Friday, March 7, 2014

Khalid sudah hampir untuk jadi persis Mohamad Nasir

SPEKULASI                                                                                       

Politik sungguh kejam dan tidak ada perikemanusiaan. Dalam saat-saat kritikal bagi Anwar Ibrahim menentukan hidup matinya sama ada dapat bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil Kajang bagi membolehkan beliau menjadi MB Selangor, di luar mahkamah kawannya Abdul Khalid Ibrahim telah membuat penegasan tidak akan melepaskan jawatan itu.

Apakah makna dan erti ini semua? Hari ini Khalid Ibrahim telah membuat penegasan yang beliau tidak akan melepaskan jawatan menteri besar Selangor. Perkara itu jelasnya telah dimaklumkan kepada Sultan Selangor. Sebelum ini Khalid dikatakan diberi surat oleh partinya berhubung kedudukannya sebagai MB selepas projek Kajang Move, dan sejurus itu dispekulasikan beliau menghadap sultan.

Penegasan Khalid ini bolehlah dianggap satu pengkhianatan yang dihalalkan oleh politik. Tidak sewajarnya beliau membuat kenyataan itu atas menjawab persoalan itu ketika Anwar sedang bergelut di mahkamah terhadap rayuan pembebasannya oleh pendakwa.



Kalau pun Khalid tidak mahu berada sama dalam mahkamah bagi memberi sokongan moral kepada Anwar, tetapi beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan yang boleh menyakit dan mengilankan hati banyak orang. Hari ini Khalid dipetik sebagai berkata dia tidak akan melepaskan jawatan sebagai MB. "Saya sudah memaklumkan kepada Sultan Selangor dan barisan exco mengenai tindakan saya," begitu kata Khalid dipetik.

Penegasan Kahlid itu jelas menunjukkan senario di Selangor kini akan mengulangi apa yang berlaku di Kelantan tahun 1977 dahulu. Di Kelantan 37 tahun lalu Mohamad Nasir sebagai MB dibawah kerajaan Pas enggan melepaskan jawatan MB walaupun beliau sudah menerima undi tidak percaya di DUN Kelantan dan dipecat keanggotaanya oleh parti. Kerana kedegilan itu akhirnya menyebabkan kerajaan Kelantan jatuh apabila senario itu dieksplotasikan oleh Umno.

Tampaknya apa yang dibimbangi sudah kian menuju realitinya. Sudah tentu kalau Khalid tidak melepaskan jawatan sebagai MB, peristiwa di Kelantan itu akan berulang di Selangor. Khalid akan dijulang sebagai hero walhal dia adalah antogonis.

Manakala tanda-tanda yang Khalid tidak akan berbuat seperti kehendak dan arahan partinya itu, dan besar kemungkinan dia akan menggunakan teori mempertahankan diri seperti digunakan Mohamad Nasir sudah jelas kelihatan dan terjelma satu persatu. Khalid menjadi semakin bijak berpolitik.

Sudah ada tanda-tanda yang Khalid tidak akan berundur dan sedia membelakang kehendak partinya. Penanda-tangani MoU penstrukturan semula air di Selangor yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa 28 Februari lalu adalah tanda paling besar. Sekiranya Khalid bersedia berundur beliau boleh menangguhkan penandatanagani MoU itu kepada MB selepas ini. Apa lagi proses penandatangani itu dibuat dalam keadaan belum ada kata pemutus yang muktamad dan menjadi persoalan di kalangan kerajaan terhadap beberapa terma dan perolehan.

Tanda kedua, yang beliau tidak akan meletakkan jawatan, apabila beliau mengumumkan akan bertanding jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR untuk mencabar Mohamed Azmin Ali. Pengumuman itu dibuat di rumahnya dalam satu majlis perjumpaan dengan beberapa pimpinan terdiri dari rakan-rakannya.

Ketika mengumumkan hasrat bertanding itu, Khalid memberi tahu ia adalah atas desakan dan kehendak kawan-kawannya. Ini bermakna Khalid sudah mula membuat persiapan dan membina pasukan yang akan mempertahankan dirinya.

Boleh jadi juga gangguan terhadap Khalid yang dilihat lurus mulanya sedia akur dengan keputusan parti, tetapi sukar untuk melepaskan jawatan itu diatas nasihat dan dokongan kawan-kawannya termasuk beberapa pemimpin PKR yang mencari rezeki dibawah kekuasaan Khalid di Selangor. Pemecatan beberapa orang kakitangan dibawah PKNS juga dilihat sebagai salah satu strateginya kerana yang terlibat dengan pemecatan itu katanya orang Azmin.

Keputusan itu tentulah diperkukuhkan lagi oleh desakan dan jaminan oleh pemimpin tertinggi Pas yang berjumpa dengan Khalid meminta agar beliau tidak melepaskan jawatan menteri besar. Sekurang-kurang dua pemimpin tertinggi Pas memberi jaminan dan nasihat kepada Khalid. Dengan mengambil kira itu semua menyebabkan Khalid mendapat ilham untuk tidak melepaskan jawatan dan dia merasakan dia dibela. Apa lagi kalau ada proksi Umno yang berjumpa Khalid untuk menyatakan sokongan menjadi Khalid semakin 'miang' untuk kekal sebagai MB.

Atau ia juga dibuat berdasarkan perkembangan mutakhir ini mengenai kedudukan Anwar yang sedang bersabung nyawa di mahkamah. Mungkin Khalid diberi pencerahan oleh orang-orang tertentu bahawa Anwar akan hilang kelayakan untuk bertanding ekoran rayuan pembebasan diterima oleh mahkamah dan kini mahkamah sedang mendengar rayuan dan akan membuat keputusan Anwar didapati bersalah.

Jadi sebelum PKR menukar pelan meletakkan calon baru untuk projek mission impossible Kajang Move, elok beliau cepat-cepat membuat ketegasan itu, tidak akan melepas jawatan MB.

Biarlah atas alasan apa sekalipun Khalid engan melepas jawatan, tetapi tindakan itu kian membawa kepada mengulangi peristiwa yang berlaku di Kelantan tahun 1977. Khalid nampaknya bersemangat untuk menjadi seorang lagi Mohamad Nasir di negara ini. Sekali lagi negara kita yang dalam keadaan ekonomi merudum, harga barangan keperluan naik, kita akan berdepan dengan perang politik akibat kedegilan dan tidak adanya perikemanusiaan politik.

Apakah Selangor selepas ini akan bertukar tangan kepada Umno, Khalid boleh membuat firasat awal kerana dia adalah watak utama dalam proses menghancurkan kerajaan Pakatan di Selangor hari ini. Dan saya jamin kalau diadakan pilihan raya di Selangor bukan senang untuk Pakatan mengekalkan kerajaanya dalam kedudukan pakatan yang sudah memburai dan berkecai. [wm.kl.2:10 pm 07/03/14]

3 comments:

TheSniper said...

Tindakan utk menghalang sabotaj rakan dalam PRK. Al-Quran je yg tak boleh ubah

Miz3 said...

agak skeptikal coretan tuan pada MB Selangor ini. Mengenai kenyataan tuan di bawah:

"Apakah Selangor selepas ini akan bertukar tangan kepada Umno, Khalid boleh membuat firasat awal kerana dia adalah watak utama dalam proses menghancurkan kerajaan Pakatan di Selangor hari ini."

mungkin dapat diperbetulkan kerana Azmin Ali yang merasakan dirinya lebih layak sebagai MB Selangor berbanding Khalid Ibrahim dipercayai watak utama dalam proses menghancurkan kerajaan Pakatan di Selangor hari ini. Natijah daripada tindakan Azmin itu yang membuat Anwar Ibrahim melancarkan Kajang Move dalam keadaan tergesa-gesa tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada rakan Pakatan.

Unknown said...

Hanya sebab hutang dengan Bank Islam, MoU jadi gadaian. Inilah trojan sebenar dalam PKR. Jangan terkejut, Selangor tergadai kepada musuh.

Jadi MB pun atas tiket parti. Tiada ehsan langsung atas parti. Khalid bukanlah orang yang setia pada parti tetapi seorang oportunis.

Misi BN untuk sekat PR capai kemenangan dalam PRU-14 akan datang semakin mencapai kejayaan.