Monday, January 5, 2009

Menebak Rasa

Menanti Campursuara Mahathir di Kuala Terengganu

[ (kemaskini) Selepas lima jam saya posting tulisan ini sebuah protal berita harian melaporkan komen Mahathir Mohamad mengenai pilihan raya Kuala Terengganu. Antara lain beliau menyebut pemilihan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon proksi kepada Perdana Menteri Abdullah Badawi dan ia merupakan calon yang buruk. ]

MUNGKIN sehari dua ini bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad demam atau tidak sedap badan. Kalau beliau berada dalam keadaan sihat politik sudah pasti beliau akan berkokok dan berkata sesuatu mengulas mengenai pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari depan.

Mahathir nampaknya tidak segalak sebelum ini. Kenapa? Sebelum Abdullah Ahmad Badawi menetapkan tarikh untuk berundur dan meninggalkan Putrajaya, bukan main lagi Mahathir jadi 'cas ligas' macam bas awam di Terengganu yang tidak berfungsi itu. Apakah Mahathir merasakan apa yang dihajatinya sudah kesampaian maka beliau tidak perlu mengulas dan memberi pandangan negatif kepada Umno lagi?

Kalau begitu jelas apa yang dilakukan sebelum ini bukan ikhlas tetapi kerana mengharap sesuatu demi kepentingan dirinya.

Mungkin kita masih ingat bagaimana galaknya Mahathir dalam memberi ulasan dan campur suaranya dalam dua pilihan raya kecil. Satu di Ijok dan kedua semasa Permatang Pauh. Mahathir secara langsung mencampuri kedua pilihan raya berkenaan dengan memberi semangat kepada pengundi supaya mengajar Barisan Nasional, (mengajar Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya) agar parti itu kalah.

Beliau menyeru supaya rakyat tidak memberi kemenangan kepada BN dengan harapan BN untuk tidak memberi kuasa banyak kepada Umno bagi mengelakkan Abdullah damai atas kerusinya. Mahathir mengakui dan menerima dengan kuasa berlebihan menyebabkan BN menjadi parti besar kepala atau apa yang disifatkan sebagai arrogant of power dan penyalahgunaan kuasa.

Kerana itu beliau menyeru dan meminta supaya pengundi memberi mesej mengingatkan kepada BN. Maksud tersembunyi Mahathir ialah beliau tidak mahu Abdullah mendapat kuasa besar sehinggakan berlaku penyalahgunaan kuasa dan paling digeruni dan bimbangnya Abdullah akan terus kekal menjadi PM.

Suara dan mesej Mahathir itu diterima. Dalam pilihan raya umum 2008, BN kehilangan kuasa majoriti. BN hampir-hampir lemas dan hanyut dalam tsunami politik. Apa yang berlaku itu tentulah mengejutkan Mahathir Mohamad sebagai orang yang pernah mengukirkan kejayaan dan membawa kecemerlangan dalam parti berkenaan.

Apakah kerana Mahathir kini merasai bahaya Umno dan BN apabila parti itu tidak mendapat majoriti dua pertiga dan sering diserang pembangkang siang malam di Parlimen menyebabkan beliau berubah hati dan menginsafi perbuatan beliau sebelum ini tidak menguntungkan partinya?

Andaian itu mungkin ya. Kerana kedudukan BN kini bagaikana telor di hujung tanduk amat bahaya kepada kuasa politik Umno dan BN. Paling ditakuti Mahathir bukan kejatuhan BN dan Umno tetapi kemunculan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri nanti yang boleh menyebabkan Mahathir tidak akan nyenyak tidur malam walaupun Anwar tidak mungkin melakukan sesuatu yang huduh dengan kuasa itu.

Beliau juga perlu mempertahankan Umno kerana parti itu bakal menjadi wadah perjuangan kepada anaknya, Mukhriz. Kalau Umno sudah terkubur ke mana anaknya untuk berlaman dalam politik.

Apa juga yang dapat difahami kenapa Mahathir tidak bersuara memberi semangat kepada pengundi supaya menolak BN di Kuala Terengganu ini ialah kerana apa yang beliau hajati sudah pun tercapai. Mahathir sedar pilihan raya kecil Terengganu bagi mengukur kedudukan Mohd Najib Razak dan juga nasib Timbalan Perdana Menteri itu dalam edah peralihan kuasa ini.

Sekiranya pilihan raya kecil berkenaan BN kalah ia boleh menjejaskan Najib. Mungkin kekalahan itu akan digunakan oleh mereka yang mempertahankan Abdullah untuk membatalkan peralihan kuasa. Para pemerhati yang berpihak kepada Abdullah akan menyimpulkan kekalahan itu menunjukkan rakyat tidak sukakan kepada Najib.

Mahathir sedar akan hakikat ini. Oleh kerana itu beliau tidak perlu ganggu dengan memberi apa-apa pandangan dan apa-apa pun semangat yang negatif kepada pengundi seperti dilakukan semasa pilihan raya kecil Ijok terutamanya di mana Mahathir terang-terangan meminta pengundi mengajar Abdullah dengan mengalahkan calon BN. Sebaiknya sehari dua nanti Mahathir akan bangkit dan berkokok melemparkan sesuatu ke kawasan Parlimen berkenaan.

Sama-sama kita tunggu apakah yang akan diucapkan oleh Perdana Menteri berkenaan. Yang pastinya beliau akan mencampurinya dengan membelasah pembangkang habis-habisan kali ini. Tidak percaya tunggulah permainan Mahathir. [wm.kl 10:00 am 05/01/08]

No comments: