Sunday, March 15, 2009

Belasungkawa

Wan Jamil Wan Mahmood
Tokoh Pas Yang Sedia Berkorban Untuk Perjuangan

HARI ini saya menerima berita sedih yang berlaku lebih dua minggu lalu iaitu kematian bekas ahli Parlimen Tumpat, Wan Mohamad Jamil Wan Mahmod. Berita kematian beliau benar-benar mengejutkan dan rasa terkilan kerana tidak mengetahui mengenai pemergian Allahyarham.

Beberapa minggu lepas saya sudah pun dikejutkan dengan SMS daripada seorang teman yang bertanya samada benar atau tidak maklumat yang mengatakan Wan Jamil sudah tiada.

Selepas menghubungi seorang kawan di Kota Bharu, saya diberitahu Wan Jamil masih ada di hospital. Selepas itu tidak ada apa-apa follow-up mengenai perkembangan beliau. Sehinggalah petang ini seorang teman datang ke rumah mengkhabarkan bahawa Wan Jamil sudah pun kembali ke Rahmatullah pada 28 Februari lalu.

Wan Jamil adalah seorang pemimpin veteran Pas yang seangkatan dengan Ustaz (Datuk) Abdul Halim Abdul Rahman, Cikgu (Datuk) Wan Rahim Abdullah, Allahyarham Bunyamin Yaacob, Allahyarham Nik Muhammad Kamil dan lain-lain. Beliau adalah merupakan generasi yang dididik Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda. Bersifat lemah lembut dan senang untuk diajak berbual.

Beliau komited dengan perjuangan Pas dan seorang tokoh yang telah mengorbankan kedudukan untuk perjuangan. Misalnya kesediaan untuk melepaskan kerusi Parlimen Tumpat kepada Kamaruddin Jaaffar adalah satu pengorbanan besar.

Walaupun beliau berhak untuk terus bertanding kerana beliau adalah ketua Pas kawasan Tumpat, namun kerana menghormati Kamaruddin yang baru menyertai Pas dan dengan harapan Kamaruddin dapat membawa perubahan, beliau rela tidak bertanding dan menyerahkan kerusi berkenaan kepada Kamaruddin bagi menerusi tugas dan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen.

Beliau mewakili kerusi Parlimen Tumpat selama dua penggal, 1990 – 1995 dan 1995 – 1999. Tahun 1990 mengalahkan Dusuki Ahmad manakala tahun 1995 mengalahkan Kamaruddin Jaafar – ketika itu Kamaruddin masih dalam Umno.

Wan Jamil seorang yang tidak mementingkan diri dan taat serta akur kepada keputusan parti dan pemimpin tertinggi. Tidak pernah menimbulkan kontroversi di sepanjang perjuangannya dalam Pas.

Semasa beliau menjadi ahli Parlimen Tumpat, beliau sering bertandang ke rumah saya. Biasanya bila ada sessi persidangan parlimen. Ada kalanya Allayarham datang untuk saya menaipkan ucapannya dan menyemak mana-mana yang perlu. Ada kalanya beliau terus menyuruh saya menulis ucapannya, beliau hanya datang ambil saja.

Saya masih ingat lagi ketika timbul krisis perlembagaan beliau meminta saya menyiapkan teks ucapannya di parlimen. Dalam teks ucapan itu saya menyelitkan satu persoalan berhubung kuasa Raja-raja Melayu. Disebabkan beliau ketiadaan masa beliau tidak menyemak teks ucapan itu dan terus membacanya di Dewan Rakyat.

Butiran ucapan itu dipetik oleh akhbar utama sebagai berita penting pada hari itu. Keadaan itu mengejutkan Allahyarham. Pada malam berita itu disiarkan beliau datang menemui saya dan bertanya apakah yang akhbar laporkan itu ada dalam ucapannya. Saya menggatakan iya.
Beliau kelihatan tergaman kerana ucapan itu menimbul kontroversi. Bagaimana pun beliau tidak marah dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang dilafazkan itu.

Selain itu Wan Jamil juga seorang yang suka menyelidiki dan berhubung dengan para wartawan dan penulis. Setiap kali jumpa saya beliau tidak akan melepaskan peluang untuk bertanya isu-isu politik semasa yang timbul. Tidak lupa juga beliau akan bertanya mengenai apa-apa isu yang berlaku di Kelantan termasuk penerimaan kepimpina Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Satu yang membanggakan saya Allahyarham merupakan pembaca setia buku-buku politik tulisan saya.

Saya agak lama tidak duduk dengan beliau. Kali terakhir kami duduk lama dan bersembang berbagai perkara ialah semasa sama-sama ke Aceh untuk menyaksikan upacara perlantikan Irawandy sebagai Gabenur Aceh pada Julai 2007.

Saya dijemput oleh pejabat Gabenur Aceh untuk menyaksikan upcara berkenaan. Manakala Wan Jamil pula hadir sebagai mewakili Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut menerima jemputan. Ikut sama dalam rombongan itu ialah Dr Johari Mat, Pengarah Kolej Sultan Ismail Putra (Kias).

Bila mengenangkan Wan Jamil suatu yang tidak mungkin dilupakan ialah mengenai keberanian dan sikap terbuka beliau dalam berwacana. Beliau satu-satu pemimpin Pas peringkat negeri Kelantan dan kawasan Pas yang memanggil saya untuk menjadi salah seorang ahli panel dalam wacana politik Pas kawasan Tumpat.

Peristiwa ini berlaku awal tahun 90-an semasa Pas kawasan Tumpat mengadakan perhimpunan di Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas. Kenapa saya mengatakan beliau berani kerana umum mengetahui sikap dan pendirian saya yang suka berterus terang dan tidak berselindung dalam memberi pandangan dan kritikan kepada sesiapa juga.

Walaupun Wan Jamil tahu sifat saya demikian beliau turut juga mengundang saya.

Selain daripada saya menganggap dia sebagai pemimpin yang mempunyai syaksiah yang baik, lemah lembut beliau juga saya anggap sebagai kawan. Saya mengenalinya sejak tahun 70-an lagi sewaktu itu beliau menjadi Timbalan Dewan Pemuda Pas, di mana Ketuanya Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, ahli Parlimen Pengkalan Chepa kini.

Tokoh yang lemah lembut, tahu beradat sopan tidak pernah memaki hamun orang dan sangat menghormati rakan dan lawan ini kini sudah tiada lagi. Bagi mereka yang arif dan mengetahui sejarah perjuanganya, jasa, budi dan pengorbanannya untuk parti PAS khasnya di Tumpat begitu besar sekali. Didoakan semoga Allah s.w.t. meletakkan rohnya di maqam terpuji. Al- Fatihah. [wm.kl. 7:00 pm 15/03/09]

6 comments:

Ibnu Ali said...

Kenapa tak keluar HarakahDaily ye? Atau saya yang terlepas pandang? Atau orang-orang harakah dah lupa dengan Allahyarham?

anak muda said...

janganlah kita beranggap negatif kalau kita tidak mengetahui keadaan sebenarnya.

Harakahdaily pernah menyiarkan berita kematian Allahyarham pada hari kematiannya pada 28hb Feb 2009.

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/index.php?option=com_content&task=view&id=019625&Itemid=96

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019712&Itemid=90

antara wartawan melaporkan...

Ketika mengiringi jenazahnya di tanah perkuburan, Menteri Besar kelihatan tidak dapat menahan air mata.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kemampuan Allahyarham mentadbir PAS Tumpat begitu mengkagumkan sehingga tiada masalah berlaku.

"Bukan itu sahaja semua pihak begitu menghormati Allahyarham termasuk pihak lawan. Saya cukup kagum dengan kemampuannya," ujarnya ketika ditemui.

Allahyarham juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang wala' (setia) kepada pemimpin.

Antara kata-kata yang sering diucapkan Allahyarham: "Jangan mengharapkan apa-apa jawatan dalam perjuangan, sebaliknya teruskanlah berjuang dan jangan sekali-kali kecewa sekiranya tidak dilantik memegang sebarang jawatan, biarlah Allah yang menilainya".

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Penyelia (Dun) Pengkalan Kubur bermula tahun 2005.

Di sebalik sikap lemah lembut dan mudah mesra, Allahyarham ialah seorang yang tegas dalam apa juga tindakan.

"Memang Allahyarham tak mudah marah, dia seorang yang baik, tetapi sekali dia marah, memang payahlah nak ubat,� ujar Arniwati.

Jenazahnya kini disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau Pasir Pekan. Alfatihah.

ada gambar TGNA sekali....

mohd sayuti omar said...
This comment has been removed by the author.
mohd sayuti omar said...

Kepada Anak jangan marah kepada Ibnu Ali (dua-dua saya tak kenal), bukankah Ibnu Ali mengatakan mungkin ia terlepas pandang mengenai berita kematian Allahyarham Wan Jamil itu. Bukan saja Ibnu Ali saya sendiri juga terlepas mendapat perkhabaran dukacita itu.

Kadang-kadang kita ini sensitif sangat kalau sesuatu yang tidak berpihak dan menyeronokkan kita ditulis dan didedahkan kita terus memandang serong. Apa lagi kalau orang yang kita puja kena timbal kita terus marah tanpa mahu menyelidik sebab musababnya.

Saya nasihatkan kepada penjenguk blog saya supaya lebih bersifat terbuka dan jangan sesekali taksub sehingga sikap taksub menutup kepala kita sehingga kita tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil!

Salam. MSO

sketsa sebuah perjuangan said...

saya adalah anak muda yg tinggal di dun n01 pengkalan kubor..

Saya mula mengenali arwah adalah sewaktu mula mula bergiat aktif dalam memenangkan dun pengkalan kubor pada pru yg ke 11 lepas. Malangnya dun ini kalah kpd BN. Mungkin kerana faktor calon Keadilan

Ternyata,, sewaktu sama sama bekerja untuk beliau sewaktu beliau menjadi penyelia dun,, beliau amat senang sekali untuk di dekati.. Ucapan ucapannya lembut penuh dengan nasihat.

Walaupn beliau tidak dipilih uuntk menjadi calon poda pru yg lalu,, namun beliau tidak menunjukkan apa apa yg menunjukkan sikap rasa kecewanya malahan belaiu terus berjuang untuk memenagkan calon 'Keadilan' di waktu itu..

Beliau juga tidak lokek untuk menghadiahkan/memberi sesuatu yg amat berharda kpd para petugas dan juga orang orang kg di sekitar dun pengk kubor.

Dari raut wajah dan senyumannya pada sesiapa shj, ianya sudah nampak segala keikhlasan yg terbit dari hati nurani yg bersih yg bercirikan seoarang pejuang bermatlamatkan ALLah swt

Kini,, segala baju baju petugas sebagai pemuda Dun N01 Peng Kubor,, hanyalah tinggal kenangan semata mata.

Moga ALlah mnencucuri rahmat ke atas beliau. AMin

p/s : sebaik shj berita kematian arwah,, saya menunggu nunggu posting drp abg MSO, sekarang baru ada. AlhamduliLlah.. JazakaLlah.

Anonymous said...

ayahanda MSO, berita kematian arwah ada dalam harakahdaily pada hari tersebut. Semua yang ingatan mengenai beliau yang dipaparkan oleh ayahanda amat tepat seperti yang chemek kenali beliau.

moga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya, dilapangkan tempat istiharatnya dan diganjari pahala bercurah-curah dan bertali-tali. InshaAllah.