Wednesday, March 18, 2009

Seloka Malam

Ayat-ayat Jampi Dan Besi Bat

WAH...Umno betul-betul Melayulah... Melayu yang masih kuat kepercayaan kepada kuasa-kuasa ghaib, tahyol, bomoh dan juga hantu. Nak tergelak saya bila membaca berita tentang penemuan kertas jampi dan kayu yang dibungkus dalam kertas yang diletakkan secara misteri di bawah meja Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi di ibu pejabat Umno, di PWTC.

Katanya kertas itu ditemui terselit di bawah meja presiden oleh pasukan polis yang melakukan pemeriksaan rutin bilik berkenaan setiap kali sebelum diadakan mesyuarat. Saiz kertas itu kecil boleh muat dalam mulut, sebesar ibu jari ko. Di dalamnya tertulis dengan huruf Jawi.

Kertas berkenaan kini telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dikaji. Hebat!

Apakah agaknya maksud dan erti yang ditulis dikertas itu? Sayangnya ramai orang Melayu sudah tidak tahu membaca Jawi kalau tidak tahulah apakah erti dan makna ayat-ayat itu. Itulah silap orang Umno juga kerana menghapuskan tulisan Jawi di sekolah. Mohamad Khir Johari lah bertanggungjawabnya. Semasa beliau jadi menteri pelajaran beliau hapuskan mata pelajaran Jawi. Iras-iras macam Hishamuddin agaknya yang mempertahankan PPSMI!

Apakah agak-agaknya maksud dan bunyi ayat-ayat jampi itu? Mungkinkah ianya berbunyi begini; hai mambang tanah, mambang laut, mambang gunung, kamu datanglah ke sini suruh Pak Lah cepat-cepat letak jawatan sebagai perdana menteri sebab aku hendak datang ambil tempat ini..

Atau pun mungkin tulisan itu bermaksud begini; hai jembalang raja segala jembalang, kau datanglah bawa anak beranak kamu untuk lemahkan Pak Lah. Kau paksalah Pak Lak supaya cepat-cepat lepaskan jawatan Perdana Menteri, sebab aku dan kumpulan aku hendak duduk di sini pula...

Mungkinkan begitu bunyi dan maksud ayat-ayat itu? Sahlah kini Umno sudah tenat sangat sampai terpaksa guna azimat dan ayat-ayat jampi. Apakah di zaman IT ini masih pakai bomoh lagi ke? Mereka yang pakai bomoh adalah mereka yang desperate.

Apakah ayat-ayat jampi itu kini sudah meresap dan melemahkan saraf-saraf otak Pak Lah?

Bila mengenangkan hal ini maka teringat saya kepada kisah yang berlaku di Kelantan pada pertengahan tahun 1990-an dulu ketika timbul krisis antara Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pihak istana. Hal yang hampir sama juga berlaku.

Ada orang menemui benda yang di gantung di mikrofon di atas meja tempat Menteri Besar di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Turut ditemui ialah benda yang dibungkus dengan kain kuning. Menurut orang yang mendakwa menemui benda itu ianya digantung di mikrofon di meja Tok Guru itu.

Turut ditemui ialah besi bat yang dubungkus dalam kain kuning. Besi bat ni sejenis besi yang kononnya boleh melemahkan orang dan mengebalkan orang. Besi bat ini sangat istimewa dari kalangan bomoh dan mereka yang percaya kepada kuasa tahyol.

Kononnya nasib baik besi itu ditemui dan dibuang awal-awal kalau tidak Tok Guru Nik Abdul Aziz akan mendapat celaka apabila Tok Guru menggunakan mikrofon berkenaan untuk berucap di dalam Dewan itu?

Tidaklah pula dapat dipastikan apakah selepas itu Tok Guru terkena apa-apa kesan selepas itu? Yang jelasnya Tok Guru tidak mengalami apa-apa dan sihat sampai ke hari ini. Sikapnya juga bukan lemah bahkan semakin tegas. Tok Guru juga dimaklumkan dengan penemuan barang itu.

Sekiranya Abudullah juga mempunyai kekebalan dan tidak percaya kepada ayat-ayat jampi itu maka Abdullah juga akan sihat dan tidak mengalami apa-apa penyakit kronik seperti mana yang diharapkan daripada kuasa ghaib itu. Maknanya Abdullah akan terus menjadi perdana menteri selepas Mac ini!

Sebaliknya kalau ayat-ayat jampi itu sudah meresap, maka Abdullah tidak ada pilihan lain kena tinggalkan mejanya itu seberapa segera yang bermakna meninggalkan jawatannya sekali!

Kalau ayat-ayat jampi itu juga ada di meja perdana menteri, ini bermakna ia sesuatu yang malang bagi mereka yang mengharapkan Abdullah teus menjadi PM. Jadi sebelum apa-apa eloklah mereka yang masih sayanghkan Pak Lah cepat-cepat ke Putrajaya dan periksa mejanya takut-takut ayat-ayat jampi itu juga ada terselit di mana-mana celah mejanya. Cepatttttt...

Catatan: Percaya kepada kuasa ghaib, tahyul adalah syirik hukumnya. [wm.kl. 8:00 pm 18/03/09]

No comments: