Tuesday, October 22, 2013

Pas Pusat ke Kelantan selesai kemelut sesama sendiri

PANDANGAN SORE                                                                        

Seperti mana dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana, hari ini pimpinan tertinggi Pas diketuai presiden Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan Pas Kelantan di Kota Bharu Kelantan bagi membincangkan teguran Husam Musa kepada kerajaan negeri yang menjadi isu dan perbualan umum di Kelantan ke belakangan ini.

Husam juga perlu tahu dia adalah aset Pas.
Dipercayai semua pimpinan Pas Kelantan termasuk Husam hadir kecuali Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak hadir. Lain-lain pimpinan Pas ialah Ahmad Yaakub, Mohd Amar Nik Abdullah, Zulkefli Mamat, Hanifa Ahmad, Siti Zailah Yusuf, Abdul Latif Abdul Rahman dan lain-lain. Mereka ini adalah Dewan Harian dan anggota Lujnah Politik Pas.

Sementara pucuk pimpinan Pas pula selain Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Tuan Ibrahim Tuan Man, Mustapa Ali dan lain-lain. Kalau ikutkan kebiasaan timbalan Mursyidul Am Haron Din dan Ketua Dewan Ulamak Harun Taib juga termasuk dalam kategori pucuk pimpinan tertinggi Pas.

Tidak diketahui secara pasti apakah ada agenda sampingan lain, ataupun ia khusus membincang soal Husam semata-mata. Pertemuan bagi membincang soal itu dibuat apabila ia gagal dibincangkan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pas diadakan di ibu pejabat Pas.

Kegagalan itu seperti mana lapor sebuah porta berita kerana tiada wakil (Ajk) daripada Kelantan termasuk Ahmad Yaakub dan Mohd Amar Nik Abdullah di dalam mesyuarat berkenaan. Sekiranya Ahmad Yaakub atau ada wakil dari Kelantan sudah pasti pertemuan khas yang baru berlangsung kira-kira setengah jam tadi tidak diadakan. Boleh jadi tujuan ia dibawa ke Kelantan bagi membolehkan Mursyidul Am, Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir sama.

Sepatutnya mesyuarat untuk menenangkan keadaan atau mendapat penjelasan terhadap 'insiden' yang berlaku itu diadakan di Kuala Lumpur saja dan tidak perlu ia diadakan khas di Kota Bharu kerana ia akan 'membanyak mangkuk pinggan'. Ini kerana tindakan itu mendedahkan kepada musuh bahawa Pas dan kerajaan Pas Kelantan seolah-olah sedang menghadapi masalah serius. Bagi saya lebih afdal kalau presiden memanggil Husam, Ahmad Yaakub dan beberapa yang lain bertandang ke rumahnya sahaja. Cara itu juga lebih bersifat ukhwah dan Islamik.

Bila ia dibuat khas di Kota Bharu adalah kurang bijak sedikit tindakan ini kerana ia seolah-olah sengaja membuka pekung kepada musuh. Daripada pihak musuh tidak tahu dan menganggap perkara yang berlaku di Kelantan itu antara Husam dengan kerajaan saja, kini ia membuka kepada persepsi masalah itu membabitkan Pas seluruhnya.

Langkah mendedahkan maklumat itu kepada akhabr arus perdana juga sesuatu amalan yang tidak baik. Ia menunjukkan masih ada hubungan peribadi antara mana-mana individu Pas yang mengetahui agenda itu dengan individu di dalam akhbar berkenaan. Sikap ini juga boleh dianggap satu pengkhianatan kerana mereka memandang remeh akan peranan jahat media untuk membusukkan Pas. Perbuatan membuka pekung di dada ini seharusnya dihentikan dari dilakukan oleh individu Pas yang turut hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa kerana sikap mereka itu adalah pecah amanah dan menjelekkan.

Sebenarnya tidak ada apa yang pelik dengan pertemuan hari ini kalau ia dikhususkan membincangkan soal gara-gara apa ditimbulkan Husam. Ia adalah amalan biasa Pas akan memanggil mana-mana pemimpinnya untuk mendapat penjelasan atau diberi nasihat bila berlaku sesuatu kekalutan. Mungkin pada pandangan Pas Pusat apa yang dicetuskan Husam didalam Dewan Undangan Negeri Kelantan tempoh hari ia boleh mengeruhkan suasana. Itu sahaja. Tetapi bila ia disampaikan kepada media, apa lagi media arus perdana milik Umno ia akan menjadi bertambah busuk.

Saya percaya sekiranya beberapa pandangan diberikan kepada Ahmad Yaakub sebelum ini agar bersikap lebih berani dan sedia untuk bersemuka dengan Husam (sebagai abang dengan adik) diambil kira dan diakuri, apa yang berlaku seperti di Dun Kelantan tempoh hari tidak akan terjadi. Saya sendiri dua kali menyarankan kepada Ahmad Yaakub memanggil sendiri Husam untuk menerima pandangan dan memberi penjelasan ke atas sesuatu perkara salah faham. Malang ianya tidak dilaksanakan.

Kelambatan dan kurang berani Ahmad inilah bagi saya ia telah mengheret permasalahan yang ada hari ini.

Berbalik kepada pertemuan pucuk pimpinan Pas tengah hari ini, yang menjadi pertanyaan kini apakah pertemuan ini dalam keadaan anak beranak dan semua isu dibangkit dan dibincang secara profesional? Apakah tujuan pertemuan hari ini untuk membelasah Husam dan menyalahkan beliau seratus peratus atas tindakannya itu? Tidak dapat dinafikan memang ada kesan negatif daripada beberapa teguran Husam tetapi jika dilihat secara 'jilah' dan penuh kebertanggungjawab ia membawa kebaikan kepada kerajaan pimpinan Ahmad Yaakub.

Apa yang berlaku adalah satu insiden kecil yang berasaskan kepada kebenaran. Ahmad Yaakub dan anggota Exco harus sedia memperbaiki apa yang dibangkitkan, melainkan apa yang diutarakan Husam itu adalah fitnah atau perkara yang sengaja dilakukan. Ahmad Yaakub dan kerajaan juga tidak perlu malu untuk angkat tangan mengaku bersalah? Sebagai seorang pemimpin parti Islam yang bercita-cita untuk meniru gaya dan semangat kepimpinan Rasulullah s.a.w. semua pihak harus berani dan bertanggungjawab.

Adalah diharap perbincangan yang telah selesai itu tidak menghentam satu pihak dan membela pihak yang lain serta meninggalkan kesan luka. Di dalam politik bukan bermakna minoriti itu salah dan majoriti itu benar. Sekiranya melihat kepada bilangan yang mempertikaikan Husam itu lebih ramai dan yang mempertahankan Husam itu sedikit, atau hanya Husam sendirian, maka dia disalahkan? Pertimbangan dan hukuman begitu tidak tepat. Yang perlu dilihat kepada kebenaran yang dibangkitkan. Dalam soal ini jangan bertindak seperti hakim beruk.

Apakah begitu?

Pas Pusat harus berhati-hati dalam melihat dan menyelesaikan masalah Husam ini (kalau benar ada) kerana ia agak difficult sedikit kerana ia akan berkaitan. Perkara yang perlu diambil perhatian ialah kepada suasana dan sikap penyokong Pas di luar. Tidak boleh dinafikan penyokong Pas yang terdiri dari anak-anak muda, generasi "Y" yang sudah mulai mengkagumi Husam bersimpati dengan nasib dan takdir berlaku ke atasnya di Kelantan. Betul tindakan mereka menuruti emosi, tetapi apa yang penting tindakan itu bakal merugikan Pas. Jangan hendaknya semangat anak-anak muda yang mendekati Pas dengan meletakkan Husam sebagai idola mereka dimusnahkan begitu sahaja. Kalau ini berlaku ia satu kerugian besar buat Pas.

Saya yakin pertemuan hati ini dapat menyelesaikan segala masalah berbangkit. Dan Husam sendiri seharusnya merasa lega dan berterima kasih kerana isu yang dibangkitkan atas nawaitu untuk memperbaiki kepincangan diberi pandangan oleh Pas Pusat. Beliau jangan merasa kesal atau menganggap kalau ada teguran dan pandangan ke atasnya sebagai hendak memperkecil-kecilkan usaha dan niatnya. Husam perlu mengetahui bahawa dirinya adalah aset kepada perjuangan Pas bukan sahaja di Kelantan tetapi di Malaysia. Husam perlu memandang jauh ke depan bukan menolek dan mengingati kenangan di belakang.

Perjuangan Pas masih panjang. Husam sendiri ada menyebut apa yang beliau lakukan adalah demi untuk memastikan usia kerajaan Pas Kelantan panjang. Beliau juga memberi jaminan akan tetap bersama kerajaan dan menyokong Ahmad Yaakub. Justeru Ahmad Yaakub perlu menerima dengan hati terbuka dan merasa terima kasih atas ikrar Husam itu.

Dengan apa yang berlaku sehingga Pas Pusat terpaksa turun ke Kelantan bagi menenangkan keadaan ini menunjukkan apa yang berlaku di Kelantan itu serius dan memberi kesan negatif? Kalau tidak masakan seluruh pimpinan tertinggi Pas perlu turun ke Kelantan. Sejak Ahmad Yaakub mengambil alih kepimpinan inilah pertama kali pucuk pimpinan Pas turun ke Kota Bharu beramai-ramai. Ahmad Yaakub khasnya bersama Nik Amar Nik Abdullah perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini.

Apa yang berlaku jangan sampai berulang. Luka yang kecil perlu ditampal segera dan jangan dibiarkan, apa lagi kalau sengaja cuba mencurah cuka dan garam ia boleh menyebabkan luka yang kecil itu 'memborak' akhirnya membawa kepada kereputan dan kepatahan tulang sebuah kerajaan. Semuanya akan rugi dan semuanya akan menangis. [wm.kl.5:05 pm 22/10/13]

4 comments:

amir mushiy ismail said...

tuan mso, jangan samapai pengundi luar merubah keputusan PRU 14, kadang2 kena jatuhkan jugak sekali kerajaan PAS kelantan ni, baru sedar dari mimpi...

Unknown said...

Pada saya kejadian kedah dulu berulang. Bagi pandangan penyokong PAS yg bukan ahli, ini adalah salah. Pusat turun kenegeri minta penjelasan. Lepas tu diam seribu bahasa.

Bila pusat turun ke negeri dan tiada tindakan nampak seolah-olah pusat lemah.

Pada yg bukan ahli PAS negeri kena pegi beri penjelasan kpd pusat.

Unknown said...

Telah ada desas desus anak2 muda (sekitar 25 ke 45 tahun) kata nak pindah mengundi di Selangor.

K'jaan PAS Kelantan semasa pelu buat statement dan zahirkan 'kenapa anak2 muda perlu terus mengundi Pas'. Apa yg saya Nampak sekarang ni lebih pada duduk buat fire fighting,berkekoh dan cuba menyelesai kemelut yg mereka sendiri bina. Bukan utk menambah-baik, tuntas menutup mulut musuh/UMNO.

Benarlah rumusan Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah (UMK) bahawa Kerajaan Kelantan hari ini adalah kerajaan yang lemah?

Wallahu'allam.

Unknown said...

Saya setuju dengan tindkan Dato' Husam, bagi saya kerajaan kelantan yg baru ini banyak mengamalakan kroni@puak termasuklah dari segi pemilihan exco...jadi bagi saya jika keadaan ini berterusan, pengundi muda termasuk saya akan beralih arah jika ustaz2 yg didalam Pas perasan yg mereka Ulama dan adalah lebih baik dari semua yang yang lain...ini sebenarnya sudah silap besar...kerana ramai juga ustaz2 yg tewas dgn godaan dunia..termasuklah juga beberapa orang dari PAS..jd jgnlah terlalu berpuak2..semua sama shj..kecuali ketakwaan dan keimanan kpd Allah..