Sunday, February 5, 2017

Amanah gesa ahli jaga moral politik

SUSUPAN MALAM

Gesaan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Anuar Tahir (foto) supaya ahli dan penyokong parti itu berhenti mengeluarkan kata-kata kesat berbentuk penghinaan kepada pemimpin politik khsasnya dari parrti agama (Pas), suatu langkah baik yang wajar dipatuhi segera.

Gesaan itu sesuatu tindakan terpuji sekaligus mempamerkan sikap atau uslub - pendekatan Amanah sebagai sebuah badan siasah yang mengambil Islam sebagai prinsip perjuangannya. Gesaan itu tepat bagi Amanah sebagai sebuah parti yang membawa Rahmatanlilalamin.

Justeru gesaan itu seharusnya bukan sahaja dilihat terkhusus dan diterima baik oleh ahli dan penyokong Amanah sahaja tetapi dari pihak parti lain juga wajar menerimanya sama.

Anuar membuat gesaan itu pada majlis Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2017 yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu Anuar menggesa ahli parti Amanah yang bergabung dalam mana-mana Grup WhatsAap yang terlibat menghina dan menggunakan kata-kata kesat keluar dari kumpulan berkenaan. Gesaan itu walaupun secara lisan (kenyataan media) tetapi ia perlu diterima sebagai rasmi.

Kebebasan media sosial yang dikecapi kini dan menjadi gelanggang berpolitik sudah boleh dianggap tidak baik lagi apabila ada pihak tertentu mengeluarkan kata-katra atau membuat status yang tidak bertanggungjawab yang bersifat rendah moral menerusi media itu. Kata-kata nesta dan penghinaan yang terjadi tidak menggambarkan ia keluar dari minda masyarakat yang tamadun dan berilmu.

Gelaran dan perlebelan yang dilakukan adakalanya ia lebih busuk daripada najis yang mana tidak seharusnya diizinkan menjadi budaya dalam politik. Politik adalah forum untuk menuangkan pemikiran, percambahan ilmu, wawasan dan gagasan yang murni. Apabila ia dibumbui dengan kebusukan itu maka keindahannya hilang, ini menyebabkan politik itu sendiri menjadi "kohong".

Gesaan Anuar itu bukan bermakna orang politik tidak boleh membuat konotasi atau metafora dalam politik atau mengulas isu-isu dan karektor politician, boleh, tetapi ianya haruslah dipastikan dalam batas dibenarkan agama dan adat. Apa lagi sebagai orang Melayu yang kaya dengan adat budi dan sopan santunnya, politik tidak bermoral begitu memalukan.

Apabila Setiausaha Agung Amanah itu membuat saranan berkenaan, sudah tentu setelah Amanah sendiri berasakan perlebelan, atau gelar menggelar yang melibatkan parti itu sudah melampaui batas. Langkah agar ianya dihentikan itu tentulah untuk menjamin dan memelihara kerenah dan perang politik kita masih bermoral.

Dari sisi lain larangan atau gesaan Anuar itu juga menunjukkan Amanah telah merealisasikan yang ianya sebuah parti yang bergerak atas kewarasan akal dan ketinggian akal budi yang sesuai dengan aspirasi parti itu untuk menjadi pembentuk ummah yang mengikut Quran dan membawa Rahmatanlilalami - kesejahteraan dan keselamatan sejagat.

Kepada mereka yang seronok dan teracun dengan politik rendah moral, menghina dan suka mengeluarkan kata-kata kesat jangan salah anggap gesaan Anuar itu yang tertuju kepada Pas, bermakna Amanah ingin memeluk dan berbaik-baik dengan Pas. Gesaan itu adalah sebahagian tanggungjawab Amanah sebagai ianya parti Islam yang sudah banyak tanggungjawab patut dipikul Pas tetapi diabaikan.

Syabas kepada Sdr Anuar Tahir kerana mengambil sikap dan pendirian itu yang mana mungkin kurang disenangi oleh mereka yang seronok dengan politik kotor, namun gesaan itu menggambarkan bahawa Amanah parti yang benar-benar memikul amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah. [wm.kl.11:32 pm 05/02/17]

1 comment:

Unknown said...

peringatan terbaik 2017 .. tahniah sdr anuar tahir ..