Saturday, April 23, 2011

Kecek-Kecek Malam

Mentafsir Kenyataan Husam Yang Mahu Perkasakan Hadi

HUSAM Musa sudah pasti tidak akan melalui pertarungan ulangan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Pas. Pengalaman kalah di round pertama memberi pengajaran buat Exco Kerajaan Kelantan itu. Dia tidak macam Mohamad Sabu. Bila Husam tidak mahu mengulangi perebutan jawatan itu, saya rasa bukan bermakna dia 'kien', tetapi ia adalah tektik dan stretegi.

Politik Husam penuh tektikal dan berstrategis. Dia adalah gamat dalam lautan politik. Saya tidak mahu mengulas apakah strategi beliau untuk mengambil sikap mahasabah dan mendiam diri dari kocakan muktamar kali ini. Tetapi saya cukup yakin dia ada tugasan lain yang lebih penting hendak dikerjakan dari mengejar jawatan. Apakah dia kini sedang menumpukan untuk berhadapan dengan Gelombang Merah di Kelantan?

Apa yang saya rasakan macam benar, apabila hari ini Husam mempertahankan presidennya, Abdul Hadi Awang selalu presiden Pas. Selepas kena kritik kencang oleh Abdul Aziz Bari, Husam mempertahankan Hadi. Apakah ada lambungan, elusan dan gosokan dalam hal ini. Bagaimana pun saya harap Husam ikhlas dalam membela ketuanya.

Kata Husam, Presiden perlu diperkasakan bukan diturunkan. Jangan respon sangat kepada permainan media nanti orang anggap Presiden kita bermasalah. Begitu kata Husam dan ingatan Husam kepada ahli-ahli Pas sewaktu sidang akbar selepas merasmi muktamar Pas Kawasan Batu, Kuala Lumpur. Iya dalam politik bila seseorang itu banyak sangat digomol dan diuli lama kelemahan dia akan lembek dan lebam lepas itu dia akan luyah kemudian terus tidak boleh dipakai.

Saya tertarik bila Husam kata presiden perlu diperkasakan. Kena suntik elemen-elemen baru. Apakah elemen-elemen itu dan macam mana hendak diperkasakan? Apakah pada wajah dan pembawaanya. Misalnya hitamkan janggut dan misai Hadi menjadi hitam legam nampak muda beliau. Rasanya bukan begitu!

Ataupun bawa beliau main fusal atau takraw atau pun berfacebook dengan para pengikutnya. Boleh saja hendak mudakan dari segi perwatakan. Beberapa malam dulu saya makan durian di Jalan Alor, Bukit Bintang. Tempat sebegini rasanya boleh dijadikan ruang untuk memudakan pemimpin. Heret Hadi untuk makan durian dan bergaul dengan anak-anak muda. Sambil makan dia boleh berdakwah kepada anak muda. Tetapi masakan begitu caranya?

Apakah yang dimaksudkan Husam itu dari segi pemikiran, kenyataan-kenyataan politik biar berisi dan kemas serta berpandangan jauh dan dinamik. Berilah pandangan yang baru dan mengejutkan dan bukan berkisar kepada takak lama. Buat kenyataan dan ulasan yang digemari oleh media massa dan mengugatkan minda umum. Misalnya kenyataan seperti DAP barang lupus tarikh yang pernah diucapkan tidak menggambarkan dinamika pemikirannya. Memalukan kerana selepas itu Terengganu jatuh kepada BN, DAP pula menang besar.

Sebenarnya dalam usia seperti Hadi bukan mudah untuk kita perkasakan dia. Dia sudah immune dengan ilmu dan telaga pemikirannya. Kalau pun diberikan ubat kuat atau pun segala macam jamu dari Indonesia atau madu lebah dari Yaman sekalipun belum tentu dia akan jadi perkasa. Diamond siasahnya sudah pudar. Orang tua dia tetap dengan sifat dan perangai ketuaan. Jadi saya simpulkan Hadi tidak boleh diperkasakan dari untuk menyegarkan parti. Kecualilah para pembantunya termasuk Husam ikhlas untuk memperkasakannya sekurang-kurang dalam tempoh setahun dua ini.

Hadi akan kekal dengan stailnya. Stail Tok Guru dan ustaz yang menjadi pakaian dirinya sejak lama dulu. Idealisme perjuangan dan politiknya, akan kekal seperti mana yang dipegangkan hari ini. Mustahil Hadi akan menukar kitab politik dan budaya diri semata-mata untuk dilihat dia perkasa, gagah dan gah seperti mana dikehendaki Husam.

Pendapat Husam mengatakan BN hendak jatuhkan Hadi, saya rasa kurang tepat. BN tidak berhajat menjatuhkan Hadi. Kalau Utusan dapat dijadikan kitab muktabar Umno, akhbar berkenaan tidak menyerang Hadi. Yang diserang ialah Nik Aziz dan Anwar Ibrahim. Apakah sikap menyepi dan diam ke atas Hadi itu boleh diterjemahkan Utusan sukakan Hadi?

Kalau Utusan sukakan Hadi tentu ada sesuatu dari Hadi yang memberi laba kepada Umno. Di sini mungkin saja kerana sikap sedarhana Hadi dalam isu-isu Melayu dan hubungan kepentingan bersama Umno. Jadi kerana itu BN akan terus mengekalkan Hadi. Keperluan mengekalkan Hadi juga kerana UBN akan mendapat untung dalam perlawanan mereka dengan Pas. UBN mengira selagi Hadi kekal dengan kelemahan yang hendak diperkasakan Husam itu maka UBN akan mendapat keuntungannya.

Dari itu maka Utusan dan UBN tidak akan serang Hadi kerana mereka tidak mahu jatuhkan Hadi. Dalam hal ini pendapat Husam itu tidak betul dalam hal ini.

Jadi apakah maksud tersembunyi Husam bila menyeru supaya presiden diperkasakan? Apakah Husam mencari modal baru untuk masa depan politiknya dengan menganjurkan usaha mempertahankan presiden itu dengan harapan selepas ini balasan budi? Memang tugas ahli bawahan mempertahankan presiden. Namun dalam konteks ini saya meragui kalau pandangan Husam itu seperti apa yang difahamkan itu.

Dulu dia ikut bertanding timbalan presiden. Alasannya ialah kerana hendak menukar timbalan presiden. Tujuannya agar ia boleh menjadi pembantu atau timbalan yang baik. Tetapi nampaknya agenda itu sudah tidak ada tahun ini. Dimansuhkan. Apakah bila Husam tidak bertanding bermakna pembantu hari ini sudah baik dan cukup membantu? Atau apabila Kubang Kerian mencadangkan Mohamad Sabu, Husam melihat Mohamad Sabu akan menjadi timbalan yang lebih baik dari yang ada sekarang?

Kalau Husam merasa begitu kenapa tahun 2009 lalu beliau tidak biarkan Mohamad Sabu saja berlawan dengan Nasharudin Mat Isa? Kalau Husam memberi laluan kepada Mohamad Sabu ketika itu mungkin Mohamad boleh menang. Berbekalan kekalahan yang pertama tahun 2009 apakah Mohamad Sabu boleh menang kali ini. Pada saya dari mana juring pun dilihat langkah Husam tidak ikut sama bertanding satu kesilapan, apa lagi kalau tiba-tiba Mohamad Sabu menang. Dalam politik budi, jasa dan bakti jarang dikenang orang, dan apabila sudah berada di atas payah sekali untuk turun. Ingat ini.

Bagaimana pun pada saya pujian Husam kepada Hadi, membenarkan Kubang Kerian mencalonkan bekas MP Kubang Kerian itu ialah sebahagian simpang siur politik dan sepak terang yang harus kita renungi ke arah dalam dan bukan melihat dari atas permukaan saja. Selamilah maknawinya.

Sesungguhnya masa masih tersisa kalau Husam mahu mengubah niatnya untuk ikut sama memeriahkan muktamar dengan bertanding mana-mana jawatan yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Agung. [wm.kl.10:45 pm 21/04/11]

3 comments:

anuar C W said...

mat barat ni bual je lebih... habuk pun tarak... artikel setaraf utusan melayu je... geng aziz bari je ni....

ANAFAKIR said...

Memperkasakan presiden mungkin merujuk kepada jawatan tersebut bukan kepada batang tubuh yg menjadi presiden sekarang.Maksud lain HUSAM mungkin perlu seseorang selain TGHH menjawatan jawatan PRESIDEN...seseorg yg boleh dilihat lebih 'perkasa' utk memimpin PAS..berpolitik dalam politik..membaca politik bukan seperti menghafal sifir.g

lan said...

TG Presiden telah banyak berjasa untuk 10 tahun yg lalu, tapi untuk 10 tahun seterusnya, kita perlukan orang lain pula