Thursday, October 2, 2008

Siasah di Makkah

Menanti Lail al-qadr dan Politik

SETIAP tahun pada 10 hari dan malam terakhir di bulan Ramadhan, Makkah menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia. Pada malam itulah para tetamu Allah masing-masing memperkuat dan melipatgandakan amal ibadat dan berqiamulail sembahyang sunat, tahajub, tasbeh, munajak, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Kerana pada 10 malam terakhir itulah dikatakan malam penuh berkat dan kemuliaan di mana pada malam itu malaikat akan turun ke bumi bagi mengatur dan menguruskan kehidupan hakiki manusia.

Malam berkenaan akan menjelma pada 10 hari terakhir itu. Dan malam yang dikatakan penuh keberkatan itu akan menjelma pada malam-malam tunggal 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan dan sehinggalah berlanjutan ke fajar menjelang 1 Syawal. Allah akan memberi kemuliaan kepada mereka yang beramal penuh keiman dan ketaqawaan di malam itu di mana dilupuskan segala dosanya dan dimurahkan rezekinya.

Pada malam ini jemaah masjid Haram akan bertambah dan melimpah ruang sampai ke jalan dan kaki-kaki lima hotel. Di mana ada ruang, manusia akan memenuhi tanpa pedulikan suasana sekitar kepegapan udara dan deruan debu. Semuanya datang dan berlumba untuk merebut keberkatan malam berkenaan. Malam yang lebih baik berbanding dengan seribu bulan!

Gara-gara ingin mengejar malam berkenaan yang juga dikenali dengan ‘lailatun mubarrakah' manusia tidak peduli kepada kesesakan, ruang yang tidak selesa dan sanggup membayar dan mengeluarkan perbelanjaan tambang, makanan atau penginapan yang jauh lebih mahal dari harga biasa. Bayangkan untuk hanya seminggu harga bilik hotel seperti Dar Al Tawahid, Hilton atau apartment Zam-Zam mencecah RM60,000 hingga RM100,000.

Bagi mereka yang tidak mampu, janji asal saja sampai ke masjid Haram tahulah mereka untuk hidup dan meneruskan jihad (ibadah) untuk menanti ramat malam itu. Jemaah dari India, Afghanistan, Pakistan dan sebagai sanggup berkhemah di tepi-tepi pagar masjid, bawah tangga dan tidur berlantaikan marmar dan berbumbungkan langit hangat. Cuaca panas yang menimpa Makkah sedikitpun tidak dipedulikan. Keimanan mereka menjadi perisai kepada segala kesulitan itu.

Tidak mengapa ia berbaloi dengan apa yang bakal diperolehi kelak. Malam qadr itu membawa tuah dan rahmat. Sesiapa yang mendapatnya akan dapat merasai nikmat itu di sepanjang hidupnya. Segala dosanya dihapuskan dan ia akan menjelma sebagai manusia baru yang suci dan bersih. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang beramal di malam al-qadr dengan penuh keimanan (kesungguhan) mendapat reda Allah dan dihapuskan dosa-dosa lalu.”

Kerana kemuliaan dan keagungan malam itu begitu hebat dan agung maka ia tidak ternilai. Ia tidak boleh dibeli ataupun ditebus dengan berapa banyak jumlah wang dan harta. Hanya hati iman dan taqwa saja yang menjadi kuasa memilikinya. Dan kerana mengharapkan itu jugalah manusia yang berada di Makkah tiba-tiba menjadi pemurah, pelembut dan pemberian sedekah yang rajin.

Dalam lautan manusia yang jutaan menanti dan mengambil kesempatan untuk beramal itu maka terselitlah orang-orang politik dari Malaysia. Ini berlaku setiap tahun pada bulan Ramdhan. Semacam sudah menjadi rutin pula kepada sesetengah pemimpin politik akan mengambil cuti khas untuk membawa isteri, anak dan famili ke Makkah pada bulan Ramadhan.

Tokoh-tokoh yang sering terserempak dengan saya di Makkah atau Madinah pada bulan Ramdhan sebelum ini ialah seperti Ahmad Zahid Hamidi, Annuar Musa, Alwi Che Amat. Hatta Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah terserempak dengan saya pada satu bulan Ramadhan.

Namun sejak 10 tahun lalu Nik Aziz tidak lagi terserempak dengan saya pada bulan Ramdhan. Keadaan politik dan kerajaan Kelantan pimpinannnya yang tidak stabil selepas hampir kalah dalam pilihan ke 11, (2004) menyebabkan beliau tidak berkesempatan untuk berpuasa di Makkah. Beliau baru mengerjakan umrah beberapa bulan lalu sebaik selesai pilihan raya ke-12 setelah Pas menang dengan selamat melebihi majoriti dua pertiga di DUN Kelantan.

Memanglah bagi mereka yang biasa ke Makkah atau Madinah jika tidak menyinggahinya sejenak terasa hidup tidak sah sepanjang tahun itu. Kerana itu bagi mereka yang beriman dan dibuka pintu hatinya akan berusaha menyinggahi sekejap ke tanah haram itu sekurang-kurang untuk sekali dalam setahun.

Untuk Ramdhan tahun ini tidak begitu rampai orang politik yang menanti kehadiran malam qadr. Mungkin mereka beramal dan beribadat di rumah masing-masing ataupun di masjid-masjid negeri dalam negara. Tidak mengapa kerana rahmat malam itu turun ke serata alam dan bukan dikhususnya di Makkah saja. Atau mungkin kerana tidak ada yang berani untuk tinggal negara bimbang kuasa dan kerusi akan hilang secara tiba-tiba!

Cuma yang terserempak di Makkah baru-baru ini ialah orang biasa juga, Ahmad Zahid Hamid. Sebenarnya saya terserempak dan nampak beliau di Madinah lagi ketika saat-saat untuk berbuka puasa. Beliau kelihatan berpelukan dan berlaga pipi dengan ahli Parlimen Kulim – Bandar Baru, Zulkifli Nordin.

Annuar Musa juga ada mengerjakan umrah tetapi ketika itu sudah pulang. Menurut orang kuatnya Timbalan Ketua Umno Tumpat, Mohamad Noor, Annuar pergi wal lagi.

Lain-lain pemipin yang diberitakan ada di Makkah ialah Exco Selangor, Dr Hassan Ali dan ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddin. Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa, juga ke sana tetapi pulang sebelum 10 malam terakhir.

Di Makkah sekali lagi saya terserempak dengan Zahid Hamidi. Kali ini bukan dalam masjid tetapi di sebuah restoran di aras empat di Zam-Zam Tower berhampiran dengan masjid.

Pertembungan itu tidak sengaja. Selepas selesai solat terawih saya ada temu janji dengan beberapa orang rakan yang berkerja dan belajar di Jeddah. Dalam mencari tetamu itu ternampak Zahid dan Hassan duduk semeja sambil makan roti. Ikut bersama seorang yang lain.

Ketika bersalaman dengan mereka; Hassan memberi maklumat kepada saya. Katanya orang baju petak-petak merah juga ada (Husam). Beliau bertanyakan sama ada saya sudah berjumpa dengan beliau atau tidak. “Semalam dia menghadap Tengku Mahkota Kelantan di di bangunan sebelah tu...” tambah pula Zahid menambah maklumat.

Dari Madinah lagi saya sudah mendapat tahu yang Husam ada ikut sama umrah. Tetapi tidak tahu yang beliau bersama Tengku Mahkota Kelantan. Saya tidak peduli sangat apa yang diberitahu Hassan dan Zahid itu kerana itu adalah kelebihan dan kehebatan Husam dalam memilih kawan serta itu urusannya. Adalah maksud dan tujuannya maka beliau berkawan dengan raja itu.

Selain itu bekas MB Selangor Khir Toyo juga katanya ada di Makkah. Kalau tidak silap ini kali kedua dalam tahun ini Khir buat umrah. Sebelum ini sebaik kalah dan selepas gagal untuk jadi MB beliau telah mengerjakan umrah.

Sebenarnya bukan saja kelompok orang politik saja yang hadir ke Makkah pada bulan Ramdhan, tetapi kelompok lain juga. Ahli perniagaan, artis dan sebagainya. Namun kerana saya kebetulan menjadi pemerhati kepada kelompok ini (politik) maka mudahlah nampak bagi saya. Pantang bergerak dan ternampak kelibat bayangan mereka maka ia menjadi tumpuan.

Sesuai dengan semangat umrah dan aidifitri ini saya tidak mahu mengulas apa-apa amal ibadat dan doa mereka di sepanjang 10 malam akhir Ramdhan lalu. Itu hak masing-masing dan Tuhan bagi kebebasan meminta apa saja. Kadar masing-masing.

Cuma saya pasti semua mereka yang hadir itu mestilah berdoa untuk kesejahterana diri dan kesuksesan politik mereka. Kedudukan dan nasib negara mungkin nombor sembilan!

Kalau Khir Toyo berdoa untuk jadi Ketua Pemuda Umno. Kalau Husam Musa pula nak jadi Menteri Besar Kelantan atau pun menteri kanan dalam Kabinet Anwar Ibrahim nanti. Kalau Zahid Hamidi nak menang besar dalam pertandingan Naib Presiden Umno. Kalau Hassan Ali tentu nak jadi Menteri Besar Selangor. Kalau Nasaruddin Mat Isa nak kekalkan jawatan timbalan presiden Pas yang kini sedang diintai oleh beberapa maka.

Dan begitu jugalah dengan orang lain masing-masing ada doa. Bagi yang menyokong Tengku Razaleigh Hamzah berdoa agar ahli Parlimen Gua Musang itu cukup pencalonan. Yang sokong Anwar berdoa agar majlis angkat sumpah untuk jadi PM dipercepatkan.

Yang pasti dan saya akui saya tidak berdoa untuk kepentingan politik sesiapa lagi pada umrah lalu selepas semasa mengerjakan haji bersama isteri baru-baru ini saya berdoa untuk kemenangan Ibrahim Ali di Pasir Mas. Dan apa yang mengilankan saya kemenangan itu seolah sia-sia saja! [wm.kl 11:00 03/10/08]

No comments: