Thursday, October 20, 2011

Analisa Isu

Jangan Perangkap Pas Dengan Himpun

AKHBAR Utusan dalam talian hari ini memakai tajuk berita berbunyi "Himpun diteruskan tanpa Pas". Berita itu mengolah kenyataan dan sikap Pengerusi Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid yang membalas balik kenyataan Pas yang tidak mahu terbabit dengan majlis himpunan sejuta umat itu. Alasan Pas mudah sahaja sebab himpunan itu kerja Nngo maka tidak elok dan tidak kena kalau parti politik mengambil bahagian.

Dalam pada itu Pas tetap menhormati usaha Himpun itu kerana kerja mempertahankan akidah umat Islam adalah tanggungjawab bersama.

Azmi juga mengormati pendirian Pas itu kerana himpunan itu diuruskan oleh Ngo atas satu tujuan untuk menzahirkan kekuatan umat Islam dalam mempertahankan akidah umat. Seeloknya urusan agama diperjuangkan oleh penganutnya tanpa mengira dari mana mereka datang, dan sepatutnya untuk mempertahankan agama kita tidak mengambil kira apa ideologi politik kita.

Nampaknya akhbar penjilat butut itu cuba memperbesar-besarkan tindakan Pas itu dan mahu memberi gambaran Pas tidak merestui majlis berkenaan. Apa hendak ditonjolkan dalam berita itu kononnya Pas tidak bersungguh memperjuangkan Islam. Dengan cara itu akhbar itu mahu orang ramai menilai sejauh mana tahap dan nilai Pas terhadap agama.

Bersama berita itu dimasukkan ulasan Penasihat Kehormnat Persatuan Penggunan Islam Malaysia (PPIM) Ahmad Zaki Ismail yang menyesali atas keputusan Pas itu.

Kenyataan Zaki dipetik keengganan Pas menyertai himpunan itu menjelaskan Pas berkiblat kepada kuasa semata-mata dan penolakan Pas itu sekaan Pas menolak realiti wujudnya cabaran keruntuhan akidah umat Islam yang berleluasa di negara ini. Mudah benar Zaki membuat analisa berhubung tindakan Pas itu.

Memang secara peribadi saya kurang bersetuju dengan tindakan Pas itu tetapi kalau difahami akan implikasi politik ia merupakan tindakan yang tepat dalam situasi hari ini. Pas sebagai parti politik yang memerlukan sokongan semua pihak perlu menjaga tatasusila politiknya. Perlu diingat rupadiri Pas bukan seperti mana badan-badan Ngo termasuk persatuan pengguna yang dinashiti oleh Zaki itu.

Bagaimana pun saya yakin dan percaya Pas tidak menghalang individu atau ahlinya dari mengambil bahagian atas tujuan untuk menjaga akidah. Bukan saja mengenai himpunan itu tetapi lain-lain aspek kebajikan bergama juga. Pas tidak akan bertindak segila dan sebodoh itu. Demikian juga dengan PKR, parti itu juga tidak akan memancung mana-mana ahlinya yang hadir ke perhimpuinan itu. Itu adalah hak semua orang yang tidak boleh diikat dan disekat dengan mana-mana peraturan atau disiplin politik atau parti. Menjaga akidah adalah kewajiban setiap individu yang mengaku kebesaran Allah dan keagungan Muhammad.

Jadi ahli Pas boleh ramai-ramai pergi atas nama peribadi dan bukan parti. Setahu saya Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan juga akan sama hadir atas kapasitinya sebagai umat Islam. Jadi di sini tidak timbul kalau Pas tidak pergi, apa lagi dengan mudah hendak menyimpulkan Pas tidak serius dengan Islam. Cuma saya nak nasihat mana-mana ahli parti khasnya Pas yang hadir ke perhimpunan itu hadirlah sebagai sifat anda seperti club Red Warriors yang mana pergi untuk menyokong bola dan tidak menyokong ideologi politik.

Usaha untuk menghebuhkan keenganan Pas tidak hadir ke himpunan itu dibuat atas maslahat politik itu sebenar tidak boleh dipertikaikan. Dengan melihat kepada usaha Pas selama ini dalam memartabatkan Islam janganlah mudah menyimpulkan Pas tidak serius dengan Islam. Hanya kerana tidak pergi ke himpunan itu terus dicapkan Pas sebagai mengalih kilbatnya adalah naif sangat.

Itu yang Pas beriya-iya hendak melaksanakan hukum hudud di Kelantan apakah bukan Islam? Saya tidak pun terdengar Zaki atau orang sewaktu dan sedarah dengannya memberi ulasan menyokong tindakan itu. Apakah baginya himpunan itu lebih penting dari hudud? Kalau itulah pandangan Zaki dan mereka sewaktu dengannya ini bermakna struktur badan mereka sudah berubah di mana otak sudah diletak di kepala lutut, hidung di belakang dan mata di kaki?

Sesuatu yang bagus juga kalau Pas tidak pegi menyertai himpunan itu kerana nia memberi peluang kepada Umno. Umno boleh mengambil bahagian sepenuhnya. Atau dalam erti kaya lain Umno boleh mengganti Pas untuk membela akidah umat Islam dalam pengertian disebut Himpun itu. Pergilah Umno ramai-ramai? Nah inilah masanya untuk Umno menunjuk dan membuktikan kepada umum bahawa parti itu perjuang Islam nombor satu.

Hendaknya deklarasi dibuat dalam himpunan itu termasuk mendesak kerajaan menggubal akta murtad akan diterima baik oleh Umno. Umno akan memperjuangkan deklarasi tersebut hingga berjaya. Dalam sidang perlimen akan datang kita nak dengar rang undang-undang murtad akan dibentang di parlimen. Kalau deklarasi itu tidak dilaksanakan maka jelas himpunan itu akan menjadi sebahagian daripada gajah putih salin tak tumpah seprti one off saja sifatnya. Makanya kalau selepas ini ada orang mentafsirkan himpunan itu ada propaganda Umno jangan 'dimurih'.

Saya hendak tanya dan bertanya kepada orang yang mudah bingkas kepada keputusan Pas itu. Apakah Umno akan menyertai himpunan itu secara rasmi? Apakah Najib Razak, Udin anak Yassin, Shafei Afdal, Ahamad Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein, Tengku Adnan Mansor dan lain-lainnya akan hadir?

Saya tidak dengar lagi Umno membuat kenyataan rasmi akan komitmen menghadiri atau menyokong himpunan berkenaan. Yang terdengar hanya Pemuda Umno Selangor memberi tahu yang Umno akan menghadiri himpunan berkenaan. Tetapi belum ada kenyataan rasmi dari ibu Pejabat Umno di PWTC. Kalau hanya pemuda saja yang membuat komitmen ia dikira adil dan lebih kurang dengan apa yang Nasrudin Hasan lakukan saja.

Apa yang kita hendak dengar kenyataan dan pendirian ibu pejabat Umno. Belum ada kerahan dari Umno untuk menghadiri himpunan tersebut. Saya rasa kalau Umno mengambil bahagian dan komited menghadirinya, himpunan itu bukan saja akan mencapai jumlah 100,000 tetapi mungkin 5 juta kerana ahli Umno sendiri sudah mencecah lebih 3 juta lebih.

Jadi kalau Umno juga tidak menyatakan sikap dan pendirian, kenapa harus ditoleh kepada Pas saja? Jawab! Ini nampak sangat niat jahat dan cuba perangkap Pas dengan acara itu. Zaki itu mudah nampak kuman di sebarang laut tetapi terlindung gajah di birai matanya. Sepatutnya orang seperti Zaki itu turut bertanya sama mengenai Umno. Jangan hanya tahu menyanggah kepada Pas sahaja. Kalau pun benci Pas tetapi kebencian itu biarlah rasional dan profesional.

Kalau Umno juga tidak menyatakan pendirian tegas sama ada hendak hadir atau tidak apa susah dan peliknya dengan Pas. Setidak-tidaknya Pas dan PKR lebih jantan dalam hal ini kerana mereka mengambil tindakan tegas menyatakan sikap dan pendirian setelah mengkaji kesan buruk dan baik di sebalik himpunan tersebut.

Ataua pun apakah kerana himpun itu sebenarnya kerja Umno maka Umno tidak payah membuat apa-apa kenyatan lagi? Begitukah?

Begitu juga dengan Zaki mungkin kerana dia sudah tahu siapa yang mendalangi himpunan itu? Mungkin Zaki sudah dapat mentafsirkan hati budi Ngo-Ngo yang bergabung dalam Himpun itu. Mungkin dia sudah kenal latar belakang dan warna Perkasa(M), Isma, Pembina, Pembela, Intelek Melayu yang dikepalai Ibrahim Abu Shah dan lain-lain lagi itu.

