Monday, December 15, 2008

Lurahan Jiwa

Agenda Perihatan Yang Tercemar Dengan Kasut!

KELMARIN (14 Disember) saya 'memohon cuti' kepada saya sendiri untuk berihat sekejap. Musim cuti sekolah anak-anak minta untuk dibawa bercuti. Sebenarnya hampir seluruh masa hidup sebagai penulis kira-kira hampir 30 tahun lalu, saya tidak ada masa untuk bercuti atau membawa anak-anak bercuti di luar Kuala Lumpur melainkan ke Kelantan. Itupun semasa hari raya atau hari-hari tertentu seperti bila ada kenduri kendara keluarga di kampung.

Masa banyak dipenuhi atau digunakan menghadiri berbagai program politik, mengikuti demonstrasi yang tidak pernah ada masa senggang dan sebagai kegiatan 'makbapa' lainnya lagi di ibu kota Kuala Lumpur. Barangkali itulah nasib penulis masanya hanya menjadi miliknya dan tidak dapat dikongsikan dengan sesiapa, hatta anak dan isteri.

Jadi kebetulan juga pejabat Siasah mengadakan hari keluarga di Pulau Pangkor, Perak selama tiga hari hari pada 13 hingga 15 Disember. Jadi saya ikut sama mengambil peluang untuk merasai bagaimana bercuti dengan anak dan isteri di sebuah pulau peranginan!

Sekali lagi kebetulan juga.. sepanjang hidup saya hanya sekali menjejaki kaki ke Pulau Pangkor itupun lebih 15 tahun lalu. Sebelum era reformasi katakan! Kerana sudah lamanya kedatangan itu menyebabkan saya tidak tahu lagi bagaimanakah wajah Pulau Pangkor khasnya persekitaran jeti Lumut. Sudah kabus dalam ingatan. Segalanya berubah dimamah masa.

Bukan sombong, tetapi hakikatnya saya lebih banyak mengenali tempat lain daripada tempat - pelancungan dalam negara sendiri. Sebenarnya banyak yang saya tidak tahu mengenai keindahan alam sekitar negara kita yang mana keindahan dan keunikannya tidak terkalah dengan lokasi pervisataan di tempat-tempat lain.

Apabila bercuti apa yang saya fikir sebaik sampai di pulau itu saya akan tenang, dapat rihat sepenuhnya. Saya sengaja tinggalkan 'senjata' (alatan penulisan) di tanah besar dan tidak membawa kesemuanya. Saya mahu istirihat sambil mencari ilham; merenung ke dalam diri melihat nasib bangsa, orang Melayu, kepentingan Melayu dan juga bagaimana untuk memperbetulkan orang Melayu agar berpolitik secara benar. Itu yang diharapkan.

Tetapi rupa-rupanya kalau penulis tetap juga penulis, di mana dia berdiri dan berada dia akan bertugas dan berperanan sebagai sifatnya itu. Kepala tidak boleh rihat seperti mana diharapkan. Tatkala melihat gelombang laut, teringat kepada gelombang nasib bangsa. Melihat perahu kecil teroleng-oleng dihempas ombak teringat kepada nasib bangsa diperkotak katikkan atau direndah-rendahkan dengan pelbagai cara sepanjang masa.

Melihat lambaian gemulai dedaun kelapa yang kesayupan di hujung tanjung atau kuala teringat
kepada semangat bangsa yang layu dan semakin melemah dan tandus.

Melihat bueh-bueh yang berpusaran diburitan feri berbusar-busar dan kemudian hanyut dan hilang, terfikir apakah begitu akhirnya akan jadi kepada bangsa Melayu. Ianya nampak hebat dan kuat seperti bueh-bueh itu tetapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa kekuatan dalam mengejapkan keduduannya di permukaan laut itu. Begitukah?

Dan apabila melihat resort yang indah, vila yang nyaman dan mewah berdiri di sekeliling pantai di pulau itu yang begitu kontra keadaannya dengan pondok nelayan yan

g buruk dan naif, terfikir pula betapa kehidupan ini diasing-asing atau dicaing-caingkan oleh kebendaan dan ego manusia yang sukar dileburkan. Yang kaya menjadi begitu kaya, manakala yang miskin pula tersangat miskin dan tertindas.

Realiti itu mengimbaukan kepada masa depan di Mahsyar yang akan dilalui setiap manusia, di mana begitu jugalah terasingnya antara mereka yang beriman dengan mereka yang engkar dan menyekutukan Allah s.w.t. Sebenarnya gambaran dunia ini adalah gambaran di akhirat!

Tegasnya, segala yang terlihat di Pulau Pangkor menyebabkan kepala jadi berdenyut. Hati menyumpah, sakit dan terkenang-kenang kepada sesuatu yang macam akan sirna serta merta dari atas bumi ini. Di sinilah ruang yang dikosongkan sebelum menjejak kaki ke pulau itu mulai sedikit demi sedikit dipenuhi dengan persoalan demi persoalan dan pertanyaan demi pertanyaan.

Lantas diri terus jadi bermonolog sendirian bila melihat kehidupan masyarakat Melayu nelayan di pulau itu masih tidak berubah. Masih memecah ketawa musim lama dikedai kopi dengan pakaian comping camping yang siap untuk turun ke laut. Perkampungan tradisi nelayan masih lagi diwarisi oleh generasi ke generasi tanpa perubahan yang menunjukkan kemajuan dan seolah gambaran itulah status yang diperjuangkan selama lebih setengah abad merdeka. (Catatan lanjut mengenai penderitaan dan sukaduka Pangkor akan menyusul kemudian.)

Semua pemandangan di sana menganggu ruang kosong untuk berihat. Bila sudah demikian maka mula diri tidak dapat diam dan terus mencari maklumat dan perkembangan semasa. Apabila surat khabr dicari, internet dibuka maka tangan pun menjadi ganas dan merayau jauh menekan laman demi laman dan blog demi blog. Lalau masa untuk cuti pun terus ternoda sama sekali.

Paling teruja tatkala membaca berita keberanian seorang anak muda bernama Muntadar al-Zeidi yang membalingkan kasutnya ke muka George W Bush, serta merta hasrat untuk rihat dan bertenang-tenangan di Pulau Pangkor rosak binasa. Betapa keberanian anak muda remaja itu dalam membela maruah bangsanya dengan balingan kasut itu memberi suntikan semangat juang yang tiba-tiba datang mencabar diri.

Iya, saya menjadi malu kepada anak muda itu. Malu bukan kerana ia mencemari profesyen sebagai wartawan di mana perbuatan itu tidak selayaknya berlaku, tetapi malu kerana keberaniannya membaling kasut selamat tinggal kepada seorang Presiden Dunia yang diumpama anjing itu.

Malu kerana jika dibandingkan keberanian yang ada dengan keberanian dan kesediaan Muntadar menghadapi risiko dari perbuatan itu ia seolah perbandingan itu antara busut dengan sebuah gunung yang tinggi. Rasanya tidak ada siapa dari kalangan kita sanggup berbuat demikian terhadap seseorang pemimpin yang kita marah dan benci. Apa lagi bila berdepan dengan seorang Presiden seperti Bush itu kita mungkin terus pengsan bukan setelah melakaukan pembalingan hina seumpama itu tetapi apabila sebaik saja berniat untuk berbuat demikian.

Bukan tidak ada pemimpin di negara ini yang mewarisi sifat-sifat Bush, menzalimi dan mengurung insan tidak berdosa secara melampau, ada. Tetapi kita takut untuk melakukan demikian atas beberapa penilaian yang subjektif. Barang kali... barangkali adalah baik juga kalau sesekali ada antara kita bersikap biadap untuk mengajar pemimpin yang kurang ajar.

Kepada Muntadar walaupun perilaku anda menganggui perihatan saya, namun saya secara peribadi saya mengucapkan syabas atas keberanian anda. Mungkin bukan juga saya sebaliknya seluruh mereka yang membenci Bush akan memaafi atas sikap biadap demikian. Sikap biadap itu sewajarnya berlaku kepada seorang yang jauh lebih biadap seperti mana Bush lakukan ke atas dunia khasnya umat Islam dan bangsa anda sendiri itu. [wm.kl. 10:00 pm 15/12/08]

No comments: