Monday, June 18, 2012

Catatan Perjalanan Aceh

Delvia Yunita Anak Yatim Tsunami
Berjaya Genggam Ijazah Keperawatan
  
Semasa berada di dewan masyarakat yang dibangunkan oleh kerajaan Turki di Banda Aceh Khamis lalu air mata saya berlinang tatkala menyaksikan upacara wisuda (konvokesyen) sarjana Sekolah Tinggi Kesihatan (STIKes) Yayasan Harapan Bangsa Darussalam Banda Aceh.

Rusdhan bangga dan sebak di samping Ayu.
Dalam majlis itu kira-kira 30 orang graduan menerima skrol ijazah (sarjana) masing-masing. Meskipun majlis itu kerdil namun persiapan dan atucaranya sama dengan majlis graduasi melibatkan ratusan mahasiswa laksana di universiti. Melihat itu teringat majlis itu seolah-olah seperti main-main saja. Namun darjat dan kualiti majlis sama saja.

Sebahagian keluarga Ayu datang untuk memberi semangat.
Dua perkara yang menjadikan saya terharu dan menjadi sebak ketika berada di dewan itu. Pertama, mengenangkan kesungguhan Yayasan Harapan Bangsa itu dalam membangun sekolah (kolej) berkenaan. Tanpa melihat rupa bentuk dan prasarana sekolah itu saya sudah dapat membayangkan bagaimana bentuk dan rupa dirinya. Suasana majlis itu telah memberi gambaran hakikatnya.

Tetapi itu tidak menjadi masalah, yang penting ilmu yang diberikan kepada pelajarnya tetap berkualiti dan menepati selibas sewajarnya. Ilmu itu pula dapat dimanfaatkan untuk pembangunan manusia dan negara Aceh itu sendiri oleh anak didiknya. Mudah-mudahan dengan usaha Yayasan itu akan lahir para jururawat berkalibar dan beriman di Aceh.

Sebahagin dari graduan bersalam dengan pensyarah.
Saya rasa tidak ada mana-mana yayasan atau pun badan yang mendirikan sekolah perawatan (Ners) seperti itu. Yang ada semuanya kolej yang menjadi gedung-gedung hebat dan canggih sebagai kampus. Juga rasanya tidak ada kolej yang mengadakan graduasi dengan jumlah sebanyak itu.

Kejayaan yang boleh menjadi penawar menghambat duka.
Perkara kedua menyebabkan saya sebak ialah tatkala Delvina Ayu, 21 dipanggil untuk menerima skrolnya. Air mata saya mengalir deras. Jauh dilubuk hati tertusuk rasa bangga kerana akhirnya anak tsunami ini bisa juga menggengam sekeping ijazah dalam bidang keperawatan. Kalau bukan kerana kesugguhan dan pendorong yang kuat memberi dorongan tidak mungkin apa yang saya saksikan ini tersaksi. Mungkin saja anak Aceh yang ayu itu kini masih merana dan menghiba diri atas nasib malang yang menimpanya lapan tahun lalu.

Dalam dewan yang boleh memuat kira-kira 400 orang itu saya duduk berderetan dengan keluarga Ayu yang datang khas dari Kuala Simpang yang jaraknya kira-kira 400 km dengan Banda Aceh. Mereka datang untuk merai kejayaan Ayu dan sekaligus terus memberi semangat kepada anak yatim tsunami ini. Keluarga Ayu begitu prihatin terhadap nasibnya.

Saya melihat beberapa anggota keluarganya yang terdiri dari emak saudara dan sepupunya mengelap air mata saat mendengar nama Ayu dipanggil untuk naik ke pentas. Saya menjadi sayu dan berpaling ke arah Rushdan Mustapa yang duduk di sebelah saya. Saya nampak Rusdhan juga menyapu air mata dengan mulut yang berjebak, menangis - kegembiraan dan kesedihan.

Tentulah selain dari keluarga Ayu yang wajar merasa sebak dan hiba ialah Rushdan. Kenapa tidak atas kesungguhan, pengorbanan dan ketulusan Rusdhan mengambil Ayu sebagai anak angkat dan mengekolahkannya memungkinkan anak yatim tsunami itu kini menggengam segulung ijazah. Tanpa Rushdan saya tidak dapat bayangkan apa yang berlaku.

Ayu adalah salah seorang dari puluhan ribu anak-anak Aceh yang menjadi yatim piatu kerana musibah ombak besar yang ganas yang menelan lebih 300 ribu jiwa itu. Seluruh keluarga Ayu, ayah, ibu dan tiga adik beradiknya hilang dan maut dibawa arus tsunami. Kampung, Kaju di mana kampung Ayu itu sendiri menjadi hancur lumat dan sampai kini pemulihannya masih belum sempurna lagi.

Ketika tragedi itu membela Aceh usia Ayu dalam lingkungan 13 tahun. Dalam usia begitu muda sudah tentu dia tidak tanggung menghadapi kedukaan sebesar itu, kehilangan tempat bergantung dan segala-galanya. Lama dia ditimpa trauma. Beberapa hari yang membawa ke minggu dan bulan dia menangis dan menangis kemudian berakhir dengan sikap membisu enggan berbicara dengan sesiapa juga.

Keadaan itu membimbang mata yang memerhati kepadanya. Patah-patah yang terkeluar dari mulutnya ialah nama bapak, ibu dan adik-adik. Sesekali dia akan menjerit, terkaba... semasa tidur. Dia akan menangis hingga ke pagi sambiri menyebut nama-nama keluarganya. Tubuhnya yang montel menjadi susuk dengan tiba-tiba kerana kehilangan selera makan.

Saat ini Allah menghantar seorang bapa angkat untuknya, sdr Rusdhan. Saya masih ingat semasa kunjungan untuk kali kedua saya ke Aceh sempena dengan pilihan raya Gabenur di mana Rushdan ikut sama beliau memberi tahu akan niatnya mahu mengambil anak yatim tsunami dijadikan anak angkat. Saya ingat Rushdan bergurau tetapi ternyata menjadi kenyataan. Akhirnya Allah meletakkan Ayu di atas pangku tanggungjawabnya.

Satu hari dalam kunjungan itu Rusdhan hilang dari penginapan. Puas mencari dan bertanya khabar tidak diketahui. Rupanya dia merayau jauh ke kampung-kampung yang mengalami musibah tsunami. Di sebuah kampung bernama Kaju itulah aktivis masyarakat yang ulit ini menemui anak angkatnya.

Lantas beliau menjejaki keluarga Ayu yang lain nun jauh di Kuala Simpang. Ikrar dibuat, Rushdan mahu mengambil Ayu menjadi anak angkatnya. Perbelanjaan hidup dan persekolahan dan lain-lainnya dibawah tanggungjawabnya. Kehadiran Rushdan dalam keluarga itu bagaikan jatuhnya sebelah bulan purnama ke atas ribaan keluarga Ayu, memberi sinar dan harapan untuk mereka melihat Ayu terbela.

Rushdan ternyata bertanggungjawab. Dijaga Ayu dan diberikan kasih sayang sepenuhnya. Arwah isterinya Mashitah turut sama berkongsi tanggungjawab dan harapan dengan Rushdan. Mashitah bukan lagi menganggap Ayu sebagai sekadar anak angkat tetapi persis anaknya sendiri. Ayu membesar dalam belaian kedua suami isteri ini dan keluarga mereka. Hasil kasih sayang dan didikan itu trauma yang menyelubungi Ayu perlahan-lahan berlalu.

Dan hari ini, setamat beliau dan berjaya menggenggam ijzarah pertama hidup Ayu seperti sudah berada selangkah dalam taman kebahagiaan. Ternyata Ayu seorang anak yang kini menjadi gadis yang kental sedia menghadapi cabaran dan melupai kisah. Mungkin tertanam di dalam dirinya dengan ijazah itu dia akan merawat luka lamanya disebabkan tsunami dan merawat negeri kesayangannya Aceh yang sebenarnya masih luka.

Tahniah untuk Delvia Yunita dan tahniah juga untuk sdr Rushdan yang berjaya melakukan kebajikan besar seperti mana dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. agar menjaga dan memelihara anak-anak yatim. [wm.kl.7:40 pm 18/06/12]

No comments: