Friday, March 27, 2009

Ulasan Isu

Hasrat Shahrir Letak Jawatan
Kerana Maruah Atau Tak Setuju Dengan Najib?

SHAHRIR Abdul Samad (foto) membayangkan beliau akan melepaskan jawatan menteri kabinet yang disandangnya ekoran beliau tidak terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno. Shahrir mengambil tindakan itu sebagai tanggungjawabnya setelah kalah dalam perebutan anggota MT semalam. Shahrir membuat kesimpulan kekalahan itu disebabkan ahli Umno merasakan beliau gagal sebagai seorang anggota Kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu memang dikenali sebagai seorang yang berprinsip, tegas dan suka membuta kejutan sejak dulu lagi.

Kalau ditengok sekali imbas wajar orang kalah dan tidak mendapat kepercayaan parti berundur dari memegang apa-apa jawatan. Soalnya apakah kekalahan itu benar beliau sudah hilang kepercayaan ahli Umno?

Bukankah di sepanang kempen perebutan jawatan kali ini hangat diperkatakan soal rasuah dalam Umno. Pemilihan kali ini tidak dapat dielakkan daripada rausah politik. Makanya sesiapa yang tidak sedia melakukan dosa dan noda itu mungkin akan kalah.

Dalam hal ini Shahrir adalan antara mereka yang membenci rasuah politik. Beliau antara pemimpin yang tidak yakin bahawa wang dapat melahirkan pemimpin yang berkalibar.

Seorang ketua Umno bahagian dari Terengganu pernah menceritakan kepada saya bagaimana Shahrir menolak wang yang disediakan oleh seorang taukeh Cina bagi membantu beliau bertanding merebut jawatan pada satu tahun lalu.

Kata ketua bahagian itu beliau sungguh terkejut dan terpaksa memulangkan wang itu kepada taukeh Cina berkenaan. Jumlah wang itu bukan sedikit, RM2 juta katanya.

Bayangkan bagaimana kalau wang itu sampai kepada perasuah politik? Tentu ditibal dan dibungkusnya. RM2 juta bukan sedikit sudah cukup untuk membeli satu jawatan tertinggi dalam Umno.

Apakah kekalahan Shahrir semalam kerana beliau tidak bermain wang? Kalau beliau kalah disebabkan 'salamannya kosong', beliau tidak perlu merasa malu. Kekalahan itu adalah kekalahan bermaruah. Beliau kalah bukan kerana tidak menunjukkan prestasi baik dalam kerajaan tetapi kerana implikasi lain yang tidak ada kena mengena dengan prestasi kerjanya.

Pernah saya diberi tahu oleh seorang menteri Kabinet antara menteri banyak membantu Abdullah Badawi, memberi pandangan dan mengkritik kerajaan ialah Shahrir. Beliau seorang yang ikhlas dan serius dengan tugasnya untuk membawa kebaikan. Selain Shahrir menteri lain yang terkenal sebagai kuat membantu menjayakan misi Abdullah ialah Ahmad Shabery Chik, Menteri Penerangan, Syed Hamid Albar, Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim.

Mereka yang lain menurut menteri itu berkerja ala kadar sahaja kerana mereka mempunyai konflit jiwa dengan Abdullah. Mereka akan mula memecut apabila Najib Razak menjadi Perdana Menteri.


Sudah pasti kalau ahli Umno melihat kepada performance dan juga keikhlasan Shahrir dalam membantu Abdullah, Shahrir tidak perlu melepas jawatan. Sebaliknya Najib harus menolak kalau Shahrir terus dengan cadangan itu. Lainlah kalau tindakan Shahrir itu kerana beliau tidak yakin dan percaya dengan Najib sebagai perdana menteri.

Apakah itu sebenarnya sebab musabab Shahrir hendak berhenti? Cuma beliau menjadikan penolakan perwakilan itu sebagai alasan saja? Yang sebenarnya beliau tidak tergamak untuk menerima Najib sebagai ketuanya?

Seperkara lagi sekiranya tindakan Shahrir itu dikira adil dan wajar, maka menteri-menteri lain yang kalah dalam pertandingan juga harus mengambil tindakan sama. Kerana yang kalah bukan saja Shahrir tetapi masih ada segugus yang lain. Semua calon-calon ‘lesung hindik’ atau ‘lesung tumbuk’ termasuk yang menjawat jawatan menteri kalah. Mereka juga kena letak jawatan kalau formula dan tanggungjawab Shahrir itu diambil kira.

Begitu juga dengan Menteri Pelancongan, Azalina Othman Said yang kalah perlu meletak jawatan. Apa lagi Azalina disiasat SPRM menjelang pemilihan Umno. Menteri ‘lesung hindik’ atau 'lesung tumbuk' Rais Yatim dan Syed Hamid juga kena letak jawatan kerana mereka juga kalah.

Begitu juga dengan beberapa orang menteri besar, Adnan Yaacob (MB Pahang), Abdul Ghani Othmanm, (MB Johor juga kalah), Mohd Isa Sabu, (MB Perlis) dan Mohammad Hassan, (MB Negeri Sembilan) juga kalah.

Mengambil kira apa yang dirumuskan oleh Shahrir itu mereka ini juga perlu melepas jawatan masing-masing.

Juga kalau Shahrir merasakan dia perlu letak jawatan kerana merasakan dia orang Abdullah Badawi, maka menteri dan menteri besar-menteri besar itu juga perlu berbuat demikian kerana mereka juga dilabelkan sebagai orang Abdullah Badawi. Terutamanya menteri besar yang pernah membuat simbol lucah.

Bagaimana pun di sini saya yakin mereka yang kalah itu tidak akan sedia mengambil risiko seperti mana Shahrir Abdul Samad. Mereka akan menggunakan seribu alasan untuk kekal kecuali mereka akan disingkirkan oleh Najib. Kerana atas sifat orang politik susah untuk mereka meninggalkan takhta apabila sudah naik, bukan saja orang Umno orang Pas juga begitu! [wm.kl. 8:00 pm 27/03/09]

1 comment:

Shaharuddin Othman. said...

Setuju dengan kaedah yang diambil oleh Datuk Shahrir dan inilah ahli parti yang mempunyai prinsip seperti apa yang berlaku pada negara lain dan yang pasti Najib pasti akan mencantas beliau bila dilantik PM.jika ramai mempunyai pemimpin seperti Shahrir alangkah bagusnya,