Sunday, February 17, 2008

Reaksi

Jangan Bakar Kelambu
(Apologi kepada sdr Ramli)

SEBELUM melelapkan mata saya sempat menyilau ke blog Kapak Jangak kepunyaan sahabat saya sdr Ramli Abdul Halim. Tertera satu posting terbaru olehnya - Berani Tulis Berani Tanggung 3. Saya paksa juga membacanya kerana ingin tahu apa mesej yang hendak disampaikan meskipun mata sudah mengantuk.

Ada tiga subjek saya fahami yang hendak disampikan atau diterakan. Pertama sikap orang Pas yang taksub dan ekstrim, (menganggap mereka terbaik dan orang lain jahat), kedua mengenai pilihan raya 8 Mac depan, dan akhirnya tentang harapannya agar Pas kalah dalam pilihan raya ke -12 ini. Dalam erti kata lain biarlah Kerajaan Pas Kelantan lenyap. Mesej ini menyeksakan saya.

Ramli mungkin bertujuan baik dan mahu menyedarkan mana-mana oknum yang tidak sedar di dalam parti itu.

Di sini saya tidak mahu mengupas mengenai apa yan ditonjokan iaitu sikap orang Pas yang mengaku Islam dan mengkafirkan orang Umno. Bagi saya isu itu adalah lama dan tidak berbangkit dan perlu dibangkitkan lagi. Pas tidak lagi berpegang kepada pandangan begitu. Itu berlaku di era tahun 60an - 70an di zaman ulama dan ustaz oder lama.

Sdr Ramli mungkin sedikit ketinggalan maklumat mengenai hal ini atau pun tidak cuba mahu memahami akan perkembangan Pas mutakhir ini khasnya di bawah era ulama kepimpinan Tok Guru Nik Aziz yang dinamik dan progresif.

Seingat saya Nik Aziz tidak pernah mengkafirkan orang Umno atau pun bersetuju dengan pandangan usang sebelum ini. Malahan pendekatannya dengan Umno bahkan orang kafir sebenarnya (kafir zimin dan 'harbi') pun lunak. Dan sekiranya masih ada sisa-sisa orang Pas yang berpandangan demikian ia adalah di luar tanggungjawab Nik Aziz dan itu adalah pandangan peribadi.

Saya rasa sdr Ramli pun faham dan mengerti hal ini.

Saya bersetuju dengan Ramli bahawa pilihan raya ini membimbangkan. Kalau tidak kena cara ia boleh menyebabkan Kelantan akan terlepas kepada Umno. Ada beberapa indikator dan perkembangan menbayangkan kemungkinan itu. Misalnya soal perebutan calon dan juga sikap sesetengah orang Pas yang pentingkan agenda peribadi dari agenda perjuangan dan berusaha untuk memantapkan perpaduan parti. Ini bahaya.

Kalau tidak dibatas dan dibendung ia akan menjadi masalah kepada Pas.

Bagaimana pun saya tidak setuju dengan harapan atau pun 'doa' Ramli atas maslahat dan maksud apa sekali pun yang mahukan Pas kalah. Bagi saya berdoa agar Pas kalah berdosa besar!

Dalam konteks apa yang sdr Ramli marahkan itu Pas tidak bersalah. Yang bersalah adalah segelintir para pemainnya saja. Adalah tidak kena kalau disebabkan seekor kerbau yang membawa lumpur semua kerbau lain harus dihalau.

Pas yang ditubuh pada 1951 itu tetap suci dan murni. Ia diharap akan terus menjadi wadah perjuangan kepada bangsa Melayu untuk memartabatkan Islam dan bangsa. Sekaligus ia juga perlu dikekalkan bagi menjadi pengimbang kuasa Melayu dalam politik negara ini.

Pas harus diterima sebagai adik abang ataupun penasihat kepada Umno dan begitu juga Umno suatu masa nanti akan menjadi penasihat kepada Pas seperti mana berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Sebab itu seburuk-buruk pemikiran Dr Mahathir terhadap Pas tetapi dalam konteks survival politik Melayu beliau suka kalau Pas menang dan menjadi pembangkang terkuat.

Pandangan mengatakan Pas dan Umno adalah sama sesuatu yang malang. Pas dan Umno tetap berbeza. Yang ingin menyamakan adalah segelintir orang-orangnya yang berselera besar. Saya sendiri tidak menafikan fenomena ini. Di sini apa yang perlu diislahkan ialah orang-orang yang sedemikian. Perbetulkan orang, tegur orang dan bukannya Pas sebagai organisasi siasah.

Barangkali adalah lebih afdal kalau dalam situasi hari ini sdr Ramli tidak terlalu menyerang Pas sebalik hanya tumpukan saja kepada mereka yang hari ini menjadi mahkluk perosak kepada Pas.

Perlu diingat kalau Kerajaan Pas sudah kalah dan hancur amatlah sukar untuk dibangunkan kembali. Mungkin ia memakan masa lebih daripada 15 tahun. Kehancuran kerajaan Pas Kelantan memberi kesempatan kepada musuh untuk terus memporakperandakan Islam dan entiti Melayu di Kelantan.

Perlu juga diingat bahawa sebahagian keunikan Kelantan yang sama-sama kita agungkan ialah kerana ianya diperintah oleh Pas. Pas adalah sebahagian daripada identiti Kelantan.

Ampun maaf semoga pandangan ikhlas ini bermanfaat untuk kita semua. [wm.kl 3:05 am 17/02/08]

No comments: