Wednesday, November 3, 2010

Langsung Dari Galas

Suasana Di Galas Tenang Dan Sejuk

KURANG 17 jam lagi pengundi di Galas dan Batu Sapi akan berlangsung. Saya percaya semua pihak yang bertanding baik di Galas atau Batu Sapi sudah pun melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab kempen mereka. Para petugas sudah melaksanakan tugas masing-masing sesempurnanya bagi menjamin calon masing-masing. Lapan jam terakhir ini, sebelum kempen akan tamat secara rasmi menjelang pukul 12:00 tengah malam, semua parti akan menghabiskan segala peluru yang tersisa.

Apa yang dinamakan buah kilas juga akan dilepaskan. Sekiranya tidak ada apa-apa buah kilas atau peluru terakhir bermakna pilihan raya Galas ini akan berlansgung dengan aman.

Biasnya menjelang tengah malam semua poster dan juga bahan kempen akan ditaburkan. Senjata sulit termasuk rasuah, ugutan dan sebagainya akan dilakukan menjelang tengah malam dan akan membawa ke pagi. Tetapi nanpaknya suasana ini tidak akan berlaku di Galas.


Saya tidak dapat memberi gambaran tepat mengenai kedudukan di Batu Sapi. Mulanya berhajat untuk ke sana kelmarin 1 Oktober, tetapi demi untuk menyaksikan pengumuman keluar parti oleh Sdr Soberi Shafii saya membatalkan niat itu dan hadir ke sidang akhbarnya. Walaupun Soberi tidak memberi impak besar kepada politik Pas atau UBN di Galas, tetapi saya yakin dengan apa yang ada kepadanya, beliau tetap memberi kesan berpanjangan tersendiri ekoran keinsafan yang berlaku ke atas dirinya. Semoga Allah akan membimbing beliau untuk menemui wadah yang hak dan benar. Tidak lupa juga didoakan semoga beliau akan bertemu dengan Tok Guru Nik Aziz dalam masa terdekat.

Saya sampai ke Galas lewat petang semalam. Wajah Gua Musang ternyata sudah berubah dibandingkan dengan sebelum hari penamaan calon. Di merata tempat sudah dipenuhi dengan bendera, banner, poster calon dan bahan kempen lain. Dalam pengamatan saya keseluruhan yang berlaku di Galas tidak memberangsangkan. Pilihan raya ini dingin atau pun sejuk.

Pilihan raya ini persis berlangsung sebagai formaliti sahaja. Seolah calon yang dikehendak menggantikan Che Hashim Sulaima sudah ditentukan awal-awal. Keadaan sejuk atau dingin ini bukan saja di satu pihak tetapi kepada kedua pihak. Ternyata sekali pendekatan kedua-dua diambil sedarhana. Tengku Razaleigh Hamzah menjadi faktor utama. Mungkin kalau bukan Tengku Razaleigh pilihan raya ini hangat dan lebih meriah lagi. Kenapa?

Keadaan ini dapat dilihat kepada perang poster yang tidak sengit atau menggambarkan perlawanan sebenarnya. Pemasangan poster begitu sipan dan tidak kelihatan mencabar di antara satu sama lain. Hampir kseluruhan di 13 kawasan peti keadaan biasa dan tenang. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan persaingan sengit. Pilihan raya ini benar-benar berjalan secara anak beranak.

Orang luar juga tidak ramai yang datang tertumpu di Gua Musang. Apa dinamakan pelancong pilihan raya tidak ketara sangat. Demikian juga dengan broker atau pencari makan pada pilihan raya ekcil tidak kelihatan langsung. Galas bukan tempat mereka menangguk di air keruh atau membondong duit poket. Galas bukan telaga rezeki.

Kalau pun ada sedikit perlawanan ialah pemasangan bendera di puncak Gua Musang. Bendera Pas sejak hari penamaan calon lagi sudah dipacak di gua berkenaan. Semasa saya melalui jalan utama untuk ke Pusat Media tadi kelihatan bendera dacing juga sudah tertebing di atas puncak gua berkenaan.

Begitu juga isu kempen digunakan tidak keras ataupun melampau seperti biasa. UBN ada juga mencuba untuk menaikkan papan tanda yang agar kertelaluan - menunjukkan pemimpin DAP dalam masjid tetapi cepat cepat dipatahkan oleh pihak SPR. Demikian juga dengan polis. Semua peti undi ditempatkan pos polis. Kedatangan polis yang ternyata ramai tidak menganggu keadaan tetapi lebih kepada menjamin keselamatan.

Selalunya kehadiran polis dijadikan sebagai strategi untuk menakutkan pengundi. Tetapi tidak kali ini. Polis nampak mesra dan sedia membantu kepada semua pihak. Tetapi ada yang tidak sedap apabila terdapat beberapa orang SB duduk di pos UBN dan meminum sirap ataupun berbual-bual dengan petugas UBN. Apakah mereka masuk untuk menyiasat ataupun memberi isyarat tertentu kepada pengundi.

Kesimpulannya mengenai pilihan raya ini baik bentuk kempen, propaganda kedua-dua pihak masih berada digaris tengah dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Kalau hal ini berkekalan saya percaya Galas menjadi pilihan raya kecil paling aman, selamat dan mesra sekali. Biarlah keadaan ini akan berterusan sehingga ke malam pengistyharan calon yang menang nanti.

Ulasan seterusnya akan menyusul. [gmusang 2:45 pm 03/11/10]

No comments: