Wednesday, January 14, 2015

Tabung bencana banjir dilancar: Peruntukan RM1.4 billion belum mengalir

ULASAN MALAM                                                                                           

Ahmad akan lancar tabung bencana banjir.
Mulanya semua orang berasa lega apabila mendengar kata jaminan daripada kerajaan Pusat yang akan "kelih" dan mempedulikan musibah banjir di Kelantan akan dibantu sepenuhnya. Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, peruntukan RM50 juta untuk negeri-negeri dilanda banjir sebagai bantuan awal kewangan kepada mangsa banjir membuka siri kata-kata janji lemak itu.

Apabila Perdana Menteri, Mohd Najib Razak balik dari bermain golf dengan Barack Obama di Hawaii beliau menambahkan peruntukan RM500 juta untuk membantu mangsa banjir dan program pemulihan di negeri-negeri terlibat.

Angka diberikan Najib dan Muhyiddin itu ditambah pula oleh kenyataan penuh bunga-bungai daripada Timbalan Menteri Kewangan II, Ahmad Maslan, yang mengatakan sebanyak RM800 juta telah diperuntukan untuk membantu mangsa banjir, meyediakan logistik, bekalan makanan dan juga pembersihan rumah dan peremis tercemar.


Kalau dicampur angka-angka berkenaan bermakna sebanyak RM1.350 billion telah dikeluarkan untuk mangsa banjir dan pemulihan banjir. Angka itu tentu menjadi lebih besar lagi kalau dicampur dengan angka tunai sumbangan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang masing-masing berjumlah RM1.5 juta untuk Kelantan.

Maknanya, kalau jumlah RM1.350 juta dibahagi tiga, ini bermakna Kelantan menerima sebanyak RM450 juta, yakini separuh dari anggaran dibuat Mustapa Mohamed mengenai kerugian harta awam dan kerajaan di Kelantan sebanyak RM932 juta.

Angka keseluruhan menjadi lebih besar dan banyak lagi kalau dicantum dengan derma-derma kilat yang diberikan oleh orang ramai bagi membantu mangsa banjir termasuk yang membeli bekalan makanan, pakaian dan keperluan lain. Saya menganggarkan lebih RM3 juta bantuan daripada orang ramai.

Persoalannya apakah wujud dan benar angka-angka besar yang diumumkan Muhyiddin, Najib dan Ahmad Maslan itu? Apakah wang peruntukan berkenana telah dikeluarkan dan mangsa banjir sudah mendapat pembelaan secukup dan seadilanya? Kenyataan dan jaminan itu meragukan sekali. Saya ulang, MERAGUKAN. Kalau melihat kepada pembangunan pemulihan mangsa banjir dan kawasan terbabit, menjadikan kita tertanya-tanya dan sangsi apakah wang itu sampai atau pun sekadar berada dalam mulut dan di atas kerjas sahaja.

Ini kerana kalau wang peruntukan pemulihan itu sudah mengalir, (cukup sesuku sahaja) tentu keadaan mangsa banjir dan kawasan yang mengalami bencana berkenaan tidak seperti kini. Hari ini mangsa banjir masih lagi terbiar dan banyak kawasan masih belum dilakukan pembersihan dan pemulihan. Bayangkan sekiranya tidak ada sokongan dan dokongan orang ramai, Ngo dan pihak swasta tentu mangsa masih melarat dan terbiar dalam lumpur. Hari ini pun masih ada mangsa banjir belum ada penginapan sementara, hatta khemah untuk berlindung daripada panas dan hujan. Masih ada kawasan yang belum mendapat bekalan air bersih dan eletrik.

Manakala sesetengah kawasan pemulihan dan pembersihan kini, banyak diusahakan oleh individu, syarikat ataupun sukarelawan dan Ngo. Belum ada bekas lagi pemulihan dilaksanakan kerajaan daripada peruntukan yang disebut lebih RM1 billion itu.

Paling ketara di Kelantan yang merupakan negeri paling parah dibaham banjir. Di Kelantan kepalsuan mengenai peruntukan daripada kerajaan Persekutuan ini sangat jelas apabila kerajaan negeri terpaksa berusaha sendiri mendapatkan peruntukan tujuan pemulihan dan bantguan mangsa banjir.

Hari ini MB Ahmad Yaakob mengumumnkan kerajaan Kelantan akan melancarkan Tabung Bantuan Bencana Banjir peringkat negeri Kelantan yang akan dilancarkan 18 Januari ini di Kuala Lumpur. Tabung ini adalah kesenimbungan kepada tabung yang dilancar pada 29 Disember lalu. Tindakan kerajaan ini menjelaskan bahawa negeri itu sangat bermasalah dari segi kewangan untuk membantu dan memulihkan banjir.

Sekiranya peruntukan RM1.4 billion itu sudah mengalir sudah tentu kerajaan negeri tidak perlu melancar tabung khas punggutan derma banjir hingga ke Kuala Lumpur itu. Iya cukup dibuat di Kelantan sahaja. Menurut Ahmad Yaakub juga beliau bersama TMB, Ahli Ahli Majlid Mesyuarat Kerajaan, Wakil-wakil Rakyat negeri dan Parlimen serta Speaker bersetuju untuk menyumbangkan sebulan gaji untuk mengisi tabung berkenaan.

Menyedari keadaan dan natijah inilah mengapa saya beriya-iya agar Kelantan di istyharkan darurat sebaik menyedari banjir kali ini parah. Kerana kalau darurat diistyharkan bantuan boleh disalurkan untuk mangsa dan pemulihan banjir dari wang simpanan darurat. Malangnya cadangan itu dipandang remeh oleh sesetengah orang dan ia tidak perlu. Ahmad sendiri pada awal sependapat dengan Mustapa Mohamed mengatakan banjir terkawal. Mungkin mereka berdua terpengaruh dengan andaian dibuat oleh Nik Amar Nik Abdullah yang mengatakan banjir 2014 tidak separah banjir 1967.

Bagaimana pun diharap tabung bencana banjir yang akan dilancar nanti akan mendapat perhatian umum khasnya anak-anak Kelantan yang hidup mewah di Kuala Lumpur. Orang ramai juga dialu-alukan untuk menghulurkan derma masing-masing bagi membantu Kelantan. Walaupun kutipan nanti jauh daripada mencukupi tetapi setidak-tidaknya ia dapat menampung keperluan sementara menunggu peruntukan RM1.4 billion itu mengalir.

Adalah diyakini peruntukan disebut Muhyiddin, Najib dan Ahmad Maslan itu, sekiranya berpandukan kepada kenyataan Ahmad Maslan mengatakan peruntukan untuk pemulihan itu diambil sebahagiannya daripada hasil cukai GST, ini bermakna peruntukan itu mungkin baru mengalir enam bulan dari sekarang. Jadi tidak munasabah kalau pemulihan banjir di Kelantan dapat dituntaskan dalam tempoh kurang setahun. [wm.kl.8:18 pm 14/01/15]

No comments: