Sunday, February 8, 2015

Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat lancar, mesyuarat lanjut selepas 10 Februari

SUSUPAN PETANG                                                                                         

Apa yang menjadi tumpuan dan ditunggu-tunggu hari ini, iaitu mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat sudah pun selesai. Ia diadakan di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut tanpa berlaku sesuatu yang tidak diingini. Tiada apa yang panas dalam mesyuarat itu. Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang sebelum ini diragui akan kehadirannya, turut hadir.

Kedatangan Hadi disambut Anwar dan Lim Guan Eng.
Kehadiran Abdul Hadi itu menamatkan pertikaian terhadapnya yang sebelum ini hampir setahun tidak hadir mesyuarat majlis itu sebaliknya ia diwakilkan kepada timbalannya, Mohamad Sabu atau Setiausah Agung Pas Mustapa Ali.

Kesediaan Abdul Hadi wajar disanjung walaupun kehadiran itu tidak mematikan isu mengenainya.

Selain Abdul Hadi, pemimpin lain yang hadir ialah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP dan Setiausaha Agungnya Lim Kiat Siang dan Lim Guan Eng. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Umum PKR yang disebut-sebut bakal menjadi PM (kalau Pakatan memang), Anwar Ibrahim.

Bukan sahaja Anwar yang bergembira dengan kehadiran Abdul Hadi itu, tetapi penyokong dan mereka yang menaruh harapan kepada Pakatan Rakyat juga bergumbira dan girang.

Dihujung mesyuarat satu kenyataan bersama dikeluarkan yang ditanda tanya, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi Awang. Saya turut menerima kirimkan kenyataan akhbar berkenaan. Berikut kenyataan itu:

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah bermesyuarat hari ini di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat mengesahkan komitmen kepada perjuangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Rakyat.

Mesyuarat hari ini bersetuju bahawa semua keputusan yang dibuat oleh Majlis PimpinanPakatan Rakyat dibuat berteraskan prinsip muafakat bersama. Atas semangat saling menghormati, keputusan yang dimuktamadkan sebegini menjadi asas keutuhan Pakatan Rakyat selama ini.

Pun begitu, Pakatan Rakyat juga akan terus meraikan perbezaan pendapat di antara parti-parti Pakatan Rakyat. Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu-isu Enakmen Jenayah Syariah 2 dan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan. Bagi memperbaharui dokongan para penyokong, kita bersetuju agar Konvensyen Pakatan Rakyat dianjurkan pada 10 Mei 2015.

Pakatan Rakyat mendokong semua langkah mewujudkan permuafakatan membabitkan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan bagi mencari penyelesaian berkaitan isu-isu semasa terutamanya ekonomi dan ketegangan hubungan kaum.

Menjelang hari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Kes Fitnah II, ketiga-tiga parti mengulangi tekad dan memberikan jaminan bahawa perjuangan bersama di dalam Pakatan Rakyat akan terus dipertahankan. Kami menegaskan bahawa perbicaraan ini adalah perbicaraan bermotifkan politik. Majlis Pimpinan juga bersetuju untuk bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari 2015.

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung
DAP
Anwar Ibrahim
Ketua Umum
KEADILAN
TG Hj Abdul Hadi Awang
Presiden​
PAS


Sementera itu sebelum berlangsung mesyuarat majlis Pakatan Rakyat, Pas telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tertingginya sebagai rutin bulannya. Mesyuarat itu yang mulanya dijangka panas ekoran ada sekumpulan anak muda menunjukkan perasaan menuntut beberapa pemimpin Pas dipecat, sebalik berjalan seperti biasa.

Sekumpulan anak muda ambil peluang melawat KL.
Desakan kumpulan anak muda yang membuat desakan itu yang lebih berbentuk fitnah tidak pun diambil peduli oleh Jawatankuasa Pas dan menganggap kehadiran anak muda itu tidak lebih sebagai untuk meriahkan keadaan disamping untuk makan angin di hujung minggu.

Kebanyakan mereka datang dari pedalaman dan hanya sesekali ke Kuala Lumpur apabila ada aktiviti parti. Jadi mereka mengambil peluang itu. 

Dengan berakhirnya mesyuarat Pas dan Majlis Pekatan Rakyat hari ini tanpa ada apa-apa mauduk yang panas, maka untuk sementara waktu Pas dan Pakatan Rakyat tenang. Ketenangan ini mem bolehkan mereka menumpukan kepada keputusan perbicaraan kes liwat II Anwar dimana keputusan pada 10 Februari, Selasa ini. 

Episod baru dalam Pas dan Pakatan Rakyat akan bermula pada hari berkenaan. Diramalkan sekiranya Anwar dihantar ke penjara mungkin Pas membuat pendirian tersendiri termasuk peranannya dalam Pakatan Rakyat. Hendaknya apa-apa yang berlaku janganlah ada perbalahan lagi sekali antara Pas dengan DAP kerana rakyat sudah muak. Jangan hampakan harapan rakyat.

Dalam pada itu ketiadaan Abdul Hadi semasa sidang akhbar pimpinan Pakatan Rakyat jangan disalah anggap, kerana beliau bergegas untuk mendirikan solat Zohor yang sudah banyak. [wm.kl.6:57 pm 08/02/15] 

1 comment:

Najwan said...

Tuan,

Mereka cuma berjalan-jalan ye. Menarik komen tuan, betul jugak, toksah la kita ambil peduli nanti sakit hati. Kita halakan muncung senapang ke musuh bukan kawan. Hehe, memang seronok jalan-jalan di hujung minggu. Hati2 balik tuan-tuan.