Friday, April 25, 2008

Sebelum Beradu

Menjejaki sang wira reformasi
Kitab Apa Yang Ezam Baca Sekarang?

BILA merujuk kepadanya dan perjuangan reformasi, saya menggelarkannya sebagai Kembar Siam dengan sdr Mohd Azmin Ali yang kini Adun Bukit Antarabangsa dan ahli Parlimen Gombak. Mengapa saya mengidolakan beliau begitu kerana pada saya pemain utama yang bermati-matian membela Anwar Ibrahim dan menggerakkan reformasi antara orang utamanya mereka berdua.

Kebetulan mereka berdua orang kanan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, seorang sebagai Setiausaha Politik dan seorang lagi sebagai Setiausaha Sulit. Hal-hal politik, merancang dan merangka masa depan – termasuk untuk memerintah negara dilakar oleh si pemegang jawatan itu.

Manakala hal-hal yang sulit dan personal berhubung Anwar dipegang diselindung sekemasnya oleh pemegang jawatan berkenaan!

Orang yang ingin saya tampilkan dalam tulisan tengah malam ini tidak lain dan tidak bukan Sdr Muhammad Ezam Mohd Noor, putera reformasi yang berwajah tenang dan romantik. Yang bermata lembut namun memiliki sekeping hati yang keras mewaja.

“Dia orang Bugis,” begitu beritahu seorang kawan.

Si kawan itu mengetahuinya semasa ibunya menaiki pentas bersama isterinya Bahirah dalam rangka membela Ezam yang ketika itu sedang meringkuk di dalam penjara gara-gara mempertahankan Anwar. Kata kawan itu, ibunya kata, Ezam Bugis.

Tidak lekang dek undang-undang

Bugis satu suku kaum berasal dari Indonesia dan terkenal sebagai pedagang dan juga puak yang menguasai perairan, lautan. Kalau tidak silap saya keturunan Sultan Johor dan Selangor juga dari Bugis. Raja Petra Kamarudin 'raja blogger' juga berketurunan Bugis sebab itu beliau berani dan tidak lekang dek undang-undang!

Sudah lama saya tidak ketemui si Bugis romantik ini. Hanya berhubung menerusi telefon sekali sekala. Menjelang pilihan raya lalu saya menghubungi beliau bertanya mengenai penglibatannya dalam pilihan raya dan cuba mencungkil apakah beliau ingin sertai atau tidak.

“Biarlah Sheikh, tunggu dulu. Kita berikan laluan kepada kawan-kawan. Saya kemudian.... kalau saya bertanding pun atas parti lain atau bebas, biarlah,” begitulah elaknya apabila dicadangkan beliau bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Kelantan. Tujuan saya bukan apa kerana ingin melihat Ezam berada di Parlimen berpidato dan menyerang kedurjanaan melampau kerajaan BN.

Beliau tidak bertanding. Keputusan itu menghairankan bukan saja saya tetapi kawan-kawan lain juga. Apa lagi selepas keputusan pilihan raya 8 Mac 2008 yang menunjukkan pembangkang menang besar, rasa terkilan dan kesal membedal jantung hati. Seharusnya Ezam ikut sama menjadi orang-orang yang menang kerusi.

Adalah tidak adil saya rasa, kalau kita hanya mengingatkan Ezam waktu kita susah. Tetapi kita melupainya apabila kita sudah menang. Harus diingat denai-denai perjuangan yang memungkinkan kemenangan ini terjelma adalah hasil bajakan dan tebas tebang olehnya.

Saat kita memotong kek kemenangan tiba-tiba bayangan Ezam pun tidak kelihatan. Sesuatu yang sungguh mengilan dan memilukan.

Atas kesedaran itu saya mengagahi diri menghubungi Ezam dan ingin berbicara mengenai politik dengannya. Dalam hati sebenarnya ingin membuka rahsia jiwanya dan melihat apakah kitab perjuangan yang sedang terdampar dalam jiwanya dan ditelaahnya saat ini.

Petanda ingatan kepadanya, semasa di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, sempena majlis Black 14 dan majlis kesyukuran meraikan kemenangan, saya tertekun beberapa jurus apabila ternampak semacam wajah Ezam di pentas. Ia berdiri sama gagah dan seiring dengan Anwar dan Azmi. Seolah sedang mengapit Anwar seperti selalunya di pentas-pentas reformasi sebelum Anwar ditangkap.

Seorang Rejuna

Bukan main perasaan saya dilambung keseronokan dan kebahgiaan. Namun ia sekejap saja apabila sosok itu bukan Ezam tetapi manusia lain yang menyerupainya. Saya jadi sayu dan teringatkan Ezam. “Ah Ezam... mengapa kau?” soal saya ketika itu sendiri bagaikan seorang Rajuna yang baru kehilangan Sita Dewinya.

Iya sebenarnya saya menyayangi Ezam kerana semangat dan keberanian yang ada pada dirinya. Saya menyayangi Ezam kerana pemikiran dan lontaran pandangannya yang kemas dan mantap. Bagi saya orang-orang seperti Ezam itu adalah idola dan aset kepada perjuangan yang tidak harus dibiarkan dan dibazirkan begitu saja. Orang seperti Ezam adalah watak-watak subur nan hijau dalam persada politik bangsa!

Persis Ezam jugaklah saya menyayangi orang itu. Kalau tidak masakan saya mendokong dan memberikan pakaian indah dan molek kepadanya selama bertahun-tahun. Menjauhkan kulitnya dari eceran pena saya. Meletakkan harapan besar untuknya menjadi khalifah di hari muka. Cuma silap dan salahnya mungkin dari saya juga yang meletakkan (expectation - berperasaan) harapan tinggi terhadapnya. Menganggap apa yang ada dalam jiwa saya, itulah juga yang bermukim di dalam hatinya.

Bagaimana dengan Ezam hari ini dan masa depannya? Pernah saya menyatakan Ezam tidak betah dengan Gerak. Gerak bukan gelanggang sebenar bagi Ezam. Sang Matado sepertinya memerlukan gelanggang yang lebih luas dari itu untuk menanduk dan menggulingkan mangsa demi menegakkan keadilan. Apa lagi beliau pernah berada dalam lapangan yang mega, ruang sesempit Gerak itu tentulah sangat sempit.

Bila-bila pun saya tidak akan percaya kalau Ezam memutuskan untuk melambakkan hayatnya hanya bersama Gerak. Bila sampai masa dan ketika Ezam akan bergerak lebih jauh dan besar juga. Beliau, dengan bakat, keterampilan dan daya intelektualnya harus berada di arus perdana siasah negara. Beliau tidak boleh terperap dalam guni NGO kerana itu merugikan dan suatu pembaziran sumber manusia kalau beliau terus berselimut seperti hari ini.

Bangsa dan nusa memerlukan sentuhan Ezam. Apa lagi dalam suasana politik Melayu hari ini yang rencam dan kompasnya tidak menentu, penampilan orang-orang seperti Ezam perlu dipercepatkan!

Tentunya juga Ezam dalam kesendiriannya kini sedang memikir dan obses kepada masalah-masalah berkenaan.

Hari Rabu lepas selepas menziarahi jenazah pemikir, pengamat dan intelektual politik dan bahasa, Rustam A Sani saya ke pejabat Ezam, di Kelana Jaya. Mulanya atas tujuan ingin menemuramahnya untuk Siasah, sebaliknya apa yang menjadi maksud sebenar ialah untuk membuka jiwa dan melihat kitab politik apakah yang sedang terdampar di hatinya kini.

Insyallah akan bersambung di bahagian kedua. Mengapa Ezam berjauhan dengan Anwar? [jln pahang 0:15 t malam 25/04/08]

No comments: