Saturday, July 12, 2008

Renungan Pagi

Antara Tilawah al-Quran dan Ceramah Anwar

MENTERI Besar Kedah, Azizan Razak (foto) dikenali di kalangan sesetengah ahli Pas antara pemimpin yang agak keras dan susah untuk berkira. Azizan dikatakan seorang yang tegas dan berpandangan konversional dalam politik. Beliau juga bukan mudah untuk diajak berbincang.

Dia juga disifatkan sebagai pemimpin Pas yang tidak terbuka mengenai Umno. Sewaktu Pas berjinak dengan bekas PM Mahathir Mohamad atas muslahat politik Azizan antara orang yang kurang senang dengan strategi itu.

Acap kali saya mendengar di kalangan pemimpin Pas beranggap beliau bersifat begitu.

Lantaran itu apabila beliau menjadi MB Kedah ia membimbangkan akan berlaku ketegangan politik di Kedah terutama kalangan orang Melayu; Pas dengan Umno. Saya bimbang dengan kuasa selaku MB beliau bertindak mendemdami orang Umno Kedah dengan melakukan diskriminasi.

Apa yang berlaku di Terengganu ketika Pas menguasai negeri itu tahun 1999-2004 takut berulang di Kedah di mana gara-gara sikap ego dengan kuasa akhirnya Kerajaan Pas Terengganu ditumbangkan rakyat pada pilihan raya umum 2004.

Seorang tokoh

Bagaimana pun kebimbangan tersebut tidak berlaku. Azizan rupa-rupa seorang tokoh yang mengambil kira apa yang berlaku agar tidak menimpa kerajaan pimpinannya.
Pendekatan yang diambil Azizan berbeza dengan sikap dan perwatakannya yang keras dan outspoken itu.

Beberapa isu politik yang timbul di Kedah khabarnya diselesai dengan baik. Beliau banyak bertolak ansur dan dengan tiba-tiba menjadi tokoh yang rasional dan membuang sikap keras yang dikatakan ada kepadanya. Beliau menjadi pendengar yang baik daripada sesiapa saja.

Sebagai contoh beliau dikatakan pernah membatalkan tindakan sebuah majlis daerah yang hendak merobohkan sebuah kuil Hindu. Tindakan ini menjelaskan Azizan seorang yang rasional dan berfikiran politik.

Jika tidak disaksikan sendiri sukar untuk mempercayai apa yang berlaku ke atas diri MB itu, bahawa beliau boleh menyesuaikan dirinya demi survival politik parti dan kerajaan. Dalam banyak hal Kedah perlu bersikap terbuka dan menjalani hubungan dengan seberapa banyak pihak demi menstabilkan kerajaan pimpinannya. Ini termasuklah dengan Umno.

Malam tadi semasa berlangsungnya majlis penutupan tilawah membaca al-Quran yang disempurnakan Sultan Kedah, saya nampak batang tubuh Azizan dalam majlis berkenaan menerusi siran langsung tv. Dia duduk sebaris dengan Sultan dan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berkulit kuning langsat ranum, Mashitah Ibrahim yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap dengan Mashitah

Beberapa aksi yang disuluh kamera sempat juga saya nampak Azizan bercakap dalam keadaan sopan dengan Mashitah.

Tindakan kerajaan Kedah pimpinan Azizan bersedia menjadi tuan rumah tilawah itu menunjukkan sikap understanding Azizan dan patut dipuji. Terharu, bangga dan gembira melihat suasan di majlis berkenaan yang dihadiri pemimpin Pas dan Umno. Turut kelihatan ialah MB Perak Mohd Nizar Jamaluddin. Ketua Menteri Pulang Pinang, Guan Eng tidak ada walaupun beliau mengkagumi kepimpinan Umur Ibnu Aziz. Mungkin tidak dijemput!

Alangkah baiknya kalau suasana seumpama itu terus wujud dan ianya kerap muncul dalam tv dan diberikan laporan adil dalam media massa. Hubungan harmoni antara pemimpin Pas dan Umno bahkan semua pemimpin politik perlulah dipublisitikan.

Betapa terharunya jiwa apabila melihat kehadiran MB Perak itu. Pemandangan seperti itulah yang patutnya berlaku dalam politik orang Melayu. Mereka boleh berlawan dan boleh duduk sekali untuk kepentingan agama walaupun di masa lain mereka boleh berselehen dan bergaduh kembali.

Bagaimana pun malang sedikit, MB Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak ada. Kalau tidak salah mata saya ternampak wajah Exco Mohd Amar Nik Abdullah yang mungkin mewakilinya.
Mulanya saya bertanya sendiri apakah Tok Guruku itu sakit maka beliau wakilkan kepada Mohd Amar? Masakan beliau tidak sudi untuk hadir ke majlis berkenaan. Al-Quran sangat hampir dengan kehidupan Tok Guru, jadi tidak patut kalau beliau tidak hadir!

Selepas lama merenung dan mencari dimana sebab baru saya faham kenapa kalau beliau tidak hadir. Dalam fahamannya suara wanita adalah aurat. Nik Aziz tidak bersetuju wanita mengambil bahagian dalam tilawah membaca al-Quran.

Bersubahat

Sebab itulah sejak Pas memerintah Kelantan tidak ada lagi qariah dari Kelantan yang menyertai tilawah membawa al-Quran. Bagaimana pun sekiranya Nik Aziz beriya untuk datang ke majlis malam tadi beliau boleh mengelakkan diri dari bersubahat dengan maksiat itu. Lagipun malam tadi sudah tidak ada qariah yang memperdengarkan bacaan kecuali johan. Itu pun boleh diatasi juga, semasa qariah itu membaca beliau boleh tutup telinga ataupun keluar sekejap dengan alasan hendak kencing atau sebagainya atau buat-buat tidur.

Tetapi mungkin kerana ada sebab lebih besar dari itu maka beliau tidak hadir. Kata orang kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sebelum ini belum pernah Nik Aziz hadiri konsert Mawi tetapi bila diadakan di Kelantan dan dianjurkan oleh orang kepercayaannya beliau boleh menahankan telinga mendengar Mawi berkasidah dan sebagainya.

Saya yakin beliau boleh lakukan. Kalau Nik Aziz pernah bersedia meninggalkan dewan mesyuarat Exco dan menyerahkan kepada Exco lain mempengerusikan semasa hendak memutuskan sesuatu keputusan yang dilihat ada kepentingannya, mengapa beliau tidak biloh keluar untuk tidak mendengar suara qariah?

Saya berdoakan biarlah ada majlis lain yang lebih harmoni dan bersih dari maksiat dan dosa untuk melihat Nik Aziz akan hadir sama. Saya percaya bukan saja saya yang rindukan untuk melihat semua MB Pakatan Rakyat berada bersama MB Umno, tetapi rakyat lain juga termasuk Melayu berbangsa Umno. Apa salahnya sesekali duduk bersama, setelah bertahun dan berdekad saling membaling batu dari pentas politik.

Hendaknya itulah alasan aurat itulah kenapa beliau tidak hadir ke majlis itu dan bukannya kerana terhalang oleh majlis ceramah bersama Anwar di Putik pada masa dan malam yang sama. Aduhi Tok Guru. Saya yakin kalaulah Mohd Amar menjadikan MB beliau akan tinggalkan Putik dan serahkan Anwar kepada Husam Musa dan beliau akan memilih menghadiri majlis tilawah berkenaan kerana susana di majlis tilawah itu jauh lebih menenangkan jiwa dengan apa yang berlaku di Putik malam tadi.

Lagipun masalah suara wanita sebagai aurat ianya pandangan sesetengah ulama saja dan bukan secara sepakat! Saya yakin Mohd Amar tidak berpandangan demikian. Kalau beliau juga menerima pandangan Nik Aziz itu masakan beliau bersedia untuk berdiri dan menyampaikan cenderamata kepada Maya Karim.

Begitu juga kalau si baju petak-petak merah jadi MB beliau juga akan hadir. Bukankah dengan kehadiran itu ia boleh menyuburkan kerajaan yang ada dan kesuburan itu pula akan mengukuhkan akar dan kedudukan sebagai MB? Bukankah begitu! Dan kalau beliau boleh hadir ke majlis keagamaan Buddha, takkan dalam majlis tilawah tidak boleh. Sekali lagi bukankah begitu?

Sesekali baik juga Husam membuka kitab-kitab lebih muktabar dan lebih modern yang belum ditemui Tok Guru mengenai suara wanita sebagai aurat dan bentang dan bahas dengannya secara lumat kemudian fatwakan untuk kegunaan seluruh orang Islam atau setidak-tidaknya di kalangan Pas. [wm.kl 7:45 am 12/06/08]

4 comments:

Desperado said...

SALAM SAUDARA MSO...

"Ketua Menteri Pulang Pinang, Guan Eng tidak ada walaupun beliau mengkagumi kepimpinan Umur Ibnu Aziz. Mungkin tidak dijemput!"

INILAH PENULISAN PALING INDAH PERNAH SAYA BACA!!!

Anonymous said...

salam saudara mso...

mngkin TOK GURU ada sebab musababnya sendiri.
tp betul cakap saudara,lebih indah jikalau TOK GURU turut hadir dlm majlis itu..
semoga harapan kita ini akan menjadi realiti satu hari nanti..

cikgurahim said...

Tahniah kerana berani menegur TGNA.

Antara ciri fikrah Islam yang murni ialah pandangan seseorang selain Rasulullah saw boleh jadi benar dan boleh salah salah.

Adalah keterlaluan jika seorang muslim membenarkan semua pandangan seorang manusia selain Rasulullah saw.

Tahniah sekali lagi kepada penulis.

www.cikgurahim.com

Anonymous said...

saudara mso...tok guru tak pernah kata suara wanita tu aurat,tidak ada pendapat ulama yang kata suara wanita tu aurat(kecuali kata kata yang selalu terkeluar dari mulut yang salah faham tentang pandangan ulama),yang dikatakan aurat ialah apabila wanita itu mengeluarkan suaranya dalam bentuk berlagu,gaya manja,menggoda dan seumpamanya,dalam bahasa arab dipanggil " tazyiin".Adapun suara wanita yang bercakap dalam gaya bahasa yang biasa seperti bercakap dalam majlis,ceramah,bertanya soalan dan seumpamanya,tidak ada ulama setakat harinya yang berfatwa sebagai aurat.