Monday, January 19, 2009

Terkenang Kuala

Kekalahan BN di Kuala Terengganu
Halang Agenda Najib

BAKAL Perdana Menteri dalam penantian, Mohd Najib Razak mungkin sedikit terhibur dengan pandangan dan pembelaan ala 'ada udang sebalik batu' oleh Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa Najib tidak bersalah terhadap kekalahan Wan Farid Wan Salleh dalam pilihan kecil P36 Kuala Terengganu kelmarin. Alasan Mahathir ialah kerana Wan Farid itu bukan calon pilihan Najib sebaliknya calon pilihan Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir boleh berkata apa-apa saja yang beliau suka kerana lidahnya tidak bertulang seperti juga lidah para pendeta politik lain. Namun hakikatnya Najib mengerti dan memahami mesej yang dihantar oleh lebih 63,000 pengundi yang keluar mengundi kelmarin. Najib tentu tidak boleh melarikan diri dan mencampakkan beban dan kebusukan kekalahan itu ke dalam raga sayur orang lain.

Kenapa saya berkata begitu, kerana Najiblah yang menjadi enjin turbo kepada pilihan raya berkenaan. Tanggunjawab pilihan raya itu terletak dibahu Najib. Najib begitu bernafsu mengharapkan kemenangan. Setiap hari Najib turun ke Kuala Terengganu dengan jet eksekutifnya. Jet itu tersadar dari jam 2:00 petang hingga menjelang tengah malam di lapangan terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Bagi saya pandangan dan kata-kata Mahathir itu tidak adil dan bermotif. Saya jamin kalau tertakdir Wan Farid menang Mahathir akan menukar nada bicaranya dengan mengatakan kerana Najiblah BN menang. Dia mungkin menambah kalau bukan Najib suami isteri bertungkus lumus di Kuala Terengganu mungkin BN akan kalah. Kalah besar...!

Memang Najib sangat yakin BN akan menang. Di awal kempen beliau meletakkan BN ada kelebihan berbanding dengan Pas. Mungkin ukurannya kerana Kuala Terengganu adalah kerusi milik BN dan jarang dalam sejarah pilihan raya kecil Parlimen BN kecundang. Kuala Terengganu bukan Permatang Pauh di mana kerusi asal PKR tambahan yang mempertahankannya sultan PKR, Anwar Ibrahim. Kerana itu Najib begitu yakin.

Sebab itu nampak jelas Najib dan sepupunya memonopoli kempen, menguasai jentera pilihan raya dan juga poster yang memaparkan wajah dan personalitinya mereka yang anggun dan kebangsawannya di kawasan pilihan raya berkenaan. Kerana bimbang BN akan kalah maka peranan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin diminimumkan begitu sekali sehingga ia menampakkan Khairy tidak berperanan langsung berbeza di Ijok dan Permatang Pauh. Selepas mengatakan Pas parti klu kelik Khairy pun bersampan untuk kelek.

Kerana keyakinan itu setip hari sepupunya itu bukan main lagi ikut sama bertungkus lumus dan dengan gah menjanjikan akan mengeluarkan 10,000 para pemudanya untuk membantu kemenangan BN.

Najib memerlukan kemenangan di Kuala Terengganu sebab beliau mahu menjadikan kemenangan itu sebagai modal awalnya sebelum beliau mengangkat sumpah menjadi PM. Najib mahu menunjukkan kepada dunia bahawa dia ada aura; belum jadi PM, BN sudah menang gemilang. Najib mahu buktikan bahawa peralihan kuasa dari Abdullah kepada beliau tidak semena-mena semangat dan sokongan kepada BN bertambah dan membuak-buak. Itulah harapan dan impian Najib.

Tiba-tiba keadaan jadi sebaliknya ia bukan menjadi gelombang tetapi sokongan kepada BN membueh saja. Kerusi yang dalam genggaman pun terlepas kepada Pas. Ia sungguh merawankan Najib. Keputusan malam kelmarin sungguh mengecewakan Najib.

Memang kekalahan itu perlu dirasai Najib dan mengecewakannya. Ini kerana ia memberi berbagai impak buruk kepadanya. Kekalahan BN di Kuala Terengganu itu juga secara langsung menimbus kecemerlangan Najib yang mendapat pencalonan hampir seratus peratus untuk jawatan Presiden Umno. Kegembiraan Najib dalam Umno dibunuh oleh pengundi di Kuala Terengganu.

Kekalahan itu juga menyebabkan orang membuat tanggapan bahawa demokrasi dalam Umno berbeza dengan demorkasi diluar Umno yang tidak bersimpati langsung dengan Najib. Yang mengenang jasa Tun Razak ialah orang Umno yang didik dan diberi makan tetapi bukan rakyat bebas di luar!

Tidak semena-mena juga kegagalan Najib membawa kemenangan atas kapastitinya bakal perdana menteri itu menyebab orang akan mengesahkan rasuah benar berlaku dalam Umno semasa pemilihan lalu sehingga memberi kemenangan besar kepada Najib dan calon lain Tengku Razaleigh Hamzah tidak mendapat satu undi pun selain dari bahagiannya sendiri. Belum tentu Najib mendapat pencalonan hampir seratus peratus kalau tidak ada sogokan wang, tawaran projek dan jawatan semasa kempen pemilihan itu. Ertinya kemenangan besar Najib itu adalah palsu.

Kekalahan dengan kekurangan 2,631 itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada Najib. Bahawa beliau tidak popular dan tidak boleh menjadi pemangkin kepada kekuatan Umno di masa akan datang. Bahawa beliau begitu naif untuk berhadapan dengan pengaruh Anwar Ibrahim yang bersaing untuk merebut kerusi PM bersama beliau. Bahawa BN naif untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat yang semakin diterima dan meyakinkan rakyat.

Perkembangan-perkembangan dan petunjuk itu menampakkan masa depan Umno dan kerajaan BN ditangan Najib makin suram dan longlai. Kedudukan Najib sebagai PM dengan hanya kelebihan 29 kerusi di Parlimen kini sangat-sangat membimbangkan. Apa yang berlaku kini seolah memberi signal awal bahawa dalam pilihan raya umum ke-13 nanti kerajaan BN seakan mahu lenyap di bumi ini.

Barang kali, (diulang) barang kali betul juga saranan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang meminta agar Abdullah Ahmad Badawi terus memimpin negara ini dan tidak mudah menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Najib. [wm.kl 11:00 am 18/01/09]

1 comment:

luaskanmata said...

Salam guru dan pengunjung budiman:

Kemenangan PAS menghilangkan rasa resah dihimpit kehidupan yang kian mendesak hari ini. Bukan kerana PAS itu kaya yang akan dapat memberi saya wang. Keresahan hilang bilamana jalan ke arah Islam didaulatkan di bumi tercinta ini kian cerah. Biarpun masalah sara hidup belum selesai, setidaknya jalan untuk mendapat belas ihsan Allah itu kian terbentang luas.

Saya berfirasat laluan TPM untuk menjadi PM amat sukar kini. Terasa saja Pak Lah akan melakukan sesuatu untuk terus memegang jawatan nombor satu negara itu selepas Mac 2009 akan datang.

Sekalian umat Islam, marilah kita berdoa sebagai selemah-lemah usaha untuk memastikan Islam dimartabatkan.

Salam jihad.