Tuesday, September 29, 2009

Dari Bagan Pinang

Mampukah Isa Bangkitkan Semangat Juang UBN?

[kemaskini] SAH calon Pas, Zulkefli Mohd Omar, 45 tahun. Ia diumumkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tiga minit lalu. Zulkefli seorang profesional dan menjawat jawatan pengarah sebuah syarikat. Mempunyai enam orang anak. Dalam pilihan raya beliau bertanding di DUN Lenggeng kalah ditangan Mustapa Salim dengan majoriti 1,285.

DI MAJLIS pengumuman calon Pas untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang saat ini, Naib Presiden PKR, Azmin Ali sedang berucap. Nama calon Pas bila-bila masa akan diumumkan oleh Presiden pas, Abdul Hadi Awang. Nama Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar sudah hampir pasti akan diumumkan sebagai calon.

UBN sudah pun mengesahkan bekas MB Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad, 59 sebagai calon mereka. Pengumuman nama Isa dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin di Port Dickson kira-kira jam 5:40 petang tadi dalam satu majlis khas sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang dihadiri kira-kira 3,000 orang. Turut sama dihadir memberi semangat ialah Perdana Menteri, Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa pemimpin kanan Umno dan BN.
Pengumuman Mohd Isa sudah dijangka awal-awal lagi. Walaupun pengumuman itu tidak mengejutkan tetapi ia menyebabkan sebilangan orang mengeluh dengan pemilihan Isa itu. Mereka yang bersetuju dengan pandangan bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad tentu teruja dengan pemilihan Isa. Bagi mereka Umno Negeri Sembilan sungguh berani kerana meletakkan Isa sebagai calon.

Dari sudut lain pemilihan Isa itu menjelaskan Umno sudah tidak mempedulikan lagi pandangan Dr Mahathir. Apakah ketidakpedulian Umno itu bakal memberi risiko kepadanya? Sekiranya pandangan Mahathir itu benar bahawa dengan mencalonkan Isa ia menjejaskan Umno, nampaknya Umno tidak mempedulikan nasihat bekas presiden mereka itu.

Pemilihan Mohd Isa yang pernah digantung kerana penglibatan dalam rasuah politik itu menurut Muhyiddin adalah atas kehendak akar umbi Umno bahagian Teluk Kemang. Umno bahagian berkenaan terus mahukan Isa walaupun bekas MB itu seeloknya bersara dalam politik dan sepatutnya bersedia menyokong calon lain.

Kelebihan Mohd Isa beliau mendapat sokongan akar umbi yang turut mendesak Umno bahagian Telok Kemang agar mempertahankan Isa. Situasi itulah menyebabkan Umno serba salah dan tidak ada pilihan lain melainkan mencalonkan Isa kandatipun Isa bermasalah.

Apa yang jelasnya pencalonan itu menunjukkan pengaruh peribadi Isa masih kuat di Negeri Sembilan khasnya di Teluk Kemang. Pemilihan Isa sebagai calon Umno menjelaskan Isa bukan calon parti tetapi calon dari orang kampungnya sendiri!
Dari sudut lain pencalonan Isa dilihat sebagai satu perjudian besar oleh Umno. Umno seakan memberi ruang kepada pembangkang untuk menjadikan masalah peribadi Isa sebagai modal kempen Pas. Sudah pasti penggantungan Isa sebagai ahli selama tiga tahun akan menjadi bahan kempen utama. Pembangkang akan menjaja kepada pengundi yang calon UBN tidak mempunyai intergriti dan seorang yang korup.

Dengan pemilihan Isa itu ertinya Umno lebih mementingkan kepada kemenangan parti daripada mengutamakan intergriti parti berkenaan. Umno cukup yakin hanya Isa yang mampu membawa kemenangan kepada parti itu. Dan kerana demi kemenangan Umno yang dikenali sebagai sebuah parti yang tidak mengutamakan soal syaksiah, soal ketelusan dan kebersihan pemimpin rela mengambil sesiapa saja menjadi calon mereka termasuk 'banduan politik wang' seperti Isa asalnya ia bakal memberi kemenangan! Analisa di suasana pengumuman calon akan menyusul. [*** 10:00 29/09/09]

4 comments:

Anonymous said...

Tuan,
Saya setuju yang Tan Sri Isa cukup popular,mesra,down-to-earth dan mudah didekati orang kampung.Beliau menjadi pilihan akar umbi Umno dan pimpinan Umno terpaksa memilihnya untuk elak diboikot.Soalnya adakah sokongan akar umbi akan diterjemahkan melalui undi oleh semua pengundi termasuk pengundi bukan Melayu atau pun cuma akar umbi Umno sahaja? By the way, BN will win this battle but will loose the war.

ANAFAKIR said...

Salam buat penjengok blog MSO ini...Dengan 'tercalonnya' TS Isa Samad maka ternoktahlah seribu persoalan dan pertanyaan selama ini.Namun walaupun diuar-uarkan TSIS adalah pilihan Bhaian Telok Kemang dan mendapat sokongan akar umbi, namun apakah tiada rasa ngilu di pihak Datok Seri Mohamad Hassan selaku MB yang sememangnya kalau boleh TSIS tidak dicalonkan di Bagan Pinang... mungkin wujud juga sabotaj dari pihak yang menyokong DSMH, dan satu pihak lagi yang bersama Tun M yang memang membantah keras pencalonan TSIS. Jika dua puak ini melakukan 'cas keting' kata orang Klate maka untuk melihat TSIS menang mudah menemui jalan sukar..Dalam senyuman dan gelak tawa belum tentu mereka sebenarnya memberi undi untuk Isa Samad, silap-silap hari bulan mereka sengaja berlakon untuk mempertahankan Isa Samad sebagai calon sedangkan mereka bersikap ' telunjuk lurus kelingking barkait' Dalam lain perkataan, itu sebenarnya sebahagian dari usaha pihak tertentu untuk menguburkan terus politik TSIS. Kononnya menyokong tetapi sokongan membawa rebah. Membunuh masa depan politik TSIS secara halus...untuk pimpinan UMNO, rakyat hari ini lebih bijak dan cerdik mengatur strategi...nampak macam mengikut tetapi mengikut mereka dengan terlebih awal memasang jerat,pemimpin terperangkap mereka terlepas walaupun mengikut dari belakang kerana tempat di mana perangkap itu di pasang mereka telah ketahui dari awal...bijaknya penyokong hari ini.Apa pun syabas buat TSIS,syabas juga TSMY kerana 'bersetuju' dengan rakyat bawahan.Jika TSIS kalah, TSMY tidak dipersalahkan kerana dia telah mengikut kehendak rakyat Bagan Pinang [ UMNO Bhg Telok Kemang] dan kalau juga TsIS nanti dalam PRK tersebut, TSMY boleh melepaskan diri..atas alasan Tun M pun menentang, sepatutnya calon lain dipilih tetapi mereka [ UMNO Telok Kemang] nakkan juga TSIS..jadi kekalahan TSIS silap rakyat Bagan Pinang sendiri...pi mai-pi mai tang tu jugak...tersenyum sinis TSMY.Tok Jib terlepas lagi kerana Tok Jib ini suka main jalan selamat.Takut pada cabaran..pemimpin yang paling penakut untuk berjuang secara anak jantan.Bertanding asyik nak menang percuma..

Unknown said...

Salam...

..rela mengambil sesiapa saja menjadi calon mereka termasuk 'banduan politik wang' seperti Isa asalnya ia bakal memberi kemenangan!

Hok ni kira ok la lagi.... dulu Tok Guru pernah kata... kalau perlu 'besaing' dgn syaitan pun tak apo, asal PAS menang!

Politik macam-macam boleh jadi... tanggunglah sendiri

Selamat hari raya....

abu muaz said...

makin hampir hayat umno dengan LDP.Moral tidak perlu dalam politik malaysia.Moral,akhlak adalah perkara ghaib yang orang lain tak nampak.