Tuesday, February 26, 2008

Catatan Perjalanan 2

Saifuddin Disenangi Rakyat

SEBAIK melewati kawasan parlimen Ketereh saya menghubungi calon PKR parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail untuk mendapat sedikit maklumat berhubung perkembangan dan peluangnya di Machang.

Beliau juga seperti Alwi Che Amat, sibuk. Ketika dihubungi tengah hari kelmarin beliau baru lepas bertemu dengan seseorang di Kota Bharu kemudian bergegas pulang memasuki ke kawasannya di Machang.

Kami menunggunya di hadapan sekolah Sains Labok selepas beliau meminta agar kami menantinya di situ. Kedua kawan saya itu; Kamal Amir Kamal Hijaz dan Najib beriya untuk berjumpa Saifuddin bagi memberi semangat dan mengucapkan selamat berjuang.

Kami bertemu di sebuah warung di hadapan sekolah Sains Labok. Lebih satu jam kami bersama Saifuddin berbagai cerita dan perihal politik Machang diperkatakan. Dari risk risik itu tampaknya calon PKR itu tidak ada masalah di Machang setakat ini dan beliau juga nampak ceria. Walaupun calon BN telah menimbulkan isu orang luar tapi beliau diterima dengan baik
oleh penduduk Machang.

Ini dapat dibuktikan sebaik beliau melangkah masuk ke warung itu beberapa pelanggan yang sedang minum semuanya bangun dan bersalam dengan beliau. Begitu juga mereka yang ternampaknya di kedai itu masuk dan berpelukan dengannya. Seolah Saifuddin sudah dikenal sejak bertahun lalu.

Diundang

"Saya gembira Ti, nampaknya rakyat menerima saya. Hari-hari saya diundang untuk menemui rakyat. Yang sedapnya, bukan orang Pas, tetapi orang Umno.. siap dengan menyediakan jamuan laksa dan nasi dagang lagi.." begitulah kata Saifuddin puas suatu masa kepada saya bila saya bertanya mengenai keadaannya di Machang.

Jadi isu beliau orang luar yang ditaburkan BN tidak berbekas dan tidak pun masuk ke dalam kepala pengundi di Machang. Orang Machang seolah tidak lagi merasakan menantu cikgu Musa sebagai orang asing.

Saya yakin isu orang luar itu tidak menjadi masalah kepada bekas Adun Lunas, Kedah itu. Rakyat Machang bukan sehari mengenali Saifuddin. Kepopularitinya sebagai tokoh muda yang petah dan bijak berpidato menggunakan fakta dan angka menjadikan beliau terkenal bukan saja di Machang tetapi di mana-mana saja. Nama Saifuddin sangat seninonim dengan pemidato yang berkualiti dan bisa mempersonakan pendengar.

"Macam mana, Pak cik, dengan Saifuddin ni, orang kata dia orang luar. Bolehkah dia menjadi wakil rakyat di sini?" saya mengajukan pertanyaan itu kepada salah seorang pelanggan di warung berkenaan sekadar mahu mengujinya.

"Tak pa Encik, orang luar pun kita terima. Kalau orang dalam tetapi sekali setahun tak jumpa tidak guna...buat gapa," belas pelanggan berkenaan.

Pelanggan itu menempelak ahli Parlimen BN, Sazmi Miah yang katanya selepas menang dulu tidak pernah nampak batang hidung. Sazmi dikatakan jarang balik ke Machang dan banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur. Rumahnya juga di Putrajaya. Beliau balik ke Machang bila ada menteri atau timbalan menteri datang ke Kelantan.

Perkara itu diakui sendiri oleh tuan warung berkenaan yang mengaku hanya sekali saja Sazmi menjejak kaki ke kedainya iaitu ketika hendak mengundi empat tahun lepas. Selepas itu dakwanya beliau tidak pernah lihat wajah Sazmi sehinggakan mungkin sudah tidak kenal. "Mungkin kalau dia datang, saya tidak kenal lagi bagaimana wajahnya," katanya.

Soal orang luar dan orang dalam ini sebenarnya tidak timbul. Saifuddin bukan baru di Machang. Beliau sudah tinggal di situ sejak tiga tahun lalu. Isterinya adalah orang kampung Alur Hijau, Machang. Beliau juga lebih dikenali sebagai menantu cikgu Musa, bekas Bendahari Pas Machang.
Memerhati apa yang berlaku dan dilihat sendiri di dalam warung berkenaan, jelas Saifuddin tidak asing di Machang dan diterima umum. Tidak hairan kenapa kalau orang ramai mudah terpikat dengannya sebab wataknya yang mudah mesra dan cara hidupnya yang simple. Tidak sombong dan tidak berat tangan untuk bersalam dengan sesiapa saja.

Selain itu peranannya dalam membantu agensi kebajikan di Kelantan atas panggilan atau kehendak Tok Guru iaini menguruskan dana pendidikan, Tabung Tok Kenali dan penyaluran wang Kifalah kepada warga emas dan armalah menyebabkan bukan saja rakyat Machang tetapi rakyat Kelantan seluruhnya mengenali Saifuddin sebagai Pegawai Kebajikan Kelantan. Itulah ikon Saifuddin di Kelantan, lebih menonjol daripada beliau sebagai ahli politik.

Senario yang ada hari ini menampakkan harapan Saifuddin di Machang adalah cerah. Calon parlimen BN, Sazmi harus bekerja keras dan terpaksa menggunakan taktik-taktik luar biasa untuk menafikan Pegawai Kebajikan Kelantan itu. Atau tidak mustahil juga selepas ini Sazmi akan melapazkan janji kepada penduduk Machang akan senantiasa berada di dalam kawasan kalau dipilih sebagai ahli Parlimen. BERSAMBUNG ke Catatan Perjalanan ke 3 [penang 3:00 am 26/02/08]

No comments: