Friday, August 30, 2013

Perutusan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke56 Anwar Ibrahim

KENYATAAN                                                                                                                   

Sekali lagi menjelang 31 Ogos, kita akan meraikan Hari Merdeka, hari yang cukup gemilang dan bermakna untuk seluruh rakyat Malaysia. Kini adalah masanya untuk kita menghimbau kembali pencapaian dan kegagalan kita dan memandang ke depan untuk hari-hari dan bulan-bulan yang mendatang. Kini adalah masanya untuk bermuhasabah dan bertanya apakah sebenarnya erti Merdeka dan apa yang boleh kita pelajari dari masa silam dan harapan di masa depan.

‘Merdeka’ memiliki makna yang lebih dalam berbanding perkataan ‘Kebebasan’. Ia bukan sekadar persoalan dibebaskan dari cengkaman penjajahan atau penindasan asing jika ianya kemudian digantikan dengan penindas di tanah air sendiri yang barangkali lebih rakus dan tamak. Merdeka bermaksud bebas dari sebarang bentuk kezaliman dan penindasan dalam apa jua bentuk dan negara dipacu ke arah baru menuju keadilan, kebebasan, demokrasi dan kemuliaan insan.

Di atas cabaran ini, ramai yang bersetuju bahawa kita masih jauh untuk mencapainya. Setelah lebih dari setengah abad, kita masih lagi bertanya samada prinsip-prinsip asas di dalam Perlembagaan Persekutuan masih dijunjung dan samada kebebasan dan hak-hak yang termaktub di dalamnya masih utuh dan dihormati. Justeru, apa kebaikan Merdeka seandainya asas perlembagaan dicabuli dengan sewenang-wenangnya?

Tatkala kita seharusnya meraikan perpaduan sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan pelbagai agama yang telah menjangkau 56 tahun usia kemerdekaan, kita sebaliknya kini melihat polarisasi masyarakat yang dahsyat dan perpecahan dalam hal-hal berkaitan agama. Tanggungjawab dan peranan pemimpin politik sewajarnya menjernihkan keadaan ini namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Terdapat segelintir daripada mereka yang mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeksploitasi hal-hal agama dan isu-isu sensitif untuk kepentingan mereka sendiri. Kini wujud perkembangan yang membimbangkan bila mana terdapat parti-parti politik yang mengupah kumpulan-kumpulan ‘hak istimewa’ dan media untuk meneruskan agenda mereka memecahbelah dan menyemai perbezaan di kalangan rakyat.

Kesannya, setelah 56 tahun mencapai Merdeka, berlaku lebih banyak provokasi perkauman, hasutan yang menjurus kepada kebencian terhadap agama dan secara umumnya semakin banyak ucapan dan penulisan berbaur hasutan yang disiarkan oleh media cetak. Apa yang malang adalah ia bukan sekadar kelemahan kepimpinan dalam menjernihkan keadaan, tetapi tampak seolah-olah kerajaan sedang menggalakkan fenomena ini supaya menjadi lebih parah.

Sebagai contoh, ketika pelbagai tuntutan dan bantahan dinyatakan dari kalangan rakyat prihatin dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, kerajaan sebaliknya membenarkan juga penayangan di seluruh negara sebuah filem yang hanya akan menyajikan mesej berbaur perkauman walaupun nilai keseniannya masih boleh dipersoalkan. Di sebalik kebanggaan tentang negara, terdapat sensitiviti yang lebih besar yakni perkauman dan perasaan khalayak. Suara-suara melampau berbaur kebencian dan yang bersifat tidak toleran sedang menenggelamkan suara-suara kesederhanaan dan keterbukaan.

Peningkatan mendadak kes tembakan dan jenayah berat, rompakan dan jenayah ragut adalah hal yang membimbangkan. Manakala kita mendukung usaha pihak polis dalam memerangi dan mencegah jenayah, adalah penting juga untuk mereka melakukannya dengan menuruti proses yang sewajarnya. Semua pihak perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian namun demikian penggunaan undang-undang yang lebih berat bukanlah jawapannya. Perkara tersebut perlu diteliti dengan lebih menyeluruh.

Menyentuh isu tatakelola, ketelusan dan kebertanggungjawaban, rasuah kekal menjadi barah yang merisaukan kita. Merujuk kepada perkara ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut dan memihak namun kita mendesak Peguam Negara supaya tidak menghalang pendakwaan yang melibatkan amalan rasuah di kalangan pimpinan atasan.

Negara kita tidak kebal daripada ribut ekononi yang melanda di sekeliling kita. Kita lebih perlu berhati-hati daripada berada di dalam keadaan tidak bersiap sedia. Kita boleh menerapkan tata kelola, hemah dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan awam dan ekonomi kita. Kerajaan bersalah terhadap kecurangan ekonomi – menyatakan fakta yang separa benar dan memberikan statistik tidak sempurna untuk mengaburi perbelanjaan melampau yang tidak mampu lagi ditanggung oleh negara.

Penilaian Agensi Penarafan Kewangan Antarabangsa (FITCH) yang mendedahkan kemerosotan prospek ekonomi negara sewajarnya mempercepatkan kerajaan untuk bertindak lebih terbuka dalam mendepani cabaran sebenar ekonomi. Sebaliknya, kerajaan memperlekeh penilaian tersebut dan menyifatkannya sebagai kerja “penganalisa muda yang tidak mendengar pandangan kerajaan”. FITCH bukanlah satu-satunya firma penganalisa yang menyatakan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kesannya kepada kejutan luaran.

Terdahulu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah menolak unjuran pertumbuhan 2013 daripada 5.6% sebelumnya kepada 4.8%. Bank Negara pula baru-baru ini telah mengurangkan ramalan pertumbuhan 2013 daripada 5-6% sebelumnya kepada 4.5-5%. Ini selari dengan ramalan terkini Bank Dunia untuk tahun 2013 iaitu daripada 5.6% sebelumnya kepada 5.1%. Selain daripada ancaman berganda defisit fiskal yang tinggi secara berterusan dan peningkatan hutang kerajaan secara langsung dan tidak langsung, lebihan akaun semasa kita berada pada tahap paling rendah sejak 1997. Oleh kerana kita terlalu bergantung pada nilai dan komoditi eksport yang rendah di pasaran global, kejatuhan berterusan dalam ekonomi global mewujudkan ketidaktentuan terhadap pertumbuhan kita.

Pengurangan defisit fiskal memerlukan komitmen sepenuhnya dalam membasmi rasuah daripada perolehan dan projek-projek kerajaan. Penjimatan 10% dalam perolehan dan projek-projek dengan mudah dapat diterjemahkan kepada perolehan RM20 bilion setahun (berdasarkan perolehan dan perbelanjaan tahunan projek RM200 bilion di bawah kawalan kerajaan Persekutuan).

Pengurangan hutang kerajaan dan pemotongan defisit fiskal hanya boleh dimulakan menerusi perolehan hasil kerajaan yang lebih tinggi yang diraih melalui pertumbuhan yang lebih tinggi. Malangnya pertumbuhan Malaysia akan terencat di skala 4-5% untuk seketika melainkan reformasi struktur secara menyeluruh terhadap ekonomi dilaksanakan sebaiknya dengan segera.

Di ambang ulangtahun kemerdekaan yang ke-56 ini, reformasi ekonomi bukan lagi berkisar kepada pertandingan dasar dan retorik politik. Ianya berkait dengan kepentingan negara yang seharusnya menembusi politik kepartian dan ideologi kerana kita tidak mampu untuk mundur ke belakang sedangkan negara-negara jiran kita maju ke depan.

Persoalan kepimpinan adalah amat penting dalam memacu negara ke hadapan dengan memperkukuhkan asas ekonomi dan menjadikan kita lebih berdaya saing. Malah lebih penting lagi, pemimpin-pemimpin kita mesti dilihat serius menjaga kesejahteraan negara dan memacu hala tuju yang betul. Untuk memastikan perkembangan tidak sihat tidak berlaku di bawah kepimpinannya, seseorang pemimpin itu mesti menunjukkan ketegasan dan iltizam moral yang tinggi.

Meski pun kami membantah sekeras-kerasnya tentang kesahihan keputusan pilihanraya yang lepas, kami bersedia untuk mengetepikan perbezaan kami demi negara kesejahteraan dan masa depan. Dalam hal ini, kami percaya bahawa adalah penting bagi Perdana Menteri untuk segera mengadakan rundingan meja bulat antara kerajaan BN dan Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan merumuskan satu penyelesaian yang menyeluruh.

Meraikan Merdeka semestinya dengan mengiktiraf kebaikan yang telah dilakukan dan tidak mengulangi kesilapan masa lalu. Iltizam untuk melakukan apa yang baik untuk negara perlu menjadi agenda utama kita semua.
Semangat Merdeka bukan sahaja toleransi atau kompromi. Ianya adalah mengenai pemahaman yang lebih besar, menerima perbezaan kita dan meningkatkan persamaan kita serta menggerakkan negara ke hadapan untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
ANWAR IBRAHIM

No comments: