Saturday, May 26, 2012

Catatan Ziarah

Manziarahi Bekas Adun Gual Periok
Nik Mustapa Nik Loding

Lupa bilakah kali terakhir saya bertemu dengan bekas Adun Gual Periok, (Adun kampung saya), Nik Mustapa Nik Loding. Walaupun kerap juga balik kampung dan makan mee rebus di kedai Daud Banggul Kulim, Rantau Panjang, tetapi jarang bersua dengan beliau. Sejak sudah bersara dari menjadi Adun saya hampir tidak bersua langsung dengannya.

Pak Nik menjadi Adun selama dua penggal (1990 - 1995). Beliau bertanding atas tikit Parti Melayu Semangat 46. Apabila parti itu dibubarkan dan kebanyakan ahlinya menyertai Umno (tahun 1996) beliau ikut sama terheret sama dalam Umno bertanding atas tikit Umno tetapi kalah. Selepas kekalahan itu beliau tidak aktif seakan Umno baru itu tidak sejiwa dengannya.
Saya mengenali Pak Nik masa di alam sekolah lagi.
Dalam kedua pilihan raya itu beliau mendapat kelebihan (mojoriti) banyak kerana ketika itu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah bergabung atas nama Angkatan Perpaduan Ummah bersama Pas. Suasana politik Kelantan dan juga Gual Periok waktu itu sungguh aman dan tidak berlaku perpecahan di antara dua kaum; Umno dan kaum Pas seperti selalunya. 

Sebenarnya kerjasama dan penggabungan antara Pas dengan Semangat 46 memwujudkan keadaan tenteram dalam politik setempat.

Nik Mustapa yang lebih dimesrai dengan panggilan Pak Nik dilantik menjadi Exco Pelancongan dan Kebudayaan yang bertanggungjawab membawa pelacong ke Kelantan dan mengembangkan keseniaan dan kebudayaan tradisional Kelantan. 

Perlantikan beliau dianggap tuah bagi penduduk Gual Periok khasnya Rantau Panjang amnya kerana ia menjadi semacam kebanggaan anak tempatan pertama dilantik menjadi Exco. Setidak-tidaknya dengan perlantikan itu satu penghormatan kepada bumi Gual Periok yang pernah menjadi pusat gerakan politik pada tahun-tahuan 60-an dulu.

Di sinilah pusat gerakan politik baik Pas dan Umno di Pasir Mas di era pasca merdeka. Hampir semua pemimpin besar negara termasuk Tunku Abdul Rahman, Sardon Jubir, Tun Razak Hussein, Ghafar Baba sampai ke sini. Waktu itu Gual Periok juga menjadi pengkalan darat utama untuk membawa biji besi dan getah serta nenas yang dihasilkan di kawasan berkenaan.

Petang semalam saya bersama aktivis Pas Rusdhan Mustapa, Ketua Cabvang PKR PAsir Mas Dr Wan Suhaimi Wan Daud dan Mohd Zaki Abdul Rahman yang juga kawan lama Pak Nik sempat berkunjung ke rumah bekas Adun itu dan berbual lebih dua jam. Ternyata sekali kunjungan ringkas yang tidak dirancang itu menyeronokkan Pak Nik yang sebelum ini mengalami sedikit keuzuran kerana diserang mini stroke. Keseronokan itu terutmanya bila dapat bertemu dengan Zaki kawannya semasa di maktab perguruan tahun 60 yang terpisah lebih hampir 50 tahun.

Menjadi lumrah orang politik kalau dapat bersembang perihal politik akan jadi segar dan semangat dengan tiba-tiba. Tidak terasa pun yang beliau sedikit keuruzan apabila ghairah mencerita zaman muda dan semasa beliau menjadi wakil rakyat. Banyak kisah suka duka dan juga rencah-rencah politik yang boleh dikutip dari Pak Nik terumanya dalam dunia politik yang boleh dijadikan panduan dan teladan.

Dalam kunjungan ringkas itu apa yang menariknya ialah cerita beliau hampir-hampir akan memanggil Anwar Ibrahim untuk berceramah di rumhanya. "Saya dah siap sedia untuk panggil Anwar, tetapi sedikit terhalang.., " ceritanya menyembunyikan sebab musabab kenapa terniat untuk memanggil Anwar. Tetapi menurutnya niat itu masih ada... katanya sambil gelak kuat.

Tetapi tindakan Pak Nik itu dapat saya terjemahkan ia bermula daripada sikap politik orang Umno juga serta hala tujuan Umno baru hari ini yang dilihat tidak lagi mengekalkan semangat Umno asal. Hubungan persahabatan di dalam Umno juga mudah longgar selepas masing-masing sudah tidak mempunyai jawatan. Mungkin atas keyakinan itu juga Pak Nik yang menjadi orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah sampai kini agak tawar hati dengan Umno.

Menyentuh mengenai peribadi seseorang untuk menjadi calon, Pak Nik mengakui mana-mana orang hendak jadi calon di kawasan sempadan seperti Rantau Panjang ia tidak memerlukan seorang yang baik bergelar ustaz dan berkopih sahaja. Yang penting orang itu mesti memiliki 'empat tapang ilmu' kata orang Kelantan.

Wan Suhaimi, Pak Nik, (MSO) Zaki dan Rushdan ketika kunjungi Pak Nik.
Ertinya mereka yang tahu bergaul dengan semua golongan masyarakat, daripada tok imam masjid sampailah kepada anak-anak muda yang gila bola, kesenian dan sebagainya. Satu perkara ujarnya kawasan pilihan raya seperti Gual Periok yang bersempadanan dengan Siam agak unit dan memerlukan orang memahami kehidupan dan hubungan masyarakat kedua buah negara. Seorang nyang merasakan dia cerdik juga tidak begitu elok kerana masyarakat di sini suka orang yang boleh digauli dalam keadaan apa saja.

Memang berbual dengan orang politik apa lagi pernah menjadi wakil rakyat tidak puas dan penuh nostalgik. Kepada anak-anak muda yang mahu berjinak dan berjuang menerusi politik kunjungilah orang seperti Pak Nik dan galilah apa-apa ilmu dan juga pahit maung dalam perjuangan yang pernah ditelannya.

InsyaAllah kalau ada kesempatan saya akan singgah lagi dan tidak terkecuali juga mengujungi seorang lagi bekas Adun Gual Periok Abdul Rahman Awang, atau Abe Man. Sebelum ini saya pernah mengunjuungi Tan Sri Hussein Ahmad untuk bertanya khabar dan meminta pandangan politik. [wm.kl.7:30 pm 26/05/12]

No comments: