Tuesday, October 22, 2013

Paksi menyalak kepada orang yang jadi 'bukit'

SEBUAH RASA, RASA                                                                         

Dinsman terus bertempik.
Malam semalam saya terpergi ke majlis dialog budaya dan seniman dengan pimpinan Pas yang diadakan di sebuah hotel di Shah Alam. Naib presiden Pas, Sallahudin Ayub yang menjemput saya. Saya tidak tahu kenapa beliau jadi ingat kepada saya agar hadir pada majlis itu. Maka saya hadir.

Sesampai di lokasi baru saya tahu siapa penganjur dan siapa yang terlibat dengan majlis itu. Rupa-rupanya rakan-rakan dalam Paksi - Seniman Paksi Rakyat, manakala pengelolanya ialah Lunjah Kesenian Pas yang dikepalai Muhaimi Sulam.

Mungkin kedatangan saya agak mengkagetkan juga, kerana saya barang kali tidak seharus berada sama di majlis berkenaan, sebab saya tidak menjadi anggota Paksi secara langsung. Kerana itu saya tidak dijemput bagi mengelakkan apa-apa yang tidak baik terdedah? Sifat majlis itu, dialog tertutup dengan kepimpinan Pas yang membicarakan permasalahan seni dan budaya serta peranan dan kepedulian kerajaan terhadapnya.

Majlis itu dikira hebat juga, walaupun penyertaan para seniman hanya di kalangan pro pembangkang dan sememang pun nadi untuk menggerak budaya dan kesenian tidak perlu ramai. Ia saya kata hebat kerana presiden Abdul Hadi Awang, timbalan presiden Mohamad Sabu dan dua naib presiden Sallahudin Ayub dan Mahfuz Omar hadir. Mungkin seorang lagi naib presiden Husam Musa tidak sempat hadir tetapi saya pasti dia juga dijemput.

Mohamad Sabu sedang memberi penjelasan.
Selain pimpinan tertinggi ia juga turut dihadiri sama oleh pimpinan Pas lain, Abu Bakar Chik yang dikenali seorang pemimpin Pas yang begitu berat mengambil peduli kepada seni, budaya dan bahasa. Tidak akan lengkap kalau majlis seperti semalam tanpa Abu Bakar Chik. Bila beliau ada maka lengkaplah. Selain itu beberapa orang Exco Selangor juga hadir khasnya dari Pas, antara Dr Ahmad Yunus Hairi.

Orang politik lain turut hadir ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, bekas MP Kuala Selangor Dzulkifly Ahmad, Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Rani Osman dan lain-lain. Manakala tetamu istimewa di sebelah seniman ialah Sasterawan Negara A Samad Said (Pak Samad) juga turut sama hadir.

Dialog perihal budaya, permasalahan dan 'sikap lembu kenyang' oleh pimpinan Pakatan Rakyat kepada kepentingan budaya, sebenarnya ia adalah mauduk berulang-ulang persis orang menceret (berak cerah). Sudah acap kali saya mendengar rintihan dan sunggutan para seniman yang saya kira sudah ke peringkat hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong untuk membantu kerajaan Pakatan Rakyat dalam aspek ini.

Betapa tidak, mereka bermaufakat sesama sendiri mengadakan pelbagai kegiatan kebudayaan dan kesenian dalam mendokong Pakatan Rakyat atas matlamat sama mahu melihat terbentuknya sebuah kerajaan baru yang berwibawa dan adil. Ia bermula pada era refomasi lagi. Mereka bagi saya adalah kelompok pemberani kerana risiko berada di pihak pembangkang bagaikan berjalan di atas bara.

Pak Salleh Bakar, Pak Samad, saya dan Dr Rani.
Mereka tidak peduli kandati akan kehilangan hak, peluang dan tawaran serta manfaat yang diperolehi selama ini dari kerajaan sedia kala. Tetapi kerana kemanusiaan mereka terpanggil untuk berjuang sama-sama, memberi sumbangan idea dan tenaga, maka sanggup meninggalkan itu semua. Usah dikira berapa ramai yang kecundang atau pun terpaksa 'ditangkap' dan disumbat dalam penjara kemiskinan kerana terlepas peluang gara-gara menyokong Pakatan Rakyat.

Saya kira para seniman yang jiwanya seni, sifat kemanusiaan tinggi tidak pedulikan itu. Bagi mereka material bukan matlamat dan tujuan. Kepuasan mengatasi segala-galanya. Ambil contoh Pak Samad beliau sengaja menyusahkan diri untuk menongkah ruas pada ketika usianya sudah berbaki dan wajar berihat di tepi-tepi sungai atau lautan. Tidak ada siapa memanggilnya turun ke gelanggang  tetapi rangsangan naluri dan kesedaran manusiwinya sendiri yang mengerakkan langkah jihadnya.

Seniman setaraf dengan Pak Samad ramai tetapi yang berani sepertinya amat sedikit sekali malahan boleh dikatakan langsung tidak ada. Perhatikan negara telah melahirkan beberapa sasterawan negara tetapi berapa kerat telah menggunakan title manis dan gah itu untuk memperjuangkan rakyat? Mereka seakan menjaga mahkota sastera itu menjadi permata digilap untuk mencari makan dan membanggainya. Mereka masih asyik menulis sambil menghisap paip atau berada di dalam bilik-bilik berkaca sejuk.

Berbalik kepada kelompok Paksi tadi apabila parti yang mereka sokong menang, mereka mulalah menaruh harpan besar agar aspirasi dan agenda mereka membudayakan rakyat akan dapat ditolong dan dibantu. Mereka tidak mahu lebih dari itu tetapi sekurang-kurang mereka diambil kira dalam kerja-kerja membina kerajaan baru Pakatan Rakyat yang lebih bersifat telus dan bersih. Budaya yang mereka hendak bawa bukan budaya puji-pujian atau dendangan tetapi sebagai pengislahan. Mereka mahu benar-benar bertindak sebagai seniman sejati.

Kedudukan seniman ini sama penting dengan ahli korporat, agamawan, ilmuan dan lain-lain entiti kerana mereka ada ruang tugas dan tanggungjawab tersendiri. Mereka dilahirkan Tuhan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air. Orang-orang seperti mereka juga mempunyai hak undi yang sama sebagai warga negara lain maka mereka juga berhak menelurkan hajat mereka.

Malangnya harapan dan impian mereka tidak terpenuhi. Lebih menyedihkan mereka melihat kerajaan yang dibangunkan itu memiliki aset dan kekayaan yang boleh memberi sumbangan kepada usaha dan kegiatan mereka. Mereka melihat ada peruntukan dan biaya untuk aspek lain tetapi hak dan kepentingan mereka tidak dipedulikan dengan seadilnya.

Dua dari kanan Abu Bakar Juah, Sallahuddin & Dr Dzulkifly.
Sebab itulah malam tadi kelompok seniman merintih yang suaranya dipacukan oleh presidennya Dinsaman. Ucapan penghantar majlis cukup memedihkan hati juga terselik bilah-bilah kepiluan betapa seniman adalah manusia terbuang dari kumpulan manusia 'kuasawan' (pinjaman istilah Pak Samad yang dimaksudkan orang politik). Terkejut saya mendengar bidasan dan sinisme Dinsman. Beliau berterus terang sekali dan ini menandakan beliau juga seakan sudah hilang sabar dan sudah jemu menanti.

Ada sesuatu yang sangat menyikirkan telinga yang tidak patut disebut tetapi disebutkan. Saya yakin beliau tidak ada niat serong apabila mengungkitkan perkara itu melainkan 'berdialog' secara terus terang mengingati sesuatu yang pernah diucap, diikrar tetapi dilupa dan dimungkiri. Semua itu bagi menyelamatkan penjanji berdosa. Ada dua perkara menarik yang wajar diberikan perhatian oleh pihak yang menjadi sasaran.

Pertama, janji kerajaan Selangor untuk membantu aktiviti budaya menerusi projek jelajah budaya di sembilan daerah di Selangor yang seakan tertangguh. Bukan kerana ada sebatoaj atau aktivits merajuk kerana bergaduh merebut honororium tetapi kerana pengurangan peruntukan. Sebut Dinsaman peruntukan projek itu mulanya sebanyak RM30 ribu kemudian dikurangkan menjadi RM20 ribu sahaja.

Ternyata jumlah RM30 ribu itu jauh lebih rendah daripada peruntukan kasar untuk seni budaya bernilai RM2.5 juta seperti mana diumumkan MB Selangor Khalid Ibrahim.

Perkara kedua ialah mengenai pemintaan (janji) untuk menerbitkan antologi puisi A Samad Said hanya RM15 ribu sahaja tetapi tergendala begitu sahaja. Kejadian ini tidak patut berlaku kalau 'kuasawan' mengenali siapa dia Pak Samad dan pengorbananya. Setuju dengan kata Disman, RM15 ribu atau RM30 ribu itu hanya kecil sahaja tidak sampai suku daripada kos program-program sosial kerajaan atau bantuan kepada projek politik untuk menggilap imej dan mengosok kasut pemimpin agar bersinar banar?

Selain itu banyak lagi yang telah disuara dan diungkitkan Dinsman segala macam program dan projek budaya dan kesenian yang dirancangkan tetapi berlalu begitu sahaja kerana kerenah dan ketidakpedulian dan kepekaan orang politik. Contohnya permintaan agar diikhtiraf dan diberikan penghormatan kepada seniman dan sasterawan pro Pakatan Rakyat, seperti Pak Samad atau Allahyarham Azizi Abdullah tidak dilaksanakan. Inilah yang menyesalkan kelompok itu.

Kebetulan saya lebih lama mengenali hati, sifat dan budi puak kuasawan ini berbanding dengan para seniman itu. Apa yang mereka hadapi kini, kerenah birokrasi, janji tidak tepat, kata tidak betul saya sudah masak dan telah merumuskan semua sifat-sifat itu dalam suatu sifir orang politik yang berbeza kesimpulannya (jawaban) dengan sifir orang biasa. Bagi orang politik perjanjian bukan untuk ditunaikan, kesetiaan, keikhlasan dan kejujuran hanya dongengannya bagi orang politik. Ia mengecewakan apabila orang bernama seniman menerimanya sebagai satu kebenaran hakiki.

Justeru apa yang hendak saya katakan di sini, bertempiklah sekuat hala lintar duhai seniman agar orang mempeduli dan mengenali hati budi kamu ia tidak akan berhasil. Orang politik tidak akan meghiraukannya kerana bohong, pelawak, mungkir janji, dolak dalih adalah formula dan filsafahnya.

Lantaran itu kalau kalian membesarkan harapan kepada mereka, maka kian membesarlah juga rasa kecewa kalian sehingga satu hari kelak kalian akan melangkah perlahan-lahan menjauhkan dunia mereka untuk kembali ke dalam dunia seniman yang tersendiri dan murni itu. Apa dilakukan Paksi itu bagi saya adalah salakan kepada manusia politik yang sudah menjadi bukit. Hanya kita yang dapat memahami diri kita. Dan kalau kita ikhlas hendak berjuang infaklah kepada apa yang kita perjuangankan itu seratus peratus kerana Allah taalaan. [wm.kl.7:43 pm 21/10/13]

No comments: