Sunday, April 27, 2014

Jawatan TP: Azmin unggul di Kelantan

PEMILIHAN PKR                                                                                 

Perebutan jawatan timbalan presiden PKR di antara tiga calon seperti diduga sengit. Penyandang jawatan Mohamed Azmin Ali tidak mudah untuk menepis dua pencabarnya Saifuddin Nasution Ismail dan Abdul Khalid Ahmad.

Sekiranya pengundian di Kelantan merupakan indikator kepada kedudukan sebenar mereka, Azmin masih lagi mampu mengekalkan kedudukannya. Keputusan tidak rasmi pengudian di seluruh 13 Cabang PKR Kelantan semalam menunjukkan Azmin mendapat 1,059 undi diikuti oleh Saifuddin sebanyak 806 undi dan Khalid Ibrahim mendapat 667 undi.

Azmin menguasai cabang Ketereh, Tanah Merah dan Rantau Panjang, manakala Saifuddin menang besar di Machang dan Gua Musang. Khalid pula mendapat kepercayaan ahli dari bahagian Pasir Mas, Tumpat.

Di cabang lain kedudukan hampir sama rata, cuma di Kota Bharu Azmin hanya mendapat tiga undi sahaja. Penolakan terhadap Azmin di Kota Bharu sangat jelas.

Semalam juga pengundian di Terengganu dan Pahang. Setakat ini tidak ada keputusan yang masuk dari Pahang. Hari ini pengundian di negeri Johor, Melaka dan Sarawak. [wm.kl.3:47 pm 27/04/14]

No comments: