Monday, November 24, 2008

Pas Selangor

Kenapa Pas Selangor Dirombak?
Saari dan Khalid Digugurkan.

(kemaskini) TIBA-TIBA saja Pas Selangor membuat rombakan ‘Kabinetnya’. Tiada pula kedengaran apa-apa yang tidak beres yang berlaku dalam Pas negeri berkenaan dalam tempoh sehari dua ini. Selama ini - selepas pilihan raya umum Badan Perhubungan Pas Selangor berada dalam keadaan aman damai saja. Perpaduan dan ukhwan Pas Selangor kuat dan bersemangat.

Kalaupun ada sedikit pergolakan ialah menjelang pembentukan Kerajaan Selangor selepas pilihan raya umum lalu. Ada sedikit perselisihan pendapat, ada yang merasakan Pas lebih baik membentuk kerajaan bersama Umno atas kepentingan Melayu manakala ada yang merasakan tidak dan lebih baik Pas meneruskan pembetukan Kerajaan dengan PKR dan DAP sebagai untuk tidak melukai hati rakyat yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Apapun selepas itu, isu itu selesai. Kedua pihak yang berselisih pandangan akhirnya akur kepada kehendak semasa, iaitu Pas harus membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat.

Jadi apabila Jumaat lalu, Badan Perhubungan Pas Selangor dirombak ini menyebabkan pemerhati politik sedikit terjungkit dan tercari-cari apakah sebab musababnya maka ia dirombak. Apa lagi rombakan itu melibatkan Timbalan Pesuruhjaya, Abdul Khalid Samad dan Ketua Penerangan, Saari Sungip.

Kedua mereka adalah orang penting dalam Pas Selangor. Khalid juga ahli Parlimen kawasan Shah Alam, manakala Saari Sungip ADUN kawasan Ulu Klang. Kelantangan Khalid dalam membangkitkan isu-isu rakyat di Parlimen (yang kadangkala kontras dengan minda Pas) menjadikan ahli Parlimen itu sebagai aset Pas Selangor untuk di masa depan.

Begitu juga dengan Saari Sungip. Aktivis sosial ini nampak begitu menekankan soal-soal kemanusiaan yang harus diperjuangkan oleh Pas. Walaupun beliau dilihat tidak ekstrim tetapi merupakan seorang yang kuat berpegang kepada doktrin Islam moderate.

Sebagai anggota Dewan Harian, merekalah yang menentukan gerak nadi Pas Selangor. Segala keputusan penting termasuk berhubung peranan Pas dalam kerajaan Pakatan Rakyat turut melibatkan pemikiran mereka berdua.

Tempat Abdul Khalid itu diganti oleh Ahli Parlimen Ulu Langat, Che Rosli Che Mat. Che Rosli ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis dan bekas Yang Dipertua Pas Ulu Langat. Melihat kepada jawatan yang pernah disandang itu beliau mempunyai pengalaman dan ada kesesuaian untuk menjabat jawatan itu.

Manakala tempat Saari Sungip diganti oleh Roslan Shahir, (foto bawah) yang juga Setiausaha Akhbar Presiden Pas. Roslan juga merupakan Yang Dipertua Pas Kelana Jaya dan salah seorang barisan pemimpin pelapis Pas Selangor yang rajin menumpahkan idea dan bersikap konservetif. Sebelum pilihan raya lalu, Roslan sudah menjawat jawatan itu. Jawatan itu diserahkan kepada Saari selepas Roslan dilantik menjadi setiausaha akhbar Presiden Pas kerana bimbang beliau tidak dapat memberi tumpuan kepada jawatan berkenaan.

Sudah pasti Dr Hassan ada alasan tersendiri kenapa rombakan perlu dilakukan dan melibatkan dua individu itu. Apakah peranan Saari sebagai Ketua Penerangan tidak berfugsi dengan baik maka beliau ditukar, diserahkan balik kepada Roslan? Ataupun ada sesuatu yang sedang beralun antara beliau dengan timbalannya, Khalid menyebabkan ia perlu diganti dengan Che Musa?

Dalam sesebuah organisasi kalau ketua tidak sehaluan dengan timbalan apa lagi kalau orang nombor dua pandai bertindak sendiri dan bersikap lebih sudu dari kuah memang menimbulkan masalah. Sukar untuk seorang ketua menjaga anak buah yang cerdik dan cuba menguruskan diri sendiri tanpa mengambil kira suara majoriti dan tidak tahu menghormati parti.

Apakah situasi itu yang berlaku di sekitar Khalid Samad? Sebab jika diperhatikan kepada beberapa tindakan dan kenyataan Khalid sebelum ini ia menggambarkan beliau seorang yang berbuat mengikut kepalanya saja dan seorang yang terlalu outspoken sehinggakan adakalanya sikap itu menimbulkan masalah kepada parti. Kerana ketelusan yang diingini sampai rahsia parti yang tidak sepatutnya didedahkan ikut sama diluah. Dia juga seorang yang vokal dalam memperkatakan sesuatu yang tidak 'semakan' dengan kepalanya.

Khabarnya pertukara jawatan dan rombakan itu diterima sebulat suara oleh kesemua anngota badan perhubungan Pas Selangor. Tidak ada apa-apa bantahan. Walaupun itu adalah hak prerogetif Pesuruhjaya, namun Hassan katanya membincangkan soal rombakan itu dalam mesyuarat terbuka bagi mendapat pandangan semua ahli Badan Perhubungan. Kedua mereka yang terlibat dengan pertukaran itu juga turut hadir dan menerima dengan baik keputusan itu.

Seperti mana dilaporkan media massa, alasan rombakan untuk memantapkan lagi Pas Selangor dan bagi memastikan segala polisi dan dasar Pas seperti mana termaktub dalam perlembagaan dan diputuskan parti berjalan dengan lancar.

Ada desas desus mengatakan rombakan itu sebagai pembersihan mereka yang menyokong Anwar Ibrahim? Apakah tanggapan itu benar? Memang mereka ini dilihat rapat dan banyak memberi masa kepada Anwar Ibrahim. Saya sendiri kerap melihat kehadiran Khalid Samad ke rumah Anwar bersama beberapa pemimpin Pas lain yang dilihat ‘bau-bau bachang’ dengan Anwar.

Tetapi saya fikir pemecatan itu bukan kerana sebab itu. Keakraban dan keyakinan Khalid kepada ketokohan Anwar untuk jadi PM saya rasa bukan alasan tepat kenapa beliau harus ditiadakan dalam badan perhubungan Pas Selangor. Pemergian Khalid ke rumah Anwar dan keakrabannya dengan Anwar tidak wajar dijadikan hujah. Kalau Khalid mendatangi Anwar sebagai kunjungi orang mengkagumi Anwar apalah salahnya?

Begitu juga kalau pemergian atau keakraban Khalid dan pemimpin lain dengan Anwar dalam rangka untuk menjayakan projek 16 September tidak wajar kalau mereka dihalang apa lagi ianya diambil tindakan. Bukankah pemergian dan penglibatan mereka itu untuk memastikan kerajaan BN tumbang dan bukankah itu juga cita-cita Pas selama ini?

Cuma apa yang salahnya kalau penglibatan secara eksklusif itu tanpa premisi daripada parti ia adalah salah. Apa lagi kalau ada yang melebihkan Anwar daripada presiden sendiri, ia tidak patut berlaku. Kerana setiap yang berjemaah itu harus akur dan taat kepada jemaah! Harus berwalad kepada ketua dalam jemaah bukan ketua di luar jemaah, meskipun betapa baik dan idealnya dia.

Apapun yang pasti rombakan itu ada sebab-sebab lebih rahsia dan munasabah. Kalau tidak masakan Pas Selangor rela mengorbankan mereka. Jika dilihat rombakan itu berlaku selepas Pas mengadakan retreat di Langkawi 7 dan 9 November lalu mungkin tindakan merombak badan perhubungan itu terilham di Langkawi.

Mungkin ada sesuatu berlaku di Langkawi kalau tidak masakan rombakan itu dibuat selepas kepulangan dari pulau sumpahan itu. Bagaimana pun sukar untuk dikatakan apa yang berlaku di pulau lagenda itu. Tetapi yang jelasnya selepas pulang dari Langkawi membuatkan hati Hassan Ali terbuka untuk merombak badan perhubungan Pas. Mungkinkah ada seseorang yang hadir pada retreat itu telah menimbulkan masalah! [wm.kl. 6:45 pm 24/11/08]

5 comments:

Ku ingat Taqwa said...

Salam. Saari memang banyak masalah. Dia masih merasakan bahawa dia pemimpin JIM daripada pemimpin PAS. Sampaikan dia sanggup menyatakan dia ADUN JIM bukannya ADUN PAS. Dia menang kerana sokongan orrang-orang JIM bukannya orang-orang PAS. Kalau itu percaturannya, memang tepatlah keputusan Dr. Hasan menggugurkannya daripada kepimpinan PAS, biarkan dia terus meminpin JIM. Jgn jadi JIN sudah. Wallahuaklam.

Anonymous said...

salam mso,

saya percaya ade perkara yg baik di sebalik pertukaran jawatan itu..lagipon ia dibuat sebulat suara bukan kuasa veto dr Hasan ali.. logiknye aku rs kerana khalid terlalu mengikut kata hatinya..kalo bace dlm blog nye,hampir sume benda dlm kelambu diberitahu..sila bace entry blog utk issue ini, seolah2 hasan ali membuat perkara yg salah..dia pemimpin Pas, bile dia mengeluarkan kenyataan begitu,mmg mengiyakan seluruh tanggapan yg pas ni bergolak..dia perlu pk sejenak utk memberi ulasan.. dia berblog mcm totally dia pengkritik bebas..ade benda yg perlu disembunyi bg saya.. dia perlu belaja lebih utk berpolitik.. i once respect him very much..but after read his blog, my respect slowly drain away..

apepon, ia keputusan mesyuarat..pasti ade sesuatu yg berlaku di selangor yg kita tdak tahu..semoga ia menjadi lebih baik..aminnn

Seladang said...

Mungkin suara dari Terengganu kite? Kerana Khalid tidak sehaluan dalam usaha pakatan UMNO/PAS yang diusahakan oleh Dr. Hassan Ali di Selangor!

Unknown said...

Citarasa Pedas said...
Salam. Saari memang banyak masalah. Dia masih merasakan bahawa dia pemimpin JIM daripada pemimpin PAS. Sampaikan dia sanggup menyatakan dia ADUN JIM bukannya ADUN PAS.

Ye ke, ADUN JIM? Siapa yang korbankan allowennya untuk Parti. Sedar-sedar lah kawan. Kenalilah dulu YB Saari sebelum memberi pandangan serong.

BaYu SenJa said...

saya rasa citarasa pedas kurang bersopan mengkritik pemimpin sebegitu.

Bagi saya Pas ka Jim ka apa semuanya jika berpegang dengan Islam maka itulah yang sebetulnya. Malah, sikapnya yang tidak ekstrim pas itulah kelebihannya. Maka fikirannya rasional dan tidak sentiasa melihat Pas betul walaupun kekadang melakukan kesilapan. Tetapi wala'nya (Saari Sungib) masih terhadap Pas.

Yb Saari Sungib antara yang sangat mengkagumkan saya. Perjuangannya tidak pernah luntur walaupun pernah dirintangi pelbagai tribulasi.

Keputusan harus diberi wala' oleh pengikut. Namun jangan terlampau sehingga menghina pimpinan yang telah digugurkan tersebut.