Wednesday, March 16, 2016

Ingat dengan siapa, rupanya dengan Kadir?

ULASAN PETANG

Hadi dan Kadir tebeng perjanjian blok ketiga.
Parti agama (Pas) menempati janjinya hari ini untuk mengumumkan bentuk blok baharu politik yang bakal menjadi kuasa ketiga dengan memilih Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai rakan berikat. Pengumuman itu tidak mengejutkan bahkan diketawa oleh musuh-musuh politik Pas. Lim Kit Siang menyifatkan ikatan itu sebagai kosong campur kosong bersamaan

Ahli Parlimen Pas Mahfuz Omar pula berpendapat penubuhan blok ketiga dengan Ikatan itu merugikan Pas dan Islam di masa depan dan ia mengelirukan rakyat.


Sebelum ini Abdul Kadir Sheikh Fadzil apabila ditanya apakah partinya menjadi salah satu parti yang berikat dengan Pas untuk membentuk blok ketiga itu menafikan pengliabtannya. Dalam politik apabila ia dinafikan itu menandakan ia benar. Cara itu mungkin Kadir hendak mengajar orang-orang muda yang baru mennyentuh kaki dalam sungai politik.

Memanglah tidak ada parti lain lagi yang boleh Pas jadikan rakan persyarikatan. Selepas parti itu menolak DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), maka parti-parti kecil seperti Ikatan itulah yang boleh dijadikan kawan. Apakah pemilihan itu memudahkan Pas untuk kontrol kerana mereka berhadapan dengan masalah dengan DAP semasa dalam Pakatan Rakyat dulu. Atau pemilihan itu kerana ketagih Pas hendak menjadi ketua kepada sebuah pakatan?

Manakala untuk menerima AMANAH pula tidak mungkin kerana parti itu ditubuhkan oleh sebahagian besar pemimpinnya (Pas). Logik juga kalau Pas menolak AMANAH sebagai rakan baharu walaupun ia lebih bertenaga dan berkualiti daripada Ikatan. Apabila nafsu diletak di depan segala-galanya penolakan terhadap AMANAH itu munasabah.

Kalau pemimpin Pas celik politik dan profesional dalam politik mereka seharusnya bersama AMANAH bukan parti lain. Pemilihan Ikatan itu seolah-olah Pas ingin menunjukkan dia juga masih laku dan boleh berbini lain apabila melihat orang lain berbini lain. Kalau pun hendak berbini atau berlaki carilah yang sasa dan masih ada haid.

Jikalau Pas memilih AMANAH, ia satu kebijaksana buat Pas. Bukan sahaja Pas dapat menguatkan kuasa politiknya tetapi merapat semula hubungan sahabat handai yang terpisah disebabkan tertubuhnya parti itu. Di sini bagi saya pemimpin Pas bukan sahaja tidak bijak tetapi naif untuk mencatur macam mana membina menguatkan parti atau sekurang-kurang tidak kehilangan sokongan.

AMANAH tidak ada masalah kalau dipanggil untuk berkolaborosi. Ia juga bukan sesuatu yang sukar bagi Pas kerana kedua-dua parti mempunyai matlamat, malahan terbiyah dan azam yang sama. Bahkan orang-orang seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Mujahid Yusuf Rawa, Hanifa Maidin, Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Mariah Mahmud dan lain-lain adalah pemimpin Pas, mereka yang sebelum ini menjadi teras kepada kerkuatan dan kepercayaan kepada Pas.

Dari satu segi penerimaan bukan Melayu kepada Pas, sedikit sebanyak kerana peranan dan pengaruh politik mereka.

Apabila Pas memilih Ikatan, (Kadir) dan terus bermusuh dengan AMANAH, menunjukkan Pas tidak bijak dan begitu lemah dengan minda dan startegi politik serta masih menunjukkan ego yang tinggi. Kita percaya masih ada individu tertentu dalam Pas yang memahami hakikat ini tetapi mereka tidak dapat berbuat sapa-apa kerana dibelit benang wala'.

Kita tidak tahu apakah alasan atau sebab mengapa Pas memilih Ikatan. Apakah istimewanya Ikatan dan pemimpinya, Abdul Kadir Sheikh Fadzil. Mungkin kebanyakan orang Pas tidak mengenali siapa dia Kadir Sheikh Fadhir. Beliau bukan sahahaja bekas menteri, tetapi lebih jauh dari itu mempunyai cita-citanya sendiri dalam politik tidak berhujung.

Sebelum beliau menubuh parti Ikatan, Kadir pernah mencadangkan kepada Tengku Razaleigh Hamzah agar Ngo bernama Amanah Negara, diubah menjadi parti politik. Tetapi Tengku Razaleigh yang menjadi presiden Amanah Negara tidak bersetuju kerana dia mahu Ngo kekal sebagai sebuah wadah perjuangan orang Melayu. Keengganan Tengku Razaleih itu menyebabkan Kadir menubuh parti Ikatan.

Penubuhan Ikatan tidak mempunyai matlamat yang jelas dan besar. Kononnya ia mahu meneruskan perjuangan ditinggalkan Tunku Abdul Rahman, Kalau benar begitu Ikatan meneruskan perjuangan Tunku Abdl Rahaman apakah ia tidak kontras dengan perjuangan Pas. Bukankah perjuangan Tengku Abdul Rahman semasa memimpin Umno dahulu dianggap "taghrot" oleh para ulama Pas?

Tidak kisah itu dan ia tidak berbangkit lagi kerana Pas kini, matang, terbuka serta tolak perkauman sempit seperti mana kata Takiyuddin Hassan. Sama sekali tidak pelik, kalau Pas boleh menerima Umno, apalah dengan Kadir dan Ikatan. Tetapi apakah Pas menilai sejauh mana kekuatan Ikatan itu? Apakah Pas mengharap Kadir akan menggunakan wang ringgit untuk membantu perjuangannya, kerana Kadir seorang saudagar emas. Ini sudah dekat pilihan raya Sarawak. Pas akan bertanding 11 kerusi. Apakah ada baksis daripada Kadir untuk membayar mana-mana wang deposit calon Pas?

Mengambil kira kenyataan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasaan bahawa blok ketiga itu bukan sahaja dengan Ikatan tetapi ia juga termasuk beberapa pertubuhan dan Ngo. Saya cukup yakin, seperti mana saya katakan sebelum ini Ngo-Ngo berorentasi Islam dan Melayu mungkin akan menyertai sama blok ketiga itu secara berperingakat.

PERKASA yang dipimpin oleh Inchek Ibrahim Ali, ISMA atau JATI kemungkinan akan ikut bergabung dalam persyarikatan berkenaan. Ibrahim atau Kadir mungkin ada strategi sendiri mereka menyertai blok berkenaan. Apa yang mungkin berlaku blok itu akan bergabung pula dengan Umno dan penggabungan itu akan menghalal Inchek Ibrahim dan Kadir untuk bersama Umno?

Mereka berdua tidak dibenarkan menyertai Umno kerana dipecat seumur hidup. Jadi untuk menghidup nyawa bersama Umno mereka harus menempek kepada jasad lain.

Inchek Ibrahim sangat memahami masalah dirinya. Dia tidak akan menang kalau bertanding atas batang tubuhnya. Batang tubuhnya sudah tidak laku lagi di Pasir Mas. Jadi jalan terbaik ialah mendapat laluan daripada Pas. Untuk mendapat laluan ini Inchek Ibrahim kena bersama Pas, modal paling baik ialah mengecam AMANAH dan DAP, serta "hulurlah" sedikit sebanyak kepada Pas.

Demikian juga dengan Kadir. Dia orang politik dan pernah duduk dalam parlimen. Orang politik tidak ada istilah pencen. Semasa pilihan raya lalu lagi kahabarnya dia mengharapkan kerusi daripada Pas, tetapi tidak berjaya. Apabila dia menjaja partinya kuat dan kebetulan pula Pas keseorangan tiada teman, boleh Kadir menuntut kerusi untuk pilihan raya akan datang. Saya melihat kesediaan Ikatan menenami Pas itu adalah kerana kepentingan peribadi Kadir.

Akhirnya, semua pihak kena terima keputusan Pas itu. Sama ada pakatan atau blok ketiga itu, relevan, berjaya atau tidak, itu pilihan Pas. Hak asasi sesebuah parti walaupun nampak dangkal, surut ke belakang kita kena diterima. Kita boleh mengkritik, beri pandangan sebelum sesuatu itu berlaku, tetapi selepas ia berlaku ia hendaklah diterima.

Dan mengenai blok ketiga itu, seperti kata presidedn Pas, Abdul Hadi Awanhg hanya tuhan sahaja yang tahu nasib blok ketika. Apakah Tuhan tidak tahu nasib pakatan dan blok-blok lain termasuk BN dan Pakatan Harapan? Tuhan memerhati dan menilai semua weh. [wm.kl.5:11 pm 16/03/16]

No comments: