Thursday, June 18, 2015

Walaupun PR sudah tiada, kerjasama masih boleh diadakan

DI AMBANG SORE                                                                                         

Anwar berharap kerjasama diteruskan.
Anwar Ibrahim menggesa ketiga-tiga parti yang membentuk Pakatan Rakyat, PKR, DAP dan Pas meneruskan kerjasama di peringkat Parlimen dan di tiga buah kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Dalam satu perutusan dari Sungai Buloh Anwar menegaskan kerjasama itu perlu demi untuk membela dan menyelamatkan rakyat dari terus ditindas oleh kerakusan dan ketidakadilan kerajaan UBN.

Beliau juga menzahirkan keyakinan sekiranya sikap politik profesional dipraktikan, yakin kerjasama antara tiga parti itu di peringkat negeri-negeri dan parlimen boleh dilakukan walaupun Pakatan Rakyat kini sudah tidak wujud lagi.


Pandangan dan gesaan Anwar itu sepatutnya diterima baik oleh ketiga-tga buah parti berkenaan dan menunjukkan satu sikap politik yang sedarhana dan berpandangan jauh daripada Anwar Ibrahim. Pandangan Anwar itu juga merupakan formula untuk menghuraikan kemelut yang berlaku dalam Pakatan Rakyat kini yang semakin rumit.

Azmin berucap dimajlis penyerahan kunci rumah mangsa banjir.
Dalam konteks ini keputusan Lim Guan Eng mengekalkan wakil Pas di Pulau Pinang, Salleh Man dalam kerajaan negeri, adalah satu tindakan yang baik dan profesional. Manakala kesediaan Salleh Man untuk berada dalam kerajaan Pulau Pinang itu memberi gambaran Adun itu tidak berfikiran jumud seperti Dewan Ulama Pas yang mengemukakan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Adalah lebih baik dan bagus lagi kalau Guan Eng juga tidak emosi bertindak untuk meminta penjawat politik dalam berbagai agensi dan jabatan dalam kerajaan Pulau Penang yang dikenal pasti daripada Pas, agar melepaskan jawatan.

Guan Eng perlu memberikan peluang mereka berkhidmat setidak-tidaknya sampai habis tempoh kontrak mereka. Pengekalan itu bukan dilihat mereka orang Pas semata-mata untuk menunjukkan beliau terbuka, tetapi apa yang patut dipertimbangkan keupayaan mereka memikul tanggungjawab kepada rakyat.

Sesuai dengan seruan dan gesaan Anwar itu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali juga seakan tidak tergugat dengan apa yang berlaku kini, tentang kemelut DAP dengan Pas. Kelmarin Azmin hadir ke upacara untuk menyerahkan replika kunci rumah mangsa banjir yang dibina oleh kerajaan Selangor kepada MB Kelantan Ahmnad Yaakob.

Jaminan dan sikap yang ditunjukkan Azmin, yang kerajaan Selangor akan terus membantu mangsa banjir suatu pendirian dan sikap yang perlu dipuji dan dicontohi oleh semua pihak. Kerjasama demi rakyat seperti itulah yang diingini dan diperjuangkan oleh parti politik apa lagi yang berkuasa. Jangan kemelut disebabkan kepentingan diri dan puak, telah memangsakan kepentingan rakyat.

Meneliti perkembangan hari ini, mengenai perbalahan Pas dengan DAP sehingga mereka tidak lagi duduk dalam satu pakatan, kita sedikit berasa hairan dan pelik dengan kepimpinan baru Pas yang bersikap acuh tidak acuh sahaja terhadap apa yang berlaku. Mereka seakan tidak terdengar ribut diluar selepas berada dalam rumah batu?

Sehingga kini belum kedengaran komentar atau pandangan daripada Presiden dan juga Timbalan Presiden Pas berhubung keputusan DAP yang mengistyharkan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi. Bukan itu sahaja mereka berdua yang menjadi kepala kepada kepimpinan baru Pas juga seakan kepanikan dengan gelora dalam Pas waktu ini terutamanya apabila golongan yang kalah dalam pemilihan lalu sudah membuat pertemuan dan merancang kemungkinan menubuhkan wadah baru.

Situasi ini tidak sepatut dibiarkan begitu sahaja tanpa mereka berdua, presiden dan timbalan presiden memberi apa-apa komentar yang bernada memujuk atau menghalang sesiapa daripada memecah duakan Pas. Bukankah mereka lebih senang (syok) dikenali dengan pemimpin yang mewarisi (warsatu) ambia, tetapi kenapa mereka tidak mengambil Quran untuk menghuraikan masalah yang berlaku?

Hakikat yang perlu disedari terutamanya oleh Pas dan pimpinan baru parti itu tidak akan ke mana kalau berlaku perbalahan sehingga wujud sebuah lagi parti baru. Perwujudan parti baru tidak akan memberi untung kepada kedua-dua pihak. Lainlah kalau Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim berasakan agenda untuk menggabungkan Pas dengan Umno sudah semakin dekat. Gelora dalam Pas kini dan dengan kemenangan bergaya menguasi Pas, adalah peluang terbaik untuk merealisasikan impian itu, bergabung dengan Umno, dan keretakan yang berlaku kini tidaklah perlu diperbaiki lagi. [wm.kl.4:15 pm 18/06/15]

No comments: