Tuesday, March 11, 2014

Presiden berjumpa Naib Presiden di Kajang

PERKEMBANGAN KAJANG                                                           

Akhirnya 38,065 pengundi yang berdaftar di N 25 DUN Kajang akan berpeluang memilih dua orang wanita untuk diangkat menjadi wakil mereka pada 23 Mac nanti sebagai mengganti Lee Chee Cheh. Presien PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63 dan Naib Presiden MCA Chew Mei Fun telah diistyharkan sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan secararasmi jam 10:15 pagi tadi.

Pertembungan satu sama satu di Kajang, Mei Fun dan Azizah.
Beberapa orang yang sebelum ini, melaung-laungkan akan ikut bertanding tidak seorang pun tampil menyerahkan borang pencalonan. Mungkin juga mereka terlupa yang hari ini adalah hari penamaan calon.

Antara mereka ialah bekas Ketua Umno Kota Bharu, Zaib Ibrahim. Zaid sudah pun beberapa kali turun ke Kajang untuk meninjau kedudukan dan mencari penyokong. Tetapi disebabkan Anwar tidak ikut bertanding, Zaid menarik diri. Apakah tujuan dan maksud Zaid berpolitik? Jelas dia berpolitik hanya acah-acahan sahaja dan bukan sesuatu yang serius.

Pertembungan di antara Wan Azizan dan Chew Mei Fun dikira sengit walaupun atas kertas Wan Azizah dilihat akan menang dengan mudah. Penyertaan Wan Azizah yang menggantikan suaminya Anwar Ibrahim itu 'yang dihalang' dengan keputusan mahkamah, pastinya bukan setakat kemenangan saja, tetapi tentulah kemenangan besar.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir mengiringi Azizah.
Tidak bererti kalau Wan Azizah setakat menang, atau majoritinya dibawah 6,000 undi. Dalam pilihan raya umum lalu calon PKR Lee Chee Cheh menraih 6,824.

Sudah pasti MCA akan memberi tentangan sengit kepada PKR. MCA akan menggerakkan seluruh kekuatannya untuk memastikan Mei Fun memberi cabaran kepada Wan Azizah. Umno rakan MCA dalam BN juga akan bekerja kuat bagi memastikan mereka tidak akan menanggung aib yang besar.

Kesungguhan MCA dalam pilihan raya kali ini, sekaligus untuk mengembalikan reputasinya yang jatuh dalam pilihan raya umum lalu, begitu jelas sekali. Katanya kira-kira 5,000 ahli MCA datang untuk memberi sokongan dan mengiringi calon mereka?

Dalam pada itu BN akan memastikan Wan Azizah tidak menang besar. Mereka harus menurunkan majoriti diraih calon PKR sebelum ini setidak-tidaknya separuh daripada itu. Sekiranya MCA gagal menafikan pencapaian itu ia memberi kesan kepada parti berkenaan dan juga BN serta kepimpinan Najib Razak.

Melihat secara umum dari jauh pilihan raya berkenaan, bahawa pengundi kompoisi kaum India, Melayu dan China masih menolak BN. Komposisi pengundi mengikut kaum di Kajang, Melayu 48.48%, Cina 40.46% dan India 10.15%.

Dalam tinjaun saya sebelum ini dibeberapa majlis anjuran PKR, sambutan dikalangan orang Cina terhadap program PKR begitu menggalkan sekali. Sokongan yang diperolehi semasa pilihan raya lalu di mana calonnya dari Cina tidak berubah. Orang Cina dipercayai tetap menyokong Pakatan Rakyat. Isu dan perkembangan mutakhir negara tidak banyak merangsang masyarakat Cina untuk menyokong BN.

Begitu juga dengan masyarakat India memberi gambaran jelas mereka bersama Pakatan Rakyat. Pengundur Pengerusi Hindraf, Waytha Moorthy sebagai menteri sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat India hilang kepercayaan kepada BN. Dakwaan Waytha Moorthy yang Najib tidak menunaikan janji untuk membantu masyarakat India menyebabkan mereka kurang minta dengan BN.

Pengunduran Waytha Moorthyu itu sudah tentu memberi kelebihan kepada calon PKR untuk mengutip lebih 50% undi dari India. Misalnya majlis perpaduan malam kelmarin di Batu 11, anjuran PKR 500 orang masyarakat India kebanyakan dari estet hadir. Mereka diraikan dalam satu majlis makan malam dan pemberian bantuan yang disampaikan oleh Naib Presiden Pas, Husam Musa.

Salah seorang aktivis Hindraf yang pernah dipenjara turut hadir menjelaskan bahawa masyarakat India akan membuat pusingan "U" dalam pilihan kecil Kajang ini. "Kita akan buat pusingan "U" kita mahu tunjuk kepada Najib yang kita juga ada kemampuan untuk menjadi kuasa pengubah dan orang India tidak boleh diperkotak katiknya," katanya.

Berbalik kepada penamaan calon hari ini, kedua-dua calon diiringi penyokong masing. Ternyata sokongan kepada Wan Azizah mengatasi sokongan kepada Chew Mei Fun. Dianggar penyokong Pakatan Rakyat tiga kali ganda berbanding dengan penyokong UBN. Mereka datang bukan saja di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur tetapi ada yang datang dari Kelantan, Penang, Negeri Sembilan.

Jalan susur ke plaza tol di Bangi menjadi sesak sepanjang 3 km. Beberapa buah kereta melekatkan bendera PKR dan tidak ada satu pun bendera BN. Ini menunjukkan penyokong PKR lebih ekstrem berbanding dengan penyokong BN. Khabarnya seorang penyokong Pakatan Rakyat sanggup membawa seekor kuda dari Tok Bali Kelantan untuk mengiring perarakan calon mereka.

Pengiringan Wan Azizah ke pusat penamaan calon diringi Anwar Ibrahim yang memakai baju Melayu muda. Turut sama mengiringi Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakub. Juga turut sama hadir ialah Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub, Husam Musa. Bendahari Pas Dr Mohd Hatta Ramli, AJK Pas Kamaruddin Jaaffar dan lain-lain.

Para pemimpin Pakatan Rakyat terpaksa dibahagi dua kerana setengah yang lain ke mahkamah untuk mendengar keputusan hukuman terhadap Karpal Singh yang didakwa dibawah Akta Hasutan. Karpal dijatuhi hukum denda RM4,000 dan akan mengemukakan rayuan.

Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali adalah antara pemimpin PKR yang awal-awal lagi tiba ke pusat penamaan calon.

Manakala calon BN pula diiringi oleh Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin, presiden MCA Liew Tiong Lai dan lain-lain. [wm.kl.1:29 pm 11/03/14]

1 comment:

bahrombasiron said...

Percayalah janji yang dicapatikan