Tuesday, January 12, 2010

Berita Dari Kota Bharu

Lebih 3,000 Hadir Majlis Penerangan di Balai Besar

LAPORAN salah seorang pejenguk blog ini yang menghadiri majlis penerangan di Balai Besar Kota Bharu petang tadi memberi tahu lebih 3,000 yang hadir terdiri dari pegawai kerajaan di semua peringkat, termasuk pegawai lantikan politik penggawa dan penghulu. Turut hadir semua wakil rakyat dan anggota Exco.

Majlis berkenaan ialah untuk menerangkan berhubung perlembagaan tubuh negeri Kelantan dan juga peranan dan tanggungjawab Sultan serta Pemangku Sultan.

Penjelasan itu disampaikan oleh Shukeri Mohamad yang merupakan salah seorang ahli Majlis Perajaan Kelantan (MPK), Ahli Exco Kanan Kerajaan Kelantan Takiyuddin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Dalam penjelasan itu Shukeri turut menjelaskan mengenai kedudukan Sultan Kelantan yang kini sedang dirawat di Singapura. Beliau juga menjelaskan salah faham dan tanggapan buruk yang kononnya kerajaan Kelantan terpaksa memanggil Sultan untuk berubat dalam negeri kerana masalah kewangan.

Masalah itu menurutnya tidak timbul langsung. Dalam hal ini Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat katanya menjelaskan apa yang telah disampaikan oleh pihak Pengelola Istana kepadanya. Ini bermakna apa yang diterangkan Nik Aziz adalah sahih dan benar.

Sementara itu menurut penjenguk berkenaan lagi rakyat Kelantan dijemput untuk menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Mohamad Faris pada 14 Januari jam 2:00 petang. "Orang ramai dijemput hadir bagi menzahirkan ketaatan kepada Pemangku Raja' demikian satu kain rentang yang dipasang di majlis berkenaan petang tadi.

Pada malamnya pula Tengku Faris akan hadir majlis solat hajat di Stadium Sultan Mohamad ke-IV Kota Bharu. Solat hajat itu untuk memohon agar kesihatan Sultan Kelantan dipulihkan.

Sejak Sultan gering, sesetengah masjid mengadakan solat hajat dan bacaan Quran untuk mendoakan kesejahteraan Sultan Kelantan atas permintaan Tengku Faris sendiri.

Penjelasan yang berlangsung hari ini juga dikira dapat menenangkan keadaan dan menghapuskan kekeliruan ekoran timbul sanggahan mengenai status kesihatan Sultan Kelantan dan juga mengenai kos perbelanjaan perubatan Sultan Kelantan itu yang cuba hendak dipolitikkan oleh pihak tertentu. [wm.kl. 6:30 pm 11/01/10]

No comments: