Tuesday, July 8, 2014

Khalid kena sedar dirinya bermasalah

SEUSAI SUBUH                                                                                   

Semalam heboh dalam media massa sosial kononnya Abdul Khalid Ibrahim akan meletak jawatan sebagai MB Selangor. Sebuah berita menyatakan Khalid akan menghadap Sultan untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya. Pekerja media lalu sibuk menjejaki Khalid apabila mendapat maklumat itu. Khalid diekori ke mana sahaja untuk mendapat pengesahan.

MB bermasalah.
Ternyata maklumat itu salah dan tipu. Khalid sendiri tergelak mendengar berita berkenaan. Sesetengah orang mengecam mereka bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah itu. Sebuah NGO Umno juga turut sama mengecam dan meminta Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil tindakan tegas mengekang fitnah dalam partinya.

Terselamatlah Khalid semalam daripada melepaskan jawatan Menteri Besar. Sekurang-kurangnya beliau boleh berseronok sehingga menjelang hari raya. Masih boleh mengadakan rumah terbuka atas nama MB, mengundang para sahabat atau penyokongnya yang berkempen atau menjadi menager kempennya dalam pemilihan PKR dengan wang rakyat yang diperuntukkan kepadanya itu.

Kita kesal dengan laporan yang bodoh itu kerana ia menyusahkan banyak orang. Namun begitu berita itu tetap memberi pengajaran dan perlu diambil iktibar oleh Khalid. Beliau kena faham kenapa berita itu disebarkan. Penyebaran berita peletakkan jawatan itu samalah dengan penyebaran berita kematian seseorang. Ia suatu persendaan yang memalukan.

Jangan dilihat kepada benar atau tidak berita berkenaan. Tetapi kena fikir kenapa ianya disebarkan dan kenapa orang tergamak menyebarkan berita itu. Itu yang pentingnya. Kalau seseorang itu tidak ada masalah, berita buruk mengenainya tidak akan disebarkan. Tujuan dan sebab kenapa ia disebarkan kerana seseorang itu dibenci. Kalau ia disayang dan disokong tidak ada siapa yang tergamak untuk membuat sebaran itu. Malahan orang ramai sepakat untuk mempertahan dan melindungi.

Jikalau berita fitnah itu tidak munasabah ia tidak mendapat perhatian para wartawan. Tetapi apabila wartawan mengerumui Khalid ertinya berita berkenaan logik dan munasabah. Dalam pengertian lain Khalid bagi wartawan sudah dalam keadaan hanya menunggu hari esok sahaja. Perlu nyah dari kerusi MB.

Kata NGO Umno yang menyebar berita palsu itu ialah orang PKR sendiri. Itu lagi parah buat Khalid. Kalau ia disebarkan oleh Umno Khalid akan memperolehi simpati. Memang kerja Umno hendak meruntuhkan "sangkak" orang lain. Tetapi kerana ia disebarkan oleh PKR bermakna orang PKR sendiri sudah membenci Khalid. Kalau orang serumah sudah membenci kita buat apa tunggu lagi, cau sahajalah.

Khalid tidak boleh tergelak dengan berita itu tetapi dia juga kena menyedari apa yang berlaku. Kenapa orang perkenakan kita, penting untuk untuk direnungi. Tidak ada guna hidup.. makan sedap, tidur lena, disanjungi tetapi ada sebahagian orang tidak berpuas hati kepada kita meneriak-riak dan menjerit agar kita berundur. Sebagai MB Khalid memerlukan sokongan padu dari semua fraksi. Tidak ada guna separuh orang menyokong kita tetapi separuh orang pula jeluak kepada kita.

Kekalahan di Kuala Selangor dalam merebut jawatan Ketua Cabang seharusnya cukup menginsafi Khalid dan mengenalkan siapa dirinya. Jangan pula apabila kita kalah, kita menuduh berlaku penyelewengan. Anggapan demikian satu perbuatan buruk bertentangan dengan nilai-nilai hidup manusia apa lagi sebagai ketua.

Khalid perlu insaf kedudukannya sebagai MB Selangor kini bermasalah. Beliau tidak mampu lagi melindungi masalahnya dengan kehebatannya mentadbir Selangor ataupun menguar-uarkan Selangor ada simpanan RM3 billion. Wang sebanyak itu dilihat tidak bermanfaat pun untuk Selangor apabila Selangor adalah negeri tertinggi diserang wabak Denggi. [wm.kl.6:20 am 08/07/14]

No comments: