Tuesday, November 15, 2011

Ulasan Komenter

Tidak Layakkah Tengku Razaleigh Jadi PM?

TOKOH Umno yang menjadi dalang dan bertindak sebagai producer bersama di sebalik penayangan video lucah di Cercosa Seri Negara membabitkan Anwar Ibrahim, Abdul Rahim Tamby Chik mendedahkan beliau ada maklumat pihak tertentu merancang untuk memprojekkan Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri.

Menurutnya beliau ada maklumat yang pihak tertentu berusaha mempelawa ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk jadi perdana menteri sekiranya pembangkang menang.

Katanya bagi menjayakan usaha itu pihak terbabit sedang mengenal pasti sekurang-kurangnya 20 ahli politik Melayu berpengaruh bagi bertanding di beberapa kawasan tertentu. Kawasan yang menjadi pilihan ialah kawasan majoriti kaum yang ditandingi UBN.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu jika usaha ini berjaya ia akan mewujudkan keadaan 50:50 diantara BN dengan Pakatan Rakyat. Di mana suasana ini membolehkan Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon PM bagi menyelamatkan kaedaan.

Menerima apa yang Rahim kata itu, ia boleh dianggap sebagai satu teori atau formula untuk mengatasi kemelut politik negara ketika ini jika keadaan dikatakan itu berlaku. Tidak mustahil dengan suasana dan perkembangan hari ini, kedudukan – pencapaian pilihan raya umum ke 12 tahun 2008 masih kekal. Dalam kata lain status quo yang ada akan kekal.

Sekiranya ini berlaku ia akan menjadi keadaan bertarik tali di antara BN dengan Pakatan Rakyat. Dalam suasana terjempit beginilah seorang calon atau pihak yang bakal menjadi alternatif diperlukan. Kalau Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon, watak itu rasanya tidak salah kerana semua orang kenal siapa beliau. Beliau dikenali bukan saja di negara ini tetapi dunia luar juga. Kehebatan dan kepakarannya ialah dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Bahkan dari segi senioriti dan juga wibawa, beliau jauh berwibawa daripada dua perdana menteri sebelum ini. Tetapi sayang nasib tidak menyebelahi politik beliau. Negara sebenarnya kerugian lebih 10 tahun waktu kemuncak era pembangunan Malaysia.

Kita tidak mahu menafikan apakah teori itu akan berlaku, munasabah atau tidak. Dalam politik semua tidak mustahil dan pemainnya harus bijak mengatur strategi untuk berjaya dan mencapai cita-citanya. Untuk mencapai kuasa dalam politik orang politik perlu menjadi persis nelayan yang akan menggunakan apa jua kaedah dan alatan untuk memerangkap ikan di lautan dalam.

Kalau itulah caranya di pihak Tengku Razaeligh, ia tidak menjadi kesalahan. Beliau sendiri sudah tidak berharap kepada Umno lagi kerana parti itu baginya sudah jauh dari matlamat perjuangan asal. Bagaimana pun sebagai seorang yang setia kepada parti, bekas menteri kewangan itu akan tetap bersma dengan Umno dan tidak akan serit dan letih untuk memulihkannya demi orang Melayu dan negara. Baginya Umno lebih sentimental daripada Semangat 46.

Bagaimana pun apa yang menyesalkan kenapa Rahim harus perlu mempertikaikan usaha pihak tertentu itu. Apa hak beliau. Katanya teori itu tidak boleh dipakai kerana perancangan berkompromi seperti itu boleh menggugat kestabilan politik dan menjadi pemerintanh negara ke tahap lemah pada masa akan datang. Kestabilan politik, politik mana... politik Umno?

Arif juga Rahim tentang itu. Tetapi pelik kalau Rahim memperakui perancagan itu yang meletakkan Tengku Razaleigh sebagai host, boleh melemahkan Umno kenapa bekas naib Presiden kanan Umno suatu masa dulu itu dibiarkan begitu sahaja. Umno telah menjadikan Tengku Razaleighs sebagai kupang tembaga. Setelah Tengku Razaleigh dirisik orang baru terasa kehilangan.

Kenapa jadi mengelabah pula dan beriya berkempen agar menolak usaha itu. Sekiranya Tengku Razaleigh tidak layak untuk menjawat jawatan itu, masakan masih ada sebilangan cerdik pandai dan rakyat mengharapkan itu dari Tengku Razaleigh? Akhir-akhir orang ramai seakan melupai akan usia Tengku Razaleigh, mungkin disebabkan keadaan Umno yang berkucar kasir dan hilang identiti awalnya.

Saya yakin Tengku Razaleigh sendiri sudah tidak pelahap untuk mengejar jawatan itu. Kalau pun dia bercakap mengenai politik atau turun padang adalah misi untuk membantu politik bangsa dan negara tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Misalnya penubuhan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) adalah sebagai wadah atau platform untuk membolehkan beliau memberi pandangan kritis kepada Umno itu sendiri dan juga pihak lain.

Rahim harus ingat Tengku Razaleigh tidak keluar dari Umno. Umno adalah parti pilihannya. Kalau pun yang cuba menyingkirkan beliau ialah kalangan para 'berjois' dari Umno sendiri. Para pembodek yang tidak mempunyai nili diri dan kekuatan peribadi saja yang tetap merasakan Tengku Razaleigh sebagai pencabarnya. Mereka ini adalah yang tidak mengenal diri sendiri dan buta warna alam politik.

Tindakan Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46, adalah pengorbanan paling bsar buat Umno, khasnya Mahathir bin Mohamad. Bayangkan kalau Semangat 46 masih hidup sewaktu Anwar dipecat, mungkin Tengku Razaleigh suah menjadi PM. Tetapi takdir telah ditentukan bahawa sebelum Mahathir pecat Anwar (yang kemudian mendatangkan musibah), Semangtat 46 sudah pun dibubarkan. Melihat realiti itu seakan Mahathir hanya menanti Tengku Razaleigh bubar Semangat 46 saja untuk bertindak ke atas Anwar.

Kepada Rahim Tamby Chik dan mereka yang menerima teori itu jangan resah dan gelisah. Tidak perlu ada kempen memburukkan Tengku Razaleigh atau merendahkan usaha itu. Sebagai sebuah parti yang berpengalaman Rahim dan Umno harus serahkan kepada rakyat. Sama ada Tengku Razaleigh layak, masih relevan atau tidak untuk menjadi orang nombor satu negara, serahkan saja kepada rakyat. Tengku Razaleigh sendiri pernah mengakui beliau sedia menjadi hamba rakyat.

Dari sisi lain kebimbangan Rahim itu memberi petanda bahawa gerakan pihak yang mahu menjadikan Tengku Razaleigh sebagai PM, menunjukkan bahawa imej dan keperibadian anak raja Kelantan itu ternyata lebih baik, sempurna serta tetap relevan dengan bakal-bakal perdana menteri selepas Haji Najib dan tokoh Umno lain termasuk juga Rahim Tamby Chik. [wm.kl.8:19 pm 16/11/11]

No comments: