Saturday, June 7, 2008

Ulasan Reaksi

Lepas Pensyahwat, Pemadu Pula Dicadang!

SAYA menerima banyak pandangan dan juga komen berhubung sebuah catatan sebelum ini mengenai cadangan agar sebuah persatuan yang boleh dinamakan Pensyahwat ditubuhkan di Kelantan ekoran banyak wakil-wakil rakyat dan bekas wakil rakyat di negeri itu berkahwin lebih daripada satu.

Terdapat juga dalam puluhan komen itu datangnya dari kaum wanita yang bersikap pro dan kontra mengenai cadangan itu. Ada yang bersetuju dengan menambah agar wanita-wanita yang menjadi madu kepada isteri wakil rakyat juga perlu menubuhkan persatuan bagi menjaga kebajikan mereka.

Kata penjenguk dari Alor Star itu persatuan itu boleh dinamakan Pemadu, dengan isteri kedua menteri besar Kedah sebagai Pengerusinya. Apakah Azizan Razak juga beriteri lebih daripada satu?
Atau kalau tidak cadang penjenguk itu isteri Abdul Hadi Awang boleh juga menjadi pengerusi.

Kritikan langsung berhubung tulisan itu banyak ditujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh (foto). Ada yang marah dengan tindakan Wan Ismail menceraikan isteri mudanya berbangsa Kemboja itu kerana ia tidak menunjukkan sikap dan perwatakan sebagai seorang pemimpin Islam.

"Sepatutnya Wan Ismail memberi didikan Islam kepada wanita Kemboja itu bukan hanya dijadikan bantal sendal," begitulah tulis seorang penjenguk agak kesal.

Ramai yang melihat tindakan Wan Ismail itu menjejaskan kedudukanya sebagai seorang "ustaz' dan menjejaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat dan Ketua Pas Kawasan Ketereh. "Seorang uster sepatutnya menunjukkan teladan yang baik!"

Lantas itu ada yang menyarankan supaya Wan Ismail melepaskan jawatan sebagai Adun Melor dan juga sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Ketereh dengan seberapa segera.

Bagi pembaca yang mungkin ada masalah dengan Wan Ismail mencadangkan kepada Tok Guru Nik Aziz agar mengambil tindakan ke atas Wan Ismail. Alasan mereka walaupun kesalahan itu lebih bersifat peribadi namun ia memberi implikasi kepada kepimpinan Pas. Lagipun kesalahan mengabaikan isteri mualaf itu sesuatu perbuatan yang sungguh dikesali.

Apa yang dibimbangkan penceraian itu memberi kesan kepada wanita Kemboja berkenaan dan akan menimbulkan persepsi lain, misalnya mengenai sikap lelaki Kelantan yang akan dianggap sebagai ayam bapa suka berbini tetapi tidak pedulikan anak!

Manakala ada seorang penjenguk dari Terengganu pula memberi komen berikut; "Tak salah wakil rakyat untuk berkahwin lebih, tetapi biarlah perkahwinan itu berlangsung secara terbuka dan tidak menimbulkan masalah. Tidak payah jadi pemimpin kalau nak berkahwin lebih pun secara senyap-senyap dan setengahnya ada sembunyikan bini. Bak berkahwin secara senyap ni samalah seperti menyembunyikan nagka yang sudah masak, lama-lama orang akan terhidup juga ataupun kalau tidak dimakan yang akan buruk sendiri."

Di sini saya tidak mahu menambah dan mengurangkan komen-komen dan pandangan penjenguk blog ini. Cuam apa yang nak disebut kalaulah Pas Kelantan bersedia mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana wakil rakyatnya yang berbini lebih dan telah menimbulkan masalah, bermakna ramailah yang boleh dikenakan tindakan.

Apakah ianya wajar atau tidak dalam usaha mendisiplin dan meningkatkan kualiti kepimpinan (amanah dan tanggungjawab) wakil rakyat Pas dalam hal ini, terserahkan Nik Aziz. Mungkin sebaik pulang dari mengerjakan umrah pada 15 Jun nanti bolehlah beliau panggil mana-mana wakil rakyat yang berbini lebih itu untuk diberi tazkirah khusus.

Atau pun kalau perlu mengadakan usrah khas berhubung perkara berkenaan bagi memastikan perkara sedemikian tidak berlaku di masa akan datang yang mana sedikit sebanyak turut sama mencalarkan 'kemurnian' Tok Guru sebagai Menteri Besar.

Kelakuan atau perbuatan buruk oleh wakil-wakil rakyat yang berbini dua itu menyebabkan orang akan mengatakan Nik Aziz gagal menterbiahkan anak buahnya agar menjadi sepertinya. Tok Guru pernah dipinang oleh seorang gadis menerusi surat untuk menjadi isteri keduanya namun ditolak! Apakah tindakan Nik Aziz itu tidak dijadikan iktibar? [wm.kl 8:45 am 07/06/08]

1 comment:

Unknown said...

Molek sangatlah kalau tok guru ambil kontrol benda ini. Kalau dibiarkan mungkin timbul benda lain pula. Sekurang-kurangnya ia dapat beri iktibar atau lebih menunjukkan kematangan dalam menguruskan kerajaan. Kepada semua YB Pas, harap tingkatkan usaha teruskan perjuangan. Ambil yang jernih dan buang yang keruh.