Thursday, June 25, 2009

Menjala Calon Manik Urai

Siapa Calon Umno di Manik Urai?

MENJELANG Jumaat ini, barang kali Pas sudah pun memutuskan calon mereka yang akan diturunkan pada pilihan raya kecil Manik Urai, 6 Julai ini. Nama calon Pas itu katanya sudah pun disebut pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas 22 Jun lalu. Namun begitu sebutan itu bukan bermakna nama itu yang menjadi pilihan muktamad.

Kali ini Pas tidak memberi mandat kepada Presiden untuk mengumumkannya. Sebaliknya Pas menyerahkan kepada Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat berbuat demikian. Sebab pilihan raya ini berlaku di Kelantan maka Pas Kelantan dilihat mempunyai autoriti penuh untuk menentukan hala tujunya sendiri. Begitulah yang lazim berlaku sebelum ini.

Apapun pada Jumaat ini Nik Aziz akan mengumumkan nama calon Pas di markas besar Pas Manik Urai. Presiden Pas, Abdul Hadi Awang akan turut sama hadir setelah desas desus mengatakan ‘pagar’ dibina untuk menghalang kehadiran Abdul Hadi sudah dirobohkan.

Kenyataan Pengarah Pilihan Raya (JPP) Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron bahawa poster presiden Pas itu akan dinaikan selepas hari penamaan calon membuka perkembangan baik. Kenyataan itu melegakan banyak pihak dalam Pas yang berkecemakukkan sebelum ini. Sebelum ini ada pemimpin Pas tertentu di Kelantan yang menghalang poster Abdul Hadi dinaikan atas alasan Pas ingin melokalisasikan piliha raya berkenaan.

Siapakah nama yang disebut dalam mesyuarat jawatan kausa Pas itu dan mungkin dipilih Pas, sila rujuk kepada tulisan (spekulasi) saya dalam blog ini sebelum ini. Nampaknya nama dan orang yang saya sebut itu, itulah juga yang menjadi pilihan dan kesukaan jawatankuasa Pas.

Berlainan dengan Umno, sehingga kini parti itu masih belum dapat memutuskan siapakah calon mereka. Mesyuarat MT Umno malam semalam juga hanya memaklumkan mereka akan mengumumkan calon itu pada Ahad ini. Mengenai calon masih belum muktamad. Ini bermakna calon Umno akan mengikuti calon Pas.

Mungkin Umno mahu melihat siapa yang akan diturunkan Pas, baru mereka akan memilih dari tiga nama yang disebut-sebutkan ketika ini.
Tiga nama yang disebut-sebut dipihak Umno pula ialah, Timbalan Ketua Umno Kuala Krai, Che Jalal Muda, Ketua Pemuda, Tuan Aziz Tuan Mat dan bekas Adun Mengkebang, Azizzuddin Hussein (foto atas). Inilah tiga nama yang dikatakan telah disenarai pendek dan sudah menjadi spekulasi media massa.

Dari kalangan Umno katanya begitu berminat kepada Tuan Aziz. Beliau mepunyai beberapa kelebihan dari segi latar belakang dan juga hubungan dengan pengundi. Sebagai pegawai Kesedar beliau dikatakan telah dikenali ramai oleh sebahagian pengundi di Manik Urai. Beliau juga tinggal dalam kawasan itu.

Bagaimana pun apa yang timbul masalah, Tuan Aziz menjadi mangsa kepada kemelut Umno kawasan Kuala Krai. Beliau dikatakan tidak sehaluan dengan Ketua Umno Kuala Krai, Ramzi Abdul Rahman sebaliknya merupakan orang kanan bekas ketua, Wan Zaid Wan Abdullah. Dia dikenali sebagai orang Wan Zaid.

Sekiranya Umno Kuala Lumpur melihat kepada petunjuk daripada ketua bahagian, sudah tentu Che Jalal akan menjadi pilihan. Begitu pun Che Jalal juga dikatakan ada masalah. Bila beliau dilihat orang Ramzi sudah pasti dia tidak akan mendapat dokongan penuhnya. Ini kerana 28 dari 42 cawangan dalam kawasan Kuala Krai menentang Ramzi dan menyokong Wan Zahid.

Perpecahan ini berlaku semasa merebut jawatan ketua bahagian yang lalu. Seandainya jumlah sokongan cawanagn ini diambil kira tentu Tuan Aziz yang akan dipilih untuk menjadi calon.

Persoalan yang memeningkan Umno ialah sekiranya Tuan Aziz yang dipilih apakah orang-orang Ramzi bersedia untuk menyokongnya? Jika diikutkan budaya dan perangai Umno sebelum ini amat mustahil pihak yang bertentangan boleh bersatu dalam menghadapi musuh. Sikap sama sa'ja masih kental dalam hati orang Umno.

Inilah delima Umno Kuala Krai dalam menentukan calon. Dan dalam delima inilah tiba-tiba muncul nama bekas Adun Mengkebang 2004, Azizzuddin Hussein disebut-sebut akan dipertaruhkan bagi mnyelesaikan masalah. Azizzuddin walaupun anak luar Manik Urai tetapi beliau mempunya beberapa kelebihan.

Ayahnya, Hussein Sulaiman dan ibunya, Kalsum Mohamad pernah menjadi Adun di Manik Urai dan Adun Temangan di mana kawasannya meliputi sebahagian kawasan pilihan raya Manik Urai.

Sejarah dan kenangan itu menyebabkan Azzizuddin dikira dapat meraih sokongan bekas penyokong atau kenalan ayah dan ibunya yang pernah berkhidmat di situ. Selain itu Azzizuddin juga antara tokoh Umno Kuala Krai yang masih meneruskan khdimatnya kepada rakyat meskipun beliau sudah tidak bergelar Yang Berhormat.

Kelebihan lain yang ada kepadanya beliau juga rapat dengan beberapa pemimpin Umno peringkat kebangsaan.

Berdasarkan suasana dan rekod itu sekiranya Umno ingin mengelakkan pertembungan dan sabotaj antara dua kumpulan bergaduh itu, pemilihan Azizzuddin dikira tepat dan dapat mengendungkan ketegangan dua pihak bersengketa itu. [wm.kl. 6:30 pm 25/06/09]

No comments: