Friday, May 21, 2010

Kenangan Bersama Ashaari 2

Marilah Kita Terima Kematian Abuya Ashaari

SAYA bersetuju dengan permintaan anak sulung Allahyarham Ashaari Muhammad, Fakhrurazi Ashaari, supaya kematian ayahnya tidak disensasikan. Yang pergi biarlah ia pergi dengan tenang. Jangan ada mana-mana pihak cuba membawa cerita yang Abuya akan kembali (hidup semula). Apalah untung dan baiknya memanipulasi orang yang telah pergi meninggalkan kita.

Terimalah takdir kematiannya. Benar, saranan TPM Muhyiddin Yassin, seluruh keluarga dan ahli bekas jemaah al Arqam pasrahlah atas apa yang berlaku. Abuya juga bukan ghaib, sebab pada jam 2:10 13 Mei lalu jasadnya telah terkaku selepas roh sucinya terbang ke sisi Allah. Pusaranya di kampung kelahirannya di Pilin, Rembau Negeri Sembilan adalah sebagai bukti dan tandanya.

Tidak timbul kalau Abuya Ashaari ghaib dan akan hidup kembali di alam nyata ini. Allahyarham akan hidup sesudah dibangkitkan Allah kelak bersama kita semua. Dan kalau kita sejalan dengan sejalur dengan akidah dan amalannya insyaAllah kita akan bersama di mayshar nanti. Sebaliknya kali kita berpaling darinya atau beliau berpaling dari kebenaran kita tidak akan bersama.

Percayalah beliau tidak akan bangkit hari ini. Hanya seorang manusia saja dijanjikan Allah akan bangkit di dunia ini sebagai hidup kali kedua iaitu Nabi Isa a.s. Yang lain semuanya akan bangkit secara zahir (alam baru) apabila dibangkitkan Allah di akhirat kelak.

Membayang dan menanti kebangkitan Abuya Ashaari hari ini adalah ilusi dan rasa rindu yang mahal terhadapnya saja. Pantomim yang membangkitkan semangat juang Allahyarham yang diadakan di Rawang dua tiga malam lalu itu hendaklah difahami. Jangan silap faham nanti tergelecah pula akidahnya. Saya secara peribadi mempercayai ahli bekas jemaah Arqam memahami apa yang hendak disampaikan dari pantomim itu.

Mati dan ghaib dua kejadian berbeza. Pengertian ghaib ialah seseorang itu hilang tanpa berita. Tanpa kubur yang tidak boleh dijejaki. Persis mitos Hang Tuah. Sebalik apa yang terjadi kepada Ashaari dia telah meninggal sebagai manusia biasa. Dia melalui proses menemui Khaliqnya seperti normalnya. Saya ada menerima kiriman jenazah Allahyarham dari seorang penjenguk yang menziarahi saat jenazah hendak dikafankan. Wajah Abuya yang tersenyum siap dengan caption yang memberi rangsangan yang membahagia dan mengharukan jiwa.

Pada saya, saya tetap yakin perjuangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham tetap akan hidup selagi para pengikut dan anak muridnya beramal dengan apa yang beliau ajar dan tunjukkan selama ini. Semasa saya pernah bermesra dengan Allahyraham dulu, beliau pernah bertanya kepada saya mengenai perjuangan Darul Arqam. Beliau ingin pandangan dari orang yang berada dalam diluar ketaksuban kepada dirinya dan jemaahnya.

"Apa pandangan enta, Sayuti mengenai perjuangan Darul Arqam?" begitu tanya Allahyarham suatu hari. Ketika itu saya mengunjunginya di Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Ketika beliau mengada ekspedisi dakwah di sana.

Saya mulanya tidak faham apa yang dimaksudknya. Sehinggalah ia mengulangi sekali lagi bertanyakan jemaah itu yang semasa itu sedang diserang dan dikepung oleh kerajaan. Kerajaan menerusi Pusat Islam beriya untuk menghancurkan jemaah itu atas alasan kerana ianya membawa ajaran dan fahaman sesat kerana berpegang kepada Aurad Muhammadiyah yang menyakini Sheikh Suhaimi Al Muntazar sebagai Imam Mahdi.

Saya menjawab; "Perjuangan yang berlandaskan akidah ia tidak akan mati, ustaz. Ia akan hidup selamanya selagi orang menerima akidah perjuangan Arqam.

"Bagi ana Arqam berjuang berlandaskan kepada aqidah. Mengajak manusia menjadi baik, menentang kemungkaran dan melaksanakan tuntutan Allah ada asas perjuangan Arqam. Asas itu adalah bertepatan dengan akidah Islamiah," begitu jawab saya secara bodoh.

"Jadi enta tidak fikir jemaah ini akan lenyap kalau misalnya pemimimpinnya ditahan oleh kerajaan?" ulang beliau lagi bersungguh.

"Iya, ana rasa begitu. Kecualilah sampai satu masa mereka menukar tunjang dan teras perjuangan Arqam daripada bertauhid kepada Allah, inginkan ketakwaan dan keimanan kepada kebendaan dan kuasa. Mereka tidak lagi bertakruh kepada Allah secara benar. Kalau sudah berlaku begitu perjuangan Arqam akan musnah," kata saya mengeluarkan pandangan saya sebebasnya.

Beliau hanya tersenyum saja sambil menegaskan; oh begitu pandangan enta ya Sayuti.

Kata-kata dan pandangan itu saya ulang lagi dalam muqadimah untuk buku saya yang menimbulkan kemarahan para pemimpin bekas Arqam terutamanya Khatijah Aam berjudul; Hitam Putih Darul Arqam.

Tegas saya; "Perjuangan berteraskan akidah tidak mudah goyah. Tapi apalah gunanya kalau akidah atau keyakinan yang kita pegang itu terbatal atau salah."

Saya masih berpegang kepada pandanagn saya itu mengenai perjuangan Darul Arqam. Sebab itulah walaupun namanya, telah dihancurkan, logonya telah dibuang dan dibakar, pemimpinnya ditahan di bawah akta zalim ISA, tetapi perjuangan Ashaari yang bertunjangkan akidah itu masih hidup. Ia tetap bersemarak dalam hati setiap anak buahnya. Nama tidak penting tetapi penghayatan dan pegangan yang diterapkan yang penting.

Lantaran itu sesudah Arqam diharamkan 1994 dan cuba dileburkan oleh kerajaan UBN, namun perjuangan Arqam msih hidup. Toifah pimpinan Ashaari itu masih berkembang biak dengan menggunakan nama lain, antara Rufuqa dan lain-lain nama syarikat perniagaan dan nmotivasi.

Walaupun setengah dari ahli menentangnya (apabila berlaku drama pengakuan Ashaari dan the geng di Pusat Islam kemudian disiarkan menerusi tv) dengan berbagai cara termasuk menyerah diri bersekongkol dengan kerajaan namun ia masih gagal untuk meleburkan hati Ashaari dan perjuangannya. Ashaari tetap Ashaari yang lama dulu dan perjuangannya terus berjalan.

Pada saya kemampuan ini adalah keistimewaan dan kegigihan beliau sebagai seorang pejuang. Kehilangan ahli yang ramai walau atas apa sebab sekalipun itu bukan perhitungannya. Dia bermula dengan dirinya sebatang kara, dia juga akan berakhir dengan sebatang kara. Apa yang mustahak baginya ialah ialah dapat meneruskan perjuangannya waima hanya dengan seorang diri dan bersama kalangan sanak saudara terdekatnya saja.

Di sinilah kehebatan perjuangan berteraskan akidah. Sama ada akidah itu betul atau benar itu subjetif atas penilaian masing-masing. Segala pengakuan Ashaari hanya beliau dan Allah saja mengetahuinya. Kita hanya bisa menghukum dari segi syariah sahaja, tetapi pada hakikatnya tidak siapa mengetahui kecuali dia dan Tuhannya.

Berbalik kepada persoalan asal tadi, seluruh warga bekas Arqam dan para simpatinya kena menerima realiti kematiannya. Jasadnya tidak akan bangun semula melainkan ia berdiri dengan amal dan baktinya di mahsyar besok. Apa yang ada kini hanyalah kenangan. Dan bagi mereka yang merindui dan meyanyangi kepada perjuangan yang diasaskannya, teruslah.

Apa yang boleh dilakukan dengan membayangkan Abuya seolah-olah bersama kita yang bediri melihat sejauh mana kerajinan dan pengorbanan kita untuk berjuang di jalan Allah. Sebenarnya Ashaari telah meninggalkan sejarah dan meninggalkan medan juang yang perlu di isi oleh sesiapa juga yang sayangkan Muhammad dan cintai Allah. Bersambung, bergantung kepada kerajinan dan masa. [wm.kl. 10:55 am 21/05/10]

2 comments:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Apa pun pandangan siapa terhadap Ashaari, saya telah mengabadikan kenangan saya dan keluarga dengan Almarhum Ustaz Ashaari dalam blog saya. Sesungguhnya beliau tetap seorang pejuang Islam pada penilaian saya yang jahil ini. Soal Aqidah yang dipegang dan diperjuangkan tak mampulah saya menilainya kerana bukan taraf saya untuk mengukurnya dan biarlah Allah yang menilainya. Berdasarkan tulisan saya itu dan saya akan tetap mempertahankan pandangan saya, kita sebenarnya kehilangan seorang perjuang Islam. Mungkin beliau tersasar di sini atau di sana namun moga jasanya yang besar akan mampu menepikan kesilapannya kerana beliau juga adalah manusia biasa. Wa Allahu alam.

Dream Rich said...

Assalamualaikum..saya pernah mengikuti perjuangan nya dulu..walaupun tak bersama perjuangan nya lagi..saya amat kagum dgn kegigihan dan semangat beliau memperjuangkan jemaahnya..saya sungguh salute padanya..darinya saya juga dpt banyak ilmu dan kenangan bersamanya takkan dpt saya lupakan selamanya...tkasih abuya...alfatihah...