Wednesday, June 10, 2015

11 Faktor kenapa Prolib kalah

ULASAN PETANG                                                                                              

Seperti mana dijanjikan di sini saya kemukakan ulasan dan pandangan luaran saya mengenai kekalahan teruk golongan Prolib dalam pemilihan Pas minggu lepas. Alasan yang saya beri ini adalah semata-mata dari sudut pandangan saya dan apa yang saya lihat sendiri.

Sebelum saya menurunkan ulasan atau posmortem kekalahan mereka, saya nak jelaskan; saya sudah menyebut kepada beberapa orang pimpinan prolib dan dicadangankan agar mereka jangan bertanding. Mereka hendaklah serahkan jawatan itu kepada golongan "sinu", yang mengakui mereka ulama dan ustaz itu. Saya membuat cadangan itu kerana arus yang berlaku saat itu begitu kencang sekali dan perancangan untuk menumbangkan golongan prolib sangat tersusun.

(Saya nak jelaskan kenapa saya sering menulis dan menyebut "mereka menganggap diri mereka ulama", sebab sesetengah daripada mereka tidak pun layak untuk mendapat gelaran itu, baik dari segi ilmu, amalan dan juga saksiahnya. Sebahagian daripada mereka hanya menumpang naungan sahaja atau pakai name tag ulama atau ustaz. Atau setakat hafal juz amma, seperti juga yang boleh dilakukan oleh puak prolib. Bahkan dalam prolib ada yang ilmu agamanya lebih tinggi dan mendalam).

Berbalik kepada cadangan saya tadi, agar jangan bertanding dan serahkan sahaja jawatan secara sukarela, mereka tidak setuju. Setengah memberi alasan mereka perlu bertanding kerana hendak pertahankan jawatan. Saya kata kepada mereka kalau hendak bertanding mesti berbuat sesuatu, persiapan melawan serangan mendatang perlu dilakukan. Jangan bertanding dengan tangan kosong dan bermodalkan air liur sebab ia bakal memberi kesan buruk.

Mereka tidak peduli, dan tidak mahu bermain secara jantan bagi mempertahankan kedudukan mereka. Saya percaya dalam firasat mereka, mereka kira penolakan secara bergerombolan itu tidak akan berlaku. Ada yang berfirasat, mungkin orang lain kalah tetapi mereka masih dipilih secara tunggal. Ternyata tanggapan mereka itu meleset. Mereka juga turut bungkus.

Saya tahu mereka tidak mahu membuat persiapan melawan serangan, kerana menghormati dan menjaga maruah Pas. Mereka tidak tergamak membawa Pas seperti parti-parti lain, panas semasa pemilihan yang kemudiannya menyebabkan parti jadi "kucar lembel". Dalam erti kata lain mereka berlawan secara beretika. Tetapi soalnya lawan mereka sudah hilang akal?

Justeru saya berhujah, tindakan itu salah dan bakal memakan diri kerana dipihak "sinu" sudah mabuk dan hilang identiti diri sebagai parti Pas yang zuhud dan tawaduk. Mereka sudah kerasukan dan gahirah untuk menguasai Pas. Mereka lupa kepada adab dan peraturan. Lupa kepada saksiah parti yang mereka dokonginya. Mereka sudah ratib dan zikir yang golongan sebelah sini sebagai pengkhiaat dan jahat. Dan paling bahaya apabila "ghanimah" sudah membayangi mata mereka. 

Lihat kepada bentuk mereka berkempen, khasnya melalui media baru yang tidak tergamak untuk disaksi atau pun dilihat. Kerakusan dan kebuasan puak sinu tergambar dalam pelbagai bentuk kempen. Logistik kempen mengalahkan Umno semasa kempen pemilihan pemimpinannya. Selepas ini mana-mana orang dalam Umno hendak bertanding bolehlah memajak matser mind kempen untuk golongan sinu itu kerana ia ternyata berkesan.

Bukan itu sahaja, saya mencadangkan agar puak prolib juga sepakat menentang perlawanan dari puak sinu. Mereka hendaklah membentuk kumpulan secara rasmi dan menyediakan manifesto perjuangan tersendiri dalam Pas. Kemukakan wawasan dan iltizam mereka yang bersesuaian dengan perjuangan parti. Hujah saya kalau di pihak sinu, boleh buat majlis, semata-mata untuk menuba ahli dan perwakilan agar menolak mereka, kenapa tidak dengan puak sini. Tetapi sekali lagi tidak dihiraukan. Mereka tetap mahu bertanding secara bersendirian, pro, bukan berpasukan seperti di sebelah sinu kerana mahu mengawal parti menjadi sebuah parti yang dimuliakan.

Akhirnya tindakan bersendirian dan secara masing-masing itu memakan diri. Mereka ditelan satu persatu oleh sang naga api.

Kesimpulan kekalahan itu ialah:
1. Berlaku perlawanan yang berat sebelah.
2. Kempen yang jahat dan sadis oleh pihak sinu.
3. Sikap sambil lewa puak prolib yang masih menghormati parti dan bacaan politik yang salah.
4. Terlalu bersangka baik dengan apa yang dilakukan kepada mereka.
5. Tidak ada manifesto atau agenda khas seperi mana puak di sebelah sinu yang berniat hendak menguasai Pas bagi menolak puak prolib.
6. Tidak mendapat sokongan moral daripada awam, seperti media kroni PB dan lain-lain.
7. Tidak membuat persediaan, menguasai cawangan dan mesyuarat kawasan.
8. Tidak ada gerakan tersusun (bawah tanah) untuk mempertahankan kedudukan, secara berpuak. 
9. Gagal menjelaskan tuduhan (fitnah) yang dilemparkan oleh puak sinu, walaupun ia tidak betul tetapi diterima oleh perwakilan yang cetek pemikiran.
10. Awal-awal lagi puak prolib menjadi inferiority complex kerana apabila mereka dituduh sebagai bukan orang agamawan dan ulama, dari segi moralnya mereka sudah tewas. 
11. Penubuhan PasMa yang berjaya digambarkan sebagai kumpulan Pas baru untuk menentang golongan ulama.

Itulah antara sebab dan faktor mengapa puak prolib kalah dalam pemilihan tempoh hari. Apa yang berlaku bahawa proses pemilihan dalam Pas juga sudah berubah menjadi advance, berbanding dengan parti-parti lain, tetapi malangan kecanggihan itu gagal ditangkis oleh puak prolib, kerana itu kejayaan dicapai oleh puak "sinu" hampir seratus peratus. [wm.kl.4:47 pm 10/06/15]

No comments: