Monday, May 4, 2009

Dari Hati Ke Hati

Sebaiknya Husam Tentang Abdul Hadi

TINDAKbalas dari para peminat dan penyokong Husam Musa di beberbagai medium terhadap hasrat naib presiden PAs itu nak lawan timbalan presiden sungguh memberangsangkan. Rata-rata mereka menyokong langkah Husam untuk menentang Nasharudin Mat Isa di kerusi timbalan presiden. Bagi mereka langkah itu sebagai tepat pada masanya untuk Pas melakukan perubahan.

Tanpa mempedulikan apakah alasan yang diberikan Husam memang mereka yang mahu melihat Pas berubah kena menyokong Husam. Sesiapapun kena memberi dokongan demi perubahan untuk membawa Pas keluar dari dunianya kini, kepimpinan ulama. Bagi ahli dan penyokong Pas perubahan yang positif itulah yang diharapkan.

Saya tidak mahu ungkitkan apakah perubahan positif itu. Ia ada dalam benak Husam yang kaya dengan berbagai agenda dan mereka yang melihat Husam sebagai tokoh pembaharuan dalam Pas. Kalau boleh Husam kena jelaskan.

Kalau setakat hanya mengatakan kerana Nasharudin ingin mengadakan hubungan dengan Umno itu tidak kuat dan ternyata alasan Husam itu kebudak-budakkan dan tidak mempunyai pandangan politik yang liberal seperti diharapkan.

Sekali lagi saya tidak mahu mengulas apakah kritikan Husam itu betul atau sebaliknya. Mereka yang menyokong Husam dan melihat Husam akan membawa kebaikan kepada Pas tidak sudi mendengarnya dan akan melihatan ulasan ini sebagai prejudis!

Apa yang ingin saya ajukan di sini dan untuk direnung bersama, apakah cara Husam nak bawa perubahan dengan menentang Nasharudin itu berbaloi? Apakah ia akan mencapai hasrat itu. Saya bersetuju dengan pandangan Nik Amar Nik Abdullah mengatakan Husam patut menentang presiden bukannya timbalan presiden.

Iya, tidak ada gunakan menentang Nasharudin atau mengambil sikap kata seorang penjenguk blog Merah Tinta tindakan Husam itu sebagai pukul anak sindir menantu. Dalam politik zaman borderless ini tidak payah berselindung dan berdolak dalih, semuanya perlu langsung kepada mauduk, straight forward. Kita tidak mahu berfikir dalam suasana kelabu dan gelap kerana ia lambat dan bahaya!

Paling afdal bagi saya Husam kena tentang Abdul Hadi Awang. Beliau kena rebut tempat itu. Rancangan atau pelan untuk menentang presiden ini sudah terangka sejak tahun 2005 lagi. Husam sendiri saya percaya masih ingat kepada pelan berkenaan? Masanya kini sudah sampai untuk bertindak 'mentajallikan' pelan berkenaan.

Kalau kita yakin dengan diri sendiri dan agenda yang hendak kita bawa untuk Pas, kenapa kita harus takut dan bermain 'ciku cap!" Tidak payah bersikap demikian kerana orang zaman ini sudah faham benar dengan variasi politik demikian.

Apakah Husam merasakan beliau tidak mampu atau akan merasa Pas akan berpecah? Soal ini saya tidak perlu bangkitkan. Bukankah hari ini Husam dikatakan mendapat sokongan dari seluruh negara, baik dalam Pas dan Pakatan Rakyat? Husam disenangi oleh orang Melayu, Cina dan India?

Di Kelantan sendiri menurut Ketua Pas Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah hampir seluruh Pas kawasan di Kelantan mencalonkan Husam termasuk kawasannya. Itu tandanya Husam popular dan mampu untuk berhadapan dengan Abdul Hadi.

Seperti mana saya sebut sebelum ini, pelan Husam menduduki jawatan timbalan presiden tidak akan merubahkan Pas. Selagi Abdul Hadi Awang jadi presiden, beliau tidak akan dapat mengatasi kuasa presiden. Presiden akan mengekangnya. Apa lagi kalau naib-naib presiden pula terdiri daripada orang yang dikenal pasti menyokong presiden akhirnya ia menjadikan Husam semakin tersisih dan kera sumbang saja dalam Pas nanti.

Bagi saya kerja Husam melawan timbalan presiden kerja sia-sia saja. Dengan hanya menduduki jawatan nombor dua Husam tidak dapat berbuat apa-apa. Sebaliknya bagi saya kemenangan Husam nanti menyebabkan Pas akan menjadi dua kepala, satu berkepala pakai kupiah dan satu lagi berkepala tidak memakai apa-apa. Apakah ahli Pas ingin melihat parti itu berkeadaan demikian selama dua tahun?

Saya percaya dan yakin Husam boleh mencuba untuk mendapat jawatan presiden seterus membawa perubahan kepada Pas. Ada beberapa langkah yang beliau boleh lakukan;
  • Beliau kena pengaruhi dan yakinkan saki baki golongan ulama liberal dalam Pas kini agar bersamanya.

  • Beliau kena menggunakan Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai payung kumpulannya.

  • Golongan Prolib kena sepakat menyokong Husam.

  • Pastikan kuasa di luar sana turut menyokong dan berkerja memastikan kemenangan Husam.

Diingatkan kepada Husam jalan yang ditempuhi sekarang ini berbahaya bagi politik masa depannya. Sekiranya beliau kalah, pengaruhnya akan berkurangan dan ruang dalam Pas juga akan menjadi sempit. Kekalahan itu menjadi penghalang pada masa depannya dalam Pas serta akan mengerhanakan cita-cita politiknya.

Kekalahan itu juga memberi kesempatan baik untuk golongan Ustaz – Ulama (Ustaz Mat) membendung pengaruh Prolib yang dibawa oleh Husam.

Pada saya, dengan mengenepikan perasaan peribadi, alang-alang berdakwat biarlah sampai hitam. Kalau seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kata orang kalau nak main hujan biar basah baju dan seluar sampai ke seluar dalam sekali. Masa masih ada untuk Husam berbuat demikian. Beberapa kawasan Pas yang masih belum bermesyuarat boleh mencadangkan Husam untuk melawan Abdul Hadi Awang? Husam hanya memerlukan dua pencalonan sahaja untuk mencabar Abdul Hadi.

Dan sekiranya Husam tetap berniat nak cabar timbalan presiden berasaskan hujah dan alasan tadi, saya rasa lebih baik Husam batalkan niat dan menyusun semua bala tenteranya untuk rempuh Abdul Hadi dua tahun lagi bukannya untuk muktamar ini sekadar jawatan nombor dua itu. Kerja itu membuang masa saja! [wm.kl. 8:00 pm 04/05/09]

5 comments:

melikapakjangak said...

Kawe BERSETUJU BENAR dan BERDO'OH-DO'OH, biar Husam lawan Haji Hadi kerana matlamat utama mahu jawatan Timbalan Presiden pun adalah untuk jadi Presiden akhirnya. Bila jadi presiden. kalau menang gat (KALAU MMENANGLAH) dalam pilihanraua umum akan datang dan Umno/BN hancur, maka Perdana Menterilah jawabnya. Ke situ hujung jatuhnya. Kes tu jah sebenarnya yang kalut ribut berebut jawatan. Rakyat jelata tetap dok bocih perut boktan tak cukup zat dan tunggek punggung macam sedia jugak kena kuka pokok getah nak cari samas-serial, sesetengahnya untuk muat dalam uncang derma parti. - RAMLI ABDUL HALIM, Kota Bharu, Kelantan

afuan16 said...

saya berpendapat, pertandingan merebut jawatan di dalam PAS merupakan suatu fikrah yang sihat walaupun terdapat perbedaan metodologi perjuangan. Label ulama dan profesional sepatutnya bukan menjadi isu mauduk atau tunjang halangan kerana idealisme karisma perjuangan yang ikhlas berakarkan ISLAM lebih penting dan wahid untuk dijadikan ukuran. Persetankan label pro-muzakarah maupun erdogan kerana label ini bukan ancaman sebaliknya perpaduan utuh disamping keupayaan menggerakkan momentum bagi meyakinkan rakyat seantero malaysia bagi memberi undi dan kepercayaan terhadap PAS bagi menggantikan UMNO untuk mentadbir negara lebih penting dan berharga. Pimpinan PAS sepatutnya lebih kreatif dalam pendekatan, ilmiah dan intelek ketika berbicara, memahami arus kebangkitan gelombang rakyat, turun ke bawah bersama rakyat, dan dapat mengemukakan alternatif perdana yang lebih rigid berbanding pendekatan UMNO. Soal kepimpinan ulama mahupun profesional hanyalah cebisan isu biasa, sepatutnya pentakrifan definisi ulama perlulah diperluas skopnya secara menyeluruh. Ulama mahupun profesional bisa bergerak dan bekerja secara berpasukan. Keikhlasan dan keintelektualan itulah barang berharga buat menitip perjuangan suci menegak keadilan dan nilai-nilai ISLAM dalam membentuk masyarakat madani Malaysia yang bersifat towering personal bersalutkan nilai pembangunan modal insan cemerlang, gemilang, dan terbilang.

NH Shah Alam said...

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada MSO kerana Merah Tinta sudah berwajah baru.. Sudah hampir seminggu saya tidak menjenguk blog ini kerana sibuk dengan Isteri sakit di Hospital. Apa pun tahniah saya ucapkan kerana cuba memodenkan lagi blog ini untuk tatapan peminat setia.

Berbalik kepada isu yang dipostingkan.. Secara peribadi saya menyokong penuh apa yang ditulislan oleh Sdr. MSO.. Walaupun kita tidak tahu apakah MSO membuat ulsan tersebut dengan perasaan hati yang terbuka ataupun tidak, itu terpulang kepada beliau. Hanya Allah jua yang tahu apa dalam hati beliau. Tetapi yang jelas beliau meminta Husam bertanding Jawatan Presiden. Alang2 mandi biar basah sampai keseluar dalam, alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai kepangkal lengan. Itulah peribahasa yang digunakan bagi melengkapkan hujahnya untuk husam melawan Presiden.

Sejarah sudah memberi petunjuk kepada kita, contoh terdekat ialah Timb. Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek. Oleh kerana beliau tidak sebulu dengan Presiden Parti, maka dia jadi macam kera sumbang walaupun beliau menang jawatan orang NO.2... Biro yang di beri kepada Chua adalah Biro yang tidak bermakna. Sekarang dah buat ugutan untuk keluar MCA dan menyertai Pembangkang.

Justeru itu tidak mustahil perkara ini akan terjadi kepada husam. Tengok Ustaz Hassan Syukri, apa sudah jadi kepada beliau? Senyap terus...

Oleh itu Husam kena kerah seluruh jenteranya untuk bekerja kuat bagi memenangkan beliau untuk Jawatan Presiden PAS.

Wassalam

-NH Shah Alam-

Orang Sabah said...

Assalamualaikum,
Bagi saya, biarlah Datuk Husam bertanding timbalan presiden. Ambil pengalaman dan ilmu pengetahuan dulu. Sekiranya pengalaman dah cukup barulah bertanding Presiden pula. Tak perlu tergesa gesa tanding Presiden. Saudara MSO, kenapa tak gunakan ganti nama "baju petak petak merah"? Biasanya MSO suka dgn ganti nama itu.

anakjatiperak said...

cadangan itu adalah untuk mematikan karier politik Husam.Aku tak setuju..Ini cadangan membawa rebah,bukan nya nak bawa tuah.