Sebelum ini Ngo ini jarang berkecimpung dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Pas dan PKR kecuali Teras Keupayaan Melayu (Teras) yang menjadi milik tunggalnya Pengerusi bersama Himpun, Azmi Hamid.

Begitukah? Kalau begitu maka tidak peliklah kalau Umno tidak bersuara apa-apa mengenai himpunan itu. Mereka tidak payah lagi menyatakan sikap dan menjual diri untuk hadir dan memberi bantuan sepenuhnya kerana kerana itu adalah kerja mereka juga. Bolehlah dianggapkan kerja itu salah satu projek penswastaan Umno kepada Ngo.

Saya tidak mahu menganalisa bagi mencari jawaban kepada persoalan itu. Tetapi bagi orang yang arif akan mengetahui sendiri terhadap apa yang berlaku. Salah satu petanda bahawa himpunan itu mendapat restu Umno ialah apabila ia mudah mendapat kerjasama dengan pelbagai pihak dan termasuk juga mudah mendapat permit polis. Menteri Agama Jamil Khir yang baru mengubah suai rumah juga berkokok memberi sokongan mengatakan himpunan itu bukan tunjuk perasaan. Kenyataan Jamil itu memudahkan kita untuk mencari makrifat di sebalik himpunan itu.

Kalaulah benar Umno terlibat, atau orang-orang yang mendokong perjuangan Umno untuk menyelamatkan parti itu, sepatutnya mereka mengajak Pas secara terbuka dan berhikmah. Buat surat jemputan kepada Pas dan PKR (Melayu) secara rasmi dan bukan setakat panggilan ajak-ajak ayam di dalam akhbar. Panggilan begitu juga menyebabkan Pas akan mencurigai kerana sebelum ini mereka sudah melalui banyak peristiwa pahit dengan Umno.

Saya yakin kalau himpunan itu telus, tanpa ada campur tangan atau kalau ada pun, tetapi Umno ikhlas Pas tidak akan mengambil keptusan yang meletakkan diri mereka dalam keadaan serba salah pada perhitungan umat Islam negara ini dengan membuat kenyataan mereka tidak akan hadir. Setidak-tidak Pas akan membuat pendirian menyokong tetapi tidak akan terlibat secara langsung.

Sekali lagi kepada orang mempersoalkan kenapa Pas tidak perlu hadir harus meneliti diri sendiri dan belajar memahami politik. Cara paling mudah ialah kencing dalam tempurung dan renung dalam-dalam. Kalau tak cukup mata hendak melihat bayang ajak bini sekali. Mereka juga hendaklah belajar menjadi jujur kepada diri sendiri. Adillah juga dalam mempersoalkan orang lain. Kalau Penasihat Kehormat PPIM itu adil dan jujur, beliau patut mengkritik sama Umno kerana parti Melayu itu juga tidak menyatakan pendirian sama hadir atau tidak pada acara itu.

Saya akan hadir majlis berkenaan dan nak tenguk sendiri apakah Najib, Udin anak Yassin, Zahid Hamidi hadir atau tidak. Mereka perlu hadir dan tidak boleh diwakilkan kepada tiga makhluk Allah yang sudah tidak 'dihingini' oleh Himpin seperti mana dijelaskan Azmi Hamid.

Inilah orang kita berangan-angan hendak menjadi tukang jahit sedang nak memasukkan benang dalam jarum pun sudah tidak mampu kerana mata dibaham kencing manis, kelabu asap jadinya begitulah yang boleh saya gelarkan kepada mereka yang tahu mengkritik tetapi tidak membuat penilaian awal. [wm.kl.11:40 am 20/10/11]

1 comment:

KAPAKTAJAM said...

Saudaraku, sebagai seorang yg mahir dgn coretan tegas serta sinis, saya berpendapat ANDA wajar menasihati PAS untuk bersama-sama demi AGAMA ALLAH tercinta. Simbolik dari himpunan ini adalah menunjukkan kekuatan kita sebagai Umat Islam di Negara merdeka ini.

Saya juga merasakan, bahawa dgn himpunan yg sama-sama kita hadiri nanti Insya Allah akan menzahirkan bibit2 sayang diantara sesama umat dan kurang bercakaran seperti sekarang.

Bilakah lagi umat di malaysia nak bersatu, jgn disebabkan kuasa dan politik telah menghalalkan cara agar terus bermusuhan. Malu kita dgn bangsa lain. Fikirkan lah wahai saudaraku.