Saturday, June 6, 2009

Selepas Subuh

Jawatankuasa Pemilihan Kunci Keputusan

DEBARAN menanti siapakah diumumkan sebagai pemenangan baik sebagai timbalan presiden, naib-naib presiden dan 18 jawatakuasa kerja Pas terus menghindik jiwa. Mungkin malam tadi ada orang yang tidak boleh tidur lena kerana memikir dan membayangkan apakah calon pilihan mereka menang atau kalah.

Saya sendiri menerima lebih 40 panggilan dan berpuluh SMS malam tadi dari berbagai orang untuk mengetahui siapakah pemenangnya. Pertanyaan paling popular ialah bagi mengetahui siapakah antara Nasharudin Mat Isa dan Husam Musa bakal berada di belakang Abdul Hadi Awang.

Pertanyaan itu bukan saja dari pemerhati bebas atau penyokong Pas, penjenguk blog, tetapi juga dari kalangan UBN. Orang yang tidak berparti juga meminta dutanya bertanyakan hal itu kepada saya.

SMS usah dicerita, diterima hingga ke Subuh ini masih ada yang bertanya apakah ada maklumat mengenai pemilihan petang semalam.

Semua ini menandakan pemilihan kepimpinan Pas kali ini diberi perhatian dan tumpuan. Ini sekali gus menggambarkan Pas sebuah parti hebat dan ada potensi untuk menjadi parti utama negara ini bagi menggantikan UBN. Pas sudah diiktiraf sebagai parti nasional dan merupakan penyalin kepada UBN di negara ini.

Barang kali cadangan agar Pas diperkemaskan agar menjadi parti memimpin Pakatan Rakyat bagi mengambil alih kerajaan negara ini bukan omong kosong lagi.

Dalam hal ini saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa pemilih khususnya Pengerusinya, Mustafa Ali dan timbalannya, Hassan Shukeri kerana dapat menjaga rahsia keputusan ini dengan baik. Ini membuktikan bahawa orang Pas boleh diberi amanah dan mereka pandai menjaga amanah.

Sudah pasti kesemua mereka yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan termasuk yang mengira undi berpegang kepada ikrar dan janji mereka. Sebenarnya sikap dan sifat amanah sebeginilah yang kita mahui di dalam perjuangan (gerakan) Islam. Apabila rahsia dikunci rapat ia tidak mudah memberi maklumat awal kepada sesiapa termasuk musuh.

Lantaran kerana kunci kuat kepada keputusan itu apa yang boleh dibuat hanya telahan dan ramalan sahaja. Beberbagai andaian telah terpancul malam tadi. Ada satu SMS melaporkan seorang calon telah menang. Namun SMS berkenaan tidak dapat diyakini ke tahap 50%.

Mungkin ilham untuk menghantar SMS itu bersumberkan laporan berita di sebuah protal berita yang menurut analisanya calon yang dikatakan menang itu mendapat 45 % undi. Berdasarkan laporan itulah mengatakan calon berkenaan menang. Bagaimana pun analisa protal berita berkenaan bertentangan dengan ramalan dan agakan saya yang meletakkan pencapaian calon mengikut peratus ialah 45:41:14.

Kita harap semua pihak bersabar dan menunggu pengumuman keputusan rasmi dengan tenang. Kira-kira tidak sampai 3 jam lagi keputusan yang dinantikan itu bakal tiba juga. Seperti mana diumumkan pengerusi tetap muktamar, Abu Kassim petang semalam, keputusan pemilihan akan diumumkan jam 9:30 pagi ini.

Yang penting sesiapa saja dipilih untuk apa juga jawatan hendaklah diterima sepenuhnya. [wm.kl. 7:00 am 06/06/09]

No comments: