Tuesday, January 6, 2015

Terima kasih Muhyiddin atas prihatin kepada Kelantan

SUARA MALAM                                                                                

Ahmad Yaakob, Muhyiddin dan Mustapa Mohamed.
Kunjungan Timbalan Muhyiddin Yassin ke Kelantan hari ini lebih bermakna daripada kunjungan Perdana Menteri Mohd Najib Razak sebanyak tiga kali untuk meninjau banjir di Kelantan.

Kenapa dikatakan lebih bermakna, kerana Muhyiddin mengumumkan sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan terutamanya mangsa banjir di Kelantan.

Hasil daripada lawatan Muhyiddin hari ini dan perjumpaan dengan MB Ahmad Yaakob, sebuah jawatankuasa pasca banjir ditubuhkan. Jawatankuasa itu dipengerusi bersama oleh Ahmad Yaakob dan Pengerusi Umno Kelantan yang juga menteri MITI, Mustapa Mohamed.


Jumlah atau taksir kerugian harta awam yang disebut Muhyiddin adalah munsabah apabila beliau menyebut angka kerugian harga awam sebanyak RM932.4 juta. Kerosakan harga awam itu adalah harta kerajaan Persekutuan di Kelantan dan tidak termasuk harga atau premis milik kerajaan negeri.

Dalam pada itu Muhyiddin meminta kerajaan negeri menyenaraikan dan mengemukakan nilai kerugian harta milik kerajaan negeri Kelantan ini termasuklah kerosakan jambatan, jalan-jalan luar bandar serta kemudahan awam lain seperti sekolah Yayasan, masjid dan sebagainya.

Jaminan dan  permintaan Muhyiddin itu sesuatu yang menggembirakan hati rakyat Kelantan. Jaminan sebegitulah yang ditunggu dan dinanti-nanti bagi meringankan beban dihadapi Kelantan ketika ini. Ternyata kenyataan dan komitmen Muhyiddin itu berbeza dengan apa dilakukan Najib yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk pemulihan banjir di negeri-negeri yang dilanda banjir dimana peruntukan sebanyak itu jauh daripada mecukupi.

Kabinet dijangka akan bermesyuarat esok dan masalah banjir akan dibincang dengan lebih luas dan mendalam lagi. Adalah diharap Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Jawatankuasa Banjir Kelantan yang akan turut hadir sama dalam mesyuarat berkenaan, akan berani mengemukakan cadangan dan pelan pembangunan Kelantan pasra banjir secara menyeluruh dan lebih dari apa yang ada kini.

Misalnya beliau perlu mendesak Kabinet agar menyegerakan pembinaan tembak penebatan banjir di sepanjang sungai Golok seperti mana dicadangkan. Sudah lama projek itu dirancangkan tetapi belum menjadi kenyataan. Walaupun pembinaan penebatan itu tidak menjamin dapat membendung banjir, tetapi pembinaannya adalah perlu setidak-tidak untuk membuktikan kerajaan Pusat sedia menunaikan janjinya dan menunjukkan kerajaan UBN berlaku adil.

Sejajar itu juga Mustapa harus sama membangkitkan mengenai royalti petroleum (minyak) di Kelantan yang kini masih menjadi pertikaian. Sudah pasti sekiranya kerajaan Pusat (Petronas) menyerahkan wang royalti itu kepada Kelantan ia juga dapat membangun prasarana pemulihan selepas banjir. Biarpun sebahagian royalti itu sudah diberikan kepada Kelantan menerusi Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), tetapi ia tidak memberi apa-apa makna buat Kelantan kerana ia tidak dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri.

Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, inilah antara rahmat dan nikmat yang diperolehi oleh rakyat Kelantan dengan bencana bah emas itu. Keberanian Mustapa dalam menuntut hak rakyat Kelantan ini juga boleh dijadikan legasi kepada beliau sebagai tokoh ulung Umno di Kelantan selepas Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menandakan dirinya dengan berbagai pembangunan di Kelantan.

Mustapa jangan sesekali terlupa untuk memacak sesuatu mercu tanda kewujudan beliau sebagai pemimpin Kelantan seperti mana dilalui oleh Annuar Musa walaupun menjadi menteri dan pengerusi Umno Kelantan namun tidak "sekara habuk" dibuat untuk Kelantan.

Adalah diharap apa yang dirancang dan dipelankan seperti mana disebut Muhyiddin itu dapat dilaksanakan segera dengan jayanya. Tidak salah kalau rakyat Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas keperihatinan beliau itu. Kepada Ahmad dan Mustapa selamat melaksanakan tugas dan tanggungjawab. [wm.kl.8:05 pm 06/01/14]

No comments: