yang Saleintia buat hari itu seperti itulah menjajah dirinya ke hulu ke hiilir dengan harapan dapat dua tiga sen. Jenis manusia kalau makan dengan cara menyambar, sambarlah juga ia ke mana-mana pun.

Macam si katak haiwan berkaki empat panjang di belakang pendek di depan ni makan dengan menangkap mangsa dengan lidahnya. Maka kalau lidah tidak petah, tidak bijak berkata-kata, tidak sanggup menongkas arus, tidak tahan disumpah dimaki hamun ibarat kata kembunglah perut Saleintia dengan angin.

Nah begitu jugalah si Saleintia yang tidak pernah tahu bersyukur dan berterima kasih itu persis kacang yang melupakan kulit.

Murai: Macam Murai tercabut ekor!

Saturday, December 27, 2008

Susupan Petang

Henti Momokkan Hukum Hudud - Abdul Aziz

(kemaskini) PAGI tadi saya berkesempatan berjumpa dengan Pensyarah Kuliyyah Undang-undang UIA, Prof Abdul Aziz Bari (foto) di pejabatnya di UIA Gombak. Sudah lama saya ingin berjumpa dan bertukar fikiran dengan Profesor ini yang juga pakar mengenai perlembagaan negara. Mungkin kerana kesibukan masing-masing menyebabkan niat itu tidak menjadi kenyataan hinggalah pagi ini baru kami berkesempatan bertemu.

Hari ini sejarah bagi saya kerana berjumpa dengan beliau. Perjumpaan itu tentulah bertolak daripada wacana Tranformasi Politik Malaysia di Kota Bharu minggu lepas di mana beliau salah seorang panelis bersama Khairy Jamaluddin dan Husam Musa. Saya turut sama hadir untuk mengikuti wacana yang dianggap penting dalam proses membangunkan politik bangsa itu.

Ada beberapa perkara yang saya inginkan penjelasan daripada beliau berkenaan wacana itu. Dalam pengamatan saya ada semacam sesuatu yang tidak memuaskan hatinya. Ada perkara yang tidak sampai atau sempat dilontarkan menerusi wacana itu.

Alhamdulilah, walaupun hari ini hari cuti umum namun profesor berkenaan sedia untuk ke pejabatnya. Khabarnya beliau selalu berada di pejabat tanpa mengira hari termasuk hari cuti umum!

Berbaloi, hampir tiga jam bersembang mencakupi pelbagai topi politik semasa dengan beliau khasnya mengenai hukum hudud yang kini sudah menerawang semula di persada maya dan menjadi polemik menarik antara orang politik. InsyaAllah interviu penuh dengan beliau akan disiarkan dalam Siasah minggu hadapan.

Rumusan mengenai pertemuan tadi, Abdul Aziz minta agak hudud jangan lagi dimomokkan sebagai satu sistem yang kejam dan zalim. Menurutnya masyarakat juga sudah faham mengenai hudud dan hukum hudud ini bukan perkara baru bahlah telah lama diperkatakan.

Dalam hal ini katanya Pas harus berhenti daripada memperkatakan hudud dalam konktes politik dan ia juga perlu dibincang secara terbuka dan lebih rasional lagi mengatasi kerangka politik partisan itu sendiri.

“Hudud bukan hak Pas tetapi hak semua individu yang yakin kepadanya. Jadi janganlah tempelkan hudud itu kepada Pas saja, umpamanya mengatakan hudud ini undang-undang rekaan Pas dan sebagainya,” begitulah tegas Abdul Aziz.

Dalam pada itu perbincangan mengenai hudud perlu dibuat dalam satu flatform khas yang khusus dan spesifik. Ia juga bukan seharusnya dibincang oleh Pas tetapi harus melibat golongan profesional lain, kumpulan agama, golongan akademi atau NGO yang memperjuang Islam seperti Peguam Muslim atau sebagainya.

Dalam pada itu menurut Abdul Aziz, Pas janganlah sesekali menjadikan hukum hudud untuk mengejek dan mengutuk Umno kerana sebagai tabii Umno akan membalas dan mempertahankan dirinya kalau ianya diejek.

"Bila keadaan ini berlaku maka terjadilah polemik tidak berkesudahan antara kedua puak yang tidak mengutungkan Islam," tukasnya.

Secara jujur Abdul Aziz merasakan Pas tidak mampu untuk melaksanakan hudud secara bersendirian kerana ia memerlukan banyak perkara yang perlu dilengkapkan. Misalnya prasarana untuk melaksanakannya masih belum wujud seluruhnya. Justeru menurutnya kalau pun Pas ada kuasa ia tidak semestinya Pas mampu melaksanakannya.

"Pas hanya boleh berkata ia ingin melaksakananya tetapi pelaksananya siapa?" tanya beliau. "Pelaksanaan hukum hudud bukan semudah diucapkan. Perkara paling penting mempersiapkan segala prasarananya terlebih dahulu baru boleh dilaksanakan," tambahnya lagi.

Menarik... itulah yang dapat saya simpulkan mengenai pandangan yang dilontarkan oleh Abdul Aziz mengenai hudud ini. Apa yang penting beliau tidak mahu hudud dijadikan alat atau pun diperkatakan dalam kerangka politik kerana ia akan menjadi polimek yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. [wm.kl 6:00 pm 27/12/08]

Serabut Kuala Terengganu

Calon: Berilah Kepercayaan Kepada Presiden Pas

SEHINGGA hari ini siapa yang bakal diletakkan Pas untuk berhadapan dengan Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mewakili BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari akan datang masih belum diketahui. Walaupun Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengatakan nama calon akan diumumkan 1 Januari depan, namun belum dapat dibayangkan siapakah yang akan menjadi calon Pas.

Sumber tertentu memberi tahu Pas masih lagi buntu untuk memilih siapa calon mereka.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas yang berlangsung di Kuala Terengganu Ahad lalu tidak dapat mengambil keputusan sebulat suara mengenai calon Pas. Ada banyak nama yang dikemukakan. Masalahnya nama itu mewakili fraksi masing-masing dalam Pas. Sekurang-kurangnya ada tiga fraksi yang mengemukakan calon masing-masing untuk dipertimbangkang.

Masing-masing fraksi mahukan calon masing-masing. Usaha untuk menempatkan calon masing-masing sedang dilakukan oleh fraksi-fraksi itu sehingga menggunakan individu tertentu untuk mempengaruhi pilhak lain agar memilih calon mereka.

Disebabkan mesyuarat Jawatankuasa Agung itu tidak mendapat kata putus, akhirnya Presiden diberi tanggungjawab untuk menentukan siapakah calon yang dikehendakinya.

Inilah pertama kali Abdul Hadi dikatakan menggunakan kuasa prerogatif untuk mengumumkan calon. Walaupun pada mulanya Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berbuat demikian tetapi mungkin ia tidak akan berlaku sekiranya calon yang diingininya tidak terpilih.

Calon yang dikatakan berada di hati Mursyidul Am Pas kini bukan lagi calon asalnya Mohamad Sabu. Tetapi satu nama lain yang dikemukan oleh satu fraksi lain dalam Pas. Satu fraksi sudah berjaya membuang nama Mohamad Sabu dari hati Nik Aziz.

Abdul Hadi juga dikatakan sukar untuk membuat keputusan secara terbuka melainkan beliau dikatakan akan mengadakan sembahyang istiqarah terlebih dahulu. Selalunya bila dipilih menlalui istiqarah ini bermakna soal memilih calon menimbulkan masalah kepada Pas. Umno mungkin boleh merasa lega dengan keadaan yang berlaku dalam Pas ini.

Termasuk malam ini Abdul Hadi ada emapt malam lagi untuk mengadakan sembahyang istiqarah. Adalah diharap beliau boleh manfaatkan malam-malam berbaki itu untuk menentukan calon yang layak dan sesuai. Yang lebih penting calon yang boleh membawa kemenangan kepada Pas tanpa mengira dari fraksi mana.

Sesiapa yang diumumkan oleh Abdul Awang pada 1 Januri ini hendaklah disokong tanpa berbelah bahagi. Apabila Presiden sudah membuat keputusan hendaknya tidak ada lagi suara yang mempertikaikan. Perangai sebotaj calon atau 'peteh geting' seperti mana berlaku dalam Umno hendaknya terhindar daripada Pas.

Pas kena ingat mereka perlu menang pilihan raya tersebut. Bukan saja Pas tetapi Pakatan Rakyat juga. Kemenangan pilihan raya pembuka kelendar 2009 itu penting kerana ia memberi petunjuk yang baik kepada politik Pas dan Pakatan Rakyat sepanjang tahun itu nanti. Kepada Pas selamat memgumumkan calon. [2:15 pm 27/12/08]

Thursday, December 25, 2008

Bingkas Hudud

Hudud: Pas Tidak Boleh Gadai Hukum Allah
Dengan Kepentingan Politik Kawan

SEPERTI yang telah diduga dan sering berlaku hudud telah menjadi isu. Media kroni sudah palu canang, gong dan gendang menjual hudud menjelang pilihan kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan. Jaminan Husam Musa di Wancana Tranformasi Politik Malaysia dieksploitasikan sepenuhnya.

Melihat cara Umno memainkan isu itu menunjukkan parti itu kekeringan isu untuk ditaburkan di Kuala Terengganu. Apakah ini menunjukkan tanda-tanda awal kerusi Kuala Terengganu akan melayang ke tangan Pas? Pas sendiri masih belum membuat persiapan untuk berhadapan dengan pilihan raya itu, sehinggakan nama calonnya pun belum diumumkan, tetapi Umno sudah mabuk memikirkannya.

Isu hudud yang timbul untuk kali ke seribu ini, bukan salah Husam Musa sebenarnya, tetapi ia salah DAP. DAPlah yang perlu dipertanggungjawab dan dipersalahkan dengan bangkit semula isu hudud ini. Jika DAP tidak gatal mulut isu hudud tidak akan menjadi selantang hari ini.

Semuanya bermula apabila DAP memberi reaksi segera atas jaminan Husam kepada Khairy Jamaluddin pada malam itu. Tanpa merujuk kepada Husam sendiri dan kepada suasana dan semangat Husam bercakap mengenai hudud DAP terus pertikaikan Husam. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pengerusinya, Karpal Singh terus bangkit mengecam hudud. Apa salah hudud?

Guan Eng atau Karpal Singh tidak sepatut melenting bila Husam memberi jaminan itu. Mereka harus faham dalam konteks apa Husam berkata mengenai hukum hudud itu. Husam tidak berkata di luar Kelantan tetapi di dalam negerinya sendiri. Karpal dan Guan Eng sepatutnya arif dan faham mengenai rencah dan sosio-politik Kelantan yang unik itu.

Lainlah kalau Husam memberi jaminan kerana diasak Khairy itu di luar Kelantan, misalnya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Ipoh. DAP boleh pertikaikan kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada parti itu. Tetapi ini di Kelantan.

Seperkara yang DAP perlu tahu perjuangan Pas berbeza dengan perjuangan DAP. Pas berjuang untuk mendapat keredaan Allah yang memikul tanggungjawab kepada rakyat menceritakan soal dosa dan pahala. Menegak kebenaran dan menentang kemungkaran. Pas tidak boleh mengikut rentak DAP bermainan dengan politik chauvenismenya yang menerima kaedah matlamat menghalalkan cara. Pas yakin bahawa selepas kematian segala perjuangannya akan dihitung dan dihisab oleh Allah. Ini jelas.

Apalah salahnya kalau Husam memberi jaminan itu? Hudud bukan perkara baru tetapi ia menjadi agenda dan maksud perjuangan Pas itu sendiri. Bukan saja hudud tetapai apa saja yang diperintah Allah dan Rasulnya itulah yang akan diperjuangkan Pas. Pas tidak akan meninggalkan perintah Allah kerana ingin memenuhi harapan politik DAP. Bagi peribadi Husam sendiri sebagai seorang 'khalifah' beliau akan berdosa kalau tidak mengatakan jaminan itu.

Perlembagaan Pas menjelaskan maksud dan tujuan penubuhnanya. Hudud itu sebahagian daripada juzuk perjuangan Pas. Hudud akan terus diperkatakan selagi ianya tidak ditanggalkan dari perlembagaan Pas yang termaktub di bawah Fasal 5: (i) Mengenai penubuhan Pas yang berbunyi; memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintah terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Pada saya ketakutan Karpal Singh dan Guang Eng atau sesiapa saja kepada hudud tidak berasas. Kalau orang Islam yang menolak hudud, betapa teruknya keimanan seseorang muslim itu. Maaf bukan muslim lagi kalau tolak hudud! Tahulah sendiri apa hukumnya kalau kita menolak hukum Allah.

Bukan Islam juga tidak perlu takut kepada hudud? Kenapa kita harus jadi bodoh dan prejudis melulu dengan hudud. Perspektif penjenayah dihukum di bawah hukum hudud akan potong tangan, direjam dengan batu tidak betul sebenarnya. Gambaran yang pernah diberikan oleh pemimpin Umno mengenai hudud tidak benar dan berniat jahat. Gambaran itu terbit dari mereka yang jahil dan bencikan Islam.

Dalam sejarah perundangan Islam hudud tidak pernah bertindak sekejam itu. Dan bagi orang yang percaya kepada keadilan Allah, tidak akan mudah beranggapan demikian kerana hukuman Allah maha adil.

Yang menghairankan saya kenapakah orang yang telah mengatakan dia mengambil model pemerintah khalifah Umur Ibnu Aziz tetapi masih tidak faham mengenai hudud dan tetap meragui hudud? Kalau begitu nampak sangat orang yang mengucap dan mengatakan itu hanya untuk tujuan politik semata-mata dan bukan dari bilik hati sebenar.

Saya menyarankan kepada Guan Eng jangan membaca kisah Umur Ibnu Aziz dari konteks baginda membuat kebajikan saja, tetapi bagaimana Umu Ibnu Aziz (kerajaanya) menghukum penjenayah di zamannya. Kalau hendak membaca sirah Islam jangan diambil sebahagian tetapi bacalah keseluruhannya. Apa yang menjadi masalah Pas dengan Umno ialah kerana Umno membaca dan mengamalkan sebahagian dari Kitabullah dan membuang dan tidak yakin kepada sebahagian yang lain.

Orang Islam dan Melayu jangan mudah terkapur dengan mereka yang bijak bermadah demikian, yang menerima Umur Ibnu Aziz tetapi tidak menerima kewarakan Umur kepada Tuhannya. Jelas kata-kata itu tidak ikhlas dan ia hanya dijadikan tarikan politik sahaja.

Suka saya mencadangkan berhubung hudud dan masalah dengan DAP ini, Pas hendaklah membuat ketetapan khusus mengenai hudud dalam Pakatan Rakyat. Jelaskan yang Pas hanya akan melaksanakan hudud di negeri-negeri yang dimenangi saja dan tidak akan melaksanakan di negeri yang tidak dikuasainya.

Kalau perlu Pas perlu menegaskan hanya Kelantan, Terengganu dan Kedah saja akan melaksanakan hukum hudud. Manakala negeri-negeri lain jangan dimasukkan dalam tujuannya. Walaupun langkah itu tidak bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t. yang mengarahkan agar berdakwah dan melaksanakan hukumnya ke atas seluruh muka bumi ini, namun sebagai maslahat politik mungkin ia boleh dilaksanakan atas sifat sementara.

Mungkin para ulama, Majlis Syura ulama dan Mursyidul Am Pas boleh memberi pandangan mengenai cadangan ini. [wm. kl 11:20 am 25/12/08]

Wednesday, December 24, 2008

Berita Tengahari

Umno Petaling Jaya Selatan Tutup Kedai
Bekas Ketua, 28 Ketua Cawangan dan 13 Jawatankuasa Bahagian Sertai Pas

UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan mungkin tutup kedai dan lumpuh ekoran bekas ketuanya Kept (B) Zahar Hashim, 60 berhijrah ke dalam Pas dan telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa di satu majlis khas diadakan di sebuah hotel di Ampang Jaya pagi ini.

Bersama Zahar turut berhijrah ialah 13 ahli jawatankuasa bahagian dan 28 ketua cawangan bahagian berkenaan. Penghijrahan beramai-ramai itu menyebabkan Umno Bahagian Petaling Jaya terus lumpuh.

Penyertaan Zahar bersama kepimpinan bahagian dan cawangan itu juga memberi pukulan hebat kepada Umno yang akan menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu minggu depan.

Zahar dalam majlis penyerahan borang itu menjelaskan penyertaannya ke dalam Pas kerana yakin Pas adalah parti terbaik untuk orang Melayu dan mampu membela agama di masa depan.

"Pas bukan lagi parti alternatif kepada Umno tetapi parti yang lebih baik daripada Umno," tegasnya.

Jelasnya penyertaan itu bukan mengejar kedudukan dan pangkat di dalam Pas melainkan untuk memberi sumbangan kepada Pas dalam membantu rakyat, khasnya rakyat miskin. Menurutnya beliau pernah ditawarkan jawatan Speaker DUN Selangor namun beliau tolak, penolakan itu menunjukkan beliau tidak mengejar kedudukan.

Kerana itu katanya kemasukan beliau dalam Pas hendaknya tidak dicurigai kerana beliau ikhlas untuk berjuang bersama Pas bagi memberi khidmat kepada rakyat.

"Saya masuk bukan hendak pangkat dan kedudukan tetapi untuk bersama Pas membantu rakyat miskin dan perkara ini saya sudah jelaskan kepada Pas kawasan Petaling Jaya Selatan," jelasnya.

Mengenai desas desus mengatakan beliau mengambil tindakan itu setelah keahliannya digantu, Zahar menjelaskan desas desus itu tidak betul. Katanya sejak awal tahun lalu beliau sudah merasa tidak selesai dengan Umno ekoran peralihan kuasa dalam Umno Selangor. "Jadi kebetulan Umno pecat saya ia memberi jawaban kepada apa yang sedang difikirkan," tegasnya.

Zahar telah menyertai Umno menerusi cawangan Subang Jaya pada tahun 1981 menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian Subang Jaya merangkap Bendahari Umno Bahagian Puchong tahun 1982 - 1987.

Pada tahun 1994 - 1999 beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan dan juga Adun kawasan Taman Medan. Ekoran persempadanan semula bahagian Umno pada tahun 1999 - 2008 beliau memimpin Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan sehingga keahliannya digantung baru-baru ini.

Menjelas lanjut kenapa beliau bertindak meninggalkan Umno ekoran timbul peralihan kepimpinan Umno Selangor awal tahun lalu.

Ekoran penyertaan Zahar itu juga Pejabat Umno Bahagian Petaling Jaya Selangor ditutup dan ia akan menjadi pejabat Pas kawasan berkenaan.

Nasharudin dalam ucapan mengalu-alukan kemasukan Zahar menyifatkan ia satu penghijrahan sekumpulan manusia yang ingin mencari kebenaran bersama Pas dan ia dialu-alukan Pas yang menganggapnya hadiah sempena menjelang tahun baru hijrah.

Nasarudin berharap kemasukan itu akan memberi sumbangan besar kepada Pas dalam usaha untuk memartabat bangsa Melayu dan Islam.

Turut hadir meraikan kemasukan Zahar ke dalam Pas ialah Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Hassan Mohd Ali, timbalannya Dr Che Musa, Ketua Penerangan Mohd Roslan Mohd Shahir, ahli Exco Selangor dari Pas, Dr HalimahAli, Dr Rani Osman serta lain-lain pemimpin tertinggi Pas. [wm.kl. 1:10 pm 24/12/08]

Celoteh Murai

Barangkali Babi di Kelantan Bisu

MURAI ada terdengar satu kumpulan yang anti dan benci kepada babi telah membakar replika babi di negeri dikuasai calon Timbalan Presiden Umno, Mohd Ali Rsutam. Mereka buat repelika kepala babi kemudian mereka bakar. Mungkin suasananya seperti majlis Apache memanggang kepala singa! Tujuan perbuatan itu sebagai protes kepada jenayah melemparkan kepala babi dan anggota babi merata tempat awam di Melaka.

Murai tersenyum mendengar perilaku kumpulan anti babi itu. Betapa tindakan itu menunjukkan marahnya mereka kepada babi dan mereka yang melemparkan anggota babi itu. Murai juga tidak setuju dengan perbuatan dan kejadian yang berlaku di Melaka itu. Bukan saja babi kalau kepala ayam, kepala lembu, kepala kerbau dan kepala apa-apa binatang lain juga ia tidak elok. Perbuatan itu boleh mencemarkan keadaan sekililing dan tidak menggambarkan sikap dan sifat tamdun tulen.

Apalah lagi kalau ia melibat anggota babi yang dibenci oleh orang anti babi itu, lagi-lagilah tidak patut.

Itu Murai tidak kisah. Yang Murai nak tanya mereka yang anti babi di sini apakah tindakan mereka itu cerdik? Membakar kepala babi yang diperbuat daripada kertas? Kenapa mereka tidak bertindak membakar babi-babi yang ada? Atau pun membakar kandang babi yang dikatakan wujud berselerakan dan menimbulkan masalah itu. Rasanya itu lagi bagus dan berkesan. Kalau hanya bakar replika, babi tetap juga ada.

Kalau nak hapus, hapuslah sungguh-sungguh. Biarlah semuanya tidak ada. Jangan dilakukan kerana politik! Bagai Murai isu babi tidak akan selesai sampai ke bila-bila pun. Alasannya mudah kerana babi hidup, ia boleh lari, (berdecun larinya mencecah 120 kmj) ia juga membiak dan berkembang.

Cara paling baik bagi Murai ialah atasi dengan bijaksana dan layanlah ia sebagai makhluk Allah yang diturunkan untuk memberi iktibar kepada manusia. Kewujudan babi dan anjing adalah untuk menununjukkan hidup manusia ini ada sempadan halal dan haram.

Apa yang dilakukan kerajaan Selangor adalah salah satu cara terbaik untuk mengurustadbirkan babi. Tadbirkan babi secara sistemetik. Babi ini bukan saja berlaku dan ada ditempat kita, di negera lain juga ada. Mengapa mereka tidak jadi masalah kerana kebijaksanaan mereka mengurustadbirkan babi. Mereka tidak tergamak jadikan babi sebagai isu politik seperti di tempat kita. Naifnya orang kita berpolitik tidak kira apa semuanya dijadikan isu hatta si babi.

Untuk melihat bagaimana isu babi dapat ditangani dengan baik usah pergi jauh, pergi saja ke Kelantan negeri yang nombor satu Islamnya dikenali dengan jolokan Serambi Makkah. Di sana juga ada babi. Mungkin ramai orang tidak tahu pusat ternakan babi juga ada di Kelantan. Seluas 18 ekar tanah dijadikan pusat ternakan babi secara tertutup. Tidak siapa pun heboh dan mengetahui industri berkenaan. Mungkin babi di Kelantan bisu maka ia tidak diketahui umum!

Bukan saja babi ladang ternakan katak Afrika juga wujud di Kelantan. Tidak timbul apa-apa masalah pun. Katak juga tidak dimakan oleh orang Islam, tetapi orang Kelantan tidak kisah dengan katak. Tenang dan bersedia berkompromi dengan haiwan itu tanpa ada masalah.

Jadi dalam soal babi atau binatang yang kurang menyenangkan ini tirulah apa yang dilakukan Kelantan, belajarlah di sana. Kelantan bawah pimpinan Pas, bukan saja pelihara babi dan katak, tetapi Menteri Besarnya sendiri boleh duduk sembang-sembanag dan makan cekodok dengan katak, bahkan bermurah hati pula membenarkan katak (Saleintia) bertanding menggunakan lambang bulan purnama.

Murai: Tidak pernah jamah babi tetapi pernah berkawan dengan katak.

Tuesday, December 23, 2008

Terkini

Konspirasi Jatuhkan Ungku Aziz Sebagai Yang Dipertua Angkasa Gagal

Profesor Diraja Ungku A Aziz melahirkan rasa kecewa atas kelambatan pihak berkuasa menyiasat laporan yang dikemukakanya berkaitan manipulasi kewangan dan cubaan hendak menjatuhnya sebagai Yang Dipertua Angkasa pada 24 Mac lalu.

Katanya ekoran kekurangan minat bertindakbalas dengan segera menyebabkan beliau membuat pendedahan berhubung kes yang berlaku dalam koperasi yang berusia lebih 30 tahun itu.

“Kekurangan minat bertindakbalas dengan segera serta reaksi yang munasabah oleh pihak berkuasa yang telah mendorong saya membuat kenyataan ini,” ujarnya dalam kenyataan mengandungi lima muka surat yang dibaca kepada wartawan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Menurut Ungku Aziz jawatankuasa Tadbir Kebangsaan Angkasa (JKT) telah membuat keputusan memulakan siasatan terhadap apa yang dinamakan konspirasi Concorde untuk menjatuhkannya pada 25 Januari lalu.

Dokumen penyiasatan itu berkenaan telah pun diserahkan kepada Suruhanajaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 23 Okrtober. Manakala berkenaan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Angkasa yang dilucutkan telah disahkan kekal setelah berada dalam tempoh peralihan kuasa selama 43 hari.

Menurutnya disebabkan kemungkinan laporan akhir itu tidak boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa sebelum tarikh 10 Januari dimana tarikh persidangan tahunan Koperasi menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Laporan dan ulasan lanjut akan menyusul. [kl 11:15 am 23/12/08]

Monday, December 22, 2008

Ulasan Isu

Kenapa Husam Ralatkan Jaminannya?

BELUM sampai 36 jam atau kalau tanam kacang belum sempat kulit arinya pecah, Naib Presiden Pas, Husam Musa telah memperbaiki kenyataannya berhubung perlaksanaan hukum hudud yang dibuat ketika berwacana bersama Khairy Jamaluddin dan Abdul Aziz Bari di Balai Islam malam Sabtu lalu.

Semasa respon kepada provokasi Khairy Jamaluddin yang ingin tahu apakah Pas akan laksanakan hudud kalau Pakatan Rakyat menang, Husam menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

"Iya kita akan laksanakan," begitulah jaminan Husam apabila diasak lebih dua kali oleh Khairy. Kurang diketahui pula MB Kelantan dalam penantian itu sedar atau tidak ketika beliau mengeluarkan kata-kata itu.

Tetapi hari ini Husam telah membuat pembetulan ke atas persetujuannya semalam. Katanya perlaksanaan itu akan ditangguhkan dan ia akan dimaklumkan kepada DAP dan Keadilan terlebih dulu.

Kononnya pemberitahuan itu kerana Pakatan Rakyat telah menandatangani dasar Pakatan itu Ogos lalu? Kata Husam pihaknya tidak akan membuat keputusan secara uniteral sebalik akan membuat secara multiultra. Barang kali baik juga kalau isi kandungan perjanjian itu didedahkan kepada umum untuk ketahui apakah semangat dan roh perjanjian itu.

Kenapa Husam nampak gelabah dengan jaminannya malam kelmarin itu? Mungkin dia tahu ia bakal menjadi isu dan polimek dalam Pakatan Rakyat seperti mana yang saya jangkakan sebelum ini. Dugaan ini ternyata benar apabila DAP sudah kelam kabut dengan kenyataan itu sehingga mahu rujuk kepada Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim. Media kroni pula sudah tentu sedang menyusun untuk mengeksploitasikan isu itu di Kuala Terengganu nanti. Justeru pada saya penegasan Husam malam itu kurang berhemah dan memakan diri!

Sebenarnya Husam tidak payah membuat pembetulan atas kenyataan itu. Kenyataan beliau malam tadi mendapat sambutan hangat dan itulah yang diharapkan. Langkah beliau membetulkan kenyataan itu menyebabkan ia akan mengelirukan penyokong Pas dan orang Islam sendiri serta mereka yang rindukan hudud. Pembetulan itu juga menjadikan orang akan pertikaikan pengakuan Husam itu sebagai bersifat politik semata-mata. Dengan kenyataan pembaikian itu Husam melakukan dua kali kesilapan dalam satu masa.

Apa yang beliau tegaskan kelmarin (ketika menegasnya siap dengan mengangkat telunjuk ke langit), sudah tepat dan satu kebenaran yang dibanggakan. Sebagai orang Islam, pemimpin parti Islam sewajarnya agenda melaksanakan hudud itu diletakkan di atas. Segala unsur dan usaha mengenepinya perlu ditentang habis-habisan. Hukum hudud tidak boleh dikorbankan atas maslahat politik atau ia ditangguhkan atas dasar menghromati orang lain.

Saya rasa orang Pas lain juga cukup senang dengan jaminan Husam itu. Golongan ulama yang selama ini berjuang bermati-matian untuk melaksanakan hudud merasakan mereka mendapat semangat baru apabila ia disanggupi sendiri oleh seorang pemimpin bertaraf Naib Presiden yang profesionalis dan dianggap bijak.

Ketika dipersoalkan oleh Khairy, Husam ada menjelaskan Kelantan merayakan hari memperingati hudud setiap tahun. Dengan penuh bangga beliau memaklumkan itu kepada audience. Tetapi sesudah sehari penegasan itu menerawang masuk ke rongga kepala rakan bukan Islam Husam semacam gelabah pula. Kenapa?

Sebagai pemimpin yang meletakkan taqwa sebagai syarat orang untuk menjadi Perdana Menteri, Husam tidak perlu takut sebenarnya. Beliau juga tidak perlu merasa malu dan gerun kalau tidak popular dari kalangan bukan Islam kerana menjadi juara hudud. Bila beliau mengubah dan meralatkan kenyataannya ini menyebabkan orang boleh mengatakan Husam tidak istiqamah dalam iltizamnya.

Sepatutnya ia tidak perlu dibimbangkan Husam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membela Husam mengenai kenyataannya tentang hudud itu. Kata Nik Aziz hudud bukan hak Pas tetapi hak Islam. Katanya fungsi atau martabat hudud sama dengan sembahyang, kalau sembahyang wajib boleh buat kenapa hudud yang juga wajib tidak boleh dibuat? Jadi apabila tuan guru sudah memberi isyarat dan beranalogi begitu nah, teruskan saja.

Tidak patut dan wajar kalau Husam bermain sorong tarik dengan hukum hudud dan qisas ataupun aspirasi Islam lainnya. Beliau juga sesungguhnya tidak perlu bimbang dengan penerimaan bukan Islam mengenai penegasannya itu. Bukankah beliau sendiri mengatakan bahawa kefahaman Islam dari kalangan bukan Islam termasuk DAP dan orang seperti Pengerusi Kelab Penyokong Pas dari kalangan orang Cina itu lebih baik berbanding dengan Umno atau Khairy Jamaluddin.

Jadi apa yang nak dibimbangkan lagi laksanakan Islam yang menjadi cita-cita dan matlamat perjuangan Pas itu? [wm.kl. 8:15 pm 22/12/08]

Rehat Tengahari

Pemilihan Calon: Apa Masalah Pas?

PAS membatalkan niatnya untuk mengumumkan calonnya pada Ahad lalu, 21 Januari. Tarikh baru yang dicari ialah pada 1 Januari. Mungkin 21 bukan hari kemenangan bagi Pas sebaliknya 1 Januari tarikh baik. Tak mengapa angka satu masih ada.

Kalau Pas juga bermain dengan numerologi (angka), nampaknya satu angka satu sudah diperolehi Umno iaitu Umno menjadi parti nombor 1 mengumumkan calon. Umno dah umum calonnya seperti mana yang diramalkan saya sejak awal iaitu, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut Abdul Hadi Awang seperti mana dipetik dalam sidang akhbar, Pas akan mengumumkan calonnya di Stadium Negeri di Kuala Terengganu. Pas sedang memohon untuk menggunakan stadium berkenaan. Pemilihan tempat itu pun ada muslihatnya, ia mungkin untuk menampung kehadiran yang ramai.

Atau pun mungkin juga Pas sudah pasang perangkap. Bila stadium itu tidak dibenarkan Pas akan menjadikan sebagai isu tambahan dalam pilihan raya berkenaan. Pas akan tuduh Umno mengamalkan politik tertutup atau araggant of power kata si baju petak-petak merah.

Menurut sumber dalaman Pas, calon telah pun diputuskan. Mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas semalam membincang panjang lebar dan meneliti calon-calon yang dikemukakan. Soalnya kalau sudah ada keputusan kenapa tunggu sampai 1 Januari? Tidak baik terlalu lama atau ditangguhkan sedangkan Umno sudah pun mengumumkan calonnya. Dari segi semangatnya Umno sudah menang.

Apakah berlaku perselisihan faham dalam menentukan calonnya ini atau dalam proses mengumumkannya? Sebelum ini Pas ada menyebut nama calon itu akan diumumkan oleh Mursyidul Am mereka, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pastinya Pas mahu mendapat restu dan keberkatan daripada tok guru itu.

Mungkin kerana pengumuman itu telah diputuskan akan dibuat oleh Nik Aziz maka Abdul Hadi tidak boleh mengumumkannya dalam sidang akhbar, walhal Abdul Hadi yang memiliki kuasa eksekutif yang berhak membuat pengumuman kepada umum. Jadi di sini tidak timbul rasanya Pas tidak dapat putuskan calon lagi atau sedang menimbang mana-mana yang lebih baik.

Jadi para pemerhati politik masih berpelung untuk berteka teki mengenai siapa calon Pas ini. Tindakan Pas ini juga menjadikan pemerhati masih memfokus kepada pilihan raya kecil berkenaan. Mungkin cara itu menyebabkan Pas akan mendapat perhatian lebih dari orang ramai berbanding dengan BN.

Diingat dan diharapkan setakat berteka teki tidak mengapa tetapi jangan pula keputusan yang dibuat itu berubah ataupun diubahkan lagi. Jangan pula kalau calon itu tidak seperti mana kehendak Mursyidul Am Pas pada asalnya maka ia akan diperbaiki ataupun diusahakan agar diganti dengan orang yang memihak kepada satu-satu pihak yang berjaya mempengaruhi Nik Aziz.

Ini ditimbulkan bukan apa. Selalu berlaku dalam Pas berkaitan dengan sikap Nik Aziz yang sering mengubah sesutau keputusan itu disaat-saat akhir yang mana ia boleh menimbulkan masalah. Banyak contoh kalau hendak dikata dan diperturunkan di sini mengenai beberapa tindakan Nik Aziz yang boleh dipertikaikan sebelum ini. Biarlah tidak diperturunkan nanti boleh menimbulkan kemarahan pula.

Dalam Pas apa-apa yang diputuskan atau pandangan Nik Aziz itu jarang boleh dihalang atau ada pihak yang berani menghalangnya. Penghormatan kepada Nik Aziz terlalu tinggi yang kadang-kadang membawa masalah kepada Pas sendiri. Anihnya keputusan yang dibuat itu kadang kala boleh diubah apabila ada yang bijak mempengaruhi view politik beliau hatta ianya melanggari prinsip Pas dan Islam.

Berbalik kepada calon Pas di Kuala Terengganu nanti apakah kelewatan itu disebabkan berulangnya amalan-amalan yang tidak profesional dan Islamik ini? Apapun biarlah calon yang dipilih nanti memenuhi kehendak pengundi dan jangan kerana sekadar memenuhi kehendak dan kepentingan politik tertentu. [wm.kl 12:15 t/hari 22/12/08]

Laporan Lewat 2

Husam Terperangkap Dalam Jerat Sendiri
(Bahagian 2 dan akhir)


SELEPAS membelasah Umno dan beberapa tindakan tranformasi politiknya yang dianggap kulitan – gimik seperti pembentangan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Perlantikan Hakim (SPH) serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Husam membangkitkan politik dosa dan pahala yang dilupakan atau tidak dititikberatkan oleh Umno.

Inilah juga menjadi titik perbezaan besar antara Pas dengan Umno. Tegas Husam, kalau Umno bersedia mengambil kira politik dosa dan pahala (politik Islam) Pas akan menyokong Umno dan juga menyokong Khairy Jamaluddin sebagai calon ketua pemuda Umno.

Apa yang dijelaskan Husam itu sekali lagi menurut sifir-sifir atau fatwa politik Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz. Nik Aziz dalam agendanya menolak Umno menggunakan alasan itu. Dari kacamata Nik Aziz Umno menolak Islam seperti mana Islam politik yang Pas fahamkan itu.

Persoalan ini dibidas oleh Khairy dengan mempersoal balik apakah Pas juga tidak berada dalam zone makruh? Maksudnya di sini Pas juga bebas dari bermain dengan politik dosa dan bukan pahla semata-mata? Khairy menyinis apakah hukumnya pencampuran Pas dengan Pakatan Rakyat yang mengandungi parti yang tidak sama prinsip Islam seperti mana difahami Pas itu?

Apa yang ingin diangkat Khairy apakah DAP itu tidak bergelombang dalam 'dosa' seperti mana ditafsirkan Pas itu maka Pas boleh berkawan dengan DAP membentuk kerajaan bersama? Dalam masa lain Husam menjelaskan kononnya pemahaman Islam oleh DAP lebih baik daripada Umno. Dakwa Husam DAP lebih faham Islam daripada Umno! MasyaAllah!

Beliau menyatakan ketertegunan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap pendekatan dan stail pemerintah Khalifah Umur Abdul Aziz sebagai buktinya. Untuk rekod Guan Eng beberapa kali menceritakan yang beliau membaca kehebatan Umur Abdul Aziz sebagai seorang khalifah yang adil dan saksama. Bagi Pas langkah Guan Eng itu dianggap sebagai Guan Eng menerima konsepi dan prinsip pentadbiran Umur Abdul Aziz.

Satu lagi isu yang memberi bidasan balik kepada Naib Presiden Pas itu ialah apabila beliau mengkritikan Umno yang bersikap arrogant of power? Husam memberi contoh bagaimana Khairy menggelarkan para demonstrasi jalanan anjuran Bersih dulu sebagai monyet-monyet, manakala sewaktu pilihan raya dikecil Permatang Pauh, Khairy mencanangkan ingin menguburkan politik Anwar Ibrahim.

Bagai Husam tindakan dan kata-kata Khairy itu sebagai arrogant of power. Politik angkuh dengan memiliki kuasa besar. Pandangan bersifat peribadi itu dibalas oleh Khairy dengan mempersoalkan apakah janji Anwar untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September bukan arrogant of power? Sambil melihat jam ditangannya (date) kata Khairy kini sudah 20 Disember tetapi kerajaan yang dijanjikan itu masih belum ada. Bidasan Khairy itu menyebabkan Husam hilang tumpuan sehingga ditegur mediator.

Ketika isu ini dibangkitkanlah keadaan dewan menjadi riuh randah. Sorakan dan tepukan dari kedua pihak bersabung menghangatkan dewan.

Keadaan menjadi bertambah hangat lagi apabila Khairy membangkitkan soal hudud yang mahu menguji apakah pendirian Pas (sebenarnya Husam) setelah bergabung dengan Pakatan Rakyat kini. Khairy bertanya apakah Pas bersedia melaksanakan hudud kalau Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan kelak? Pertanyaan itu tentuk kompleks kerana aspirasi Pas itu begitu kontras dengan aspirasi DAP.

Ternyata persoalan itu kurang diminati Husam dan Husam tahu ianya satu perangkap. Namun hendak tidak hendak beliau terpaksa menjawabnya sambil menempelak balik kepada Khairy dengan meminta Khairy membawa persoalan hudud itu ke dalam Umno. "Iya kita akan laksanakan (hudud) tetapi kalau saudara ikhlas nak perjuangkan hudud saudara bawa dalam perhimpunan agung Umno," begitu kira-kira balas Husam disambut sorakan dan tepukan bergemuruh.

Aziz Bari yang banyak menjadi pemerhati dan menyokong kenyataan Husam dengan menjelaskan soal jenayah (hudud dan qisas) itu tanggungjawab kerajan Pusat. Sikap dan kecenderongan yang jelas Aziz kepada Pas dalam wacana itu kurang disenangi oleh penyokong BN yang beberapa kali menyoraknya.

Di sini Khairy terpaku sekejap dan tidak dapat memberi jawaban terhadap persoalan Husam yang cuba melepaskan diri daripada persoalan yang dibangkitnya itu. Khairy tidak memberi jaminan soal hudud akan dibincangkan dalam Umno. Keadaan ini menyebabkan Khairy pula yang terperangkap.

Bagaiman pun malam itu Khairy berjaya meletakkan Husam dalam keadaan serba salah dengan persoalan arrogant of power, dosa pahala dan hudud, dan selepas ini ia bakal menimbul polimek dalam Pakatan Rakyat dan isu hudud itu pasti akan dijadikan isu murahan oleh Umno pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu nanti. Tentu!

Penilaian terhadap wacana.

Keseluruhan wacana itu tidak mencapai matlamat untuk mendedahkan idea ataupun mekanisme transformasi politik yang memberi kebaikan kepada bangsa bangsa Melayu dan Islam. Tidak ada kesimpulan atau resolusi dari wacana itu yang mengemukakan bagaimana cara untuk mencapai kata sepakat dalam politik. Kedua pihak terus menengak benang basah antara satu sama lain dengan nawaitu wacana untuk menjatuhkan antara satu sama lain di hadapan penonton.

Abdul Aziz pula juga tidak berperanan seperti diharapkan memberi formula pembaikian politik yang lebih positif dalam mencapai kematangan politik. Beliau lebih menyalahkan sikap kerajaan kerana terlalu banyak menyalahgunakan demokrasi. Persoalan yang diajukan oleh seorang hadirin perempuan yang mahu satu gagasan atau kaedah untuk melihat suasana kondusif dalam politik orang Melayu tidak terjawab oleh sesiapa?
Wacana itu hanya mempamirkan keegoaan masing-masing dan menjadi medan untuk mengulangi kritikan antara satu sama lain yang pernah disajikan sewaktu kempen pilihan raya. Bagaimana pun ia satu menu politik menarik selepas musim banjir di Kelantan.

Dari segi profesional atau gaya pedebatan, Husam agak emosi dan tertekan berbanding Khairy yang datang sebagai tetamu banyak merendah diri dan bersikap terbuka dan apologetik kepada Nik Aziz. Khairy jelas membuat persiapan baik secara fakta dan minda untuk berdepan dengan ribuan penyokong Pas. Keikhlasan terserlah kepada Khairy baik dalam memberi hujah atau harapan untuk mematangkan proses politik khasnya antara Umno dengan Pas.

Husam nampak mahu mengambil kesempatan dari wacana itu bagi menimbulkan kebencian publik kepada Khiary dan bukan mencari titi temu dengan Umno secara profesional dan jujur. Ini jelas apabila Khairy secara terbuka (seloroh) menyatakan sokongan kepada Husam jika Exco itu bertanding presiden Pas di balas oleh Husam dengan menegaskan beliau tidak akan menyokong Khairy untuk ketua pemuda (juga berseloroh).

Husam juga malam itu agak emosi dan tidak berjaya manahan daya intelektualnya apabila mencabar penyokong BN naik sendiri ke atas pentas apabila beliau disorak oleh mereka. "Apa saudara tidak yakin dengan wakil saudara, mari naik sendirilah atas pentas," begitu kata Husam sambil memalingkan muka ke arah kumpulan penyokong Khairy.

Mengenai telatah hadirin, mungkin segelintir hadirin fanatik dan emosional tidak layak berada dalam majlis wacana berkelas ilmiah seperti itu. Apapun sorakan dan cemuhan dari kalangan penyokong kepada Khairy kesediaannya hadir itu satu keberanian dan beliau memperolehi political mailage yang cukup baik. Belum tentu kalau calon ketua pemuda lain Mukhriz Mahathir dan Mohamad Khir Toyo dipanggil mereka bersedia untuk datang.

Secara keseluruhannya baik dari segi keberanian, gaya berhujah, semangat untuk berwacana jelas Khiray boleh diberi 57% manakala Husam 43%. Peratus ini tanpa menolak peratus untuk seorang lagi ahli panel. Kepada penganjur Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri patut diberi pujian atas usaha mengadakan wacana itu. Mungkin pada masa akan datang perlu diperbaiki sedikit sebanyak kelemahan yang ada. [wm.kl 9:30 am 22/12/08]

Sunday, December 21, 2008

Laporan Lewat

Pusingan Pertama: Khairy Sanggah Pandangan Husam
[Bahagian Pertama]

WACANA Tranformasi Politik Malaysia yang berlangsung di Balai Islam Lundang semalam seperti dijangkakan mendapat sambutan hebat. Kedua pihak nampaknya mengerah kumpulan sorak masing-masing. Paling ketara ialah dipihak Pas, di mana angkanya lebih ramai dari penyokong BN yang dianggar kurang 300 orang.

Dianggarkan lebih 5,000 yang hadir memenuhi balai Islam Lundang. Satu skrin khas juga dipasang di luar dewan untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat masuk. Wacana itu yang diuar-uarkan akan disiarkan secara langsung melalui website tidak menjadi kenyataan menyebabkan ramai yang kehampaan. (Apakah web tv Kelantan sudah ditutup?).

Wacana itu adalah pertama kali diadakan melibatkan dua tokoh menjadi sebutan dan yang berlainan parti, iaitu Naib Presiden Pas, Husam Musa dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Seorang lagi panelis ialah Pensyarah Kuliyyah Undang-undang UIA yang juga pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari. Manakala pensyarah UKM, Mohamad Agus Yusuf bertindak menjadi perantara. Kehadiran Aziz boleh dianggap sebagai ‘penutralize’ keadaan saja dengan memberi pandangan dari konteks perundangan dan perlembagaan negara.

Wacana bermula tepat jam 9:30 malam dengan dimulakan oleh Naib Presiden Pas, Husam Musa. Format wacana ialah setiap panel diberikan masa 15 minit untuk membentang hujah masing-masing, kemudian menjawab soalan yang dikemukakan oleh perantara dan ketiga menjawab soalan hadirin dan kemudian menggulung hujah.

Sebagai tuan rumah dan bermain dalam gelanggang sendiri, penampilan Husam tidak membimbangkan. Penyokongnya (penyokong Pas) yang ramai menjadikan Husam tampil penuh keyakinan dengan hujah-hujahnya yang sering berdasarkan fact dan figure. Manakala tepukan, sorakan dan takbir akan memberi markah kepadanya.

Beliau memulakan pembentangan hujah dan pentafsiran tajuk wacana dengan mengambil pendekatan dan stail idolanya Nik Abdul Aziz Nik Mat. Husam membaca firman Allah swt yang menceritakan bahawa bumi ini diamanahkan kepada orang yang salih untuk mentadbirnya.

Mesej Husam bahawa mereka yang bertaqwa, tidak rasuah, tidak makan duit dan mengambil politik Islam dijamin atau berhak mentadbir bumi ini. Kemudian beliau terus memasuki ke orbit tajuk iaitu mentafsirkan transformasi politik.

Menurut Husam tranformasi politik sesuatu yang fitrah. Maknanya tranformasi politik berlaku di dalam dan di laur mana-mana parti juga. Apa yang hendak disampaikan bahawa ahli Pas juga harus bersedia menerima perubahan itu daripada mengamalkan pendekatan lapok kepada pendekatan baru atau moden termasuk matlamat menghalalkan cara. Namun sebagai parti berideologikan Islam apa juga perubahan mestilah bertunjangkan kepada Islam.

Dalam menghuraikan transformasi politik dari sudut mindanya ada lima (P) yang menjadi asas. Ia adalah prinsip, polisi, plan, personaliti dan parti-parti. Prinsip yang dimaksudkan ialah prinsip Islam manakala personaliti pula ialah ahli politik yang bertaqwa.

Dari pengamatan Husam hasil pilihan raya umum ke 12 lalu merupakan satu permulaan transformasi politik di negara. Di mana dalam transformasi itu ia telah mengubah kedudukan dan memusnahkan hegemoni Umno dan BN.

Beliau yakin perubahan itu akan melonjak lagi pada masa akan datang berdasarkan sokongan bukan Melayu kemudian akhirnya menyebabkan BN dan Umno akan tumbang dan Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan.

Kesimpulan pada pusingan pertama Husam merumuskan Umno di dalam keadana sakit dan tenat dan ia tidak dapat diperbaiki lagi ini didasarkan kepada pengakuan para pemimpin Umno dan BN sendiri.

Memandangkan hujah permulaan Husam itu cukup menyakinkan menyebabkan para hadiri berdebar menanti bagaimanakah permulaan Khairy untuk mengemukakan hujah-hujahnya dan pentafsiran terhadap topik wacana. Para penyokong Pas yang menanti masa untuk menyorak apa-apa kelemahan dan kesilapan bakal dilakukan Khairy. Bagaimana pun apa yang dijangkankan tidak menjadi.

Khairy memulakan perbicaraanya dengan sesuatu yang merujakan para hadirin. Sebaik Khairy memulakan dengan memberi salam sudah kedengaran suara menjerit mempersendakan Khairy; kenapa ringkas sangat! Maksudnya muqadimah Khairy tidak sehabat Husam yang membaca ayat Quran dan doa dalam bahasa Arab ala-ala tok imam membaca khutbah pada hari Jumaat atau hari raya korban.

Namun apabila Khairy turut membaca sepotong firmah Allah yang menceritakan tanggungjawab menjaga dan memikul amanah semua hadirin terdiam dan tidak percaya apa yang berlaku. Ternyata sekali tindakan Khairy itu mengejutkan hadirin termasuk Exco dan beberapa orang wakil rakyat Pas termasuk para ustaz. Sekiranya tujuan Husam membaca Quran untuk memasungkan langkah Khairy ternyata senjata itu tidak mujarab.

Sesuai dengan tema ayat yang dibacanya, Khairy mengaitan apa yang dilaksanakan oleh BN hari ini ialah kerana melaksanakan amanah yang Allah berikan. Misalnya pembentangan rang undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysai,(SPRM) Suruhajaya Perlantikan Hakim (SPH) dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah sebagai amanah BN dan ia merupakan tranformasi politik yang telus dan terbuka.

Tanggapan Husam mengatakan pilihan raya lalu merupakan transformasi yang mengubah Umno dan BN, disanggah Khairy. Katanya beliau mengakui tsunami politik yang berlaku itu tetapi memperingatkan secara jujur tsunami itu juga turut menempiaskan Pas.

Katanya Pas kena ingat realiti dan kedudukannya dalam Pakatan Rakyat hari ini adalah kecil. Pas menjadi parti kecil. Hujahnya kalau tahun 1999 Pas menjadi ketua Pembangkang, tetapi kali ini jawatan itu diambil oleh Keadilan yang pada tahun (2004) hanya menang satu kerusi saja. Begitu juga katanya Pas tidak boleh berbangga dengan pembetukan kerajaan di Perak kerana hakikatnya DAP yang berkuasa.

Khairy juga mempertikaikan apakah perubahan mood pengundi dalam pilihan raya dulu sesuatu yang benar ataupun ianya dibuat kerana protes? Perkembangan itu katanya harus dikaji secara terperinci. Menurut calon Ketua Pemuda Umno itu kalau ianya protes ia akan berubah di mana bila masalah yang diprotes itu selesai pengundi akan kembali semula kepada BN.

Aziz Bari yang tampil kemudian pada itu nampaknya bersetuju dengan pandangan Husam bahawa keputusan (tranformasi) dalam pilihan raya itu satu tranformasi. Menurutnya dalam politik tidak ada istilah protes. Mengenai perubahan dalam Pas katanya samada ada kumpulan Erdogan ia adalah sesutau yang baik. Perubahan baik di dalam dan luar dalam politik ia satu kebaikan. [wm.kl 3:00 pm 21/12/08]

Saturday, December 20, 2008

Embargo

Tokoh Umno Akan Sertai Pas

SALAH seorang ahli Umno yang dikenakan tindakan dipecat dari parti itu baru-baru ini akan mengumumkan penyertaannya ke dalam Pas esok. Pesiapan terakhir majlis kemasukan itu sedang diaturkan dan ianya akan diadakan di sebuah hotel dekat ibu kota samada esok ataupun lusa.

Ahli berkenaan merupakan salah seorang pemimpin peringkat bahagian Umno yang dikenakan tindakan dipecat dari parti itu baru-baru kerana dianggap telah memalu dan menjatuhkan imej parti berkenaan.

Maklumat yang sampai kepada saya semalam dan hari ini mengatakan upacara kemasukan individu berkenaan akan berlaku di hadapan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Tidak disebut pula apakah individu berkenaan akan menyertai Pas bersama pengikutnya ataupun hanya beliau bersendirian saja. Difahamkan individu berkenaan seorang tokoh berpangruh dan mempunyai ramai pengikut.

Dengan kemasukan individu berkenaan ia menambahkan kekuatan Pas yang mana akhir-akhir ini semakin mendapat kepercayaan dari kalangan korporat dan akademis. Kemasukan menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu juga sedikit sebanyak menyuntikkan lagi semangat kepada kalangan penyokong dan ahli Pas untuk bekerja keras demi kemenangan parti itu. [klia jam: 4:05 pm 20/12/08]

Mengadu Rasa

Bila MAS Dah Jadi Macam Keretapi

DUA perkara dalam hidup yang saya tidak suka dan membencinya ialah, kalau orang bohong dan tidak menepati masa. Pantang bagi saya kalau orang berbohong. Bohong ini termasuklah tidak menunaikan janji ataupun cakap lain buat lain. Sebab itu saya sering bilang pada kawan-kawan yang suka berbohong, kalau hendak berbohong dengan saya biarlah bohong itu tidak diketahui sampai selama-lamanya. Biar sampai ke akhirat.

Kalau tidak jangan berbohong. Kalau hanya setakat satu hari atau 10 tahun usahlah berbohong. Atau kalau merasakan tembelang bohong itu akan pecah dalam jangka masa tertentu usah berbohong. Buruk padahnya nanti!

Kedua ialah mengenai waktu. Saya cukup menjaga soal waktu. Lewat sesuatu yang membosankan. Sebab itu saya kalau berjanji dengan seseorang akan berusaha memenuhi walaupun apa pun keadaan. Kegagalan menunaikan janji seolah diri dibaham penyakit. Setengah jam sewaktu tiba masa dijanjikan saya sudah ada. Saya tidak akan berkompromi dengan orang yang suka memakan masa - maksudnya bermain dengan waktu.

Intro ini sebenarnya untuk menghentam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang sering lewat ke belakangan ini. Sebelum ini kejadian lewat sampai berjam-jam ini berlaku pada penerbangan tambang murah Airasia saja atau Keretapi Tanah Melayu (KTM). Tetapi sejak ke belakangan ini ianya berjangkit pula kepada MAS.

Bayangkan saya sepatutnya terbang ke KB jam 3:20 petang. Jam 2:50 masuk ke balai berlepas. Tetapi saat ini bayangan kapal terbang pun tak nampak lagi. Ruang menunggu perlepasan masih senyap sendu. Tidak ada apa-apa pengumuman yang dibuat mengenangi penerbangan berkenaan.

Bila tengok jadual penerbangan rupanya kapal ke KB lewat, jam 17:00 petang alias jam 5 petang. Itupun belum pasti lagi. Ini bermakna lewatnya mamakan masa lebih dua jam. Apa kata kalau dibuatnya ditambah sejam dua lagi. Ibarat tua di airportlah penumpang.

Apa sudah jadi hanya Tuhan saja yang tahu. Kes-kes bengang begini bukan sekali, sudah acap benar. Rasanya kalau 10 kali balik ke KB yang tepat pada masanya dua atau tiga kali, selebihnya lewat. Kalau tidak lewat pun sering kali berlaku pertukaran pintu masuk.

Kadang-kadang penumpang sudah bergelewat di pintu masuk yang ditetapkan, tetapi alih-alih kedengaran pengumuman ditukar ke pintu lain. Berderau penumpang macam anak ayam takut hujan menerpa ke pintu lain. Penumpang yang membawa bayi pula terkinja-kinja menggalas anak tyang sudah merenget kerana sudah jemu menunggu.

Saya tidak faham dengan sistem penerangan Malaysia ini. Kalau dibaca dalam surat khabar semuanya elok dan berjalan lancar. Tetapi di airport bersepak dan haru biru jadinya.

Yang meneyedihkan tidak ada permohonan maaf daripada mana-mana pihak. Ia dibiarkan begitusaja macamlah mereka yang nak naik kapal terbang tunggul kayu tidak ada perasaan dan hati perut langsung.

Ataupun mungkin juga tukang hebahnya sudah bosan dengan kelewatan dan pertukaran pintu masuk yang kerap sangat sehingga mereka pun kehabisan suara untuk memohon maaf.

Kepada anak beranak Idris Jala (CEO Mas) perhatikan masalahnya. Kalau anda sudah merasakan tidak larat atau tidak mampu untuk memperbetulkan sistem penerbangan ini silalah letak jawatan. Rasanya masih ada orang yang berkemampuan untuk perbetulkan kerumitan ini. Tolong... dan ingat atas kelewatan yang berlaku itu ia membeban dan merugikan para penumpang. [klia 3:25 20/12/08]

Sengsara Rakyat

Talib Akan Rebah Bersama Rumahnya

SAYA sengaja memaparkan gambar warga emas bersama cucunya yang duduk di bawah rumah mereka yang robek (seperti di atas) itu beberapa hari lalu. Tidak ada laporan atau penghuraian mengenai mereka melainkan tertulis perkataan "Selamilah Rahsia Dalam Gambar ini."

Saya mahu menguji sejauh mana sensitiviti kita semua dengan keadaan begitu. Apakah kita mempunyai jiwa yang halus atau pun sebaliknya. Melihat sesuatu peristiwa itu dengan keinsafan dan bersedia untuk melakukan apa-apa. Ataupun melihat sekadar imbasan-imbasan seperti mana kita melihat gambar-gambar dalam laman web atau portal berita tanpa bertanya lebih jauh.

Saya yakin ramai yang melihat gambar berkenaan. Mungkin yang baru pertama kali ataupun yang berulang kali sampai ada sudah merasakan muak.
Ternyata dalam ribuan pasangan mata yang menatapnya tidak ramai yang memberi atau bertanya lanjut mengenainya. Hanya beberapa kerat saja bertanyakan mengenai warga emas berkenaan dan mengakui untuk memberi sumbangan bantuan. Terima kasih. Apakah kita yang lain kurang peka?

Apa yang dipaparkan itu adalah kebenaran. Satu realiti yang sebuah kehidupan dihadapi oleh warga emas bersama seseorang cucu dan seorang anaknya. Warga emas itu ialah Talib Che Din berusia 57 tahun yang tinggal di Kampung Sungai Kecil, Pulau Pangkor Perak.

Keadaannya sungguh daif dan menyedihkan sekali. Saya tidak mahu menambah kesengsaraannya dengan kata-kata atau lukisan emosi yang menyayatkan hati para penjenguk. Tetapi penjenguk dapat membayangkan sendiri betapa sulit hidupnya dengan memerhati suasana rumahnya itu.
Keseluruhan rumah itu; lantai, dinding dan atap sudah robek dan sudah bocor. Saya tidak dibenarkan naik bimbang takut runtuh. Bayangkan bagaimana beliau bersama tiga beranak dan bercucu itu melindungi diri dari hujan dan panas.

Rumah itu sudah berusia dan di mamah waktu. Tapak tempat ianya berdiri kepunyaan orang Cina! Dalam keadaan yang uzur hari ini tidak mungkin beliau dapat membaiki keadaan rumah dan kehidupan dia bersama seorang anaknya, Kamaruzaman 15, yang terencat akal dan cucu, Awi 5, yang ditinggalkan ibunya. Apa yang boleh dilakukan hanya pasrah kepada keadaan.

Menurut Talib Adun Pangkor, Zamry Abdul Kadir dan ahli Parlimen Lumut, Kong Cho Ha pernah menjenguk rumah itu dua kali dan menjanjikan untuk menghulurkan bantuan. Mereka datang sebelum pilihan raya 2008. Kini sesudah lapan bulan berlalu, janji belum ditunai dan bayangan mereka sudah tidak nampak lagi.

Talib tidak akan meminta dan merayu kepada sesiapa. Katanya; "Saya tidak akan meminta dan merayu lagi, sudah cemuh..." Menyelami perasaan itu beliau redha akan rebah bersama rumahnya itu.
Kebetulan kerajaan Perak kini dibawah Pakatan Rakyat yang menjadikan Kebajikan sebagai slogan. Tanggungjawab menjaga orang-orang seperti Talib itu berada dalam tanggungjawab mereka. Apakah Menteri Besar, Mohammad Nizar Jamaluddin yang berkunjung ke Pulau Pangkor dua minggu lalu tidak terbias dengan gambaran kehidupan rakyat seperti itu.
Tidak ada guna kita melaungkan slogan Kerajaan Berkebajikan kalau kehidupan rakyat terbiar dan melarat?

Secara peribadi besar harapan saya kalau Muhammad Nizar atau setiausaha dan pegawainya melihat dan membaca kisah ini... mereka bukan saja mengeluh dan marah dengan apa yang berlaku, tetapi buatlah sesuatu untuk meringankan warga emas bersama seorang anak dan cucu berkenaan.
Kita mahu tengok apakah ada perbezaan relatif antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan kerajaan Barisan Nasional! [wm.kl. 7:15 am 20/12/08]

Friday, December 19, 2008

Menanti Peristiwa

Husam, Khairy Atas Satu Pentas Malam Esok

MALAM esok Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu akan menjadi tumpuan para peminat politik di sekitar Kota Bharu. Malam besok akan berlangsungnya wacana alias debat politik yang membawa tajuk Transpformasi Politik Malaysia. Tajuk itu mungkin tidak penting, namun kesediaan dua ahli panelnya untuk hadir yang menjadi perhatian dan daya tarikan.

Dua dari tiga ahli panel forum itu yang dimaksudkan ialah Naib Presiden Pas, Husam Musa, 49 dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, 34.

Keduanya berjawatan naib, satu naib presiden, sata lagi naib ketua. Kebetulan juga keduanya dalam proses untuk memperbaiki kedudukan dan pengaruh dalam parti masing-masing. Khairy dalam persiapan untuk menobatkan diri menjadi Ketua Pemuda, manakala Husam dalam persiapan untuk melonjak ke atas kalau tidak presiden atau timbalan presiden Pas setahun akan datang.

Inilah pertama kali keduanya duduk atas satu pentas dalam wacana politik. Keduanya adalah tokoh popular dan kontroversi dari sudut berlainan! Ironisnya mereka juga pernah 'bergaduh' dan saling bercakar mulut sebelum ini. Bahkan Husam pernah disaman Khairy dan kes itu masih belum selesai ekoran dakwaan Husam mengenai syarikat ECM Lebra.

Apabila mereka menyatakan kesediaan untuk duduk sepentas ia memberi gambaran yang baik dan penada positif yang secara tidak langsung menggambarkan sikap profesionalisme mereka. Satu sikap dan pemahaman politik yang jilah dan konstruktif. Sikap dan pemandangan beginilah yang kita mahu menjadi amalan para ahli politik kita; sedia berdebat, bertukar pandangan dan memgemukakan idea untuk masa depan nusa dan bangsa. Bukannya saling mengkritik peribadi masing-masing dan membicarakan isu remeh temeh seperti soal warna bendera dan sebagainya.

Apakah agaknya yang akan ditransformasikan oleh kedua ahli panel itu malam besok? Pastinya ia tidak akan membabitkan soal peribadi yang sering diungkitkan oleh ahli politik lain seperti berlaku sebelum ini. Ataupun cuba memperdebatkan dogma atau doktrin partisan yang nihil. Esok hendaknya tidak ada sisapa yang mengungkit isu peribadi, sebalik masing-masing biarlah ikhlas dan jujur dalam meluahkan pandangan dan idea politik dalam usaha membena politik bangsa, agama dan negara.

Husam dalam pendekatan politiknya agak menarik bila mana beliau banyak mecairkan kebekuan politik; sikap, pandangan dan pemikiran dalam Pas sebelum ini. Kehadiran Husam umpama bahan yang mecairkan satu larutan yang sudah tepu dalam Pas. Beberapa pendekatan ekonomi dan politik di Kelantan yang dipraktikan sungguh mengejutkan.

Politik yang demikianlah politik yang selari dengan pemikiran kontemporari dan naluri politik generasi kini yang mahu merungkai dogma dan fahaman lama. Inilah salah satu sebab kenapa Husam dilihat terkedepan daripada tokoh-tokoh lain di dalam Pas. Kelainan dan kelajuan ini menimbulkan bahaya kepada Husam. Kerana beliau berfikir 50 batu jaraknya sebelum orang memulakan untuk berfikir menyebabkan beliau dicemburui oleh orang tertentu!

Demikian juga stail dan sikap Khairy Jamaluddin. Beliau ternyata pemuda yang tidak mengikut acuan politik dendam, politik sempit diamalkan oleh generasi Umno sebelum ini. Paling mempersonakan dan merujakan ialah keterbukaan dan keberanian ahli Parlimen Rembau ini dalam memberi pandangan dan pendapat politiknya. Beliau lebih melihat kepada masa depan daripada agenda klise partinya sendiri.

Pengalamannya berada di kampos di luar negara memberi kelebihan kepada beliau untuk memcuba sesuatu yang agak kontras dengan sifat-sifat jumud politik Melayu selama ini yang mentradisi dalam Umno.

Perbezaan pandangan dan bentuk pemikiran Khairy dengan oder lama dalam partinya ini bakal menyulitkan pembangkang di masa akan datang sekiranya ia diakses dalam Umno menerusi Khairy. Secara tidak sedar misalnya pandangan yang dilontarkannya dalam sesuatu isu sosial dan politik ia mengendungi semangat dan aspirasi sama dengan pembangkang. Sebagai contohnya mengenai penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dianggap tidak wajar lagi. Bagi Khairy mahasiswa tidak sepatutnya dikawal.

Perwatakan dan pemikiran demikian yang berlainan atau agak positif dalam konteks politik generasi kini menyebabkan saya meletakkan akan berlaku satu percambahan minda yang cukup baik malam besok. Kedua ahli panel itu sudah pasti akan meluahkan idea asli mereka yang mana secara tidak langsung jika mereka menjadi pemimpin itulah yang akan dipraktiskan kelak.

Wacana malam besok bukan untuk melihat siapa lebih jagoan antara Husam dan Khairy. Atau bukan untuk meliaht siapa lebih beretorik dengan pidato pengukuhan diri masing-masing, dengan madah, petikan atau ayat Quran dan sebagainya. Apa yang dituntut dan diharapkan wacana malam besok adalah wacana politik yang coherence dengan politik bangsa dan untuk masa depan negara yang realistik dan rasional.

Sama-samalah hadir di Balai Islam Ludang malam besok bermula jam 9:00 malam. Dan saya juga dijangka akan turut sama hadir, lagipun sudah lama tidak berada dalam majlis yang dihadiri Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Husam Musa itu. [d'kota kl 2:30 pm 19/12/08]