Thursday, March 13, 2014

Cuba hidu aroma dimulut Annuar bila dia sokong Hudud

PANDANGAN                                                                                   

Begitu bersungguh nampaknya Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar Musa menggesa kerajaan Kelantan agar melaksanakan hukum Hudud di negeri itu. Katanya dalam satu sidang akhbar di parlimen hari ini, inilah masanya untuk dilaksanakan hukum yang menjadi impian rakyat Kelantan itu.

Annuar boleh bantu percepat Hudud.
Tidak ada pihak yang menghalang pelaksanaan hukum berkenaan termasuk perdana menteri. Menurutnya, perdana menteri tidak ada kuasa menghalangnya sambil mendakwa dia sudah membaca peraturan PM tidak boleh menghalang sesiapa hendak melaksanakan huduh.

Justeru Annuar menyeru agar semua pihak menyokong pelaksanaannya. Bagaimana mengenai Umno ia tidak berbangkit sebab hukum Hudud yang diluluskan di DUN Kelantan tahun 2003 itu masih belum digezet?

Manakala semasa membahas titah ucapan di raja, Annuar dipetik sebagai berkata untuk melaksanakan undang-undang berkenaan telah pun melepasi tiga tahap utama eksekutif, legislatif dan judiciary?

Sudah pasti orang akan angkat tabik kepada Annuar yang dilihat mempunyai citarasa agar hudud dilaksanakan di Kelantan. Gesaan beliau itu juga nampak seakan ikhlas dan menampakkan dia seorang Islamik. Annuar dilihat sudah mula memasuki orbit baru setelah tidak lagi menjadi Pengerusi Umno Kelantan atau pun anggota kabinet.

Persoalanya, sejauh manahkah keseriusan Annuar dengan gesaan dan pandangan itu? Untuk menyelami citarasa barunya itu mungkin ia boleh dilihat kepada usahanya selama ini untuk tujuan itu. Bagi saya keikhlasan Annuar mengenai hukum Hudud itu boleh dipersoalkan dengan melihat sejarah dan kronologi politiknya selama ini.

Hasrat dan cita-cita kerajaan Pas untuk melaksanakan hukum Hudud bermula sebaik penggal pertama Pas memerintah Kelantan 1990. Pada tahun 2003 satu Enakmen Jenayah Syariah II telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan diterima yang mencakupi Hukum Hudud.

Tidak dapat dipastikan, apakah Annuar ketika itu turut sama bersetuju meluluskan enakmena berkenaan? Yang jelasnya Annuar tidak bersuara sekerap dan 'seserius' hari ini mengenai Hukum Hudud walaupun beliau tidak menunjukkan penentangan. 

Persoalan juga boleh dipertikaikan, semasa enakmen itu hendak dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan, pemimpin tertinggi Umno Kelantan, Zaid Ibrahim ketika itu pernah membawa perkara itu ke mahkamah bagi menghalang perlaksnaan hukum Hudud di Kelantan. Kenapa Annuar Musa tidak menghalang usaha Zaid yang dilihat bertentangan dengan naluri kerajaan dan rakyat Kelantan itu?

Begitu juga sekiranya Annuar serius dan beriya-iya mahu melihat hukum Hudud terlaksana di Kelantan beliau perlu memainkan peranan bukan sahaja setakat menyokong dan menggesa kerajaan Kelantan tetapi harus mengambil bahagian mengatasi sekatan dan halangan (percanggahan Perlembagaan) ke arah perlaksanaan hukum berkenaan.


Dalam hal ini Annuar boleh bekerjasama dengan Adun Kok Lanas Md Alwi Che Amat yang membuat pengakuan di dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini yang menyokong perlaksanaan hukum Hudud, bahkan Alwi memberi jaminan dia akan keluar dari Umno kalau Perdana Menteri, Najib Razak menolak hukum itu.

Annuar boleh bersikap pro aktif dalam soal ini dan menggunakan kapasiti beliau sebagai ahli MT Umno. Langkah pertama ialah memberi keyakinan kepada Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed agar membuat ketetapan membantu kerajaan Kelantan dengan segala daya usaha yang ada bagi merealisasikan maksud yang baik ini. Kalau boleh ketetapan itu biarlah bersifat terbuka dan tidak diluahkan di majlis-majlis tertentu sahaja.

Annuar perlu menggesa Mustapa Mohamed agar Umnno sendiri memberi penjelasan kepada rakyat agar menerima hukum Hudud serta apakah hikmah di sebalik perlaksanaan hukum yang disebut dalam Quran itu. Lebih praktikal lagi Umno hendaklah berperanan menjelaskan keperluan itu kepada Perdana Menteri dan pimpinan parti komponen BN yang lain yang masih kabur dan jahil mengenai hukum berkenaan.

Perlu disedari ada pimpinan kalangan parti komponen yang menentang hukum hudud. Bahkan Najib Razak sendiri pernah mengatakan "no Hudud in Malaysia". Kekeliruan itu hendaklah dijelaskan dan Annuar bersama Mustapa kena memainkan peranan penting.

Sebagai rekod, salah seorang individu yang menolak hukum Hudud dilaksanakan di Kelantan ialah Dr Mahathir Mohamad. Annuar atau Mustapa dan Umno perlu memberi penjelasan kepada Mahathir secara terperinci dan inklusif mengenai kepentingan hudud. Kalau Mahathir menerima ia dapat membantu mempercepatkan usaha ini. 

Tegasnya, Annuar tidak cukup membuat kenyataan menggesa kerajaan Kelantan agar melaksana hudud dan jaminan menyokongnya, tetapi sebaiknya mengambil bahagian mengatasi kesulitan yang ada. Sekiranya setakat bercakap dan menyatakan persetujuan saja tidak berpada, sebalik ia menjelaskan kenyataannya itu sebagai gesaan politik semata-mata. Mungkin Annuar dapat membaca kehendak rakyat dan masalah dihadapi Pas berhubung perkara itu maka beliau memberi tekanan dengan sikap menyokongnya.

Atau pun beliau mahu menjadi popular dan jaguh Islam baru di Kelantan dengan mendesak hukum Hudud dilaksanakan. Boleh jadi juga dia cuba membayangi Mustapa Mohamed didalam hal ini yang agak pasif mengenai hukum Hudud. Apakah cara Annuar itu untuk diskreditkan Mustapa di dalam hal ini?

Bagi saya, kenyataan Annuar itu bukan menunjukkan apa dhamirnya yang sebenar, tetapi ia lebih merupakan sokongan politik untuk melihat kecamukan dalam Pas. Annuar cukup faham sekiranya Pas melaksanakan hukum itu tanpa diselesaikan beberapa isu berbangkit ia memberi keburukan kepada imej politik Pas dan kerajaan Kelantan. Dalam masa sama beliau ingin tunjukkan dia seorang yang mempunyai iltizam mengenai hudud.

Annuar harus membuktikan sejelas-jelasnya keikhlasan beliau disebalik sokongan dan gesaan agar hukum Hudud dilaksanakan. Misalnya mengenai enakemen Syariat II yang tidak digazet itu, perlulah ada desakan darinya agar ia digezetkan. Kegagalan menjelaskan dengan menunujukkan bukti secara tindakan, (praktik) maka jelas gesaan dan sokongan itu bermotif politik. Maka, tidak payahlah orang-orang Pas mudah terpengun dan kagum dengan apa diucapkan Annuar. Kena hidu dulu apakah aroma di mulut Annuar semasa dia membuat sokongan dan gesaan itu. [wm.kl.8:34 pm 13/03/14]

1 comment:

PokAmid said...

Tuan MSO, mungkin kohongnya hingga ke segenap pelusuk daerah di Kelantan.